Archive for November, 2016


Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/11/26/myanmar-rohingya-dan-kepentingan-kuasa-asing/

Oleh: HARIS ZALKAPLI

Konflik di Myanmar melibatkan genosid etnik Rohingya mempunyai satu dimensi persaingan kuasa-kuasa besar, dan dasar luar Naypidaw yang lebih pragmatik dalam hal kepentingan politik dan ekonomi negara.

Dimensi ini menambah, dan pada masa sama menyumbang kepada halangan dalam menangani masalah negara itu, yang tidak berdepan tekanan kuat Asean melibatkan isu genosid, pada masa sama terus membina hubungan baik dengan kuasa-kuasa dunia.

Selama dua dekad sehingga 2011, Myanmar berstatus negara pariah di arena antarabangsa, ekoran dipinggirkan oleh Barat, terutama Amerika Syarikat yang menentang pemerintah junta tentera negara itu.

Sepanjang tempoh itu, China menjadi sekutu dan penaung Myanmar, memberi sokongan politik dan melabur berbilion dolar dalam pelbagai projek terutama melibatkan sumber asli.

Myanmar bergantung sepenuhnya pada China, yang kelihatan memberikan talian hayat kepada negara Asia Tenggara itu, dan pada masa sama menggunakan jumlah besar sumber-sumber alam Myanmar.

Walau bagaimanapun, pergantungan ini menghadkan potensi perkembangan ekonomi Myanmar yang mempunyai banyak kelebihan termasuk dari sudut kedudukan geografi dan sumber alam.

Pada masa sama, selepas dua dekad di bawah pengaruh China, Myanmar menyedari kelebihan dimilikinya, dan bergerak ke arah memulihkan status antarabangsanya.

Pada 2011, perubahan besar berlaku di Myanmar, selari dengan perubahan dilaksanakan pemerintah untuk menjadikan negara itu lebih demokratik dan memulihkan status di peringkat antarabangsa.

Pada September tahun itu, kerajaan Myanmar menghentikan projek mega empangan hidro elektrik Myitsone, projek bernilai AS$3.6 bilion yang menjadi simbol kuasa ekonomi dan geopolitik China di Myanmar.

Projek itu, di kawasan utara berdekatan sempadan China ialah satu daripada pelaburan-pelaburan besar China untuk memenuhi keperluan tenaganya yang terus meningkat.

Perkembangan itu menandakan satu perubahan besar dalam dasar luar baharu Myanmar, yang mula berubah daripada pemerintahan tentera kepada pemerintahan campuran awam dan tentera.

Tanda paling menarik perhatian berlaku pada hujung tahun 2011, apabila Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton mencatat sejarah melawat Myanmar, membincangkan perubahan-perubahan yang dirancang pemerintah Myanmar dan memulakan pemulihan hubungan Washington-Naypidaw.

Perubahan ke arah lebih demokratik itu menyaksikan Myanmar mula mengimbangi kedua-dua kuasa besar AS dan China, menunjukkan kesediaan Myanmar mengambil langkah drastik mengurangkan pergantungan pada China.

Tindakan Myanmar itu menjejaskan sedikit hubungan dengan China, tetapi kepentingan Myanmar kepada China mengawal keadaan daripada merosot lebih teruk.

Perkembangan sejak 2011 menjelaskan kepentingan Myanmar kepada AS dan negara-negara kuasa serantau, terutama China dan juga India.

Walaupun hubungan dengan China merosot, pengaruhnya di Myanmar masih kuat, dengan pelaburan dan pelbagai projek pembangunan yang telah dan akan dilaksanakan.

Beijing dilihat masih cuba menggerakkan semula projek empangan Myitsone, yang selain boleh menjadi sumber tenaga elektrik China, juga memberikan hasil pendapatan ratusan juta dolar AS kepada Myanmar setiap tahun.

Myanmar juga salah sebuah negara ahli pengasas Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB), institusi yang menyokong projek mega merentasi Asia hingga ke Eropah yang sedang diusahakan oleh China, One Belt, One Road.

Kedudukan geografi Myanmar di antara China di sebelah timur laut dan Teluk Bengal dan Lautan Hindi menjadikan Myanmar satu laluan penting kepada China.

China setakat ini telah berjaya dalam kerjasama dengan Pakistan dengan satu projek utamanya, pelabuhan Gwadar di pesisir Laut Arab berhampiran Teluk Parsi telah mula beroperasi.

Kedudukan geografi kedua-dua Pakistan dan Myanmar mempunyai kepentingan bukan sahaja dari segi perdagangan tetapi juga keperluan ketenteraan kepada China.

China juga mengawasi India, jiran Myanmar di sebelah barat yang turut mempunyai kepentingan dan telah pun melabur berbilion dolar, tetapi jauh di belakang China.

Kedudukan geografi dan sumber ini menjadi satu faktor penting mendorong AS berusaha menghakis pengaruh China di Myanmar dan membina hubungan lebih baik dengannya, walaupun dilakukan secara berperingkat.

Hubungan rapat Aung San Suu Kyi, pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan dengan Hillary Clinton dan, dan dengan Presiden Barack Obama yang ditunjukkan melalui lawatan pemimpin Myanmar itu ke Washington pada September lalu memberi gambaran nilai hubungan Myanmar-AS.

Tetapi, pihak tentera yang berpengaruh masih mengekalkan hubungan baik dengan China, dan Suu Kyi sendiri menyedari keperluan menjaga hubungan dengan kedua-dua Beijing dan Washington, yang dikunjungi beberapa bulan lalu untuk mengukuhkan hubungan.

Beliau melawat kedua-dua Beijing dan Washington dalam satu tempoh yang singkat – pada Ogos (Beijing) dan September (Washington) – mengelakkan daripada persepsi mengabaikan mana-mana pihak, memberi gambaran kepentingan kedua-dua kuasa itu.

Hal ini menjelaskan kenapa tidak ada pihak yang bertindak tegas terhadap kekejaman dan genosid dilakukan pemerintah dan pelampau Buddha di negara itu terhadap etnik Rohingya.

Tidak ada kuasa berpengaruh yang mempunyai kepentingan untuk menangani tindakan kejam pemerintah Myanmar itu, yang kini sedang dalam fasa terbaru penghapusan etnik Rohingya.

Kuasa-kuasa terbabit tidak mahu menjejaskan hubungan dengan pemerintah Myanmar, yang kini melalui dasar luar barunya mempunyai kelebihan dalam menangani negara-negara berpengaruh termasuk AS dan China.

Asean yang tidak mahu terlibat dalam politik dalaman negara anggota turut menyebabkan keadaan menjadi semakin parah, ekoran tidak ada sebarang tindakan tegas negara-negara jiran.

Tarikh : 30 November 2016

Lokasi : Dewan Tok Guru, Syabab Point, Kota Bharu, Kelantan.

Panel : Dr Muhammad Atiullah Othman, Dr Mohd Fadhli Ghani & Ustaz Muhammad Abdul Malik

Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/11/26/jadikan-amalanmu-seperti-garam-dan-adabmu-seperti-tepung/

Oleh : Nur Atiqah Roslin

Pernahkah anda menyediakan makanan santai di waktu petang seperti cucur ikan bilis? Pasti rasanya sungguh enak. Lebih-lebih lagi jika semua bahan seperti tepung, garam, ikan bilis, bawang dan air mencukupi. Sesetengah masyarakat memanggil hidangan tersebut sebagai jemput-jemput.

Cuba kita bayangkan jika cucur kita terlebih garam. Adakah masih menghasilkan rasa yang cukup enak? Sudah pasti tidak. Malah cucur tersebut pasti ditinggalkan begitu sahaja tanpa dicuit oleh mulut sang pemakan.

Kata seorang yang berilmu, “Jadikanlah amalanmu seperti garam, dan jadikan adabmu seperti tepung”

Perumpamaan ini memberi erti yang sangat mendalam. Ia menggambarkan kepada kita bahawa segala amalan dan ilmu kita perlulah didahului dengan adab.

Adab didahulukan dalam setiap perkara. Makin banyak garam, makin banyaklah tepung yang perlu kita gunakan. Begitulah juga adab dan ilmu kita. Makin banyak ilmu dan amalan kita, maka makin tinggilah adab yang perlu kita terapkan dalam diri kita.

Mari kita bandingkan, antara seorang bos yang mempunyai sijil Phd tetapi tidak pernah senyum dan selalu memarahi pekerja tanpa alasan, dengan seorang bos yang hanya mempunyai sijil Diploma tetapi sangat suka senyum dan selalu memuji pekerjanya. Mana satukah yang anda lebih gemari? Pasti yang mudah tersenyum dan selalu memuji, kan? Ya! Inilah yang dikatakan adab dijadikan tempat pertama.

Adab akan memimpin kita supaya menjadi manusia yang lebih berilmu. Ilmu atau amalan yang ketiadaan adab akan membuatkan seseorang menjadi lebih angkuh dan merasakan dirinya lebih hebat dari yang lain.

Mari kita tambahkan ‘garam’ dan ‘tepung’ dalam diri kita supaya kita menjadi manusia yang lebih beradab dan bertakwa.

Mari lumba dalam trek kebaikan yang sama !

25 Oktober 2016

Tarikh : 29 November 2016

Lokasi : Hotel Marco Polo Tawau

Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/11/19/keruntuhan-gerakan-liberalisme-antarabangsa/

Kemenangan Donald Trump dalam pilihanraya presiden Amerika sangat mengejutkan rakyat Amerika dan seluruh penghuni dunia. Ia menandakan kemunculan Nasionalis Konservatif yang diperjuangkan oleh Parti Republican, dan Nasionalis Populis yang diperjuangkan oleh Trump.

Sebelum pentadbiran Barrack Obama, Nasionalisme sangat kuat dengan mempertahankan hak-hak penduduk warganegara, mempertahankan sistem kenegaraan yang tegas agar menjaga keharmonian, dan mempertahankan kedaulatan negara yang membabitkan persempadanan kukuh agar menghalang penduduk luar merampas keistimewaan penduduk tempatan.

Idea sebegini sangat popular di Eropah sejak sebelum perang dunia lagi. Bahkan ia merupakan unsur penting kemunculan negara-negara Moden Eropah yang meruntuhkan Empayar Rom yang telah menjangkau usia lebih seribu tahun. Ia juga merupakan unsur penting kemunculan negara-negara Moden Arab yang meruntuhkan Khilafah Othmaniyyah yang telah menjangkau usia lebih tujuh ratus tahun.

Namun, idea Nasionalisme ini mula pudar di zaman Millenium terutamanya apabila Obama menjawat jawatan Presiden Amerika. Di era pentadbiran beliau, ideologi Liberalisme merupakan perjuangan utama. Bukan sahaja hak minoriti kulit hitam dipertahankan, hak wanita dan hak LGBT mendapat tempat dalam undang-undang negara.

Golongan Nasionalis Amerika dalam Parti Republican melihat Obama sebagai pejuang bangsa kulit hitam dan LGBT. Begitu juga, Nasionalis Amerika melihat Hillary Clinton sebagai pejuang hak asasi manusia, pejuang wanita dan minoriti Immigrant. Oleh demikian, permulaan serangan Trump terhadap Clinton sangat membabitkan Perlembagaan Kedua (Second Constitution) yang membicarakan kebebasan (liberty).

Bagi Clinton, kebebasan ini sangat luas sehingga memberi hak kepada setiap individu memilih dan bertanggungjawab terhadap pilihannya. Contohnya, wanita diberi kelonggaran untuk menggugurkan anak dalam kandungan dengan pilihan ibunya.

Manakala Trump melihat kebebasan ini hendaklah selari dengan semangat Nasionalisme iaitu jikalau kebebasan bercanggah dari hasrat negara, kebebasan tersebut perlu disekat. Oleh itu, seorang wanita tidak disaran menggugurkan anak. Malah, ibu bapa yang mempunyai lebih dua orang anak diberi keistimewaan dan diberi pelepasan cukai pendapatan.

Kekalahan Clinton bermakna kekalahan Parti Demokrat dan legasi Obama. Ia juga bermakna berakhirnya kepimpinan utama Liberal Antarabangsa yang menuntut agar masyarakat seluruh dunia berpaksikan hak asasi manusia. Perkembangan ini sangat mengejutkan. Oleh demikian, pada tanggal 16 November 2016, Obama melawat Canselor Angela Merkel yang merupakan peneraju Kesatuan Eropah (EU) bagi membincangkan kesinambungan
gerakan Liberalisme Antarabangsa.

Kepimpinan Canselor Merkel dianggap satu-satunya harapan gerakan Liberalisme Antarabangsa meneruskan agendanya. Beliau bukan sahaja dilihat wakil negara maju Jerman yang mempunyai eksport yang tinggi, malah berpotensi menyekat kebangkitan Nasionalis Populis yang semakin berkembang di Eropah.

EU sedang berhadapan tuntutan rakyat Britain agar keluar dari kesatuan yang diberi jolokan Brexit yang dilihat timbul dari semangat Nasionalisme Populis. Begitu juga, EU sedang berhadapan tuntutan Parti Nasionalis Perancis agar keluar dari kesatuan yang diberi jolokan FREXIT. Malah, ideologi Nasionalis ini sedang berkembang di negara-negara Eropah yang lain seperti Austria, Denmark, Netherlands, Finland dan Sweden.

Justeru, masa depan kepimpinan utama gerakan Liberalisme Antarabangsa perlu bertukar tangan dari Amerika kepada EU dan lebih khusus Merkel dan negaranya Jerman. Merkel perlu merancang tanpa Amerika dan Britain. Situasi ini sangat berat kerana empat kuasa Veto iaitu Amerika, Britain, Rusia dan China merupakan negara Nasionalis. Hanya tinggal Perancis sahaja yang bergantung dengan EU untuk memperjuangkan Liberalisme.

Ini menunjukkan gerakan Liberalisme sedang jatuh merundum. Barangkali, zaman Liberalisme akan berakhir. Zaman ideologi liberalisme di hujung tanduk. Malah, pendokong-pendokong Liberalisme perlu sedar bahawa masyarakat dunia sudah mula menolak fahaman ini. Seterusnya, perjuangan ultras hak asasi manusia dan ultras LGBT akan berakhir sebagaimana nasib ideologi Sosialisme dan Komunisme.

Dr. Muhammad Atiullah bin Othman
Akademi al-Ghazali

Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/11/16/al-kahfi-terlalu-mesra-di-dalam-group-whatapp/

SOALAN: Assalamualaikum wbt, Tuan, saya mahu bertanya. Bermesej dengan laki orang, bini orang ikut berwhatsapp dalam group whatsapp sekoloh bolehkah ustaz? Kalau tengok begini, grup bercampur lelaki dan perempuan, dan meleret mesej dia. Lama-lama, galak gatalnya. Baik lelaki, baik perempuan.

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

1. Bermesej antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram hukumnya sama dengan bercakap antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Maksudnya hukumnya adalah dibolehkan jika ada keperluan, seperti jual beli dan seumpamanya.

2. Jika kandungan masej antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram itu ialah perkara-perkara mustahak atau perkara-perkara yang perlu seperti jual beli atau seumpamanya maka hukumnya adalah harus. Cuma perlu disingkatkan setakat mustahak sahaja dan bukan berleretan perkara tersebut sehingga menyeronokkan nafsu.

3. Sekiranya telah sampai tahap bermesej seperti di dalam pertanyaan diatas maka jelas hukumnya adalah haram.
Dalam hadis riwayat Abu Hurairah RA dari Nabi SAW bersabda:

كُتِبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ نَصِيبُهُ مِنْ الزِّنَا مُدْرِكٌ ذَلِكَ لَا مَحَالَةَ فَالْعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ وَالْأُذُنَانِ زِنَاهُمَا الِاسْتِمَاعُ وَاللِّسَانُ زِنَاهُ الْكَلَامُ وَالْيَدُ زِنَاهَا الْبَطْشُ وَالرِّجْلُ زِنَاهَا الْخُطَا وَالْقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الْفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ.

Maksudnya: Sesungguhnya manusia itu telah ditentukan nasib perzinaannya yang pasti akan dijalaninya. Kedua mata zinanya adalah melihat, kedua telinga zinanya adalah mendengar, lidah zinanya adalah berbicara, kedua tangan zinanya adalah menyentuh, kedua kaki zinanya adalah melangkah, dan hati pula berkeinginan dan berangan-rangan, sedangkan semua itu akan diterima atau ditolak oleh kemaluan.

Hadis riwayat Imam Muslim dalam Sahih-nya (no.2657)

4. Sememamagnya perkara tersebut adalah tangga pertama kepada apa yang lebih teruk. Kerana semua kita tahu amat jarang sekali kedengaran pergaulan antara lelaki dan perempuan bermula dengan perbuatan yang zina terus. Ia biasanya dimulai dengan yang ringan-ringan akhirnya melangkah satu langkah satu langkah kepada yang paling berat.

Cukuplah bukti yang kita sendiri dapat melihat dengan mata kepala begitu banyak kes yang berlaku dalam masyarakat kita berpunca dari aplikasi whatsapp, facebook dan seumpamanya akhirnya berlaku keruntuhan rumah tangga, perceraian, berlakunya doza zina yang terkutuk yang mencemarkan kemuliaan insan, maruah sistem kekeluargaan, dan nasab dalam keturunan manusia. Perkara yang asalnya harus tetapi kerana nafsu bertukar menjadi haram kerana hilangnya rasa tanggungjawab dalam menghargai kebebasan yang Allah Taala amanahkan.

Kata syair arab :

نَظْرَةٌ فَابْتِسَامَةٌ فَسَلَامٌ فَكَلَامٌ فَمَوْعِدٌ فَلِقَاءٌ.

Maksudnya: Bermula dengan pandangan, kemudian disusuli dengan senyuman, lalu disusuli dengan bertegur sapa, barulah berbicara, lalu berjanji akhirnya bertemu.

Semoga Allah Taala menyelamatkan kita dan keluarga kita.

Wallahua’lam.
DATO’ DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Mufti Wilayah Persekutuan

GERAK KE LABUAN

Tarikh : 27 November 2016

Tarikh : 26 November 2016

Lokasi : Sepanggar

Ustaz Mohd Saifuddin Mohd Tajuddin, 11 tahun berkhidmat di Sabah khususnya di Tuaran antara 2006-2016. Sahabat yang baik hati dan pandai membawa diri ketika bersama masyarakat Tuaran. Semoga istiqamah apabila berada di Kedah nanti.

Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/11/14/khaibar-sejarah-kembali-berulang/

Oleh: Fairuz Nizam Zainal Abidin

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran, menerusi surah Al-Fath, ayat 21-22:

“(Sebagai memuliakan orang-orang yang memberi pengakuan taat setianya di Hudaibiyah, Tuhan menujukan firmannya kepada mereka): Allah menjanjikan kepada kamu harta rampasan yang banyak yang kamu akan mengambilnya, lalu Ia menyegerakan untuk kamu harta rampasan perang ini, serta Ia telah menahan tangan manusia (pihak musuh di situ) daripada menyerang kamu; (Allah melakukan yang demikian supaya kamu beroleh manfaat) dan supaya menjadi tanda (yang membuktikan kebenaran janjiNya) bagi orang-orang yang beriman, dan juga supaya Ia menambahkan kamu hidayah ke jalan yang lurus. Dan ada lagi harta rampasan lain yang kamu belum dapat menguasainya, (tetapi) Allah telah memelihara harta itu dengan kekuasaanNya (untuk kamu mendapatnya); dan (ingatlah), Allah adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Perang Khaibar adalah kemenangan pertama yang dimenangi tentera Islam selepas termeterai Perjanjian Hudaibiyah. Kemenangan ke atas Khaibar ini akhirnya membuka jalan kepada Pembukaan Kota Mekah.

Ada lima kumpulan yang disebut dalam kisah Perang Khaibar ini;

1- Golongan mukmin yang bersama Rasulullah SAW

Terma-terma Perjanjian Hudaibiyah yang dirasakan sangat berat sebelah menyebabkan masing-masing sangat tidak berpuas hati. Namun ditenangkan oleh Rasulullah dengan janji Allah akan kemenangan dan ghanimah (harta rampasan perang) yang banyak (merujuk kepada surah Al-Fath, ayat 20 – 21).

2- Golongan Quraisy Makkah yang semakin lemah

Sebelum Perjanjian Hudaibiyah, kaum Musyrikin Mekah merupakan ‘musuh tradisi’ Islam Madinah. Kaum Musyrikin Mekah ini didominasi kepimpinannya oleh golongan Quraisy, yang kebanyakannya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Rasulullah sendiri. Kebanyakan mereka ini bermusuh dengan Islam dan Rasulullah atas faktor kejahilan, walaupun ada sebahagian mereka ini yang benar-benar jahat. Lalu dengan termeterainya Perjanjian Hudaibiyah ini merupakan peluang untuk usaha-usaha penerangan dan dakwah Islam dilakukan kepada Quraisy yang jahil. Pada masa sama membolehkan Rasulullah menumpukan fokus kepada ‘musuh Islam sebenar.

3) Golongan Yahudi Khaibar yang berdendam dengan Rasulullah SAW

Khaibar merupakan sebuah kota yang dikuasai Yahudi. Dengan reputasi sebagai sebuah kota yang mempunyai pertahanan yang sangat kukuh serta senjata yang banyak, adalah sukar untuk dibayangkan Rasulullah akan menyerang Kota Khaibar apatahlagi untuk menawannya. Yahudi Khaibar diketahui sebagai ‘mastermind’ kepada Tentera Ahzab yang cuba menyerang Madinah sebelum ini. Bahkan mereka melalui ‘rangkaian saraf’ mereka turut menghasut agar Madinah sentiasa diserang daripada pelbagai sudut sebagai ‘strategi pertahanan hadapan’ untuk menghalang Khaibar daripada serangan Madinah. Selepas termeterai Perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah membuat tindakan luar jangka iaitu menyerang Khaibar sebelum sempat Khaibar membentuk pakatan untuk menyerang Madinah.

4) Bani Ghatafan sekutu Khaibar yang khianat kepada Rasulullah SAW

Bani Ghatafan merupakan sebuah kabilah Arab yang tinggal di Utara Madinah. Awalnya mereka mempunyai perjanjian dengan Rasulullah. Namun setelah dihasut oleh Khaibar dengan tawaran separuh daripada hasil tanaman Khaibar, lalu Bani Ghatafan ini mengkhianati perjanjian dengan Rasulullah dan turut bersama dengan Tentera Ahzab untuk menyerang Madinah. Pihak Khaibar juga telah berjaya memujuk Bani Ghatafan ini untuk bersama mempertahankan Kota Khaibar daripada serangan Madinah. Namun sikap ‘semulajadi’ Bani Ghatafan ini menyebabkan Khaibar turut dikhianati mereka. Bani Ghatafan membatalkan bantuan ketenteraan mereka dan berpatah balik kerana bimbangkan harta dan keluarga mereka.

5) Golongan munafiq yang oportunis

Dalam ayat 15, surah Al-Fath diceritakan mengenai sikap golongan munafiq yang oportunis. Tatkala Islam dikepung dalam Perang Ahzab, golongan munafiq yang diketuai Abdullah bin Ubai melihat Islam sudah tiada harapan langsung lalu mereka enggan membantu Rasulullah mempertahankan Madinah. Mereka mengharapkan agar Islam berjaya dihapuskan supaya golongan munafiq ini dapat mengambil alih kuasa pemerintahan Madinah daripada Rasulullah. Dan harapan mereka berkecai apabila Tentera Ahzab tewas. Apabila Rasulullah hendak menyerang Khaibar, golongan munafiq ini menjadi ghairah terhadap ghanimah yang banyak sekiranya Khaibar berjaya ditawan. Rasulullah melaksanakan perintah Allah melarang golongan munafiq ini untuk menyertai Perang Khaibar, lantas Abdullah Bin Ubai bertindak membocorkan rahsia perancangan Rasulullah kepada pihak Khaibar. Sikap munafiq yang tidak amanah dan oportunis inilah antara sebab Rasulullah tidak pernah melantik mereka dengan sebarang taklifan kepimpinan khususnya dalam posisi-posisi strategik meskipun diketahui umum bahawa Abdullah Bin Ubai sentiasa solat jemaah di belakang Rasulullah.

Ibrah yang boleh kita perolehi menerusi lima golongan di atas, golongan ini akan sentiasa wujud dalam sejarah perjuangan Islam. Biar nama berbeza, namun sikap mereka sama dan serupa.

(NOTA: Catatan ini adalah sebahagian daripada hasil perbincangan dalam usrah bulanan yang berkisar kepada tafsir surah Al-Fath, ayat 20 – 21)

*catatan ringkas ini telah disunting tanpa mengubah point-point utama yang ditulis oleh pemilik catatan asal ini.

Tarikh : 25 November 2016

Lokasi : Masjid at-Taqwa Daerah Kota Marudu

%d bloggers like this: