Tarikh : 23 Disember 2016
Lokasi : Medan Ilmu Kota Bharu Kelantan
Pengkuliah :
- Ustaz Dr Riduan Mohd Nor
- YB Dato Dr Johari Mat
Tarikh : 23 Disember 2016
Lokasi : Medan Ilmu Kota Bharu Kelantan
Pengkuliah :
Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/42828-sejarah-majlis-syura-ulamak-dan-perjawatan-mursyidul-am
TRANSFORMASI kepimpinan PAS pada tahun 1982 menyaksikan Haji Yusuf Rawa memangku jawatan Presiden PAS dan antara perkara penting yang berlaku semasa era Yusuf Rawa ialah mewujudkan Majlis Syura Ulamak. Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengusulkan tentang penubuhan Majlis Syura Ulama dan diangkat ke Mesyuarat PAS Pusat. Memandangkan keberkesanan ulamak dalam membimbing dan sebagai simbol penyatuan fikrah dalam PAS, maka semasa dipimpin oleh Haji Yusof Rawa, PAS telah menubuhkan Majlis Syura Ulama.
Majlis Syura telah ditubuhkan untuk memastikan ulama benar-benar membuat keputusan dalam menentukan halatuju perjuangan dan bukan gimik untuk berubah kepada sesuatu yang baru semata-mata. Majlis Syura Ulamak adalah badan tertinggi dengan mengamalkan konsep syura. Walaupun dahulu Dewan Ulama memainkan peranannya tetapi kebanyakan keputusan hanyalah meminta Dewan Harian Pusat. Kini dengan pendekatan syura, Haji Yusof Rawa telah memperkenalkan Majlis Syura yang lebih berwibawa menentukan keputusan-keputusan parti.
Majlis Syura Ulamak telah diberikan beberapa kuasa penting di dalam parti seperti menghurai, menjelas dan mentafsir dasar PAS dan mana-mana peruntukan di dalam perlembagaan parti yang menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya dan membuat ketetapan mengenainya.
Badan ini juga bertanggungjawab mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan parti dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawal serta kehendak-kehendak dalam perlembagaan PAS dipatuhi samada di dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS. Majlis Syura Ulama juga mestilah memelihara, menjaga dan mengawal tatatertib ahli PAS dan melantik ahli-ahli jawatankuasa tatatertib PAS seperti yang diperuntukkan dalam Fasal 75 Perlembagaan PAS.
Pemilihan ahli majlis begitu sekali cermat dan PAS meletakkan piawaian yang tinggi. Perlembagaan PAS telah menggariskan syarat-syarat yang perlu ada kepada semua ahli Majlis Syura.
Sepertimana yang dicatatkan dalam Perlembagaan PAS Fasal Tujuh (4) ada menyebut bahawa seseorang yang ingin dilantik sebagai Ahli Majlis Syura Ulama perlu memiliki ciri-ciri berikut.
Pertama, ia hendaklah seorang yang mengetahui masalah-masalah pokok (al-usul) dalam Syariat Islam dan hukum-hukum atau/dan dapat merujuk masalah-masalah itu kepada al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ dan Qias dengan faham akan maksud dan maknanya yang muktabar.
Kedua, ia hendaklah seorang yang adil yakni tidak melakukan dosa besar atau terus menerus melakukan dosa kecil dan hendaklah terpelihara maruahnya, dan ketiganya hendaklah ia seorang ahli PAS.
Kedudukan ulama yang sebelum ini dipisahkan telah mula memainkan peranan penting dalam pembentukan perjalanan parti, segala dasar yang hendak dijalankan mesti terlebih dahulu dirujuk kepada Majlis Syura Ulamak. Tanpa persetujuan daripada Majlis Syura Ulamak sesuatu perkara tidak boleh dilakukan.
Ini merupakan asas perubahan yang begitu drastik sehingga tidak ada lagi mereka yang boleh mempermainkan dasar dan prinsip PAS. Ia dianggotai oleh ulama yang berwibawa dan struktur ini berbeza dengan orang lain.
Dalam sejarah Majlis Syura Ulama, Haji Yusuf Rawa ialah Mursyidul Am PAS yang pertama, diikuti dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dr Haron Din menjadi Mursyidul Am PAS yang ketiga dengan pelbagai ujian yang sedang dialami oleh PAS sehingga munculnya kumpulan serpihan PAS iaitu Parti Amanah Negara (PAN). Beliau telah diserang daripada pelbagai penjuru oleh musuh-musuh PAS, ini adalah kerana ketegasan beliau dalam mempertahankan prinsip perjuangan PAS.
Kini Majlis Syura Ulamak telah melantik Tuan Guru Ustaz Hashim Jasin, seorang penggerak pendidikan Islam di Perlis sebagai Mursyidul Am dengan kembalinya Dr Haron Din kerahmatullah. Mantan alumni Universiti Baghdad ini adalah kader perjuangan Islam semenjak meremaja di Maahad ‘Alawiyyah Perlis dan juga kader dakwah yang ditarbiah oleh Ikhwanul Muslimin di bumi Baghdad.
Keupayaan intelektual, kematangan pengalaman dengan paduan dokongan ahli-ahli Majlis Syura Ulama, insyaallah Musyidul Am keempat ini akan memacu jamaah dengan segenap keupayaan. Moga Allah mmberkahi harakatul ummah ini! – HARAKAHDAILY 14/10/2016
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Politik Pusat)
SAYYID Qutb adalah nama besar yang menggugah nurani kita apabila berbicara tentang Ikhwanul Muslimin selain Hassan al-Banna dan tokoh-tokoh yang lain seperti Abdul Qadir Audah, Said Hawwa, Dr Mustapha as-Sibaie, Abdul Aziz al-Badri, Hassan Ismail Hudhaibi dan yang lainnya.
Sayyid Qutb mempunyai sejarah yang tersendiri sebagai tokoh ideologue Ikhwanul Muslimin serta diklasifikasikan sebagai tokoh pemikir yang sukar digalang ganti oleh dunia islam.
Sayyid Qutb telah dilahirkan pada tahun 1906 di Asyut, Mesir dalam lingkungan yang taat beragama, keluarbiasaan bakatnya dapat dikesan semenjak umurnya masih hijau.
Menghafal al-Quran dan menamatkan hafazan semasa berusia sepuluh tahun, bapanya Qutb Ibrahim merupakan pencinta al-Quran dan sangat tegas dalam urusan mendidik anak-anaknya dengan sakhsiah Islam, beliau memberikan perhatian langsung kepada pembelajaran anak-anak terutama Sayyid Qutb.
Keberkesanan sang ayah kepada anaknya pernah dirakamkan oleh Sayyid Qutb dalam sebuah bukunya:
“Wahai ayahku! Kutujukan tulisan ini kepada rohmu. Aku masih kecil ketika engkau menanamkan ke dalam jiwaku rasa takut kepada hari akhirat. Tidak pernah engkau mengherdikku, namun engkau mempamerkan hidupmu di depanku. Hari akhirat menjadi perhitungan dan peringatanmu, dihati dan di lidahmu. Engkau bersungguh menunaikan hak orang ke atasmu, namun engkau berlebih kurang dengan hakmu di atas orang lain, kerana engkau takut kepada hari akhirat. Engkau memaafkan kesalahan orang, walaupun engkau mampu membalasnya, lantaran mengharapkan ia menjadi kifarat di Akhirat. Engkau selalu mengenetepikan keperluanmu agar mendapat ganjaran di Akhirat. Wajahmu terbayang dalam ingatanku, setiap kali kita selesai makan malam, engkau membacakan al-Fatihah dan engkau menujukan kepada roh kedua ibubapamu di negeri akhirat. Dan kami anak-anakmu yang kecil turut bersamamu membacanya, terputus di sana sini kerana kami masih belum menghafalnya dengan sempurna”.
Sayyid Qutb merupakan seorang yang genius malahan pernah diungkapkan oleh Abbas Mahmud Aqqad sebagai pelajarnya yang paling cerdas, mempunyai bakat dan kecederungan yang besar dalam bidang sastera dan penulisan.
Karyanya dalam pelbagai genre seperti puisi, sajak, cerita telah diterbitkan dalam pelbagai penerbitan malah sebelum menggabungkan diri beliau dengan Ikhwanul Muslimin, beliau lebih dikenali oleh khalayak Mesir sebagai seorang sasterawan.
Kesyahidan Hasan al-Banna pada 12 Februari 1949 telah menyeruak relung hati Sayyid Qutb untuk mengenali fikrah Ikhwan dan akhirnya beliau menggabungkan diri dalam bahtera Ikhwanul muslimin. Bermula dengan Exco Dakwah sehinggalah menjadi ideologue Ikhwan dengan pelbagai magnum opus yang memercik kesedaran kepada ummah yang sedang lena dibuai khayalan.
Regim Jamal Naser telah memenjarakan Sayyid Qutb dengan pelbagai tuduhan palsu, bahkan mengharamkan Ikhwanul Muslimin yang dilihat pesaing utama regim dalam medan politik Mesir.
Sayyid Qutb mendekam dalam penjara militer dan beliau tidak pernah mengangkat bendera putih dalam perjuangan. Sosok sesepuh dakwah ini terus menuang idea-idea daripada celah jeriji penjara, termasuk tafsir fenomenal “fi Zilalil Quran”.
Penghujung bulan Ogos ini, indah sekiranya kita semua, abnaul harakah mengenang kembali getir perjuangan as-syahid, yang mati di tiang gantungan regim Mesir pada 29 Ogos 1966. Perjuangan ini tidak bermula dengan kita, dan bukan diakhiri oleh kita, Sayyid Qutb antara keteladanan dakwah zaman kontemporari ini. – HARAKAHDAILY 24/8/2016
Penulis ialah AJK PAS Pusat dan AJK Tarbiah Pusat.
Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/42205-bahasa-jiwa-bangsa-filem-kita-adalah-wajah-kita
Indusri filem negara ini semakin berwarna warni dengan kehadiran produser lain yang memilih Malaysia sebagai latar cerita, contohnya filem “Kabali” yang berjaya memungut ratusan juta ringgit. Keterujaan ini menyebabkan isu bahasa Melayu dalam bidang perfileman mula dikesampingkan oleh pengarah-pengarah bukan Melayu.
1. Industri perfileman mesti selari dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang prinsip pertamanya berkaitan teras budaya Melayu di rantau ini sebagai tunggak utama termasuk bahasa.
2. Sebagai meraikan unsur-unsur budaya lain yang juga menjadi jati diri kaum-kaum bukan Melayu, penggunaan bahasa ibunda mereka dalam babak-babak perbualan antara kaum-kaum bukan Melayu dalam filem tersebut boleh diterima, tetapi bukan menggunakan bahasa asing. Perkara ini adalah semangat dari prinsip kedua Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
3. Perlu ditekankan juga, industri perfileman perlu memberi perhatian terhadap prinsip ketiga iaitu kehidupan beragama masyarakat Malaysia dalam filem-filem mereka, bukannya mengambil cara hidup dan adat resam Barat.
Industri perfileman memainkan peranan penting untuk mencorakkan pemikiran rakyat dan generasi muda, sebab itulah kelompok zionis berusaha menawan dunia pembuatan filem Hollywood. Filem bukan sekadar bahan hiburan kosong, disela imej, audio visual itu terselit mesin propaganda yang ingin disampaikan oleh penerbit filem. Negara ini mempunyai dasar yang longgar terhadap penggunaan bahasa rasmi negara dalam filem walaupun secara asasnya kita mempunyai Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Filem tempatan negara ini menggunakan bahasa pasar yang sangat hodoh seperti kebanyakan “filem sampah” yang tersenarai di papan utama industri filem.
Sewajarnya, elemen penggunaan bahasa jelek, hodoh dan cacamarba perlu dielakkan demi menjamin kelestarian bahasa Melayu, apatah lagi generasi muda yang masih mentah memindahkan pertuturan dalam filem kedalam realiti kehidupan yang sebenar. Jika kita sedar, kebanyakan negara-negara Asean mengalihbahasa drama dan filem asing kedalam acuan bahasa mereka sendiri. Ianya mengukuhkan jati diri sesebuah negara dan menyubur semangat patriotik ke dalam jiwa rakyat.
Pihak kerajaan melalui Finas sewajarnya memainkan peranan yang proaktif dalam memantau polisi dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dipatuhi dan mengembangkan nilai tempatan yang munasabah dalam filem berwajah Malaysia. Filem kita adalah cermin ketamadunan kita! – HARAKAHDAILY 18/8/2016
Penulis ialah Pengerusi Lujnah Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat.
Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/41384-kenangan-muktamar-zaman-olakan-jamaah
Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia menarik tirai mula dengan lebih harmoni. Kali ini dengan gimik tiga tokoh terpenting pemuda memakai pakaian tradisi pahlawan Melayu. Ucapan Tema Ketua DPPM juga sarat dengan arahan dan artikulasi tentang rencah sosiopolitik tanah air. Fikiranku menerawang jauh, mengingat kembali dua tahun lepas, muktamar DPPM di bumi Johor yang bersejarah.
“Mujur anta tak pengsan juga,” oceh Datuk Mustafa Ali sambil ketawa kecil menggenggam tangan saya sebelum bermula muktamar penuh PAS Pusat. Mantan Ketua Pemuda ini adalah antara arkitek gagasan kepimpinan ulama pada tahun 1982. Dewan Pemuda di zaman beliau mengambil tindakan berbeza dengan PAS Pusat dengan mengadakan muktamar berasingan di Bukit Mertajam. Muktamar itu adalah Muktamar Pemuda PAS yang melakar sejarah sehingga muktamar penuh PAS Pusat di Dewan Bahasa Dan Pustaka menjadi tegang, dramatik, malah menyebabkan Datuk Asri meletakkan jawatan sebagai Presiden apabila ucapan dasarnya ditolak. Paling kuat menentang Asri ialah anak-anak muda PAS, segelintirnya sangat tersihir dengan peristiwa ‘the black friday’ di Tehran.
Pemuda PAS pasca peralihan kepimpinan ulama menjadi elemen paling kuat untuk meneguhkan watak PAS sebagai gerakan Islam yang kompetitif. Mereka mengusulkan kewujudan Majlis Syura Ulamak untuk menjadi vanguard jamaah ini, juga menggerakkan dengan agresif gerakan jihad pendidikan yang digalang oleh ahli-ahli PAS sendiri. Anak- anak muda peserta kebangkitan Islam memilih PAS sebagai wadah mereka, apatah lagi dengan sikap vokal pemuda PAS terhadap regim Umno dan BN.
Pemuda PAS membayar harga yang mahal akan sikap vokal mereka terhadap regim apabila ramai kalangan pimpinan pemuda PAS dikurung dibawah ISA. Tangkapan demi tangkapan tak melunturkan istiqomah para pemuda menjadi pembenteng agama, walaupun digambarkan sebagai kelompok radikal dan ultra konservatif oleh media yang ditunggangi regim BN. Maksiat dan kemungkaran ditentang dengan gencar oleh pemuda PAS, suara mereka membela agama dan masyarakat tertindas.
30 tahun pasca perubahan kepimpinan ulama, peralihan kepimpinan dalam Dewan Pemuda PAS Pusat berjalan dengan lancar, jauh daripada ribut besar. Mudah difahami kerana sayap PAS ini paling bersungguh dalam program tarbiah dan tajnid, maka unsur politiking dapat dikawal dengan berkesan.
“Mengapa muktamar Pemuda PAS menjadi tegang, mengapa kita hilang adab,” tanya teman saya, seorang doktor perubatan yang juga aktivis bantuan kemanusiaan.
Saya terkedu dan membelek kembali kenangan selama dua dekad dalam pemuda, ramai yang bertanyakan tentang insiden keluar dewan oleh pemuda PAS semasa acara perasmian muktamar oleh Timbalan Presiden. Perkara sebegini belum pernah terjadi dalam muktamar hatta sebelum era kepimpinan ulama. Saya walaupun sebagai Timbalan Pengerusi Tetap Muktamar Pemuda, namun tidak berada dalam perasmian muktamar kerana sedikit keuzuran. Mesej masuk bertalu-talu masuk ke ponsel saya bertanyakan siapa dalang dan pemicu acara protes itu, saya tiada jawaban kerana tidak mencium maklumat itu.
Muktamar pemuda pada malamnya juga bersambung tegang sehingga Pengerusi Tetap sesak nafas dan saya mengambil alih sidang muktamar tersebut. Saya melepaskan pandangan pada ribuan anak muda yang memenuhi Dewan Choon Moi Kota Tinggi, watak “the young angry man” bermuka bersih, mereka bukan anak-anak muda jalanan tak berpendidikan. Seorang perwakilan pemuda dari Terengganu yang meluru di rostrum adalah bekas ADO Daerah Besut, lulusan UIA. Dewan gamat tingkah meningkah, ditambah barisan pemerhati yang turut merencah takbir dan sorakan. Saya menghentikan sidang dengan doa wehdah, kalimah yang akan menyatukan anak muda Islam yang bergabung dalam PAS, mendamaikan muktamirin dengan pengkisahan sejarah PAS.
Banyak muhasabah dan iktibar yang wajib dikutip dalam muktamar Dewan Pemuda kali ini, antaranya pemerkasaan tajnid para amilin. Usaha pembinaan kader-kader baru juga wajib menjadi agenda utama pemuda PAS kerana di luar sana pelbagai NGO menawarkan pelbagai tarikan pesona untuk menarik anak muda menyertai mereka. Pemuda PAS Pusat wajib menggilap figura-figura mereka dalam pelbagai bidang,dalam pengamatan saya exco-exco dalam pemuda Pusat hari ini kurang terserlah. Ini berkemungkinan kerana watak-watak baru, namun perlu digilap kompetensi. Percayalah bahawa saf pimpinan Pemuda Pusat wajib digalang oleh anak muda-anak muda Islam terbaik negara ini.
“Jadilah anak muda yang genius, pemberani, bukan berkain batik, pentaksub ilmu” itu nasihatku buat Pemuda PAS Malaysia, kerana alumni Pemuda PAS telah melakar pelbagai sejarah besar dalam harakatul ummah ini. – HARAKAHDAILY 1/6/2016
Penulis ialah Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/40763-pas-dalam-memperjuangkan-bahasa-melayu
Secara umumnya pendidikan Melayu yang diperkenalkan oleh British kepada rakyat negara ini adalah sebagai saingan kepada sistem pengajian Islam yang sedia ada dan pendidikan kepada orang Melayu adalah sekadar untuk membolehkan orang Melayu mengenali asas membaca, menulis dan mengira. Matlamat ini difahami kerana British tidak akan memunculkan golongan intelektual Melayu yang akan mengancam hegemoni kuasa mereka.
Kehadiran institusi sekolah pondok di Tanah Melayu sejak lama dahulu sehinggalah sekarang, telah memberikan impak yang besar terhadap pembangunan dan penyemaian nilai-nilai Islam terhadap bangsa Melayu. Sekolah pondok telah mengharungi sejarah yang panjang, bersaing dengan institusi konvensional yang lain, juga dengan sistem sekolah madrasah yang lebih tersusun dan menjanjikan kesinambungan tempat belajar yang lebih menjanjikan peluang kepada pelajarnya.
Sekolah pondok telah memberikan kesan yang mendalam terhadap masyarakat Islam di Malaysia, antaranya seperti berjaya mengukuh dan mengembangkan penggunaan tulisan jawi bagi memudahkan pembacaan Al Quran dan kitab-kitab agama, juga menjadi media perhubungan masyarakat bahkan dapat mengembang dan memperkaya bahasa Melayu. Selain dari memperkayakan bahasa sekaligus berjaya bagi mengembangkan kesusasteraan Melayu di rantau ini. Bukan sahaja buku-buku yang berunsur agama ditulis menerusi tulisan jawi, bahkan berbagai-bagai jenis buku ilmu pengetahuan dan kesusasteraan seperti hikayat, cerita-cerita penglipur lara, yang berbentuk prosa dan puisi ditulis dalam tulisan jawi.
Almarhum Datuk Fadzil Noor menjadi tenaga penting PAS di Kedah. Dengan berlakunya perubahan kepimpinan Ulama pada tahun 1982 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua PAS sebelum diberikan kepercayaan penuh oleh seluruh ahli PAS untuk menjadi Presiden PAS pada tahun 1989 sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 2002. Latar belakang yang kukuh dalam dunia pendidikan iaitu sebagai bekas guru dan pensyarah universiti, Ustaz Fadzil sangat mengambil berat tentang pendidikan, bermula dengan pra sekolah sehinggalah kolej universiti.
Menurut almarhum Datuk Fadzil Noor “Dilema Kementerian Pendidikan bukan sekadar was-was untuk mendaulatkan bahasa Malaysia sehingga timbul hasrat kerajaan BN sekarang untuk membenarkan beberapa pengajian di dalam bahasa Inggeris. PAS begitu peka dengan taraf dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal negara. Kepekaan ini telah mendorong PAS memperuntukkan di dalam perlembagaannya bahawa ianya akan terus dipertahankan kerana bahasa adalah sebahagian identiti bangsa yang perlu dipertahankan. Bahasa Melayu telah menjadi bahasa perantaraan malah perundangan bukan sahaja di negara ini tetapi juga di seluruh masyarakat Nusantara.
Apakah yang lebih utama ialah bahasa Melayu adalah menjadi bahasa ilmu Islam di samping bahasa Arab yang sekian lama berkembang. Kita kesal dengan sikap kerajaan yang telah mula tidak memberikan perhatian wajar kepada bahasa ini kerana mementingkan bahasa rakan dagangan bahkan telah mula memberi laluan dan keutamaan kepada bahasa Inggeris termasuk menjadi bahasa pengantar di pusat-pusat pengajian tinggi seperti yang telah dinyatakan. Kita tidak menolak kebaikan menguasai berbagai-bagai bahasa”.
Tuan Guru Haji Abdul Hadi juga selaku Presiden PAS telah membantah pelaksanaan pengajaran matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. PAS akhirnya bersama-sama NGO dan individu-individu pencinta bahasa Melayu telah bergabung dalam PPSMI dan akhirnya telah mengadakan bantahan awam di ibu negara. Abdul Hadi dan pimpinan NGO telah menyertai himpunan ini dengan acara menghantar memorandum bantahan kepada YDPA. Bantahan dan gelombang kesedaran tentang kesan buruk pengajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris, akhirnya telah memberikan tekanan politik yang hebat kepada BN dan Umno sehinggalah kerajaan telah memutuskan untuk mengembalikan pengajaran matematik dan sains kepada bahasa Melayu semula.
Kesan daripada kurang perancangan dan juga campur tangan politik yang berlebihan dalam sistem pendidikan maka berlakulah ketempangan kesan yang dapat dijangka. Generasi minda yang terlibat dengan gejala social semakin parah dan indeks jenayah yang melibatkan generasi muda semakin ketara.
Datuk Seri Haji Abdul Hadi telah menggalas jawatan Presiden PAS selepas kematian Ustaz Fadzil Noor pada tahun 2002 akibat pembedahan jantung. Dengan latar belakang pendidikan yang mantap beliau telah meletakkan pendidikan sebagai agenda utama dalam PAS. Beliau dengan lantang mengkritik dasar pendidikan yang gagal melahirkan pelajar kompeten dan berakhlak mulia:
“Akibat dari tindakan seperti itu berlakulah kejutan demi kejutan. Gejala samseng hingga ke sekolah elit, salah laku pelajar dari memeras ugut hinggalah merogol dan membunuh menyelubungi dunia pendidikan. Penipuan IPT swasta, mutu pencapaian pelajar yang semakin menurun, rating IPTA yang semakin merudum, belanja pendidikan yang semakin meningkat di luar kemampuan rakyat, rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam pengendalian projek-projek kementerian, campu rtangan politik Umno dalam kampus, kesan negatif pelaksanaan AUKU, dan sebagainya adalah di antara kesan langsung yang mencoreng hitam pendidikan Negara”
“Secara halus dasar pelajaran negara menyelitkan jarum anti tulisan jawi, anti pendidikan Islam, dan anti penggunaan bahasa Melayu. Semua sifat ini tidak mencerminkan roh dan zat kebudayaan Melayu yang di war-warkan bagi menjadi teras kebudayaan nasional. Tulisan jawi sudah lama berkubur hingga kebanyakan kuliah di masjid dan surau menggunakan kitab rumi. Pendidikan Islam kini dalam proses penghakisan apabila bantuan SAR telah dihentikan. Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah dan institusi pengajian tinggi mulai digantikan dengan bahasa Inggeris. Semua perkembangan dalam pendidikan itu adalah satu pelaksanaan dasar anti-Nasional yang tidak lagi tersembunyi.”
Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/40476-gerakan-dakwah-malaysia-dan-institusi-pendidikan
Gerakan dakwah Malaysia dan institusi pendidikan (Siri I)
GERAKAN dakwah di negara ini juga mempunyai peranan dan sumbangan mereka yang tersendiri dalam menggerakkan pendidikan Islam di negara ini.
Berakar dengan sejarah Islam yang menyaksikan Nabi Muhammad SAW membangunkan masyarakat dengan pendidikan dan pencerahan. Semenjak sebelum merdeka, angin kesedaran menuntut kemerdekaan tidak pernah terpisah dengan gerakan pendidikan di negara ini.
Perkembangan Islam di Tanah Melayu juga berkait rapat dengan perkembangan Islam di luar negara apatah lagi di awal abad ke-20, sistem perhubungan dunia semakin pesat berkembang diikuti dengan alat-alat sebaran am seperti akhbar dan majalah.
Umat Islam sebahagian besar mengalami penjajahan kuasa Barat pada abad ke-19 dan di awal abad ke-20, keresahan masyarakat Islam ini telah disambut ghairah oleh segelintir anak-anak muda berpendidikan Timur Tengah dengan membahterai perjuangan mengembalikan semula roh perjuangan kesejagatan Islam atau dikenali sebagai pan-Islamisme.
Di negara ini, telah muncul pada permulaan abad ini orang seperti Syed Syeikh al-Hadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Mereka mahukan kemajuan bagi masyarakat Islam di negara ini.
Pergerakan mereka sebenarnya adalah pancaran dari gerakan yang lebih luas di negara-negara Islam Timur Tengah yang dipelopori oleh Jamaluddin Afghani dan Muhamad Abduh. Mereka berdua ini menganggap Islam sebagai bertentangan dengan imperialisme, dan mahu melihat masyarakat Islam bangkit dan maju atas kekuatannya sendiri berlandaskan pengajarannya.
Mereka juga memandang unsur-unsur kepercayaan tradisional melemahkan semangat umat Islam. Di negara ini, Syed Syeikh dan Syeikh Tahir telah menerbitkan majalah, mengarang buku, membuka sekolah dan terus berbahas menentang apa yang mereka pandang sebagai bidaah dalam masyarakat Melayu.
Mereka digelar sebagai kaum muda. Gerakan kaum muda ini telah meluas bukan sahaja di negara ini, tetapi juga di rantau Indonesia.
Gerakan ini telah membumbui api semangat orang Melayu negara ini untuk menuntut ilmu dan melakukan reformasi minda untuk berhadapan dengan cabaran dunia moden terutama penjajahan Barat yang merancang dengan halus keterpurukan kaum Bumiputera. Tokoh-tokoh gerakan reformis ini juga banyak menubuhkan sekolah-sekolah madrasah untuk melakukan pencerahan kepada masyarakat.
Sebelum negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, terdapat arus yang kuat daripada golongan agama untuk menggerakkan kesedaran pendidikan di kalangan orang Islam di negara ini. Fenomena ini terjadi berpunca daripada keterpurukan bangsa Melayu berbanding kaum lain yang lebih berpeluang mendapatkan pendidikan.
Juga kesan daripada semangat nasionalisme yang turut disertai dengan keinginan membina intelektualisme bagi berhadapan dengan penjajah. Terdapat gerakan atau badan yang ditubuhkan untuk mengangkat martabat bangsa melalui medium pendidikan di negara ini.
Antara badan yang ditubuhkan untuk tujuan murni ini ialah LEPIR (Lembaga Pendidikan Rakyat), yang ditubuhkan hasil kesedaran Badan Kebajikan Pelajaran MATA untuk membangunkan pendidikan tinggi orang Melayu.
Hasil daripada lawatan MATA ke seluruh Tanah Melayu, didapati keadaan pendidikan orang Melayu sangat lemah. Ini memang suatu hal yang sangat ketara sekali pada masa itu. Bukan sahaja soal pendidikan tinggi agak asing bagi kebanyakan orang Melayu, tetapi juga soal mendapatkan pelajaran rendah dan menengah masih juga tidak memuaskan di kalangan orang Melayu.
Kongres untuk menubuhkan LEPIR dibuat pada 1-2 September 1947 di Maktab Mahmud, Alor Setar, Kedah. Kongres ini dihadiri oleh lebih kurang 300 orang termasuk tokoh-tokoh agama yang penting dari Sumatera, iaitu Haji Latif Zaki yang mengajar di Maktab Muhammadiah, Sumatera dan Haji Lubis dari Medan.
Dr. Burhanuddin dan Ishak Haji Muhammad juga turut hadir sebagai menunjukkan kerjasama yang erat antara golongan radikal Melayu dengan golongan berpendidikan Islam. Beberapa resolusi telah dihasilkan daripada perbincangan kongres itu. Antaranya termasuklah:
1.Mengutip derma untuk mendirikan Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR).
2.Menerbitkan akhbar dan majalah.
3.Memperbanyakkan sekolah rakyat.
4.Menubuhkan derma pelajaran untuk menghantar pelajar ke luar negara.
5.Menyamatarafkan kurikulum pendidikan dalam negeri dengan di luar negara.
6.Membantah tindakan kerajaan melarang berpolitik di sekolah-sekolah.
7.Meminta kerajaan menghapuskan Bahagian 9 Undang-Undang Islam 1904 Negeri-negeri Melayu Bersekutu, iaitu kerajaan memberi tauliah kepada mereka yang mengajar agama.
Resolusi daripada kongres ini mencerminkan hasrat dan cita-cita besar LEPIR untuk mengangkat martabat pendidikan Islam dan anak-anak bangsa di Tanah Melayu ini.
Ia juga dimanifestasikan daripada kebencian kelompok agama terhadap penjajah yang secara sedar cuba menganaktikan pendidikan Islam di Tanah Melayu.
Penubuhan LEPIR bertitik-tolak daripada kesedaran orang Melayu untuk membajai kesedaran menuntut ilmu di kalangan orang Melayu, terutama tentang kepentingan pendidikan tinggi di mana orang Melayu agak ketinggalan akibat dasar penjajah British sendiri. – HARAKAHDAILY 21/3/2016
(Penulis adalah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Tarbiah Pusat)
Sumber : http://www.m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/39485-perkembangan-pendidikan-tinggi-di-kelantan
KELANTAN di bawah pimpinan PAS juga telah menganjak ke hadapan dengan menubuhkan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan di Nilam Puri pada tahun 1965. Pusat pengajian tinggi Islam ini diletakkan dalam sebuah kampus yang pada asalnya ialah Istana Sultan Kelantan yang dinamakan Istana Nilam Puri. Ia terletak 10 kilometer dari Kota Bharu. Pada tahun 1969, nama institusi pendidikan tinggi ini diganti namanya dengan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (Halim Mohd Diah,1989 ).
Sewaktu pertama kali yayasan ini didirikan, ia hanya memiliki satu fakulti sahaja, iaitu Fakulti Syariah dan Undang-Undang (Kuliah As-Syariah Wal Qanun). Kemudian pada bulan Oktober 1966 dibuka pula Maahad Dakwah Wal Imamah (Maktab Dakwah dan Kepimpinan).
Tujuan maktab ini ditubuhkan ialah untuk mendidik kader-kader dalam bidang dakwah dan kepimpinan masyarakat Islam. Di samping itu juga ia merupakan sekolah persediaan untuk memasuki fakulti. Kemudiannya Maahad ini ditutup dan diganti dengan al-Qismu At-Taujihi (bahagian persediaan) yang berfungsi sebagai sekolah persediaan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan, Nilam Puri.
Pada tahun 1971 dibuka pula Bahagian Pendidikan (Qismu Tarbiah). Tujuannya ialah, untuk melatih para bakal guru yang berkebolehan dan layak dalam menjalankan tugas mereka sebagai pendidik. Kemudian pada tahun 1974, dibuka pula sebuah fakulti baru, iaitu Fakulti Usuluddin dan Kemasyarakatan.
Yayasan ini berjalan sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi Islam dengan taraf sebagai sebuah badan berkanun di bawah Kerajaan Negeri Kelantan sehinggalah ia digabungkan ke dalam Universiti Malaya.
Kerajaan Negeri Kelantan di bawah kepimpinan Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat juga turut memberikan perhatian kepada pusat pengajian tinggi dan peluang pengajian tinggi kepada anak-anak Kelantan.
Di antara institusi pengajian tinggi yang telah ditubuhkan ialah Maahad Dakwah Wal Imamah di mana tujuan penubuhan maahad ini adalah bertujuan untuk merancakkan pendidikan tinggi Islam di Kelantan.
Antara institusi pengajian tinggi yang ditubuhkan oleh Kerajaan Kelantan ialah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). Kolej ini terletak di Nilam Puri yang bertujuan untuk menampung keperluan pendidikan tinggi yang berteraskan ajaran Islam, melahirkan generasi berpendidikan tinggi bagi menampung keperluan golongan intelektual Islam. Antara matlamat lain penubuhan kolej ini ialah untuk memberi pendidikan tinggi yang secukupnya kepada rakyat negeri Kelantan.
Penubuhan KIAS adalah lanjutan sejarah daripada penubuhan YPTIK yang telah ditubuhkan pada tahun 1965, di mana institusi ini menjadi Akademi Islam Universiti Malaya pada tahun 1981. Pada tahun 1994, Kerajaan Negeri Kelantan telah menubuhkan Maahad Dakwah Wal Imamah dengan hasrat menggerakkan dan mewujudkan pengajian tinggi Islam di Kelantan.
Maahad Dakwah akhirnya distrukturkan semula dengan mengambil kira perubahan-perubahan terkini yang berlaku dalam pendidikan tinggi di negara ini.
Pada tanggal 24 ogos 1999, KIAS telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Kelantan dan mula membina reputasi sebagai pusat pengajian yang menerima pelajar dari dalam dan luar negara.
KIAS telah menyediakan pelbagai bidang pengajian seperti Diploma Syariah, Diploma Usuluddin, Diploma Dakwah wal al-Qiadah. Pada tahun 2002/2003, KIAS telah menawarkan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Ijazah sarjana Muda Usuluddin dengan kerjasama Universiti al-Azhar di Mesir, Jordan, Syria, dan Morocco.
Juga melaksanakan kerjasama dengan Kolej Universiti Insaniah Kedah. Tenaga pengajarnya terdiri daripada mereka yang berpengalaman menjadi tenaga pensyarah di universiti tempatan seperti Dr. Johari Mat, Dr. Muhammad Daud, dan Dr. Bassit Abdul Rahman. Pelajar-pelajar KIAS juga berpeluang untuk menyambung pelajaran ke institusi lain di dalam dan luar negara. – HARAKAHDAILY 15/1/2016
Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Tarbiah Pusat
Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/39555-25-tahun-unit-amal-belahan-jiwa-kami
PEJAM celik dengan masa yang bergulir pantas, kini Unit Amal mendakap umurnya yang ke-25 tahun. Badan beruniform ini tak pernah lelah menabur bakti di medan operasi masyarakat sehingga mengharumkan nama PAS, sebagai entiti yang tegak diatas fondasi siasah, dakwah dan tarbiah.
Jika anda memulakan langkah dalam jemaah bersama Dewan Pemuda, maka Unit Amal adalah segmen yang wajib disertai. Dalam organisasi ini, kita akan diajar bekerja dan mentaati arahan serta disiplin berjemaah. Aku juga memulakan langkah pertama dalam harakatul ummah ini melalui penglibatan dalam Unit Amal. Unit Amal Lembah Pantai, semuanya bermula di sini. Cinta dan pengorbanan.
Aku menoleh kiri dan kanan pada anak-anak muda yang berdesakan mengiringi Tuan Guru Haji Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS yang juga ahli Parlimen Marang. Sosok ini seperti tarikan magnet kepada orang ramai terutama anak muda yang berfikrah Islam.
Senario ini pada tahun 1992, saat aku masih menyandang gelaran mahasiswa Universiti Malaya, masa terluang mengikuti Unit Amal Lembah Pantai yang dipimpin oleh Haji Uzir Ahmad. Seorang kontraktor landskap lulusan UiTM berjanggut panjang. Haji Uzir berasal dari Perak dan menjadi jemaah tetap Masjid Ar-Rahman.
Tidak ramai anak-anak kampus Universiti Malaya yang terlibat dengan Unit Amal kerana gerakan pelajar lebih mempunyai tarikan pesona berbanding gerakan kepermudaan di Kawasan Lembah Pantai.
Pada masa itu, Unit Amal masih lagi begitu baru di medan masyarakat, walaupun Pemuda PAS mempunyai gerakan kepanduan mereka sendiri semenjak era dekad 1960-an dan 1970-an.
Aku teringat Almarhum Ustaz Hasan Shukri yang menceritakan bagaimana gerakan pemuda Syuhada di zamannya yang mengadakan mukhaiyam, aktiviti berkawad, juga aktiviti seni silat. Apatah lagi pemuda Umno yang terkenal dengan pemuda tahan lasak, mengganggu aktiviti yang diadakan oleh PAS.
Kewujudan gerakan kepanduan Pemuda PAS ini dibuktikan dengan gambar-gambar kawad dan perbarisan setiap kali majlis besar yang diadakan oleh PAS.
Kewujudan gerakan kepanduan berteraskan khidmat kebajikan dan sukarela bagi gerakan Islam, bukanlah sesuatu yang baru atau hanya muncul di negara ini.
Gerakan fenomenal dunia seperti Ikhwanul Muslimin, jauh lebih awal mempunyai sayap kepanduan Syabab Ikhwan (Abdul Muiz: 2001). Begitu juga Jamiat Islami di belahan sub kontinen, mempunyai gerakan kepanduan yang berkhidmat untuk membantu masyarakat dan juga sayap gerakan yang penting.
Di Indonesia pula, Masyumi (Majlis Syura Muslimin Indonesia), mempunyai gerakan kepanduan yang menghimpunkan ramai anak muda, sehinggalah wadah politik Islam ini diharamkan oleh Soekarno, akhirnya memaksa sebahagian aktivis mengangkat senjata.
Unit Amal mengorak langkah menjuarai bidang kebajikan, membantu program PAS di semua peringkat, menghimpunkan anak muda yang cenderung dalam bidang kepanduan (pengakap), menarik anak muda kepada fikrah perjuangan Islam bahkan terlibat dengan misi-misi bantuan di seluruh dunia.
Bukan sedikit ujian melanda badan sukarela ini, termasuk cuba mengaitkan mereka dengan tujuan ketenteraan, namun Unit Amal membuktikan mereka hadir di tengah masyarakat untuk berbakti dan berbudi.
Apabila negara dilanda musibah banjir, mereka ‘beruniform merah’ ini berada di barisan hadapan, jauh lebih awal daripada agensi kerajaan sendiri.
Kelompok relawan berbaju merah ini berjaya memecahkan tembok kaca PAS dengan masyarakat, mengikis imej parti eksklusif pak lebai dan agamawan. Unit Amal dengan pelbagai kepakaran dan latar belakang keanggotaan, daripada buruh sehinggalah ahli akademik, usahawan, profesional muda.
Kepelbagaian latar belakang ini merencahkan Unit Amal menjadi pasukan yang kuat, disegani malah dihormati oleh pihak polis sendiri. Aku secara peribadi menemui pegawai-pegawai kanan polis dan mereka memuji Unit Amal berkerja tanpa mengharapkan habuan duniawi, berpanas terik serta bermandi hujan.
Mereka berkerja tanpa upah, mampu diarah, berdisiplin tinggi, menjaga reputasi sebagai barisan hadapan jemaah Islam, berembun dan berpanasan untuk program PAS dan masyarakat.
Negara ini tidak mampu berbohong tentang asas dan kepakaran Unit Amal, mereka mengawal peserta-peserta bantahan awam daripada bertindak liar, menjaga keselamatan peserta dan juga mendisiplinkan para demonstran.
Unit Amal membantu pihak keselamatan, bomba dan penyelamat jika berlaku kes kemalangan, hilang di hutan atau sungai, bencana kebakaran besar, malah turut menjadi aktiviti ko-kurikulum di sekolah-sekolah Islam. Unit ini dikenali sebagai kadet amal serta dilatih daripada awal untuk menjadi aktivis yang berorientasikan khidmat masyarakat.
Unit Amal tidak mudah digertak, aku teringatkan pada tahun 2002 apabila berlangsung Jambori Amal Peringkat Kebangsaan di Taman Templer, sekitar tapak jambori dikepung oleh FRU. Pada masa itu isu milintasi sangat mencuat, antaranya kes serangan WTC dan al-Maunah. Pihak kerajaan BN mengambil kesempatan untuk menyulitkan pergerakan anggota amal dalam berprogram.
Aku menjadi Pengarah Jambori tersebut, program berlangsung dengan berjaya walaupun digertak untuk ditahan semua peserta Jambori Amal oleh pihak polis. Lebih seribu peserta berhimpun termasuk Amal Nisa’. Ustaz Kapten (B) Jamsari Marsom adalah Pengarah Amal Malaysia dan beliau adalah pesara pegawai tentera yang hebat. Termasuk pernah terlibat bersama PBB dalam misi pengaman ke Bosnia Herzagovena. Beliau berhujah dengan OCPD tentang jambori dan kandungan jambori dengan hujah-hujah keselamatan.
Kepada pembenci-pembenci Unit Amal, abaikan mimpi kamu untuk melenyapkan Unit Amal bersama denyut nafas kami, seluruh ahli-ahli Parti Islam.
Mereka tidak menagih upah dan tanda jasa di atas khidmat bakti mereka, moto gerakan kepanduan PAS ini, “Di mana ada kesusahan, di situlah adanya kami”. Mereka akan berdiri tegap dalam majlis-majlis rasmi PAS, siap untuk diperiksa perbarisan oleh pimpinan utama PAS.
Tidak kurang anggota amal yang meninggal dunia saat sedang melakukan misi bantuan. Seorang anggota amal, Abang Mad yang sangat baik denganku, meninggal dunia ketika membantu mendirikan rumah mangsa banjir Kuala Krai. Beliau suka berkhidmat termasuk membantu kerja siak di Surau Muttaqun USJ 12, Selangor.
Seorang veteran amal yang juga bekas anggota komando tentera Malaysia, iaitu Abang Rahim dari Perak antara anggota Amal yang popular. Beliau jarang gagal untuk bertugas dan pernah terlibat mencari orang hilang. Beliau cekap seumpama belut, bahkan dengan tubuh tegap seperti berusia 20-an walaupun Abang Rahim Komando telah mencecah 60 tahun.
Selama tempoh 25 tahun ini, Amal telah melalui pelbagai pahit getir, asam manis perjuangan dan tak lekang ditohmah para pembencinya. Aku merasa beruntung menjadi sebahagian daripada anggota Amal, mengenali teman-teman aktivis Amal yang tekun dan istiqomah seperti Cikgu Husein Ismail, Pak Jamu, Kapten Jamsari, Cikgu Li Terengganu, arwah Zainuddin Kubur Maras, arwah Abdul Aziz Marang (meninggal 17 Januari 2016) dan ribuan yang lain. Selamat menuai bakti untuk dekad-dekad seterusnya, Amal Malaysia. –HARAKAHDAILY 19/1/2015
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi Lujnah Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat)
Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/39168-pasti-tiga-dekad-yang-berjasa-buat-ummah
Pasti: Tiga Dekad Yang Berjasa Buat Ummah (Siri 1)
TAHUN 2015 melabuhkan tirainya yang sarat dengan peristiwa, suka duka coret kehidupan yang memancing cebikan buat rakyat jembel negara ini. Rakyat negara ini terpaksa berhemat dalam kehidupan yang nilai wang yang semakin merudum dan kuasa beli yang merosot.
Mereka juga terpaksa memilih institusi pendidikan untuk anak-anak yang berkualiti namun kosnya rendah. Antara pendidikan prasekolah yang mencuat namanya di tanahair ini ialah Pasti, menjadi fenomenal serta membanggakan para pendokong perjuangan Islam.
Dalam perhimpunan Agung Umno, nama Pasti disebut kecemerlangan dan Tadika Kemas diminta mencontohi Pasti yang melahirkan pelajar berkualiti serta seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Ratusan ribu alumni Pasti kini berkhidmat membangunkan negara ini termasuk para profesional aras tinggi seperti Shahir Sulaiman, Siti Fatimah Ismail dan lain-lain lagi.
Dengan perkembangan pantas landskap politik, ekonomi dan sosial negara ini selepas kemerdekaan. Pendidikan prasekolah telah dibangunkan dengan pesat sama ada oleh pihak kerajaan, kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan, kesatuan sekerja setempat, badan-badan Islam seperti Perkim, persatuan gereja-gereja kristian, pertubuhan politik dan juga NGO-NGO Islam.
Berlakunya kebangkitan Islam di negara ini dalam dasawarsa 70-an dan 80-an telah turut menyemarakkan perkembangan pendidikan prasekolah, permintaan rakyat terhadap institusi pendidikan prasekolah Islam telah meningkat dengan berlakunya kesedaran Islam dalam keadaan peserta kebangkitan Islam tidak berpuas hati dengan prasekolah konvensional yang sedia ada di negara ini.
Riak untuk menubuhkan pusat prasekolah yang berorientasikan Islam semakin hebat pada penghujung dekad 70-an, terutama apabila kelompok kelas menengah Melayu semakin membesar terutama yang mempunyai kesedaran Islam. Penubuhan tadika-tadika Islam ini juga mempunyai sejarah yang menarik apabila ia berlaku persefahaman di antara ABIM dan juga Dewan Pemuda PAS Pusat.
ABIM diamanahkan untuk menggerakkan institusi prasekolah ini yang dikenali sebagai TASKI (Taman Asuhan Kanak-kanak Islam). Pendokong ABIM pula sebahagian besarnya adalah aktivis PAS sehinggalah Anwar Ibrahim menyertai Umno pada tahun 1982 yang menyebabkan sebahagian besar ahli ABIM yang juga aktivis PAS telah meninggalkan ABIM.
Di Terengganu pada tahun 1985, TASKI telah dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Terengganu, manakala di Kelantan pula pusat pendidikan prasekolah yang ditaja oleh Lajnah Tarbiah Dewan Pemuda PAS Kelantan dikenali sebagai Putra Islam.
Menurut Fauzi Zakaria, Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan iaitu Mohamad Hussin telah mengadakan beberapa kali pertemuan dengan siswazah-siswazah Islam, aktivis pelajar Islam dan juga pihak lujnah tarbiah pemuda untuk menggubal sukatan dan skop pengajian prasekolah ini.
Di negeri Kedah pula telah diwujudkan pendidikan prasekolah dibawah kendalian Dewan Pemuda PAS Kedah yang dikenali sebagai Pusat Asuhan Tunas Islam. Dewan Pemuda PAS Kedah yang dipimpin oleh Najib Pahmi Yahaya telah menubuhkan Pasti di setiap kawasan di Kedah yang dikendalikan oleh Pemuda PAS kawasan masing-masing.
Menurut Haji Fauzi Husain, kebangkitan pendidikan pra sekolah Pasti ini berpunca daripada Majlis Ihtifal Pasti bertempat di Bangunan Tepian Gelanggang oleh Tuanku Sultanah Bahiyah iaitu Permaisuri Sultan Kedah sendiri pada penghujung tahun 1988. Penubuhan Pasti dengan pantas mendapat sambutan di Kedah termasuk pelajar bukan Islam turut dihantar belajar seperti di kawasan Padang Serai dan juga Kodiang, Kedah.
Perkembangan pesat pendidikan prasekolah di bawah kendalian Dewan-dewan Pemuda PAS Negeri telah menyebabkan timbulnya usul dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat pada tahun 1988 supaya diwujudkan program pendidikan untuk anak-anak ahli PAS.
Keprihatinan pemuda PAS ini juga berkait rapat dengan persaingan agenda kaderisasi dengan pertubuhan Islam lain di negara ini dan juga manifestasi kekecewaan Pemuda PAS dengan sistem pendidikan negara yang dilihat gagal melahirkan pelajar yang memahami Islam dengan baik.
Dewan Pemuda PAS Pusat yang sewaktu itu dipimpin oleh Haji Abu Bakar Chik telah mengambil tindakan susulan daripada usul muktamar Pemuda PAS.
Satu tindakan diambil dalam mesyuarat bulanan Dewan Pemuda PAS Pusat yang bersidang pada 6 Mei 1988 telah memutuskan penggunaan nama PASTI untuk semua institusi prasekolah milik ahli PAS dan sebuah jabatan yang dikenali sebagai jabatan pendidikan prasekolah dibentuk diperingkat pusat diketuai oleh Abu Bakar Abdullah untuk menyelaraskan pendidikan prasekolah ini.
Pada 29-30 Mei 1988 telah berlangsung seminar prasekolah di Masjid Rusila, Terengganu yang telah dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat. Seminar ini adalah rentetan daripada keseriusan Dewan Pemuda PAS untuk merakyatkan pendidikan prasekolah yang berorientasikan Islam di negara ini dengan penglibatan PAS dengan sistematik.
Dua orang tokoh pendidikan PAS telah membentangkan kertas kerja iaitu Harun Taib dan Abdul Halim Arshad.
Dalam sejarah penubuhan PASTI dan perkembangannya, Abu Bakar Abdullah telah dilantik sebagai pengarahnya yang pertama pada 18 Mei 1989, manakala Mohd Najib Fahami Yahaya sebagai Timbalan Pengarah PASTI Pusat.
Setiausaha PASTI Pusat yang pertama ialah Ishak Ismail manakala bendaharinya ialah Noh Ahmad. Semua pengarah-Pengarah PASTI negeri telah dilantik untuk menganggotai Jawatankuasa PASTI peringkat Pusat. – HARAKAHDAILY 26/12/2015
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Tarbiah Pusat)