Archive for Jun, 2010


Selain mendengar dan menyaksikan kemerduan qari dan qariah membaca al-Quran di Dewan Sa’adah Wisma MUIS, penganjur juga mengadakan Ekspo Pameran dan Jualan di Wisma MUIS.

Lokasi pameran diadakan di tingkat 1 Wisma MUIS melibatkan 50 buah jabatan dan agensi kerajaan, swasta dan NGO Islam. Sementara jualan diadakan di aras bawah blok A dan di perkarangan letak kereta berhadapan Mahkamah Syariah.

Ekspo Pameran dan Jualan diadakan mulai jam 9 pagi dan berakhir 10 malam setiap hari mulai 29 Jun hingga 3 Julai akan datang. Perasmian ekspo ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Haji Nasir Tun Sakaran, Menteri Di Jabatan Ketua Menteri pada pagi selasa.

Urusetia ekspo melaporkan sehingga kini hampir 4 ribu pengunjung dicatatkanĀ  ke lokasi berkenaan. Menerusi Abu Nuha Corner, kita saksikan beberapa foto menarik ekspo berkenaan. Yang jauh, saksikan di sini, yang hampir datanglah ke Wisma MUIS Kota Kinabalu.



Foto yang saya rakam pada jam 5.44 petang semalam. Saat saya hendak kembali ke pejabat setelah meronda di kawasan pameran dan gerai jualan.

Kebetulan kamera canon saya mencatatkan ini pusingan ketiga koleksi gambar saya setelah dalam tempoh setahun setengah merakam 9999 + 9999 keping gambar. Ini gambar yang ke 0001 untuk pusingan ketiga.

Permulaan yang indah.


Alhamdulillah, malam ini majlis perasmian Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke 53 berjalan lancar sehingga ke akhir majlis.

Semua yang terlibat khususnya penganjur sama ada JAKIM Pusat atau Kerajaan Negeri Sabah dan tentunya JHEAINS sebagai jabatan terpenting, berasa lega dengan kelicinan majlis.

Sebelah pagi, majlis perasmian Galeri Pameran oleh YB Datuk Haji Nasir Tun Sakaran di Tingkat Satu Wisma MUIS. Kawasan pameran melibatkan penyertaan 50 agensi kerajaan, swasta dan NGO Islam.

Sepanjang siang saya banyak berkurung di pejabat menyiapkan kerja-kerja menerbitkan risalah harian yang kami namakan al-I’lam (Info).

Risalah ini hanya sehelai kertas A4 yang dilipat dua menjadi empat mukasurat. Ia mengandungi beberapa berita bergambar, info menarik berkenaan MTQ dan petikan al-Quran dan Hadith. Setiap hari sebanyak seribu naskhah akan diterbitkan.

Bersama saya adalah Sdr Kaminor (rekabentuk), Ahmad Haji Yasin (wartawan), abang Jamiun dan Ustaz Abdillah (edaran) untuk menyelesaikan risalah ini setiap hari sehingga 3 Julai nanti.

Di Dewan Saadah, orang ramai mula membanjiri dewan selepas maghrib dan penuh sebelum isyak lagi. Memang kami saksikan kekecewaan ramai orang kerana tidak dapat masuk ke dalam dewan.

Walaupun penganjur menyediakan banyak lokasi berasingan di sekitar Wisma MUIS di aras bawah dan tingkat satu, masih ramai juga mencuba untuk masuk ke dalam dewan. Kasihan mendengar keluhan pakcik makcik yang datang dari jauh seperti Keningau, Kota Belud, Sipitang dan lain-lain.

Selain isu dewan yang penuh sesak, turut kedengaran ialah makanan yang tidak cukup. Saya rasa oleh kerana ada lagi empat malam, pihak yang diamanahkan boleh mengikhtiarkan sesuatu untukĀ  mengatasi masalah ini.

Sebelum qari qariah mengambil giliran, yang menjadi tumpuan ialah persembahan Hadrah Perdana yang mengumpulkan 60 pemain kompang sekitar Kota Kinabalu. Persembahan mereka menarik, meriah serta mendapat tepukan gemuruh audien.

Tiga orang peserta mengambil bahagian malam ini, dua orang qari dan seorang qariah. Qari ialah Ustaz Anuar Hussin (Perak), Hajah Hadijah (Sabah) dan Awangku Omar Asfuaddin Awang Hamdan (Sarawak).




Raptai penuh berlangsung malam tadi. Sementara petang ini berlangsung raptai untuk majlis perasmian. Rakan-rakan yang bertugas sebagai pengiring sibuk menyambut tetamu dari seluruh negara. Yang datang terdiri daripada hakim-hakim, qari qariah, perwakilan kerajaan-kerajaan negeri dan sebagainya.

Kata kawan-kawan, dewan masih belum bersedia walaupun sudah petang begini. Ada kerusi yang sudah ditempah belum sampai. Saya belum lagi menjenguk ke sana kerana tugasan yang belum selesai.

Di kawasan pameran dan jualan, masing-masing agensi kerajaan, swasta, NGO Islam dan para peniaga menyediakan gerai masing-masing.

Pagi tadi, ruang pameran dirasmikan oleh YB Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Datuk Haji Nasir Tun Sakaran. Ada 50 buah gerai pameran dan 30 gerai jualan.

Tengahari tadi semua peserta diundang makan tengahari bersama Perdana Menteri yang baru tiba jam 11.40 di Kota Kinabalu. Selepas asar, para hakim akan bermesyuarat tentang penghakiman MTQ kali ini.

Ada undang-undang baru yang mula dikuatkuasakan tahun ini. Semua qari dan qariah akan mengundi 2 tarannum wajib selain 2 tarannum pilihan sendiri.

Di pejabat kami, Bahagian Penyelidikan & Informasi situasinya macam-macam. Macam kilang kertas pun ada, macam stor pun ada, macam pasar pun ada. Tapi sebabnya sama, iaitu sebagai bukti semuanya bekerja untuk MTQ ini.

Beberapa petugas syarikat datang menghantar puluhan ribu beg untuk kegunaan mengisi makanan kepada audien. Kata Haji Sotimin, setiap malam 7 ribu beg diperlukan.

Buku yang dicetak juga mulai tiba. Tempat meletaknya juga di pejabat kami. Ada enam buku terbitan khas sempena MTQ ini. Namun sehingga petang tadi, baru empat buah buku yang baru siap dicetak oleh Jabatan Cetak Kerajaan. Dua lagi dalam proses dan dijangka dapat diedar kepada awam dalam tempoh MTQ ini juga.

Sejak beberapa minggu lalu, semua petugas dan urusetia diberikan sepasang baju kebangsaan berwarna hijau lengkap dengan sampinnya. Masing-masing kena ukur dan hantar ke kedai jahit menurut selera masing-masing. Semalam, kami diberikan pula baju vest untuk petugas.

Mudah-mudahan kerja baik ini dimudahkan oleh Allah SWT.


TEKUN

Tidak ramai kehadiran tazkirah malam tadi di Surau Austral, tapi saya seronok melihat ketekunan jemaah yang hadir mendengar tazkirah berkenaan.

Pada mulanya tazkirah dicadangkan selepas maghrib namun ditunda selepas isyak sebab penceramah bertemu dengan keluarga angkat yang puluhan tahun tidak ditemui.

Saya pula tidak dapat menanti lama, terpaksa balik ke rumah. Beberapa minit tazkirah bermula, saya berundur pulang. Panggilan kecemasan, anak kecil panas dan perlu dibawa ke klinik segera.




Penganjur menjangkakan ribuan umat Islam akan mula membanjiri Wisma MUIS Kota Kinabalu mulai esok. Perasmian Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-53 akan bermula sekitar 8.00 malam.

Oleh kerana Dewan Saadah di tingkat 2 hanya boleh menampung sekitar 2,500 penonton, maka urusetia mengadakan beberapa skrin besar di aras bawah.

Maka saya cadangkan orang awam datang lebih awal. Paling lambat pun, solat Isyak di Masjid Negeri Sabah dan parkir kereta di perkarangan masjid, berjalan kaki ke dewan.


Jika tiada masalah, Taman Sri Gaya akan mempunyai suraunya sendiri. Foto di atas adalah keadaan terkini pembinaan surau berkenaan yang terletak tidak jauh di belakang SK Sri Gaya.

Cuma peliknya saya dimaklumkan Unit Falak Pejabat Mufti tidak dipanggil untuk menyemak arah kiblat yang sebenar yang menjadi salah satu tugasan pejabat berkenaan. Wallahu a’lam, jangan sudah siap nanti bermacam cerita pula timbul.

Satu lagi, mungkin saya terlepas pandang. Namun saya tidak terlihat papan tanda projek surau ini. Entah surau atau rumah. Tetapi jiran-jiran berdekatan memaklumkan bentuk binaannya menyerupai surau.

Saya sedikit khuatir melihat pembinaan surau ini di lereng bukit. Nampak sesak sangat dan terdedah kepada runtuhan.

Taman Sri Gaya dihuni oleh golongan menengah dan golongan atasan. Ada pegawai tinggi kerajaan dan ada juga penjawat awam biasa. Ada ramai pensyarah dan guru-guru agama di sekitar sini.

Jadi, asasnya apabila surau ini siap kelak, tidaklah terlalu susah untuk mengimarahkannya dan mengaktifkan kuliah serta ceramah. Ustaz-ustaz ramai.

Bersedialah Ustaz Muhasibi, Ustaz Azam, Ustaz Shahir dan lain-lain…

Alhamdulillah, Klinik Solat Siri 1 berlangsung dengan jayanya di Masjid Negeri Sabah siang tadi. Seramai 120 peserta hadir mendengar ceramah dan kemudiannya sesi praktikal bersama kumpulan masing-masing.

Klinik Solat siri 1 ini adalah kesinambungan daripada Kursus Tahsin Solat sebanyak 6 siri yang diadakan sebelum ini. Hanya bezanya, Klinik Solat menerapkan unsur praktikal dan peserta dibahagi mengikut kumpulan.

Ceramah bermula pada jam 8.30 sehingga 9.50 pagi. Ceramah santai itu lebih banyak memaparkan tayangan gambar cara dan pergerakan solat yang tepat dan kurang tepat.

Pada jam 10.30 pagi, para peserta bergerak mengikut kumpulan masing-masing dalam sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Terdapat 15 kumpulan kesemuanya, manakala fasilitator terdiri daripada siswa siswi Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah yang membantu Syukbah Dakwah menjayakan program ini.

Dalam kumpulan masing-masing, saya mengarahkan mereka mengisi dengan 2 perkara. Pertama, setiap ahli kumpulan mestilah disemak dan diperbetulkan bacaan surah al-Fatihah mereka. Kedua, praktikal pergerakan dalam solat, sekurang-kurangnya seperti solat subuh atau witir 1 rakaat.

Alhamdulillah kami melihat kreativiti siswa siswi ini mengendalikan kumpulan masing-masing dengan baik sekali. Ada yang memulakan sesi mereka dengan semakan surah al-Fatihah, dan ada pula memulakan dengan latihan praktikal solat.

Tepat 11.45 pagi, kami berkumpul semula di bilik kuliah dan saya menyampaikan sedikit rumusan dan tindakan yang mesti dibuat oleh semua peserta.

Antaranya, para peserta mestilah sentiasa memperbaiki kualiti solat mereka termasuk pergerakan dan bacaan. Tidak boleh malu untuk bertanya dan merujuk kepada guru yang pakar serta mewujudkan kumpulan sokongan supaya semuanya istiqamah belajar dan mendalami Islam.

Akhir majlis, semua peserta bersalam-salaman dengan fasilitator masing-masing dengan iringan solawat beramai-ramai. Majlis berakhir pada jam 12.10 tengahari.

Bertemu lagi Klinik Solat siri 2 pada 11 Julai akan datang.



ASMAUL HUSNA


Secara hampir kebetulan, ada dua masjid yang saya berkuliah dengan kitab yang berbeza masuk tajuk berkenaan asmaul husna beberapa bulan lalu.

Masjid Nurul Ihsan Kg Lok Kawi Baru dengan kitab al-Azkar Imam Nawawi sementara di Masjid Mahabbah Kg Muhibbah dengan kitab Indahnya Hidup Bersyariat susunan Dato Ismail Kamus.

Dalam kedua-dua buku yang berbeza disentuh berkenaan nama-nama Allah yang indah itu. Jadi saya bercerita serba sedikit berkenaannya melalui kitab ‘Asmaul Husna Dengan NamaMu Aku Hidup’ sebagai rujukan.

Beberapa minggu lalu kuliah berkenaan tajuk ini selesai di Masjid Kg Muhibbah sementara malam ini bab yang sama selesai di Masjid Kg Lok Kawi Baru.

Alhamdulillah.

BERSEDIA


Wisma MUIS hampir 100% bersedia menyambut qari qariah seluruh negara, panel hakim al-Quran dan umat Islam yang bakal membanjiri Dewan Saadah Wisma MUIS mulai selasa hadapan.

Beberapa signboard Wisma MUIS pun sudah ditukar baru, jalan raya diturap semula, astaka di Dewan Saadah sudah berganti baru, bunga-bunga menghiasi sekitar Wisma MUIS dan Masjid Negeri Sabah.

Ratusan banting dan iklan digantung merata tempat, khususnya sekitar Pantai Barat Sabah dari Papar, Putatan, Kota Kinabalu, Penampang hingga ke Tuaran. Layar besar bakal dipasang di ruang legar aras bawah Wisma MUIS bagi menampung kehadiran umat Islam nanti menyaksikan MTQ ini.

Tugasan kepada urusetia, pegawai dan kakitangan terlibat sudah diagih dan sedang dilaksana. Qari qariah, hakim serta semua perwakilan negeri serta tetamu bakal tiba beberapa hari lagi. Raptai penuh akan diadakan pada isnin malam selasa.

Mari hadir ke Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali 53 di Dewan Saadah Wisma MUIS Kota Kinabalu Sabah mulai 29 Jun hingga 3 Julai 2010.

%d bloggers like this: