Tag Archive: Ranau


 

 

Alhamdulillah, misi pertama menyampaikan ceramah atas nama Darussyifa’ Sabah selesai di Masjid SMKA Mohammad Ali Ranau ini. Dalam masa yang sama, empat penceramah Darussyifa’ Sabah juga mengadakan misi yang sama di Masjid Pekan Ranau, Masjid Pekan Kundasang, Masjid Kg Lohan dan sebuah kampung lagi.

Antara misi ialah penjelasan asas pengubatan Islam khususnya kewujudan Darussyifa’ Sabah di Sabah. Kami pula dalam misi untuk mengadakan Kembara Pengubatan Islam Darussyifa’ Sabah di Masjid Pekan Ranau pada pagi ahad.

Berhadapan dengan para pelajar sebagai audien sangat penting bagi menjelaskan isu ini terhadap mereka, memandangkan mereka adalah generasi muda yang akan berada dalam masyarakat selepas ini wajar menunjukkan contoh terbaik dengan akhlak dan syariat Islam termasuk dalam hal-hal berkaitan gangguan makhluk halus dan penyakit yang lain dengan beramal dengan kaedah rawatan yang syarie.

SEMEKAR (1) SEMEKAR (2) SEMEKAR (3) SEMEKAR (4)

Tarikh : 24 Oktober 2013

Lokasi : SMKA Mohammad Ali, Ranau

Saya dimaklumkan wakil maahad pernah membuat program yang sama di sekolah ini 3 tahun lalu, sebelum saya masuk bertugas di sini. Walaupun berkunjung ke sini tidaklah terlalu asing kerana punya beberapa sahabat yang bertugas di sini, saya tetap teruja untuk datang dan bertemu warga SEMEKAR.

Ada satu yang akan saya kenangkan apabila berceramah topik ini di sini dan perkara ini saya sebutkan kepada anak-anak yang hadir. Nostalgia, apabila mengenangkan bahawa ketika maahad ini mula ditubuhkan dan mempunyai 8 orang pelajar sulung yang berumur 16 tahun, dua daripada mereka adalah dari sekolah ini.

Mereka berdua adalah sahabat baik kami – Ustaz Haji Zamrul Mohd Aslie dan Ustaz Haji Kamaronnizam Mat Isa, sedangkan enam orang lagi adalah dari SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah. Kedua-dua sekolah ini kini sudah tidak berada di lokasi asal mereka. Justeru saya teruja apabila menziarahi sekolah ini.

Saya juga maklum bahawa sekolah ini hampir tidak putus menghantar wakil mereka, walaupun tidak setiap tahun kemasukan tetapi SEMEKAR dikira sekolah yang tidak asing bagi Maahad Tahfiz. Terima kasih Ustaz Rezany dan Ustaz Jazlan yang meraikan kami. Semoga hubungan erat ini akan berterusan dan Ranau terus subur melahirkan bakal-bakal penghafaz al-Quran.

Allahu Akbar.

Semekar (1) Semekar (2) Semekar (3) Semekar (4) Semekar (5) Semekar (6) Semekar (7) Semekar (8) Semekar (9) Semekar (10) Semekar (11)

DR FARIZ & DR ALLIA

Sekitar jam 12 tengahari sabtu, saya tiba di lokasi majlis perkahwinan Dr Mohd Fariz Datuk Amri dan pasangannya Dr Allia Najmie Muhammad Yusuf. Perjalanan solo, sejak jam 6 pagi dari rumah di Putatan, mengisi slot ceramah di Kundasang bersama penggerak dakwah JAKIM Sabah dan kemudian langsung ke rumah pengantin di Kg Pasir Putih Ranau. Lokasi rumah hanya beberapa minit dari masjid daerah Ranau, jalan Ranau-Tambunan.

Saya difahamkan kedua pengantin telah selamat dinikahkan di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya Selangor pada 3 Jun 2011 lalu dan bertunang tidak sampai setahun. Majlis perkahwinan di sini sangat meriah dengan kehadiran keluarga besar kedua-dua pihak. Saya diberitahu rombongan keluarga perempuan dari Selangor sekitar 30 orang, manakala keluarga besar pengantin lelaki pula selain di sini, turut datang memeriahkan ialah dari Labuan dan negara Brunei Darussalam.

Selain itu kelihatan hadir beberapa kenamaan seperti YB Datuk Masidi Manjun, Datuk Nordin Siman, YDH Pesuruhjaya Polis Sabah, deretan warga JHEAINS dan para guru. Saya sendiri asalnya hanya berhajat sekadar hadir dan menjamu selera, akhirnya berada di sana sehingga 3 jam kemudian, memandangkan keluarga ibu pengantin lelaki yang berasal dari Labuan dan sekampung pula dengan saya, jadi kesempatan itu saya ambil untuk beramah mesra setelah bertahun-tahun tidak berjumpa.

Menarik juga menurut budaya di sini, pengantin dan rombongan akan diarak mengelilingi sekitar Pekan Ranau untuk memberitahu majlis perkahwinan sedang berlangsung. Abu Nuha Corner mengucapkan tahniah kepada pengantin dan keluarga besar mereka terutama Ybhg Datuk Haji Amri Aliaman Suratman, Pengarah JHEAINS dan Datin atas anugerah Allah menerima menantu baru.

SEJAM BERJALAN KAKI

Kami singgah sebentar di Masjid al-Amal Kampung Luanti Ranau untuk solat jamak zuhur + asar, serta berehat melihat suasana nyaman di sekitar masjid berkenaan. Bersebelahan masjid ini terdapat sebuah dewan yang nampaknya ketika kami tiba sedang dimakmurkan dengan kursus jahit menjahit anjuran parti UPKO bersama kaum ibu yang memenuhi dewan bersama mesin-mesin jahit.

Sebelum pulang, saya sempat menyapa tiga orang murid sekolah suku dusun – Khairul Hamzah, Mohd Shazril Asyraf dan Mohd Izlan berumur antara 10-12 tahun. Barangkali menjadi kebiasaan bagi mereka untuk berjalan kaki selama sejam menuju ke SK Nalapak dari Kampung Luanti apabila mereka tertinggal bas yang membawa murid sekolah.

Ketika zaman persekolahan, saya pernah mendaki gunung Kinabalu. Rupanya menjadi kebiasaan mereka khususnya pekerja-pekerja suku dusun berumur  40-50 tahun memikul tong gas dari bawah sehingga ke tengah gunung kinabalu bagi kegunaan pendaki-pendaki yang bermalam sebelum meneruskan pendakian pada awal pagi menuju ke puncak. Khabarnya bukan sekali, tetapi dua atau tiga kali sehari mereka pikul tong gas naik dan turun gunung.

Barangkali pakcik-pakcik itu dulu sekolah pun jalan kaki juga.

SABK AL-IRSYADIAH


Dari SMKA Mohammad Ali ke Kg Luanti membeli durian kemudian berpatah balik menuju ke Sekolah Bantuan Agama Kerajaan (SABK) al-Irsyadiah Merakau menjelang maghrib untuk mengisi satu slot ceramah bersama adik-adik di sana.

Saya tidak pernah masuk jalan ini dan begitu teruja sebenarnya hadir ke sini. Pertama sekali masuk, saya tersenyum melihat senarai nama guru yang sebahagiannya saya kenali. Namun tidak rezeki kami untuk bertemu kerana mereka semuanya tinggal di luar daripada kawasan sekolah ini.

Saya mengisi ruang antara maghrib dan isyak dengan memperkatakan secara ringkas berkenaan rukun Islam yang mempunyai keistimewaan dan kelebihan masing-masing. Pengkhususan lebih saya tekankan berkenaan bulan Ramadhan yang dinanti. Terima kasih Cikgu Junaidi yang mengatur ceramah ini bersama rakan-rakan yang lain.

Kami meneruskan perjalanan pulang, dan singgah sebentar di rumah Ustaz Khairul Anwar Yusob di belakang Pekan Nabalu.


PENGURUSAN IMAM

Jam 2.30 petang jumaat, saya kembali mengisi program di SMKA Mohammad Ali khusus buat pelajar putera tingkatan empat seramai lebih 30 orang dengan tajuk Pengurusan Imam. Pembentangan di Masjid al-Bukhari berkisar dengan syarat dan akhlak seorang imam.

Selain itu, kami berbincang juga tentang tanggungjawab dan kepakaran seorang imam selain daripada memimpin solat dengan baik khususnya dalam konteks seorang pelajar dan di dalam masyarakat setempat.

Saya mencadangkan kepada mereka meningkatkan kemahiran tentang pengurusan janazah, memimpin kenduri kendara seperti bacaan yasin, tahlil dan pelbagai doa, barzanji dan marhaban, sembelihan haiwan seperti ayam, kambing, lembu dan kerbau, takbir hari raya, khutbah jumaat, raya, gerhana dan istisqa’, ceramah dan tazkirah, memimpin mesyuarat, kebolehan menjadi kaunselor yang baik dan sebagainya.

Ceramah berlangsung sekitar 2 jam. Hampir ke setengah jam terakhir, peserta tidak rasmi bertambah apabila pelajar puteri dan pelajar tingkatan lain masuk untuk persediaan solat asar. Ketika ini, saya paparkan di layar foto-foto pergerakan solat yang tepat dan kurang tepat.

Kami meninggalkan SMKA Mohammad Ali sekitar jam 5 untuk ke Kg Luanti memborong dan memajak durian sepenuh bonet kereta. Habis kereta berbau durian.


Sudah lama saya berhasrat untuk berkunjung ke sini. Khabarnya ia diasaskan sejak dua tahun lalu oleh ABIM Sabah dengan bantuan pelbagai pihak termasuk ABIM Pusat.

Rumah Putera Harapan (RPH) adalah sebuah rumah perlindungan kanak-kanak terbiar seperti yatim piatu, yatim, mangsa perceraian dan kemiskinan khususnya dari daerah Ranau dan sekitarnya.

Saya datang bersama Ustaz Abdul Aziz Muji dan Arshad yang menjadi pembantu saya sepanjang perjalanan KK-Ranau-KK, membawa dan menyampaikan sedikit sumbangan beras dan air minuman daripada hamba Allah yang bermurah hati mengirimkan barang tersebut kepada saya.

Saya juga dimaklumkan jumlah penghuni di sini kini mencecah 30 orang. Walaupun menerima sedikit suntikan daripada ABIM Pusat, pengurusan RPH ini masih memerlukan sumbangan awam bagi menampung sebahagian lagi kos harian mereka terutama makanan untuk anak-anak dan elaun petugas.

Bagi yang hendak menziarahi RPH, rumah ini terletak bersebelahan dengan Masjid Daerah Ranau. Untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada RPH boleh disalurkan melalui Bank Islam Malaysia Berhad atas nama : Rumah Putera Harapan, ABIM Negeri Sabah, No Akaun: 10016010066811,  atau hubungi pengurus RPH Ustaz Sabri di talian 0198993315 untuk sumbangan lain.

Maklumat lanjut boleh melayari blog ini : http://rph-wadah.blogspot.com/


Perjalanan dari rumah bermula hampir jam 8 pagi. Saya bergerak menuju ke Taman Pantai Lok Kawi Kinarut untuk mengambil teman seperjalanan. Adik Arshad berumur 16 tahun sudi menemani saya ke Ranau walaupun baru diperkenalkan oleh sahabat jamaah masjid di sana.

Arshad tinggal di taman berkenaan dan menurutnya dia berhenti sekolah sejak 2 tahun lalu kerana tidak tahan diejek oleh kawan-kawannya. Dia juga baru berjinak-jinak dengan jamaah tabligh. Selain Arshad, di masjid berkenaan saya turut mengambil 10 kampit beras dan sejumlah air minuman untuk disumbangkan kepada masyarakat kampung.

Kami tiba di lokasi – SMK Agama Mohammad Ali Ranau atau biasa dipanggil SEMEKAR terlewat setengah jam daripada yang dijadualkan. Sebenarnya silap sendiri kerana perut saya meragam sebelum berangkat dan kedua terpaksa singgah  memperbaiki tayar yang rupanya sudah hampir botak.

Ini adalah kunjungan kali ketiga ke sekolah ini. Jujurnya saya suka datang dan mengisi program di sini. Sebenarnya program hari ini ialah Majlis Pelancaran Ihya’ Ramadhan dan Bi’ah Diniyyah Arabiah anjuran Jabatan Pendidikan Islam & Bahasa Arab sekolah ini. Ketika saya tiba, ada pelancaran tabung Ramadhan oleh Puan Pengetua Ustazah Hajjah Hapsah Abdul Ghani yang baru bertugas di sekolah ini.

Saya bertemu sahabat lama Ustaz Rezany yang mengatur undangan, Cikgu Hairy Sulimat kenalan sejak 15 tahun lalu dan juga Ustaz Abdul Aziz Muji  seorang aktivis dakwah di Ranau yang sudah berpindah ke sekolah ini sejak beberapa bulan lalu. Sebelum ini beliau bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah.

Ceramah saya di hadapan 500 pelajar berlegar berkenaan empat perkara pengisian sepanjang Ramadhan, iaitu puasa, solat malam, tilawah al-Quran dan sedekah. Saya juga cadangkan secara ringkas diari ramadhan yang meliputi 40 amalan sepanjang hari bermula tengah malam sehingga tidur pada waktu malam untuk dipraktikkan oleh para pelajar.

Ceramah berakhir pada 11.40 pagi dan saya bergerak untuk ke lokasi berikutnya.Terima kasih buat pengetua dan seluruh warga sekolah yang sudi mengundang saya.


Ust Hj Mohd Iyen Atim

Pada zaman pemerintahan kerajaan USNO di Sabah, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun ada menghubungi pemerintah Indonesia bagi memohon jasa baik para pendakwah agar datang ke Sabah menyebarkan Islam.

Di antara panduan yang diberikan ialah para pendakwah itu mestilah berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bermazhab Imam asy-Syafii. Lalu dipilihlah sebuah institusi pendidikan yang terkenal di Medan Indonesia, iaitu al-Wasliyyah.

Diadakan temuduga, dan yang dipilih hanya seramai 18 orang. Diantara yang terpilih itu ialah Ust Hj Muhammad Iyen bin Atim, salah seorang bekas penuntut di sana.

Mungkin tidak ramai mengetahui bahawa nama sebenar tokoh pendakwah di Sabah ini ialah Syahrin Muhammad Yatim, kini berusia 76 tahun.

Berasal dari Kecamatan Tanjung Beringin Bedagau, Kabupaten Deli Serdang, Propinsi Sumatera Utara, Indonesia. Merupakan anak kedua dari empat beradik dan beliau adalah anak lelaki tunggal.

PENDIDIKAN

Pendidikan awalnya melalui dua sesi. Sebelah pagi, belajar di Sekolah Dasar, sementara pada sebelah petang bersekolah di Madrasah al-Jamiyatul Wasliyah peringkat ibtida’ie selama 6 tahun.

Di peringkat menengah, sebelah pagi beliau belajar di Sekolah Guru Islam selama dua tahun. Setelah sekolah tersebut diubahsuai menjadi Pendidikan Guru Agama (P.G.A) beliau terus belajar selama 3 tahun lagi.

Pada sebelah petang pula, beliau belajar selama 3 tahun di Madrasah Al Jam’iyyatul Wasliyah Kotapraja Tebing Tinggi Deli, sehingga tamat pengajian pada tahun 1954.

Ust Hj Md Iyen melanjutkan pendidikannya ke sekolah peringkat atas, iaitu Qismul ‘Ali, selama 3 tahun yang setaraf dengan ijazah sarjana muda.

Ust Hj Md Iyen melangkah ke Universiti Al Wasliyyah pada tahun 1957, malangnya beliau hanya sempat bertahan di universiti selama dua tahun kerana kedua orang tuanya tidak mampu membiayai kos sara pendidikannya.

Sejak itu, Ust Hj Iyen menanam semangat iltizam di dalam jiwanya agar memastikan semua anaknya nanti akan menjadi graduan universiti.

AKTIVITI

Rupanya Ust Hj Md Iyen adalah seorang yang aktif ketika zaman persekolahan dan awal kerjayanya.

Antaranya, pernah menjadi Ketua Umum Ikatan Pelajar al-Wasliyyah di Tebing Tinggi Deli dan Setiausaha 1 Gerakan Pemuda al-Wasliyyah Tebing Tinggi Deli.

Dalam siasah, al-fadhil ustaz pernah menjadi Setiausaha II Gerakan Pemuda Islam Indonesia Kecamatan Tanjung Beringin, dan turut menganggotai Partai Islam MASYUMI sehingga dibubarkan oleh kerajaan Indonesia.

BERANGKAT KE SABAH

Menceritakan detik ketibaan mereka secara berperingkat, al-Fadhil Ustaz Iyen datang pada 1 April 1974 bersama rakan-rakan lain.

Ust Iyen dihantar ke daerah Ranau, sebuah daerah pelancongan tempat beradanya gunung kinabalu yang tersergam indah.

Beliau berada di Ranau selama 2 tahun sebelum dipindahkan ke SM Islamiah Buang Sayang Papar yang baru dibuka ketika itu.

(Ada gambar istimewa tanpa tarikh saya perolehi dari pejabat kami di Bahagian Penyelidikan & Informasi JHEAINS, merakamkan detik Ust Hj Md Iyen sedang mengajar di SM Islamiah Papar antara 1977-1984. Gambar hitam putih ada di bawah).

Di sekolah ini, Ust Hj Md Iyen bertugas selama 8 tahun sebelum dipindahkan pula ke MUIS Kota Kinabalu khususnya di Bahagian Sebaran Am.

Meski di MUIS hingga ke JHEAINS ditempatkan sebagai pengarang, jemputan dan undangan turun ke masyarakat untuk berceramah ke seluruh pelusuk Sabah tetap diterima dan dipenuhinya.

Menurut ustaz, sehingga kini hanya daerah Pensiangan yang belum dimasukinya. Motto ‘Di mana bumi dipijak, di situ dakwah dijunjung’ sentiasa menjadi pegangan beliau.

Perkahwinan bahagia bersama Hjh Robiyatun Sekah, mereka dikurniakan 6 orang anak – 2 anak lelaki dan 4 anak perempuan, iaitu Shofriza Washlaini, (BA Pengajian Islam UKM Bangi dan Dip. Pendidikan), Laila Hijrah (BA Sains Industri USM dan Dip. Pendidikan), Dr. Mohd Iqbal (BA Perubatan), Intan Rasyida (sedang menuntut di universiti), Nurun Nazhifah (sedang menuntut), dan Badrul Ilmi (sedang menuntut).

Dalam usia 76 tahun kini, walaupun sudah bersara sebagai warga JHEAINS, ustaz masih aktif berceramah ke sana dan ke sini, mengisi program di masjid, surau dan pejabat-pejabat, menjadi hakim tilawah dan nasyid anjuran pelbagai pihak.

Bagi peribadi saya, saya mengenali lebih dekat dengan beliau ketika kami memulakan pengajian di Maahad Tahfiz al-Quran yang ketika itu berpusat di Masjid Negeri Sabah. Ust Iyen dijemput memberikan ceramah dan motivasi kepada kami sebagai perintis awal.

Sejak itu nama beliau saya ingati sehingga kini. Semoga Allah SWT memberi kesihatan kepada ustaz sekeluarga dan dapat menyampaikan Islam sehingga akhirnya.

(Maklumat ini saya kumpulkan antara lain melalui penceritaan Ust Hj Md Iyen sendiri, wawancara siswa DPI UMS bersama Ust Iyen dibawah seliaan Ust Azam dan pengalaman peribadi saya sendiri).

Ust Hj Md Iyen Atim 2

Ust Hj Md Iyen Atim ketika bertugas di SM Islamiah Papar lebih 30 tahun lalu

SEKITAR SMKA MOHAMMAD ALI RANAU

IMG_7880

IMG_7881

IMG_7891

IMG_7893

IMG_7895

IMG_7899

IMG_7905

IMG_7908

IMG_7915

IMG_7933

%d bloggers like this: