
Alhamdulillah, saya sempat menghadiri sejak awal majlis pernikahan antara Ustaz Sahrum Samlan dari WP Labuan dan Ustazah Siti Halimah Putung di rumah keluarga pengantin perempuan di Kg Tawadakan, Kota Belud petang tadi. Tengahari, saya menunaikan solat jumaat di Masjid al-Falah Kg Tebobon Menggatal, terus ke lokasi majlis seusai solat jumaat dan tiba di rumah pengantin sekitar jam 2.10 petang.
Sahrum dan Halimah, kedua-duanya saya kenali sejak september tahun 2000 khususnya apabila kami sama-sama melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar Mesir pada tahun berkenaan. Sahrum sebelum itu pernah belajar di Sekolah Menengah Ugama Maahad ad-Dirasat Islamiyah Kota Bharu Kelantan sehingga tahun 1999.
Sementara di Mesir, Sahrum pernah diamanahkan jawatan YDP Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM) antara tahun 2003-2004, satu pertubuhan kebajikan yang berdaftar di bawah Kedutaan Malaysia di Kaherah bagi menjaga kebajikan siswa siswi Sabah di sana.
Sahrum kini menjadi guru agama di SK Sungai Bedaun WP Labuan sementara Siti Halimah yang memiliki sarjana syariah dari Universiti Kebangsaan Malaysia kini adalah pensyarah di Pusat Penataran Ilmu & Bahasa (PPIB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kota Kinabalu.
Kalau tidak salah saya, setahun lalu, Sahrum pernah bercerita dan meminta pendapat tentang hasratnya untuk berumahtangga dengan isterinya sekarang. Saya menyokong 100% hasratnya kerana mengenali dengan baik kedua-dua mereka.
Khutbah nikah disampaikan oleh Ustaz Idris Kisab sementara akad nikah diwalikan oleh Ustaz Sateri Putung, abang kepada pengantin perempuan. Saya sekeluarga mengucapkan tahniah dan semoga berkekalan sehingga ke syurga. Selamat datang ke kelab…
***
Saya datang ke kampung ini buat pertama kali. Tidak ramai yang saya kenali kecuali beberapa orang daripada kalangan rakan-rakan alumni al-Azhar dan juga beberapa orang ahli rombongan keluarga lelaki dari Labuan. Saya terkejut sapaan seseorang yang katanya akan menunggu entri ini diterbitkan melalui blog Abu Nuha Corner kerana dia adalah salah seorang peminat setianya. Wajahnya ada terpampang dalam entri ini. Terima kasih…













