Archive for 4 Januari 2009


SURAU KG SUANGPAI

p1020082Dari Kg Labuan Sama, kami ke Kg Suangpai yang letak bersebelahan.

Jalannya masih belum beraspal, tetapi punya sekolah dan sebuah surau tidak jauh dari situ.

Kami tumpang menunaikan solat asar dan mencari maklumat yang boleh dikongsi bersama.

Suraunya sederhana saja, boleh memuatkan sekitar 50 jamaah. Daripada segi kebersihan juga sederhana, agak kemas dan lantai tidak berhabuk.

Menunjukkan ia sememangnya diimarahkan. Cuma di perkarangan surau rumput memanjang tidak terjaga.

p1020068Di sebelah surau itu terdapat 2 buah rumah.

Sebuah rumah tanpa penghuni dan sebuah daripadanya dihuni orang, dan orang itulah khabarnya tolong menjengukkan daripada segi kebersihannya selain seorang amah daripada sebuah rumah lain yang juga tidak jauh dari surau.

Di surau ini terdapat kelas yang dinamakan Kelas Bimbingan Wawasan Murni yang menggabungkan tiga kampung – Suangpai, Labuan Sama dan Tombirog.

Ia diadakan setiap Jumaat mulai jam 10 pagi dan selesai selepas solat Jumaat.

Saya mendengar usaha-usaha dakwah giat termasuk di sini dilakukan oleh pihak JHEAINS Kudat bersama-sama pihak lain.

Khabarnya terdapat sekitar 30 orang (atau 30 keluarga) yang beragama Islam. Wallahu a’lam.

Sahabat lama saya, Ust Hj Vikri Agus Kurniawan yang bertugas sebagai penggerak dakwah di JHEAINS Kudat juga dikatakan bekerja keras membantu bagi menghidupkan semula surau yang telah lama sunyi itu.

Kelas Bimbingan Wawasan Murni itulah salahsatu hasilnya.

Petang Jumaat, kami menghantar sekaligus menziarahi seorang pelajar Titian Murni, peserta kelas untuk orang muallaf.

Makcik Rubiah Asanti, 60 tahun tinggal di Kampung Labuan Sama, Kudat. Di kampung itu, tidak ramai yang beragama Islam. Mungkin hanya sekitar 7 atau 8 orang saja.

Dahulunya Makcik Rubiah beragama Kristian dan telah lama memeluk Islam. Telah bercerai lebih 20 tahun lalu dan bekas suaminya itu, yang berkhidmat sebagai anggota polis telahpun meninggal dunia.

Makcik Rubiah memang orang sini. Tetapi semasa berumahtangga dahulu, dia mengikut suami yang bertugas  Sandakan. Setelah bercerai, dia kembali ke sini dan mengupah orang membina rumah usang ini untuk tempat berteduhnya.

Sebenarnya rumahnya ada satu tingkat lagi di atas. Tapi tangganya sudah roboh. Makcik Rubiah lebih selesa di bawah. Lagipun dia hanya sendirian.

Dia hidup sendirian, tanpa zuriat dan tanpa bekalan elektrik. Temannya hanyalah dua ekor kucing yang menceriakan hidupnya. Waktu malamnya hanya diterangi dengan lampu minyak tanah.

Walau bersendirian begitu, dia begitu bersemangat dan ceria sekali. Dia punya beberapa adik beradik, tetapi lebih selesa menghabiskan sisa hidupnya di rumah itu.

Rumahnya berada benar-benar di tepi pantai. Ombak kuat sepanjang masa yang memecah kesunyian hidupnya.

Mujurlah seketika dulu ada orang memberi bantuan, menghulur RM450 buat modal bagi memulakan jualan kecil-kecilan. Menjual keropok dan makanan ringan.

Sebenarnya hidupnya tidaklah terlalu susah. Dengan jualan kecil-kecilan itulah dia meneruskan kehidupan. Makcik Rubiah pandai membaca dan mengira. Saya pada paginya ketika di kelas Titian Murni telah mendengar bacaan al-Fatihahnya. Boleh tahan jugalah.

Hanya kami melihat dia kesunyian.

Seminggu 3 kali makcik Rubiah keluar ke Bandar Kudat. Tambang pergi dan balik 10 ringgit. Kalau hari sabtu turun ke Bandar Kudat, beliau akan terus ke Masjid asy-Syakirin mendalami ilmu agama Islam bersama kawan-kawan muallafnya.

 

Setelah menyampaikan sumbangan, kami pergi untuk ziarah seterusnya. Kami berhajat untuk datang lagi satu hari nanti. Insya Allah. Kita buat program di sini.

Sempat Che’gu Jamil bertanyakan kalau-kalau Makcik Rubiah punya sebarang alat perhubungan. Rupanya ada handphone.

Saya tertanya-tanya. Rumahnya tidak punya elektrik, dimana dia mengecas bateri handphonenya? Rupanya ditumpangkan handphonenya itu di rumah orang.

Ada juga rupanya begitu.

%d bloggers like this: