Archive for Disember, 2012
Azimat atau tangkal selalu dipanggil dengan ungkapan ‘jimat’ atau gimat oleh masyarakat kami. Ketika zaman kanak-kanak, apabila bercampur dengan masyarakat mendengar cerita mereka, azimat disebut sebagai ‘jimat’ atau ‘gimat’.
Azimat yang dibentang kepada saya baru-baru ini dibawa oleh seorang sahabat yang sebelum itu menerima daripada orang lain. Demikianlah budaya sebahagian masyarakat yang masih terpengaruh dengan amalan salah seumpama ini, beramal dan menggunakan azimat di dalam kehidupan seharian. Ada yang membawanya di dalam dompet, ikat di pinggang, di baju dalam, di kereta dan sebagainya.
Yang nyata, azimat, tangkal dan wafak tidak memberi apa-apa kebaikan, kekuasaan dan sebagainya dalam kehidupan. Bahkan menjadikan pengamalnya mendapat dosa kerana berlaku syirik kepada Allah.
Saya pernah mencatatkan hasrat dan keinginan sahabat kami yang memulakan kelas iqra secara solo dengan saya. Ia sudah bermula beberapa kali, dan beliau dengan susah payahnya telah selesai iqra 1. Beliau mula menarik seorang sahabat baru dari taman perumahannya yang sama untuk turut belajar sama, walaupun umur sama-sama melepasi 40an. Tiada istilah lambat untuk memulakan kebaikan.
Seperti yang pernah saya catatkan, – semoga beliau membaca catatan ini – agar menyemai dua sikap iaitu sabar dan istiqamah. Biarlah sedikit tetapi istiqamah – tetap pendirian, lurus atas usaha belajar iqra dan kemudiannya al-Quran. Oh ya, kelas kami berjalan selepas kuliah maghrib saya di Surau Taman Austral setiap rabu antara jam 8.45 sehingga letih dan penat. Doakan beliau dan sahabat baru kami ini.
Berbahagialah anakanda kami Abdul Hadi yang dikelilingi oleh perempuan-perempuan yang baik dan mulia saat kami berkumpul dan bergembira menyambut ulangtahunnya ke-6 tempohari. Abdul Hadi dikelilingi oleh Umminya, dua kakak dan dua adik perempuannya serta 5 orang kakak-kakak siswi penghafaz al-Quran yang bermalam di rumah kami.
Hanya ada dua orang lelaki, iaitu saya dan adik bungsunya Muhammad Ubay. Sambutan yang istiewa buat abang Abdul Hadi sebab keseluruhannya 3 kali menyambut ulangtahun. Sekali di PASTI sebelum cuti sekolah, kali kedua di rumah kami dan kali ketiga dirancang di rumah Atok bersama sepupu-sepupunya menjelang tahun baru 2013.
Perjalanan balik dari Kg Gelapas Trusan, singgah di Kg Awat-Awat serta pusing sekitar Sundar, ambil gambar di Pusat Latihan Islam Lawas, kemudian singgah pula di Bandar Lawas yang mendamaikan. Cari buah untuk dibawa balik ke Labuan dan Kota Kinabalu memandangkan buah-buahan di dusun kampung sudah berada di penghujung musim.
Dari Lawas kembali ke sempadan Merapok-Sindumin, berjumpa lagi di tepi jalan gerai-gerai yang menjual buah-buahan, singgah lagi memandangkan harga yang masih murah dan bajet pun masih berbaki. Untuk dibawa balik, hilux penuh dengan durian, rambutan, cempedak, rambai, langsat, mangga, manggis dan lain-lain.
Khatib : Imam Amiruddin Amir
Lokasi : Masjid Negeri Sabah
“…Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu…”. (Surah AlMaidah, ayat: 3)
Ayat ini, dengan amat jelas lagi terang menegaskan Islam itu agama yang sempurna dan agama yang benar-benar diakui dan diredhai di sisi Allah SWT. Islam tidak perlu tokok tambah sama ada dalam aqidah dan syariatnya.
Bagaimanapun hari ini masih ada lagi pelbagai fahaman dibawa dan disebarkan dalam masyarakat tanpa berasaskan kepada panduan petunjuk Kitab Suci Al Quran, Sunnah Rasulullah SAW, Ijmak para Ulama muktabar dan Qiyas. Antaranya amalan khurafat, bid’ah dan ajaran sesat.
Ingatlah bahawa sesungguhnya amalan khurafat yang diada-adakan adalah tertolak atau tidak diterima di dalam Islam, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Sesiapa yang mengerjakan sesuatu pekerjaan /amalan (mengada-adakan) yang tiada di dalam agama kami, maka yang dikerjakannya/diamalkannya itu tertolak”. (HR Imam Muslim dan Imam Ahmad daripada A’syah RA).
Pengajaran penting daripada Hadith ini, ialah:
1. Islam adalah agama yang mempunyai prinsip, dasar dan asas yang bertunjangkan petunjuk Al Quran, Sunnah Rasulullah SAW, Ijmak dan Qiyas.
2. Umat Islam hendaklah melakukan amal ibadah mengikut cara dan kaedah yang ditentukan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya.
3. Sesiapa yang mengamalkan sesuatu amalan yang tidak ada asas daripada petunjuk Al Quran, Sunnah Rasulullah SAW, Ijmak Ulama dan qiyas adalah ditolak dalam Islam.
4. Islam melarang umatnya mengamalkan apa jua amalan yang tidak bersandarkan kepada petunjuk Al Quran, Sunnah Rasulullah SAW, Ijmak Ulama dan Qiyas.
Berbetulan dengan bulan Safar ini, marilah bersama-sama kita menolak dan membasmi segala amalan khurafat yang berlaku dalam masyarakat Islam. Seterusnya berusaha memperbetulkan salah anggap dan salah faham oleh sebilangan umat Islam hari ini, kerana masih ada yang percaya serta berpegang dengan kefahaman salah mempercayai kononnya bulan Safar ini bulan nahas, bulan sial, bulan malang dan lainlain lagi dakwaan yang menyalahi aqidah dan Syariat Islam.
“Kemudian apabila datang kepada mereka kesenangan, mereka berkata: ‘Ini ialah hasil usaha kami’, dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka mengatakan nahas dan malang itu disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya. (Tuhan berfirman): Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya ditetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui”. (Surah Al-A’raaf, ayat: 131)
Perbuatan menyandarkan keburukan kepada sesuatu adalah perbuatan syirik. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “At-Thiyarah (perbuatan menyandarkan keburukan kepada sesuatu) itu adalah syirik, at-thiyarah itu syirik tiga kali. Dan tidak ada seorang pun dari kita kecuali (telah terjadi dalam dirinya at-thiyarah tersebut) akan tetapi Allah menghilangkannya dengan tawakkal”. (HR Abu Daud)
Merujuk mafhum ayat dan Hadith ini, jelas bahawa amalan khurafat atau kepercayaan menyandarkan nahas, kemalangan dan kejadian buruk kepada seseorang atau sesuatu adalah dilarang di dalam Islam. Pada hal, nahas dan sial itu bukan disebabkan bulan-bulan tertentu. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatupun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia-lah (Allah) Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang beriman bertawakkal”. (Surah At-Taubah, ayat: 51)
Ayat ini, menjelaskan bahawa sesuatu nahas, malang dan kejadian yang buruk terjadi, semuanya telah ditetapkan Allah SWT. Bagaimanapun umat Islam yang beriman hendaklah sentiasa bertawakkal, yakni menyerahkan segala-gala atas ketentuan Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada jangkitan (yang berlaku tanpa izin Allah), tidak ada burung (seperti burung hantu) yang membawa sial, tidak ada serangga yang membawa kerugian dan tidak ada bala pada bulan Safar (seperti yang dipercayai)”. (HR Bukhari daripada Abu Hurairah RA).
Sumber : FB Ustaz Abdul Malik http://www.facebook.com/abdul.malik.1481?ref=ts&fref=ts
Khutbah yang terbaik menghuraikan kelebihan negara Mesir oleh pendakwah Islam, Syeikh Muhammad El-‘Uraifi sehingga dipuji oleh ulamak Mesir termasuk Dr. Umar Abdul Kafi. Khutbah disampaikan di sebuah masjid di negara Saudi. Sesiapa yang faham Bahasa Arab, boleh merujuk sendiri huraian yang terbaik bersandarkan kepada fakta sejarah.
Antara isi kandungan, Syeikh ‘Uraifi berkata;
“Kiswah (kelambu) Kaabah dijahit dan ditenun di Mesir sejak zaman Saidina Umar Al-Khattab r.anhu sehingga lebih 100 tahun.
-Ingat Mesir merupakan pertahanan untuk Palestin,jihad dan mujahidin kerana Salahuddin Al-Ayyubi menetap di sana untuk membebaskan Baitul Maqdis.
-Allah sebut secara jelas nama “Mesir” empat kali dalam ayat Al-Quran dan tidak secara jelas dalam 30 ayat yang lain yang ditafsirkan oleh ulamak yang dimaksudkan ialah “Mesir”.
-Allah tidak sebut nama-nama sungai lain kecuali Sungai Nil iaitu “al-Yamm”.
-Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah SAW bersabda “Kamu akan membuka Mesir maka berbuat baiklah kepada penduduknya.”
-Kalau anda mahukan ilmu Al-Quran dan tajwid, pergilah ke Mesir. Mesir kaya dengan ilmu Al-Quran, carilah sesiapa ulamak yang fasih Al-Quran, pasti berguru dengan guru Al-Quran dari Mesir walaupun sekadar mengikuti mereka sebagai makmum solat.
-Di Mesir, terdapat tempat “ribat” yang didiami oleh mujahidin untuk pertahankan Islam iaitu di Iskandariah.
-Amru bin Al- ‘As membina masjid pertama dibina di Benua Afrika yang diletakkan kiblatnya tidak kurang oleh 80 orang para sahabat Rasulullah SAW.
-Mesir pernah memimpin dunia Islam selama 265 tahun, iaitu kejatuhan Abbasiyah di Baghdad tahun 656 hijrah sehingga terbina Khilafah Uthmaniyah di Turki tahun 924 hijrah.
-Jumlah para sahabat Rasulullah SAW yang menziarahi, menetap, memerintah, diutuskan dan meninggal dunia di Mesir lebih 350 orang.
-Umar bin Abdul ‘Aziz r.anhu dilahirkan di Mesir.
-Mesir tidak dapat dipisahkan dengan Al-Azhar, sumber ilmu dunia Islam tertua di dunia.
-Mesir terkenal dengan ulamak, fuqaha’ dan solihin. Imam Sa’da bin Laith yang dikebumikan di Mesir, diakui oleh Imam Syafie dengan katanya “Laith lebih alim daripada Malik”. Dua imam besar yang menghasilkan ‘Tafsir Jalalain’, Imam Jalaluddin Al-Mahalli yang kemudian disemprunakan kitab tafsir beliau oleh Imam As-Suyuti. Imam Daqiq Al-‘Eid, imam besar dalam ilmu Hadis, Imam Ibnu Hajar Asqolani, Imam Zakaria Al-Ansori yang berusia lebih 100 tahun dan tidak pernah tinggal qiamullail hingga meninggal dunia, Syeikh Ali As-So’idi Al-‘Adawi dari keturunan Saidina Umar Al-Khattab, Saiyidi Ahmad Ad-Dardir yang dikenali sebagai “Al-Maliki Soghir” selain ramai imam dalam ilmu qiraat seperti Imam Syatibi dan Imam Warasy.
-Juga Mesir tidak terasing dengan wira dan pejuang agama seperti Ibnu Muhammad Sahl yang menegur pemerintah, Khalifah Syiah, Ubaidi yang memerintah Mesir dalam satu tempoh. Ubaidi bertemu Ibnu Muhammad dan bertanya, “Benarkah kamu berkata “Jika aku memiliki 10 panah, 1 aku akan memanah tentera Salib dan 9 lagi aku akan memanah Ubaidi”?
Jawab Ibnu Muhammad, “Tidak benar, aku tidak berkata demikian, tetapi aku berkata, “Jika aku memiliki 10 anak panah, 9 aku akan panah Ubaidi dan 1 yang terakhir pun untuk memanah Ubaidi kerana kamu mengubah agama Islam, mencerca sahabat Rasulullah, menyelewengkan Al-Quran!!”
Lalu Ubaidi marah dan mengarahkan Ibnu Muhammad ditangkap. Beliau kemudian diikat dan diperintahkan seorang Yahudi untuk memotong badan Ibnu Muhammad. Yahud tersebut mengelar dan memotong daging tubuh Ibnu Muhammad seperti dipotong daging kambing hingga meninggal dunia dalam keadaan beliau membaca Al-Quran.
-Kita tidak bercakap sebuah negara biasa tetapi kita bercakap sebuah tempat yang dimuliakan.” dan banyak lagi..
Semoga ALLAH memelihara Mesir, rakyatnya dan mereka yang berada di dalam buminya..
Tidak banyak perkara yang saya tahu tentang Pekan Sundar ini walaupun bukan pertama kali mendengar namanya. Entah telahan saya betul atau salah, atau masa kehadiran kami yang kurang tepat, Pekan Sundar ketika kami kunjungi begitu sunyi. Untuk ke Kampung Awat-Awat tadi (entri sebelum ini) kena melalui Pekan Sundar inilah.
Ada sebuah sekolah rendah dan menengah, beberapa buah masjid atau surau di sekitarnya, beberapa blok kedai sebahagiannya bangunan batu dan ada yang satu atau dua deret bangunan kedai daripada kayu. Mungkin ia bangunan lama sebelum kedai baru bersebelahan.
Kami tidak turun dari kenderaan, hanya pusing-pusing di kawasan pekan sebelum beredar meneruskan perjalanan ke Bandar Lawas sebelum pulang ke Kota Kinabalu.
Sumber : di sini
Oleh : Subky Abdul Latif
APA yang dikatakan Amanat Haji Hadi yang terjadi pada 07 April, 1981 dulu sudah jadi satu khazanah politik tanahair dan ada kedudukannya yang tersendiri di sisi tafsir siasah syariyah. Ia ada satu topik yang cantik bagi calon-calon PhD. Jika mahu tesis itu dihargai dan ada nilai akademik yang tinggi, jangan ia dikendali di bawah mana universiti di Malaysia kerana rata-rata profesornya ada stigma apa yang dikatakan profesor kangkung.
Biar ia dibuat di bawah universiti terkemuka dunia seperti Oxford, Harvard atau mana-mana universiti masyhur di Perancis dan Belanda. Nescaya calon PhD itu akan muncul sebagai doktor yang terbilang. Tidak berbangkit amanat itu perlu ditarik balik seperti yang dituntut oleh dua mufti dan ulama remaja yang status masing-masing boleh ditakwil.
Seorang mufti itu tidak diterima oleh Perdana Menteri Dr. Mahathir permintaannya untuk bertemu bagi membincangkan sesuatu dan yang seorang lagi adalah seorang yang sentiasa ada di rumah Dato Asri semasa menjadi pemimpin PAS dan menyertai UMNO apabila Anwar Ibrahim dan Dato Asri menyertai UMNO.
Tidak mustahil kedudukan sebagai mufti itu lebih kerana UMNO dari ilmunya. Ulama remaja itu amatlah baru. Ikut peri bahasa orang tua Melayu dulu-dulu orang yang seusia itu disifatkan budak berhingus. Tetapi tiada dalam Islam peri bahasa ulama berhingus kerana Imam Syafie sudah jadi mufti pada usia 15 tahun.
Kata Tok Guru Nik Aziz, jangan sangka Ustaz Hadi tidak tahu hukum hakam. Ada yang mengibaratkan semasa beliau pulang dari Mesir dulu kitabnya saja lima pikul. Tiada siapa menimbang kitabnya tetapi untuk menggambarkan banyak kitab yang dibacanya.
Seorang pensyarah Islam UKM pernah dilantik oleh Tan Sri Wan Mokhtar duduk dalam Biro Agama UMNO. Mesyuarat pertama yang dihadirinya dikatakan dia membandingkan ulama PAS dengan ulama UMNO. Ulama PAS sepulang dari Mesir hari-hari baca kitab dan tiap-tiap malam mengajar. Ulama UMNO belum tentu buka kitab sekali dalam masa setahun. Lepas itu dia tidak dipanggil mesyuarat lagi.
Sejak pulang dari Mesir hujung tahun 70-an dulu, Ustaz Hadi mengadakan kuliah di Masjid Rusila setiap pagi Jumaat dihadiri antara 7 ribu hingga 10 ribu. Hampir 40 tahun beliau mengajar. Sejak itu beliau saja di Malalysia ini yang berkhutbah Jumaat tanpa teks yang diedit oleh Jabatan Agama.
Mana ada mufti dan ulama UMNO ada kuliah sepertinya sejak 40 tahun lalu. Ada pun mufti itu apabila dilihat ranggi sikit lalu dipecat seperti yang dialami oleh al-Marhum Dato Ishak Baharom, Mufti Selangor dulu. Mana ada mufti yang lebih berani selain dari Dato Ishak Baharom? Isu Amanat Haji Hadi dikira sinonim dengan isu kafir mengkafir. Timbul setiap ada pilihanraya. Lepas pilihanraya ia pun mati. Tunggu PRU lima tahun lagi. Itulah kerja polis cawangan khas yang digerakkan oleh bahagian perang saraf di Jabatan Perdana Menteri dan di kementerian penerangan.
UMNO pun tidaklah sensitif sangat atas amanat itu. Jika ia peka, ia tidak akan berusaha dari semasa ke semasa mengajak PAS bersatu dengan UMNO. Sejak zaman Mahathir, zaman Dollah Badawi sampailah zaman Najib, UMNO buat macam-macam ajak PAS bersamanya. Ia marah PAS bekerja dengan DAP tetapi tidak mahu bersama UMNO.
Siapa kata orang Islam keliru dan berpecah kerana amanat itu? Orang Melayu sudah tidak bersependapat sejak mereka tahu politik, lama sebelum Ustaz Hadi bercakap di Banggol Peradong tahun 1981. Kalau amanah itu besar sangat dan apa yang dikatakan PAS mengkafirkan UMNO itu penting sangat, jadah apa UMNO ajak PAS dari semasa ke semasa untuk bersamanya, sedang mereka tahu al-Marhum Ustaz Fadzil Noor pernah kata, ‘Kami tak bulo’.
Maka mengapa tok-tok mufti dan budak berhingus UMNO masuk perangkap polis cawangan khas menjelang pilihanraya?