Tag Archive: Darussyifa


SEBELAH TENGKORAK

Tengkorak

Saya dihubungi oleh keluarga pesakit ini agar datang ke rumahnya di Putatan, sementara sebelum itu ketika beliau di hospital kami ada menziarahinya secara tidak sengaja.

Sebenarnya saya tidak kenal pun beliau, hajat asalnya untuk menziarahi seorang pesakit lain atas urusan Darussyifa’ di Hospital Queen Elizabeth 2. Pulang dari wad pesakit asal tersebut, saya melihat pintu demi pintu selepasnya kerana di sana tertera nama dan alamat pesakit. Sejurus saya melihat nama Kg Sembulan, saya langsung masuk.

Rupanya pihak hospital belum menukar data kerana pesakit dari Kg Sembulan sudah keluar, sementara yang menggantinya pesakit dari Putatan. Beliau ini sakit akibat stroke. Saya ruqyahkan setelah meminta izin waris yang ada.

Itu kisah beberapa bulan sebelum ini.

Rupanya beliau sudah dibenarkan balik ke rumah. Tapi inilah keadaan kepalanya apabila sebahagian tengkorak dibelah sementara dan nanti akan dipasang semula. Saya berziarah dua malam lepas dan mendapati beliau bercerita seperti biasa, cuma ada sedikit ganjil menurut keluarganya yang ada di situ.

Beliau bercerita tentang perjalanannya ke Bali Indonesia dan beberapa lokasi lain, sedangkan menurut keluarganya beliau belum pernah ke sana. Saya tidak berhajat memanjangkan kisahnya, wallahu a’lam. Doakan saja beliau sembuh dan kembali seperti biasa. Amin!

Tarikh : 16 Nov 2013

Lokasi : KUIS, Selangor

Sumber foto : Page FB Darussyifa’

Ucaptama : Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din, Penasihat dan Pengasas Darussyifa’

Ijtimak DS (1) Ijtimak DS (2) Ijtimak DS (3) Ijtimak DS (4) Ijtimak DS (5) Ijtimak DS (6) Ijtimak DS (7) Ijtimak DS (8) Ijtimak DS (9)

haron din

Sumber : http://darussyifa.org/SJ046.php

Soalan

Saya sudah berbulan-bulan tidak tidur bersama suami kerana dia menjauhkan daripada saya. Setiap kali saya mendekatinya dia merungut “panas, rimas dan jauh daripada aku, aku tidak boleh mendekati kamu.” Apabila saya mengajaknya berubat dia enggan, sebaliknya mendakwa saya yang sakit dan perlu diubati. Ramai pengubat yang saya temui mengatakan suami saya disihir. Jika benar, apakah yang perlu saya lakukan untuk mengatasi masalah ini yang semakin genting.

ANIZA,
Kuala Lumpur

Jawapan

Masalah dalam rumah tangga memang banyak. Salah satu daripadanya berkenaan kisah yang puan paparkan. Permasalahan sebegini banyak berlaku dan saya selalu diadukan hal-hal seperti ini.

Ramai ahli perubatan mudah menyimpulkan dan mengaitkan masalah ini dengan sihir. Bagaimanapun saya sendiri tidak pandai untuk mengatakan bahawa suami disihir kerana saya tidak mengetahui perkara yang sebenar. Sebenarnya tiada orang yang boleh tahu ia adalah fenomena daripada sihir.

Sihir memang wujud. Ia perkara ghaib. Nama atau istilah sihir itu sendiri bermakna sesuatu yang disembunyikan atau tersembunyi daripada orang ramai. Jika ia sihir, ia dilakukan secara sulit dan penuh rahsia. Jika ia rahsia, bagaimana para pengubat boleh mengatakan ia adalah sihir.

Jika pengubat berkenaan memberitahu bahawa suami puan terkena sihir, maka ertinya dia mengetahui perkara ghaib. Saya pernah menjelaskan dalam ruangan ini sebelum ini, bahawa insan mana pun tidak akan mengetahui perkara yang ghaib kerana Allah berfirman (mafhumnya) :

“Katakanlah ‘Tiada sesiapapun mengetahui perkara yang ghaib sama ada yang menghuni langit atau bumi, melainkan Allah SWT sahaja…(hingga akhir ayat).” – Surah an-Naml ayat 65.

Firman Allah (mafhumnya): “Allah sahajalah yang mengetahui segala yang ghaib, maka ada yang dizahirkan keghaiban itu kepada sesiapapun.” – Surah al-Jinn, ayat 26.

Dalam peristiwa lain dalam hadis sahih diceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. disihir seorang Yahudi yang bernama Labeed bin al-A’ksam dan baginda sendiri tidak mengetahui disihir sehinggalah diberitahu oleh Jibril a.s. Jika Rasulullah s.a.w. sendiri tidak mengetahui disihirkan, bagaimana kita mudah-mudah mengetahui ada orang disihirkan?

Oleh yang demikian saya berfikir kes puan ada kaitannya dengan permasalahan suami isteri.

Ada kalanya saya bersetuju, apa yang dipaparkan ia ada kena mengena dengan sihir. Salah satu senario sihir seperti Firman Allah (mafhumnya): “…Dalam pada itu ada yang mempelajari ilmu sihir daripada Harut dan Marut, dengannya boleh menceraikan antara suami dan isteri…(hingga akhir ayat).” – Surah al-Baqarah, ayat 102.

Ayat ini jelas menunjukkan wujudnya ilmu sihir dan antara perkara yang boleh berlaku adalah (dengan izin Allah) memusuh, melaga-lagakan sehingga mencerai beraikan suami isteri.

Apa yang puan alami adalah kerengangan yang merosakkan fungsi perkahwinan. Seolah-olah telah hilang kemesraan dan kasih sayang sudah bertukar kepada permasalahan yang membawa keadaan yang tidak diingini.  Kejadian seperti ini tidak semestinya daripada sihir perbuatan orang. Jika tidak kerana disihirkan pun, boleh terjadi kejadian sedemikian itu.

Mungkin antaranya adalah kerana suami berpenyakit mati pucuk (sebagai contoh), dia malu memberitahu isterinya, lalu bersikap dingin, menyalahkan orang lain, kononnya dia disihirkan. Atau, suami hilang minat kepada isteri di atas kelemahan-kelemahan isteri yang suami tidak tahu untuk mengatasinya dan tidak mahu membincangkannya.

Atau, kerana perangai-perangai isteri yang keterlaluan hingga menyebabkan suami menyampah terhadapnya. Atau dengan sebab-sebab lain seperti ada campur tangan pihak ketiga dan sebagainya yang menyebabkan suami hilang minat terhadap isteri, maka berlakulah perkara yang puan sebutkan tadi.

Saya tidak bermaksud untuk meletakkan hal-hal yang sedemikian itu berlaku kepada puan. Saya sekadar ingin mengajak puan dan semua yang berlaku kes seumpama ini pada diri mereka, melihat dahulu faktor-faktor fizikal melanda kehidupan kita. Sekalipun berlaku apa yang puan sebutkan itu, maka ubatilah masalah itu dengan bersungguh-sungguh tanpa melabelkan ia perbuatan sihir.

Ada kemungkinan bahawa hal seperti ini berlaku kerana gangguan syaitan yang tidak disuruh mana-mana atau dipergunakan ilmu sihir yang berinsusiasi dengan makhluk halus. Sememangnya syaitan itu musuh utama yang sentiasa berusaha memporak perandakan kehidupan anak Adam. Pun demikian tidak dikatakan sihir, walaupun tanda-tandanya semacam sihir. Jika mudah-mudah dianggap sebagai sihir, ia menimbulkan satu lagi penyakit iaitu sakit hati kepada orang yang buat sihir.

Lebih malang lagi jika ada yang menuding jari ‘si pulan itu membuatnya, si anu itu membuatnya’ atau lebih teruk mendakwa jiran, kawan sepejabat atau orang terdekat melakukannya. Keparahan itu menyebabkan penyakit tidak terlerai, penyakit tidak disembuhkan.

Apapun puan perlu cuba mengubati orang yang berpenyakit, cuba berjumpa orang yang diyakini boleh menolong, tiada penyakit yang tiada penawarnya. Sekurang-kurangnya puan dan suami berdoa ke hadrat Allah untuk disembuhkan, beramal dengan ayat-ayat al-Quran seperti yang tersebut dalam hadis-hadis sahih.

“Nabi menyuruh keluarganya beramal dengan membaca Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah an-Naas, ayat al-Kursyi dan lain-lain.” (Hadis riwayat A’ishah r.anha)

Atau puan dan suami boleh tambah membawa 11 ayat dalam Surah al-Baqarah, ayat 1, 2, 3, 4 dan 5, baca ayat 255, 256, 257 dan 284, 285 serta 286. Berbuatlah demikian, lakukan cara yang disarankan oleh syarak untuk mengubati penyakit suami puan. Wallahua’lam. – lanh

(Petikan dari Harakah Bil.1339)

DOA

Sumber : http://darussyifa.org/SJ011.php

Ada seorang ditempat saya, disebut oleh orang kampung bahawa dia telah berkahwin dengan jin Islam, mempunyai anak dan hidup dalam keadaan rukun damai. Kebetulan saya pernah ke tempat orang ini, ke rumahnya. Saya dapati dia tinggal seorang diri, tetapi rumahnya bersih seolah-olahnya ada yang menguruskannya. Persoalan besar saya bolehkah kita manusia, berkahwin dan beranak pinak dengan makhluk halus?

Jawapan :

Seperkara yang jelas kepada kita bahawa makhluk ini wujud dan boleh menyerupai dengan rupa-rupa yang mereka kehendaki dengan izin Allah S.W.T. Persoalan sama ada boleh atau tidak manusia berkahwin dengan makhluk halus dari segi sejarahnya banyak yang kita dengar bahawa Balqis adalah seorang raja di zaman Nabi Sulaiman. Bapanya manusia dan ibunya daripada jin, ibunya bernama Balqmah binti Saisan.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah s.a.w pernah berkata bahawa salah seorang daripada ibu bapa Balqis adalah jin. Hadis ini ada dalam Kitab al-Jami’ as-Saghir oleh Imam as-Sayuti.

Tetapi apabila balik kepada masalah hukum, dengan jelas al-Quran, Allah berfirman (mafhumnya), “Dan Allah telah menjadikan bagi kamu pasangan hidupmu dari jenis kamu juga”. (Surah an-Nahli ayat 72)

Firman Allah (mafhumnya), “Dan di antara tanda-tanda keagungan Allah dijadikan bagi kamu dari jenis kamu juga, pasangan-pasangan hidup, supaya kamu mendapat ketenangan dengannya dan dijadikan bagi kamu kasih sayang dan rahmat daripada Allah S.W.T.” (Surah ar-Rum, ayat 21).

Kedua-dua ayat ini boleh difahami dengan mudah bahawa pasangan hidup manusia adalah manusia juga. Barulah akan wujud ketenangan, kasih sayang, tambatan hati dan saling percaya mempercayai.

Bayangkan jika kita mempunyai isteri dari kalangan makhluk halus orang lain tidak nampak, kita nampak seorang sahaja, atau mungkin kita pun tidak nampak tetiba kita berselisih faham, bergaduh dan sebagainya, bagaimana akan terjadi kepada rumah tangga kita.

Hadis yang diriwayatkan oleh Yunus bin Yazid daripada Azzubri katanya, Rasulullah s.a.w menegah manusia mengahwini jin.

Berpandu kepada ayat dan hadis saya sebutkan, atas alasan ini jumhur ulama berpendirian, tidak harus mengahwini jin, jika berlaku perkahwinan, maka perkahwinan itu tidak sah. Kalau berlaku perhubungan jenis, mereka berkesedudukan dalam keadaan haram.

Tetapi Imam Malik bin Anas mengatakan perkahwinan itu adalah makruh dan ada ulama yang sependapat dengan Imam Malik.

Namun apapun yang dapat dilihat maka perkahwinan ini suatu yang kudus, yang pasti diketahui syarat sah perkahwinan, yang paling asas adalah agama.

Jika jin itu bukan Islam maka perkahwinan tidak sah. Jika dikatakan jin itu Islam, bagaimana boleh kita pastikan benar-benar bahawa dia Islam, apakah dengan pengakuan mulut yang mengatakan bahawa dia (jin) Islam boleh diterima.

Jika dikatakan jin itu mempunyai keilmuan Islam yang tinggi dan dia beramal dengannya, maka sama juga dengan manusia yang mengkaji Islam, tetapi tidak Islam.

Malah ada kalangan sarjana Barat yang banyak menghafal al-Quran, menghafal hadis dan mengetahui banyak hukum (terutama orientalis), kalau di alam manusia boleh berlaku, maka tidak mustahil di alam jin juga ianya boleh wujud.

Maka jalan yang terbaiklah, kahwinilah dengan manusia, seperti yang disebut Rasulullah, “Kahwinilah perempuan-perempuan manusia, kerana mereka boleh mendatangkan harta.”

Sumber : darussyifa.org

KOPI-01 telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 1 dan 2 Disember 2012 di Dewan Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Kuala Lumpur bertemakan “Ke Arah Memartabatkan dan Melestarikan Pengubatan Islam Sepanjang Hayat”. Program ini dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darussyifa’) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Pengamal Pengubatan Islam Malaysia (GAPPIMA) dan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM).

Program yang julung-julung kali diadakan ini telah dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri yang juga penaung GAPPIMA iaitu YABhg Tun Abdullah Ahmad Badawi. Manakala ucap utama telah disampaikan oleh YBhg Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din.

SIDANG PEMBENTANGAN

Seramai 14 orang  pengamal pengubatan Islam telah mengambil bahagian dalam sidang pembentangan kertas kerja. Pembentang telah membentang kertas kerja berdasarkan tajuk-tajuk khusus. Berikut adalah nama pembentang  dan tajuk pembentangannya.

Pembentang 1: Dato’ Dr. Abdullah Abu Bakar: Etika dan Prosedur Rawatan: Sejauh Manakah Perawat Islam Mematuhinya?

Pembentang 2: Dr Hj Jahid Hj Sidek: Rawatan Bedah Batin dan Perspektif Islam Mengenainya

Pembentang 3: Ustaz Arif Rahman Hakim: Ruqyah Syar`iyyah di Indonesia: Sejarah Amalan dan Tantangan

Pembentang 4: Ustaz  Hj Abd Rajak Hj Md Dali: Darusysyifa’ Warrafahah: Ke arah Menguasai Semula Pengubatan Islam di Brunei Darussalam

Pembentang 5: Ustaz Sharhan Shafie: Rawatan Islam ke atas Penyakit Rohani dan Fizikal  Tahap Kronik: Kenapa Masih Tak Sembuh?

Pembentang 6: Datuk Dr Nashuha Bin Jamidin: Ke Arah Mengharmonikan Pengubatan Tradisional Melayu dan Pengubatan Islam di Nusantara

Pembentang 7: Ustaz Mohd Azmal Mohd Noor: Rawatan Islam Untuk Pemulihan Penagih Dadah

Pembentang 8: Ustaz Mohd Suhaimi Rozali: Sihir dan implikasinya terhadap kehidupan ummah

Pembentang 9: Ustaz Ali Hassan Mohd Said: Menyelusuri Amalam Perubatan Tradisional di Brunei : Penggunaan Jantang dan Ambok Sagubang

Pembentang 10: Ustazah Sakinah Bt. Saptu: Ruqyah Syar`iyyah di Singapura: Satu Sorotan

Pembentang 11: Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar: Rang undang-undang Pengubatan Tradisional Dan Alternatif Di Malaysia: Masalah Dan Cabaran Pelaksanaan

Pembentang 12: Dato’ Ismail Kamus (Tidak dapat hadir – Pembentangan digantikan oleh Ust Abd Manaf Jusoh – Pengerusi Darussalam): Ruqyah Syar`iyyah di Malaysia: Sejarah dan Perkembangannya

Pembentang 13: Dr. Nurmawati Syakroni: Penghasilan Produk Ubatan dan Makanan Kesihatan Bersumberkan Herba: Sorotan Pengalaman  Pengusaha

Pembentang 14: Ustaz Mohd Fauzi Mustafa: Peranan dan Tanggungjawab GAPPIMA

RESOLUSI KONGRES

Kongres Pengubatan Islam Nusantara 2012 yang bertemakan Ke Arah Memartabatkan dan Melestarikan Pengubatan Islam Sepanjang Hayat di Dewan Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya pada 1 dan 2 Disember 2012 anjuran bersama Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia Darussyifa’, Gabungan Persatuan Pengamal Pengubatan Islam Malaysia (GAPPIMA) dan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya berdasarkan kertas kerja-kertas kerja yang dibentangkan telah bersetuju untuk mengeluarkan resolusi-resolusi berikut:-

1. Ruqyah Syar’iyyah daripada Al-Quran dan As-Sunnah memiliki kehebatan tersendiri yang tiada tandingan dari segi keberkesanannya dengan syarat perawat memiliki keimanan dan keyakinan yang tinggi kepada Allah serta memiliki keilmuan dengan ilmu rawatan Islam dengan sumber ambilan yang sah dan tahu membezakan antara yang hak dan yang batil.

2. Setiap pengamal pengubatan Islam hendaklah memiliki akidah yang betul, keikhlasan yang jitu, berakhlak mulia, memahami keadaan pesakit, beretika apabila merawat pesakit berlainan gender, pengurusan masa yang berkualiti, pemeriksaan dengan cara berhemah dan memiliki sifat mahmudah seperti kesabaran, keyakinan doa dimakbulkan, tawadu’ dan kasihan belas kepada pesakit.

3. Setiap pengamal pengubatan Islam hendaklah beriktikad bahawa kesembuhan datang daripada Allah dan bukannya daripada kemampuan pengamal. Tugas pengamal hanyalah berdoa dan memotivasi pesakit sebagai satu kaedah usaha dan ikhtiar.

4. Pengamal pengubatan Islam hendaklah memastikan bahawa amalan pengubatan Islam yang dipraktikkannya bebas daripada unsur-unsur batil yang biasa diamalkan dalam perbomohan yang terpesong daripada Syariat Islam seperti penggunaan ‘khidmat syaitan’, tangkal azimat, jampi serapah yang tidak Syar’ie, dakwaan mengetahui perkara ghaib, menilik, meramal penyakit, penggunaan bahan yang jelas haram  seperti darah, hempedu, daging binatang yang diharamkan dan rajah-rajah pelindung sihir.

5. Penggunaan ubat-ubatan hospital dan pembedahan adalah termasuk dalam pengubatan Islam berdasarkan isyarat hadith Nabi SAW yang menggesa berubat dengan menggunakan madu dan berbekam.

6. Pihak berkuasa perlu segera menyekat amalan-amalan dalam pengubatan Islam yang didapati bercanggah dengan Syariat dengan mengadakan peruntukan undang-undang yang jelas dan hukuman yang setimpal bagi kesalahan tersebut.

7. Pihak media perlu memaparkan pengetahuan tentang pengubatan Islam yang sebenar bagi memperbetulkan tanggapan salah selama ini terhadap rawatan Islam sehingga menganggap sesiapa sahaja yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran adalah perawat Islam tanpa menyedari ilmu sihir juga ada yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran dengan kaedah yang salah.

8. Pengamal pengubatan Islam hendaklah menunjukkan contoh terbaik dalam amalan mereka dengan mementingkan keikhlasan dalam membantu pesakit, mengutamakan keredhaan Allah dan mencari pahala daripada Allah tanpa meletakkan imbuhan duniawi sebagai matlamat utama dalam pengubatan.

9. Pembedahan batin yang dilakukan tanpa menggunakan peralatan bedah yang sewajarnya dan tidak dilakukan dalam bilik bedah walaupun kelihatan darah mengalir keluar daripada tubuh pesakit yang dibedah dan kadang-kadang ada objek-objek yang tertentu dikeluarkan daripada tubuh pesakit kesemuanya itu adalah merupakan satu kaedah sihir khayalan yang menggunakan khidmat jin dan syaitan. Pada hakikatnya pembedahan batin yang kelihatan berlaku secara misteri itu tidak berlaku sama sekali. Hanya pandangan orang yang menyaksikannya sahaja yang terkhayal seolah-olah pembedahan itu wujud dan berlaku.

10. Perawat yang mendakwa mengetahui perkara ghaib seperti mengetahui dalam badan pesakit ada sejumlah jin dan kemudian menilik ayat-ayat Al-Quran yang kononnya adalah ubat yang sesuai untuk pesakit berdasarkan pencarian secara tilikan maka termasuk dalam kaedah menggunakan khadam ghaib iaitu jin dan syaitan.

11. Kaedah mengalinkan bahan tertentu di atas tubuh pesakit seperti mengalinkan telur di tempat yang sakit kemudian apabila telur itu dipecahkan didapati berbagai objek di dalam telur itu seperti jarum dan rambut atau isi telur itu berubah warna kepada kehitaman atau kemerahan maka ia termasuk kaedah sihir dan pengamalnya dipanggil sebagai Kahin (merawat dengan menggunakan khidmat jin dan syaitan).

12.  Perkara luarbiasa yang menakjubkan dalam rawatan yang berlaku secara berulang-ulang dan boleh diprogramkan daripada awal oleh perawat malah dia pula berbangga kerana perkara luarbiasa itu dianggap sebagai keistimewaan kepadanya maka ia bukannya Karamah atau Maunah tetapi adalah Istidraj atau Sihir. Karamah seseorang perawat dalam bidang pengubatan adalah kurniaan daripada Allah dan ianya berlaku secara mendadak serta tidak boleh diprogramkan (tidak tahu bila akan berlaku dan bagaimana akan berlaku).

13. Kaedah merawat pesakit mangsa sihir dengan menggunakan amalan sihir atau dipanggil dengan istilah An-Nushrah adalah haram hukumnya disisi Jumhur Ulama’. Justeru rawatan terhadap pesakit dengan menggunakan kaedah yang salah hendaklah dihentikan serta-merta. Pengamal pengubatan Islam hendaklah berlapang dada dan menerima pandangan yang betul demi memurnikan pengubatan Islam.

14. Ilmu kebal, ilmu boleh makan kaca, ilmu boleh menghilang ghaib, ilmu boleh terbang, ilmu boleh melihat walaupun mata tertutup, ilmu boleh menilik masa depan seseorang, ilmu boleh menuntut hutang dengan cara yang halus dan ilmu boleh berubah menjadi makhluk yang lain adalah bertentangan dengan ajaran agama Islam.

15. Pengamal pengubatan Islam hendaklah memperkasakan ilmu ini dengan merujuk kepada kitab-kitab pengubatan Islam yang muktabar yang dikarang oleh ulama-ulama yang muktabar, menterjemah kitab-kitab tersebut kepada bahasa Melayu, melakukan penyelidikan dan pengembangan (R&D) terutamanya bersama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, menulis buku ilmiah tentang pengubatan Islam dan berdakwah kepada masyarakat melalui pengubatan Islam.

16. Penagih dadah boleh dirawat melalui pengubatan Islam dengan menggunakan kaedah Takholli (menghilangkan keserabutan di fikiran penagih), kaedah Tahalli (pengisian dengan aktiviti menyihatkan seperti riadah, makanan dan minuman yang halal, solat fardhu dan sunat, pengajian ilmu fardhu ain, membaca Al-Quran, berzikir, beristighfar dan bersolawat serta qiyamullail) dan kaedah Tajalli (mengekalkan ketenangan fikiran dan rasa kebesaran Allah dalam jiwa bekas penagih).

17. Islam tidak memisahkan herba daripada ilmu pengubatan Islam sekiranya herba tersebut terbukti memiliki khasiat yang boleh memberi manfaat kepada manusia samada melalui pembuktian saintifik atau pengalaman turun-temurun sebelum ini dengan syarat ianya halal dan selamat digunakan serta beriktikad bahawa Allah yang menyembuhkannya.

18. Mengharmonikan pengubatan tradisional Melayu dan pengubatan Islam supaya ia menjadi warisan budaya bangsa yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

19. Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan hendaklah membuka ruang seluas-luasnya kepada Pengubatan Islam untuk mengadakan program Rawatan Islam di universiti dan kolej dan menyediakan pengubatan Islam di semua hospital kerajaan dan swasta kepada pesakit beragama Islam.

20. Perlunya ada sebuah badan yang mengawal disiplin dan etika perawat untuk meningkatkan mutu pengubatan Islam.

21. Seluruh persatuan pengubatan Islam di Malaysia hendaklah bernaung di bawah GAPPIMA untuk memartabatkan dan melestarikan pengubatan Islam sepanjang hayat.

22. Penghargaan kepada Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Kesihatan yang telah mengiktiraf pengubatan Islam dengan wujudnya Akta Perubatan Tradisional dan Komplimentari yang telah memasukkan rawatan Islam sebahagian daripadanya pada tahun 2012.

Resolusi ini disediakan Oleh: Mohd Fauzi Mustaffa, Presiden GAPPIMA pada 2-Disember-2012.

kopi01_01

kopi01_02kopi01_03kopi01_04kopi01_05kopi01_06kopi01_08

kopi01_10

MERAWAT RUMAH

Tarikh : 27 November 2012

Lokasi : Petagas

Status : Rumah yang kosong hampir setahun

Aktiviti : Solat hajat, bacaan yasin, azan, ruqyah dan merenjis air dan garam di dalam dan luar rumah.

Ruqyah Rumah @ Petagas (1)Ruqyah Rumah @ Petagas (2)Ruqyah Rumah @ Petagas (3)
Ruqyah Rumah @ Petagas (4)
Ruqyah Rumah @ Petagas (5)Ruqyah Rumah @ Petagas (6)Ruqyah Rumah @ Petagas (7)

 

Antara nasihat-nasihat Ybhg Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din di dalam tazkirah beliau ialah :

1) Ramadhan adalah anugerah Allah SWT kepada hambaNya yang beriman. Rasulullah SAW sendiri berdoa dan mengharapkan untuk bertemu Ramadhan sejak daripada bulan Rajab lagi. Maka apabila bertemu dengannya, maka umat Islam hendaklah bersungguh-sungguh beribadah kerana Ramadhan yang telah berlalu tidak akan sama dengan Ramadhan yang bakal menjelang daripada tahun demi tahun. Penantian daripada Ramadhan ke Ramadhan adalah mukaffirat (penghapusan dosa).

2) Allah SWT akan sentiasa memberikan rahmat dan kasih sayangNya bagi sesiapa yang menyempurnakan segala perintahNya bermula dengan ibadah sahur sehinggalah menahan diri daripada perkara yang boleh membatalkan puasa. HambaNya sanggup menahan keinginan dirinya daripada makan dan minum walaupun ia mempunyai makanan dan minuman. Ia menahan diri keranaNya dan makan minum juga keranaNya.

3) al-Quran adalah hidangan Allah SWT. Maka hendaklah kita berusaha mengkhatamkan al-Quran paling sedikit sekali dalam sebulan Ramadhan. Yang sederhana ialah seminggu sekali, atau 10 hari sekali. Jika ada di kalangan mereka mampu lebih daripada itu, misalnya setiap hari maka silakan kerana mengingatkan al-Quran itu adalah hidangan daripada Allah SWT. Pahala dan ganjaran daripada Allah SWT teramatlah besar untuk orang yang membaca al-Quran.

LILITAN BENANG HITAM ..

Sumber : http://darussyifa.org/SJ042.php

Soalan : MENJADI kebiasaan atau kelaziman di kampung saya, apabila terdapat kanak-­kanak menghadapi masalah kesihatan khususnya yang kerap menangis lebih daripada biasa, dibawa kepada perawat, lalu tangannya diikat dengan benang hitam atau benang berwarna lain, dengan pelbagai warna sebagai ikhtiar untuk perlindungan daripada pelbagai gangguan. Apakah rawatan dan amalan seperti ini diharuskan oleh syarak? – SHAMSIAH ABU BAKAR, Jerantut

Jawapan

Saya sendiri pernah melihat perbuatan seperti itu dan sudah banyak kali kanak-kanak yang pada tangannya dipakaikan benang dibawa kepada saya untuk dirawat, Saya dengan bahasa yang penuh diplomasi meminta supaya benang hitam atau sebagainya termasuk tangkal, hendaklah dibuang dahulu sebelum saya mengikhtiarkan rawatan.

Amalan dan kelaziman yang disebut dalam soalan tadi, sebenarnya berten­tangan dengan ajaran Islam. Banyak hadis yang memberi penjelasan, antaranya hadis yang bermaksud: “Uqbah Ibnu ‘Amir berkata, ‘Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, barang siapa yang meng­gantung tangkal (Damimah) maka Allah SWT tidak akan menyempurnakan hajat­nya dan barang siapa yang menggantung objek seperti kulit siput (Wada’ah), maka Allah tidak akan menenteramkannya.’”

Jelas daripada hadis ini Nabi s.a.w. melarang sebarang penggunaan tangkal. Tangkal dirujuk kepada benang, tali atau apa sahaja yang dipakai pada badan, untuk tujuan mendapat faedah yang diharamkan kepada orang yang memakainya.

Dalam hadis lain (mahfumnya ): Rasulullah s.a.w. telah lihat ada satu lilitan seperti gelang (halaqah) yang dipakai di tangan seorang lelaki, lalu baginda bertanya lelaki itu, ‘Apakah yang kamu pakai ini? “Lelaki itu menjawab, “Aku jadikannya sebagai pendinding atau pengadang diriku daripada sebarang kelemahan.”

“Lalu baginda bersabda kepadanya, ‘Sesungguhnya benda-benda seperti ini, tidak akan menambahkan kepada mu melainkan kelemahan jua, buanglah ia kerana sesungguhnya, sekiranya kamu mati dalam keadaan memakai benda seperti ini, kamu akan diserahkan kepada benda itu.” (Hadis riwayat ‘Imran bin Hussain dan Imam Ahmad Ibni Hambal).

Dalam hadis lain (mafhumnya): “Dan Abu Bashir al-Ansari meriwayatkan, pada suatu ketika beliau telah bersama dengan Rasulullah s.a.w. dalam satu perjalanan dengan menunggang unta, maka baginda melihat ada unta-unta yang dipakaikan tangkal kepada unta tersebut.

“Lalu baginda memerintahkan kepada kami, agar apa sahaja rantai, kalungan (qilaadah) yang terdapat pada mana-mana unta hendaklah dipotong dan dibuang.” (Hadis riwayat aI-Bukhari dan Muslim).

Sebab utama mengapa Nabi s.a.w. memerintah dilakukan demikian, sebab utamanya seperti yang disebut oleh Imam Ibnu Jauzi iaitu, orang-orang Arab mem­percayai bahawa dengan memakai tangkal pada unta, akan selamat daripada gangguan. Kepercayaan sedemikian boleh membawa kepada syirik, samalah dengan persoalan yang dikemukakan tadi.

Ingatlah bahawa dengan mengikat benang hitam pada lengan kanak-kanak, atau membuat tangkal dengan simpulan benang pelbagai warna dipakai di leher atau di pinggang kanak-kanak atau orang tua­-tua, atas kepercayaan ia boleh memberi manfaat kepada manusia, kesemuanya dilarang.

Terdapat dalam hadis lain Nabi saw. menyebut (mafhumnya): “Sesiapa yang mengikat simpulan benang lalu meniup kepada benang itu dan dipakai, maka dia telah syirik kepada Allah SWT.” Oleh yang demikian maka eloklah dihentikan amalan-amalan seperti itu. Waalahu a’lam.

(Petikan dari Harakah Bil.1335)

Sumber berita : http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/10616-10-jam-haron-din-bertarung-nyawa-

Sumber foto di bawah : http://www.facebook.com/darussyifa/

BANGI: Hati anak mana yang tidak gembira apabila bapa tercinta kembali sihat dan ceria. Begitulah yang dialami lima pemata hati Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din yang mula sembuh dari pembedahan jantungnya dan selamat tiba ke tanah air 13 Mei lalu. Dr Haron Din, seorang tokoh agamawan melakukan pembedahan di Stanford Hospital & Clinics, San Francisco, California, Amerika Syarikat (AS) pada 2 April lalu.

Anak keduanya, Hamdi Haron yang juga seorang peguam sempat meluangkan masa menceritakan keadaan bapanya kepada Harakah Khamis lalu. Datuk Haron, mendapat rawatan sejak 18 Mac lalu dirawat oleh Pakar Bedah Jantung, Dr Robert C Robbins. Selama berada di sana katanya, mereka sekeluarga termasuk bondanya Datin Khadijah Mohd Salleh tidak berenggang dengan bapanya.

“Alhamdulillah sejak buat pembedahan dan dimasukkan pula ke ICU dan CCU ada perkembangan dan kesihatan beliau makin sihat,” katanya yang ditemui di kediaman bapanya di Bandar Baru, Bangi, Selangor. Selama sepuluh jam bertarung nyawa di bilik bedah, katanya bapanya tidak patah semangat dan seolah-olah tidak ada rasa sakit. Ini katanya, apabila diminta oleh doktor untuk melakukan pelepasan batuk selepas menjalani pembedahan bapanya berjaya melakukan sekuat hati.

“Sampai doktor dan pesakit sebelah katilnya bertanya, tak sakit ke, dia kata tak, itulah kelebihan yang Allah kurnia kepadanya,” ujarnya. Begitu juga, katanya apabila kakaknya, Dr Huda Haron dan adiknya Dr Azlin Haron setiap pagi mencuci pahanya yang terpaksa dibedah sedalam satu inci dan lebarnya tiga inci, tidak juga dirasai sakit. Dengan selamba dan bersahaja bapanya membiarkan adik dan kakaknya mencuci luka tersebut.

Itulah katanya, tiada memek muka kesakitan dan keluhan langsung darinya. Beliau juga memberitahu, doktor meminta supaya bapanya berehat dalam tempoh tiga hingga empat bulan. Bagi mempercepatkan proses pemulihan dan penyembuhan, doktor menyarankan supaya beliau memakan sarang burung layang-layang juga, katanya. Sarang burung yang dibuat sup ketika berada AS, terus diamalkannya sehingga sekarang. Bercerita lanjut Hamdi berkata, semasa dalam rawatan bapanya meminati makan ‘taufu fah’ dan makanan Jepun iaitu sushi dan sup jepun.

“Makanan itu ada di sana, jadi tak ada masalah untuk kami carikan untuknya. Tambahan pula ada rakyat kita yang bekerja di AS sudi menolong kami,” katanya. Dalam pada itu, sambungnya semangat bapanya untuk mengikuti perkembangan politik tanah air masih menebal.

“Dalam keadaan masih lemah dia nak tahu juga masa hari Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu. Kebetulan adik saya Salwa dan Hana ada di tanah air dan mereka up-date pula perhimpunan itu, dengan penuh minat beliau ikutinya. Ertinya perjuangan politik dalam parti tidak pernah pudar bahkan terus berkobar dan membara,” ujarnya.

Beliau berkata, penyokong PAS tidak perlu risau dengan kesihatan dan perjuangan bapanya dalam parti. Cuma katanya, untuk sementara waktu ini, bapanya perlu membuat rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN). Kebetulan pula semasa bertandang ke rumahnya, Dato’ Haron pergi ke IJN untuk mendapat pemeriksaan lanjutan.

“Minta maaflah hari ini dia kena pergi jumpa doktor di IJN dan petang ini selesailah tu,” katanya yang tidak jemu-jemu menceritakan keadaan bapanya yang dikenali ramai itu.

Sumber : http://darussyifa.org/SJ001.php

SJ001: Benarkah ruh orang yang telah meninggal dunia boleh menziarahi anggota keluarganya, menziarahi rumahnya atau kampung halamannya?

Soalan

Ustaz, suami saya telah kembali ke rahmatullah kira-kira tiga bulan yang lalu. Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini ada sesuatu yang pelik berlaku pada diri saya, iaitu pada setiap malam arwah mendatangi dan bergaul dengan saya. Kemusykilan saya ;

i) Bolehkah suami yang telah kembali ke rahmatullah, mendatangi semula dan bergaul, sepertimana mereka hidup pada malam-malam hari sebelum kematiannya?

ii) Bolehkah ruh suami saya menziarahi anggota keluarganya, menziarahi rumah atau kampung halamannya?

iii) Apakah benar ruh orang yang sudah meninggal, boleh balik memasuki tubuh anggota keluarganya, seolah-olahnya boleh berinteraksi dengan orang hidup.

Hamimah Abdullah – Banting, Selangor.

Jawapan

Puan,

Menjawab soalan pertama, di sini ada dua episod daripada soalan ini, pertamanya, mendatangi isteri setelah suaminya meninggal iaitu ‘tidur bersama’, mungkin berlaku sebagai suatu mimpi indah atau keduanya, benar-benar berlaku dalam keadaan sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya yang terdahulu.

Kalau berlaku itu atas nama mimpi, memanglah ia sesuatu yang mungkin, lebih-lebih lagi berlaku kepada isteri yang amat menyayangi suaminya yang telah pergi menemui Allah lebih dahulu daripadanya.

Adapun mendatangi isteri dalam maksud ia benar-benar sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya maka ini adalah tidak mungkin dan tidak boleh berlaku kerana orang yang telah meninggal telah berpindah ke alam baqa’ – alamul khulud – yang bermula daripada kubur.

Hadis Nabi s.a.w menyebut (yang bermaksud),”Alam kubur itu adalah suatu tempat tinggal sementara, tempat berhenti daripada tempat-tempat yang akan dilalui, menuju ke alam Akhirat, alam kubur adalah sebahagian daripada alam barzakh, maka yang telah dimasukkan ke alam kubur akan berada di dalamnya sehingga hari Kiamat yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia.”

Adapun yang berlaku setelah yang didakwa oleh banyak orang, khasnya kepada saya, puan mesti yakin bahawa itu bukanlah suami yang sebenar.

Kalaupun berlaku sungguh, ia akan berlaku, tetapi bukan daripada suami. Tetapi ia dilakukan oleh makhluk lain yang bernama Qareen. Qareen ini memang wujud, dalam al-Qurannul Karim, terdapat istilah Qareen ini sebanyak 12 kali. Misalnya kita merujuk kepada Surah as-Shaffaat, ayat 51; yang bermaksud, salah seorang daripada yang telah meninggal yang menghadapi balasan Allah S.W.T, mengakui dengan mengatakan bahawasanya, adalah pada diri saya dahulunya ada Qareen.

Qareen dalam tafsir seperti al-Qurtubi dan al-Maraghi, disebut sebagai kawan atau teman yang begitu rapat. Ertinya, insan yang menjadikan Qareen sebagai teman rapatnya maka dia telah mendapat sejahat-jahat teman. Qareen adalah satu jenis daripada jenis-jenis Jin ataupun Syaitan.

Pada umumnya, apabila manusia bersahabat dengan syaitan serta meminta tolong daripadanya dan berbagai-bagai lagi, maka jadilah dia Qareen. Oleh itu, selepas daripada kematian manusia, Qareen ini akan melakukan berbagai-bagai perkara yang tidak baik termasuklah dia boleh menganggu keluarga si mati dan mendatangi isterinya sebagaimana rupa suami terdahulu. Oleh sebab itu puan tidak seharusnya mempercayai bahawa ‘dia’ adalah suami puan, kerana suami puan yang sebenarnya telah kembali ke rahmatullah.

Mengenai soalan kedua, orang yang telah meninggal dunia, ruhnya kembali kepada Allah S.W.T yang diistilahkan berada dalam alam Barzakh, ianya adalah alam Akhirat. Justeru insan yang telah pergi kepada-Nya tidak mungkin dan tidak boleh kembali ke alam dunia kerana Barzakh itu bermaksud pemisah atau penghalang. Ia seumpama sebuah tembok yang kukuh memisahkan di antara dua alam.

Maka orang yang telah kembali kerahmatullah atau kembali ke alam Barzakh ini, dia tidak boleh kembali. Dalam Surah az-Zumar, ayat 42; yang bermaksud, “Allahlah yang memisahkan nyawa dengan mati daripada makhluk-Nya dan memegang yang telah pasti mati ini dengan tidak membenarkannya kembali ke dunia.”

Ayat al-Quran lain ada menyebut, “Bahawa selepas kematian, mereka akan kembali ke alam Barzakh sehinggalah kepada hari Kiamat.”

Banyak ayat al-Quran dan al-Hadis yang menunjukkan bahawa ruh si mati berada dalam suatu kepungan Barzakh yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia. Sebagaimana kita ke alam dunia tidak boleh masuk ke alam Barzakh (tanpa ada sebab).

Logiknya kita lihat, kalaulah ruh orang yang telah mati itu boleh kembali ke dunia, boleh melakukan berbagai-bagai perkara, sudah tentu orang-orang yang telah meninggal itu seolah-olahnya tiada seksa kubur, tiada balasan dan seolah-olahnya mereka bebas ke sana ke mari.

Oleh itu, kita harus yakin bahawa ruh si mati tidak boleh kembali untuk menziarahi keluarganya, rumahnya atau sebagainya.

Kepada soalan ketiga, pada saya orang yang telah meninggal tidak boleh kembali ke dunia. Peninggalannya adalah peninggalan yang terakhir, sebab itu ia disebut kembali ke rahmatullah. Sama ada dia (si mati) berada dalam keadaan penuh dengan nikmat alam Barzakh yang bermula dari alam kubur, atau bermula dengan seksa kubur seperti yang sabit dalam nas-nas al-Quran dan as-Sunnah yang wajib diimani adanya azab kubur.

Dalam kedua-dua keadaan ini, si mati sudah tidak mungkin akan kembali ke dunia ini kerana dia berada dalam alam Barzakh. Akan tetapi berlaku dalam dunia ini, orang mengatakan ruh orang mati, kembali ke dunia dan meminjam jasad-jasad yang tertentu yang jadi seperti orang kehilangan akal, bercakap dengan nada, irama dan kelakuan orang yang telah mati.

Daripada pengalaman saya, ada juga yang medakwa dirinya Nabi Khidir, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo dan sebagainya. Ada juga pihak tertentu yang mengubat orang, yang mengajar ilmu-ilmu yang didakwa kununnya diambil daripada orang yang telah mati. Semuanya ini adalah tidak benar dan ditolak oleh Islam. Seolah-olah wujudnya fahaman mengembalikan ruh, dalam istilah Arabnya disebut tanasuthil arwah – reincarnation -. Fahaman ini ada dalam fahaman Buddha, Hindu dan fahaman purba. Islam bersih daripada semua fahaman ini.

Umat Islam mesti beriman bahawa ruh adalah untuk dirinya sahaja dan tidak boleh masuk dalam diri orang lain. Satu jasad satu ruh, apabila dipisahkan, jasad akan tinggal di alam dunia, ruh kembali ke alam Barzakh.

Apabila tibanya nanti di hari Qiamat, jasad akan dijadikan semula dan ruh akan mencarinya untuk dihisabkan oleh Allah S.W.T. Alam Barzakh adalah suatu alam yang ditutup rapat. Oleh kerana itu pada pandangan saya tidak timbul sama sekali manusia yang telah mati, ruhnya boleh menganggu atau menyakiti manusia. Waallahu’alam.

%d bloggers like this: