Kami tiba di Bandung hampir jam 4 pagi.
Setelah pusing-pusing di bandar mencari hotel atau tempat penginapan, nampaknya kami gagal menemui tempat yang kosong. Rasanya lebih 20 hotel yang kami kunjungi semuanya penuh.
Selepas menunaikan solat subuh di sebuah surau hotel, kami membuat keputusan untuk terus ke Taman Wisata Alam, yang menempatkan Gunung Tangkuban Parahu.
Pemandangan dari kawasan taman ini sangat indah sekali. Dengan ketinggian 1830 meter dari paras laut, suasana nyaman dan sejuk menyelubungi kami. Tambahan pula kami hadir awal pagi ketika kawasan taman ini belum dibuka.
Pemandu kami Pak Sontoso dan Yahya meredah saja kawasan taman dan membuka sendiri pintu pagar, ketika pekerja baru bersiap-siap dan belum ada gerai jualan yang buka. Tambah menarik lagi, terdapat sebuah surau untuk orang Islam menunaikan solat.
Gunung Tangkuban Parahu adalah sebuah gunung berapi yang pernah meletup satu ketika dahulu. Tidak ada kenyataan yang dicatatkan di sini bila sebenarnya letupan itu berlaku.
Indonesia adalah sebuah negara yang memiliki gunung berapi aktif terbanyak di dunia, iaitu sebanyak 129 buah gunung dan gunung tangkuban parahu adalah salah satunya.