Archive for Mei, 2012
Dalam ilmu dakwah secara teori dan praktikal, kaedah dakwah bilhal iaitu dakwah dengan cara menunjukkan teladan seperti kebajikan, akhlak yang luhur dan seumpamanya merupakan kaedah paling berkesan berbanding dengan kaedah yang lain. Justeru misi khidmat kemanusiaan kepada sasaran tanpa mengira bangsa dan agama merupakan satu bentuk dakwah yang sangat baik.
Itu antara rumusan yang saya perolehi setelah menyaksikan forum amal di perkarangan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu malam tadi. Forum berkenaan menampilkan Tuan Haji Hussin Ismail (Presiden Yayasan Amal Malaysia), Dr Awisul Islah Ghazali (Presiden Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina – PAPISMA) dan Tuan Haji Khairan Untoh sebagai moderatornya.
Menceritakan pengalaman menjelajah ke hampir merata negara di seluruh dunia terutama yang dilanda musibah, Tuan Haji Hussin menyaksikan ratusan NGO kebajikan menghulurkan bantuan dengan misi tersurat dan tersirat masing-masing. Katanya dalam misi-misi dakyah agama tertentu tiga perkara yang mereka bawa iaitu ubat, air dan pendidikan yang akhirnya akan membawa sasaran kepada agama mereka secara langsung atau tidak.
Maka katanya, jika dibiarkan apakah yang akan berlaku kepada sebahagian umat Islam yang menjadi mangsa musibah jika tiada umat Islam lain yang mahu mengambil berat akan keadaan ini. Maka Yayasan Amal Malaysia, katanya dengan semangat berlumba-lumba berbuat kebajikan sebagaimana anjuran al-Quran, ingin menabur bakti melalui pendekatan kebajikan, kemanusiaan dan kemasyarakatan berteraskan Islam kepada ummat merentasi geografi, agama, suku kaum dan bangsa.
Sementara Dr Awisul Islah menjelaskan, walaupun tidak kerap ke luar negara, mereka tetap menghantar wakil ke misi-misi kemanusiaan seperti ke Palestin dan sebagainya. Menjelaskan Sabah sebagai cawangan termuda mereka, mereka telah mengadakan beberapa aktiviti berlandaskan kebajikan, kesihatan dan perubatan kepada masyarakat antaranya di Sandakan dan Kota Kinabalu. Walaupun dalam keterbatasan ahli dan kedudukan mereka yang berjauhan, beberapa program akan tetap disusun dan dijalankan daripada masa ke masa.
PAPISMA kata Dr Awisul, sentiasa berusaha sedaya upaya untuk membantu masyarakat memahami dan menjiwai kaedah serta sistem perubatan dan perawatan yang selari dengan al-Qur’an dan Sunnah serta tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Sehingga kini PAPISMA telah menjalankan pelbagai aktiviti untuk masyarakat dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang penjagaan kesihatan melalui pelbagai kaedah seperti rawatan kesihatan percuma, bengkel-bengkel kesihatan, ceramah-ceramah, pameran dan sebagainya.
Forum berkenaan diadakan sempena Karnival Amal (Istiqbal Ramadhan) Masjid Bandaraya Kota Kinabalu yang berlangsung bermula 30 Mei dan berakhir pada 3 Jun akan datang.
Jujurnya sudah beberapa tahun tidak menjejakkan kaki ke gelanggang bola tampar, tapi apabila pertama kali nama saya tercatat dalam senarai ‘rumah merah’ dalam sukan jabatan, saya memilih untuk menyertai sukan ini. Sebenarnya ada beberapa sukan lain seperi futsal, sepak takraw dan lain-lain, tetapi saya lebih meminati sukan bola tampar.
Sepanjang siang tadi, oleh kerana Sabah bercuti hari ini dan esok sempena Pesta Kaamatan, maka JHEAINS mengambil kesempatan untuk mengadakan liga bola tampar melibatkan warganya yang diadakan di Dewan Saadah Wisma MUIS Kota Kinabalu. Terdapat empat kumpulan, kuning, hijau, merah dan biru, dan setiap kumpulan menghantar dua pasukan – lelaki dan perempuan.
Kejohanan bermula pada jam 9.30 pagi dengan pasukan kami bertemu dengan pasukan kuning. Pasukan kami antaranya pemainnya ialah Ybhg Datuk Haji Amri Suratman, Ustaz Jumain Abdul Ghani, Jamion Osman, Hafiz Mursal, Khairum Manzah dan saya sendiri. Pada perlawanan kedua, baru muncul kawan-kawan lain iaitu Zulfauzi Awang Besar dan Mahali.
Keseluruhannya, pasukan kami menduduki tempat kedua dengan rekod kalah sekali kepada pasukan kuning dan menang dua kali mengatasi rumah biru dan hijau. Yang menariknya, saya baru tahu Datuk Amri yang sudah berada di pertengahan 50an, mempunyai bakat bermain bola tampar yang baik. Kehadiran Khairum, Zulfauzi, Mahali dan kawan-kawan yang lain semuanya membantu dan bermain secara berpasukan. Ada satu perlawanan pasukan lain – kuning lawan biru yang tidak saya tonton kerana sudah kepenatan.
Saya kira kami mendapat manfaat yang besar kerana sebahagian pemain-pemain yang beraksi asalnya tidak saya kenali atau rapat. Tetapi dengan acara sebegini ia seolah-olah memaksa kami berkenalan dan berukhuwah antara satu sama lain. Tapi, kesan sisi yang lain, kaki dan seluruh tubuh sakit-sakit selepas bermain, maklumlah sebelum liga berlansung, hanya beberapa kali saja kami berlatih bersama.
Saya menyokong pendapat dan cadangan beberapa kawan-kawan lain agar latihan mingguan diadakan sebelah petang walaupun setelah liga ini berakhir.
Sumber : di sini
Pada 18 Mei 2012, bersempena Minggu Semarak Al-Quran Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sabah 1433H/2012 , Jakim Cawangan Sabah dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Wisma Harta, Jabatan Penerangan dan Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah telah menganjurkan Program Bicara Al-Quran bertempat di Dewan Saadah, Wisma MUIS, Kota Kinabalu.
Seramai 600 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan persekutuan, agensi agama, NGO Islam, Pelatih PLD Kudat dan Keningau serta orang awam telah berminat mengikuti program berkenaan. Objektif program ialah untuk menyemarakkan lagi Majlis Tilawah Al-Quran dan memasyarakatkan tilawatil Quran dalam kehidupan serta memperkaya minda masyarakat melalui perkongsian ilmu.
Dua orang penceramah telah diundang iaitu Y.Bhg S.F Tuan Haji Ahmad Mustafa bin Mohd Sidin, Imam Besar Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah Negeri Selangor dengan tajuk “ Penghayatan dan Penguasaan Al-Quran Dalam kehidupan” dan Y.Bhg Tuan Haji Muhammad Fitri bin Abdullah, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dengan tajuk “Al-Quran Sebagai Syifa Dan Rahmat”.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Y.Bhg Datuk Haji Amri bin A. Suratman, Pengarah JHEANS. Turut hadir ialah Y.Bhg Tuan Haji Ahmad Zaki bin Haji Arsad, Pengarah Jakim Cawangan Sabah, Ketua-ketua Jabatan dan Pimpinan NGO Islam Sabah.
Program tersebut juga dimeriahkan lagi dengan Kuiz Bicara Al-Quran. Peserta yang hadir begitu komited memberi perhatian sepanjang program berlangsung. Sempena Minggu Semarak Al-Quran tersebut juga pertandingan pidato terbuka kepada pelajar sekolah menengah dan saudara kita dan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak tadika turut diadakan.
TAIPING: Sebagaimana yang dijangka, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Fauzi Shaari dengan rasminya menyertai PAS malam tadi. Borang permohonan menjadi ahli PAS diserahkan beliau kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta timbalannya, Haji Mohamad Sabu dalam majlis pengisytiharan perdana malam tadi. Ia diadakan di Taman Kota Wira, Ulu Sepetang, Larut dekat sini.
Turut serta di majlis itu adalah Ketua Penerangan yang juga Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nur Manuty dan Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussain. Penyerahan borang keahlian disaksikan kira-kira 5,000 penyokong Pakatan Rakyat (PR).
Bukan mahu jadi calon
Dalam ucapannya, Fauzi menjelaskan bahawa tujuan menyertai PAS bukan berniat untuk menjadi calon atau mempunyai kepentingan tertentu, tetapi sekadar mahu membantu usaha ke arah kerja-kerja Islam yang dibawa PAS. Katanya, kehadiran beliau pada majlis itu juga sebagai pengenalan kepada penyokong dan masyarakat sebelum bergiat aktif selepas ini. Beliau turut menjelaskan, penyertaan dalam PAS itu dibuat selepas yakin dirinya tidak terlibat dalam sebarang kes jenayah semasa berada dalam pasukan polis.
Semasa menjadi Ketua Polis Dang Wangi, Fauzi terkenal dengan tindakannya membanteras maksiat di pusat bandaraya Kuala Lumpur. Tindakan beliau pernah dikecam oleh seorang menteri yang menyifatkan tindakan Fauzi akan menghalau pelancong dari negara ini. Dalam ceramah itu, Fauzi yang berasal dari Pantai Besar, Batu Kurau, Perak menambah, beliau selepas ini akan membantu PR khususnya PAS melalui ceramah-ceramah yang dianjurkan.
Sumber : http://darussyifa.org/SJ042.php
Soalan : MENJADI kebiasaan atau kelaziman di kampung saya, apabila terdapat kanak-kanak menghadapi masalah kesihatan khususnya yang kerap menangis lebih daripada biasa, dibawa kepada perawat, lalu tangannya diikat dengan benang hitam atau benang berwarna lain, dengan pelbagai warna sebagai ikhtiar untuk perlindungan daripada pelbagai gangguan. Apakah rawatan dan amalan seperti ini diharuskan oleh syarak? – SHAMSIAH ABU BAKAR, Jerantut
Jawapan
Saya sendiri pernah melihat perbuatan seperti itu dan sudah banyak kali kanak-kanak yang pada tangannya dipakaikan benang dibawa kepada saya untuk dirawat, Saya dengan bahasa yang penuh diplomasi meminta supaya benang hitam atau sebagainya termasuk tangkal, hendaklah dibuang dahulu sebelum saya mengikhtiarkan rawatan.
Amalan dan kelaziman yang disebut dalam soalan tadi, sebenarnya bertentangan dengan ajaran Islam. Banyak hadis yang memberi penjelasan, antaranya hadis yang bermaksud: “Uqbah Ibnu ‘Amir berkata, ‘Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, barang siapa yang menggantung tangkal (Damimah) maka Allah SWT tidak akan menyempurnakan hajatnya dan barang siapa yang menggantung objek seperti kulit siput (Wada’ah), maka Allah tidak akan menenteramkannya.’”
Jelas daripada hadis ini Nabi s.a.w. melarang sebarang penggunaan tangkal. Tangkal dirujuk kepada benang, tali atau apa sahaja yang dipakai pada badan, untuk tujuan mendapat faedah yang diharamkan kepada orang yang memakainya.
Dalam hadis lain (mahfumnya ): Rasulullah s.a.w. telah lihat ada satu lilitan seperti gelang (halaqah) yang dipakai di tangan seorang lelaki, lalu baginda bertanya lelaki itu, ‘Apakah yang kamu pakai ini? “Lelaki itu menjawab, “Aku jadikannya sebagai pendinding atau pengadang diriku daripada sebarang kelemahan.”
“Lalu baginda bersabda kepadanya, ‘Sesungguhnya benda-benda seperti ini, tidak akan menambahkan kepada mu melainkan kelemahan jua, buanglah ia kerana sesungguhnya, sekiranya kamu mati dalam keadaan memakai benda seperti ini, kamu akan diserahkan kepada benda itu.” (Hadis riwayat ‘Imran bin Hussain dan Imam Ahmad Ibni Hambal).
Dalam hadis lain (mafhumnya): “Dan Abu Bashir al-Ansari meriwayatkan, pada suatu ketika beliau telah bersama dengan Rasulullah s.a.w. dalam satu perjalanan dengan menunggang unta, maka baginda melihat ada unta-unta yang dipakaikan tangkal kepada unta tersebut.
“Lalu baginda memerintahkan kepada kami, agar apa sahaja rantai, kalungan (qilaadah) yang terdapat pada mana-mana unta hendaklah dipotong dan dibuang.” (Hadis riwayat aI-Bukhari dan Muslim).
Sebab utama mengapa Nabi s.a.w. memerintah dilakukan demikian, sebab utamanya seperti yang disebut oleh Imam Ibnu Jauzi iaitu, orang-orang Arab mempercayai bahawa dengan memakai tangkal pada unta, akan selamat daripada gangguan. Kepercayaan sedemikian boleh membawa kepada syirik, samalah dengan persoalan yang dikemukakan tadi.
Ingatlah bahawa dengan mengikat benang hitam pada lengan kanak-kanak, atau membuat tangkal dengan simpulan benang pelbagai warna dipakai di leher atau di pinggang kanak-kanak atau orang tua-tua, atas kepercayaan ia boleh memberi manfaat kepada manusia, kesemuanya dilarang.
Terdapat dalam hadis lain Nabi saw. menyebut (mafhumnya): “Sesiapa yang mengikat simpulan benang lalu meniup kepada benang itu dan dipakai, maka dia telah syirik kepada Allah SWT.” Oleh yang demikian maka eloklah dihentikan amalan-amalan seperti itu. Waalahu a’lam.
(Petikan dari Harakah Bil.1335)
Sumber : di sini
Memilih pemimpin negara adalah amanah besar dalam Islam, yang disebut Ulil- Amri. Al-Quran mengesahkan semua rasul menentang sekeras-kerasnya ajaran yang memartabatkan pemimpin kerajaan sehingga dianggap Maha Suci daripada segala kesalahan. Di zaman keemasan umat Islam menjadi kuasa besar dunia, setiap Uli al-Amri yang dinamakan Khalifah diharamkan bersikap Maha Suci seperti Tuhan Yang Maha Esa (Allah S.W.T).
Rasulullah S.A.W bersabda : “Ketaatan terhadap pemimpin hanya dalam perkara yang baik “. Ucapan ini adalah menafsirkan perintah Allah yang dihayati di masa baginda sendiri menjadi ketua negara dan wajib diikuti oleh umatnya.
Ucapan Abu Bakar R.A apabila dipilih menjadi ketua negara selepas wafatnya Rasulullah S.A.W : “Wahai tuan-tuan ! saya telah dipilih menjadi pemimpin kamu, padahal saya bukannya orang yang terbaik di kalangan kamu. Sekiranya saya dalam keadaan yang baik tolonglah saya, sekiranya saya dalam keadaan yang buruk perbetulkan saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat ……”. Beginilah juga ucapan setiap pemimpin yang dilantik selepasnya.
Amalan sistem pemerintahan Islam yang dibukukan dan dicatit oleh para ulama Islam daripada semua mazhab menjadi kajian para orentalis. Kitab-kitab seperti Muqaddimah Ibn Khaldun, Ahkam Sultaniyyah, Adab al-Wazir dan lain-lain diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa Eropah mempengaruhi perkembangan Demokrasi Moden yang diamalkan oleh negara Barat. Walaupun mereka menerima dengan fahaman sekularisme yang dianut, memisahkan politik daripada agama, namun pengaruh inilah yang mewujudkan sistem pilihanraya yang adil dengan memberi hak kepada rakyat menjadi hakim terhadap kerajaan dan para pemimpin kerajaan yang boleh dijatuhkan sekiranya berlaku kesilapan atau kelemahan dalam mentadbir negara, rakyat pula diberi hak dalam urusan pemerintahan secara beradab. Sistem yang adil ini menggantikan revolusi rakyat secara berdarah yang banyak berlaku seperti di England, Perancis dan lain-lain. Akhirnya terciptalah demokrasi moden dengan mewujudkan pilihanraya yang adil.
Bagi mewujudkan penghakiman yang adil oleh rakyat melalui pilihan raya, maka rakyat diberi kefahaman yang benar berkenaan pilihanraya. Mereka benar-benar memahami hak mereka dengan larangan tegas secara undang-undang terhadap ugutan, sogokan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Pihak media diletakkan sebagai saksi yang melaporkan semua pihak kepada rakyat yang menjadi hakim, samada pihak kerajaan yang dituduh atau pihak pembangkang yang menuduh. Pihak Suruhanjaya Pilihanraya adalah badan yang bebas bagi mengendalikan urusan pilihanraya mengikut sistem pemisahan kuasa di antara badan kehakiman, perundangan dan pentadbiran yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W ketika menegakkan negara contoh di Madinah.
Sistem ini diterima oleh semua parti Islam di seluruh dunia termasuk PAS, yang ditubuhkan daripada gerakan tajdid dan islah kerana demokrasi moden menjadi medan politik paling sesuai dengan Islam yang mengutamakan secara damai. Keseluruhan negara Barat dan termasuk negara komunis sekarang telah berubah, menerima sistem demokrasi pilihanraya yang adil, sehingga tidak ada parti dan pemimpin kerajaan boleh mendabik dada bahawa mereka Maha Suci daripada segala sifat kekurangan dan tidak ada kesilapan langsung.
Sistem demokrasi moden ini menjadikan parti kerajaan dan pemimpinnya sentiasa berwaspada dan sedia ditolak dan dihukum oleh rakyat, maka berlakulah perlumbaan yang sihat bagi melakukan yang baik dan menolak yang munkar, menjadikan riadah yang menjadikan hak rakyat dan kerajaan sentiasa sihat, kerana silih berganti apabila berlaku setiap kelemahan dan para pemimpin sangat berhati-hati menunaikan amanah.
Di Amerika pernah dibatalkan kemenangan seorang presiden dalam peristiwa yang terkenal dengan nama skandal Water Gate. Di England pula menjatuhkan kerajaan kerana skandal salah seorang menteri kabinetnya dengan pelacur yang berkait dengan perisikan negara asing. Di India membatalkan kemenangan seorang perdana menteri kerana menyalahgunakan jentera kerajaan dan banyak lagi. Di zaman kini banyak negara yang dibelenggu dengah sistem dictatorship terpaksa berubah kepada sistem demokrasi pilihanraya yang adil.
Negara kita Malaysia yang tercinta ini mengalami sistem demokrasi menuju ke arah yang lebih buruk dan memalukan. Surahanjaya Pilihanraya yang tidak bermaya untuk melakukan reformasi demokrasi yang sebenar kerana tidak diberi kuasa yang sebenar mengikut takrif demokrasi dan tidak berlaku pemisahan kuasa yang sebenar. Kedudukannya berada di bawah siapa parti yang memerintah mengikut arahan secara nyata dan sulit bagi mengekalkan sistem satu parti seperti negara komunis, secara agenda yang diatur begitu rupa. Media arus perdana sebelah pihak yang menutup minda rakyat mengetahui segala kelemahan kerajaan, seolah-olah menjadikan kerajaan itu Maha Suci sepanjang hayat seolah-olah tidak ada ajal dan tidak ada hari kiamat. Daftar pengundi yang tidak masuk akal, seperti jumlah isi rumah laksana sebuah kampung dan penduduk kampung yang ramai laksana satu daerah kerana terlalu gelojoh mangambil pengundi bagi menjamin kemenangan parti yang sedang memerintah walaupun sudah banyak senarai penyelewengan sehingga dilupai yang telah berlaku sebelumnya tanpa tindakan yag adil. Politik wang yang membarah ke dalam parti kerajaan dan masuk pula ke dalam rakyat, ke lapangan pilihanraya umum.
Semua yang berlaku adalah kemunkaran yang mencalarkan imej Islam yang menjadi agama negara mengikut perlembagaan dan banyak kemunkaran yang wajib dicegah dan kezaliman yang wajib disanggah.
PAS wajib menyampaikan risalah Islam kepada seluruh manusia dengan memberi kefahaman yang betul kepada penganut Islam dan memperkenalkan Islam kepada bukan Islam, bagi mengajak kepada makruf dan mencegah kemunkaran kerana Rasulullah S.A.W mewajibkan kepada setiap orang Islam menyampaikan mesej sebenar, menyatakan yang benar dan mencegah kemunkaran mengikut kemampuan masing-masing dengan tangan, lidah dan perasaan benci dalam hati. Demonstrasi aman yang menjadi salah satu daripada amalan demokrasi moden adalah salah satu cara menunjukkan kebencian dalam hati.
Rasulullah S.A.W mengizinkan para sahabatnya keluar beramai-ramai daripada persembunyian mereka di Makkah selepas Islamnya Hamzah dan Umar R.A bagi menunjukkan sikap mereka terhadap pamimpin Makkah yang zalim secara terbuka dan aman tanpa senjata.
Ketika berada di Madinah dan telah wujud negara yang berkuasa, tiba-tiba Rasulullah S.A.W bersabda kepada para sahabatnya, menyebut peristiwa lama berlaku sebelum dilantik manjadi Rasul: ”Aku pernah dibawa oleh bapa-bapa saudaraku ke rumah Abdullah bin Judaan bagi mengadakan Halaf Fudul (persefahaman dan kerjasama) bagi membela mereka yang dizalimi dan menentang mereka yang zalim secara bersama. Sekiranya perkara ini dibawa kepadaku sekarang nescaya aku menyertainya “.
Rasulullah menerima secara positif segala sifat yang baik secara fitrah yang ada dalam diri manusia termasuk bukan Islam, sehingga menghargai keluarga Hatim al-Toei seorang pemimpin kabilah yang suka menolong dan meraikan tamu di zaman jahiliyyah dan banyak lagi contoh yang lain.
Bersih adalah gabungan kerjasama NGO berbagai agama dan parti-parti politik pelbagai ideologi yang menganjurkan demonstrasi aman bagi membantah pilihanraya yang mengotorkan amalan Demokrasi di Malaysia, ramai kalangan mereka tidak terlibat secara langsung dalam pilihanraya, tetapi sifat fitrah manusia yang bencikan zalim, tipu dan lain-lain.
PAS berpendapat bahawa BN telah banyak menyeleweng daripada konsep demokrasi yang adil. UMNO sendiri telah lama merosakkan imej Islam. Ajaran Islam meletakkan politik adalah amanah besar yang diamalkan para Rasul seluruhnya, tiba-tiba dikotori dengan banyak perkara yang memalukan, seperti menyalahgunakan kuasa secara penipuan dan zalim bukannya bertahan dengan akhlak yang mulia. Amanah politik dijadikan peluang mengumpul harta dan menaikkan pangkat, bukannya amanah yang wajib ditunaikan. Harta dan kuasa dijadikan senjata mengugut rakyat, laksana dajjal yang zahir di akhir zaman, menawarkan kesenangan untuk pengikutnya sahaja, sesiapa yang tidak mengikutnya menerima padah.
Akhirnya PAS wajib mencegah kemungkaran besar yang sedang berlaku ini, hujah lebih kuat lagi apabila membaca amanat Rasulullah S.A.W : “Samada kamu menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran atau berdiam diri, nescaya orang-orang yang jahat memerintah kamu, lalu orang-orang yang baik berdoa, tiba-tiba doanya tidak diperkenankan oleh Allah“. Sabdanya lagi : ” Menyatakan yang benar kepada kerajaan yang zalim adalah jihad paling afdal “.
PAS tidak membenarkan para ulamanya menjadi syaitan bisu yang berdiam diri terhadap kebenaran di hadapan mata yang wajib ditegakkan dan kemunkaran nyata yang wajib ditegah, PAS tidak mengizinkan para ulamanya menjadi burung kakak tua yang bercakap hanya mengikut apa yang diajar oleh tuannya sahaja dan tidak mampu menilai sendiri.
Adapun alasan berlakunya kekacauan selepas itu, adalah disebabkan salah laku kerajaan terhadap perhimpunan aman, seperti melarang berhimpun di padang dataran merdeka yang menjadi tempat berhimpun dan provokasi pihak yang diadakan sendiri atau diizin oleh kerajaan sendiri. Sikap tidak adil melantik kumpulan penyiasat yang ditunjukkan oleh satu pihak kerajaan sahaja adalah cara yang tidak bermoral untuk menegakkan keadilan yang sebenar. Lebih tidak adil lagi apabila adanya tangkapan selepas bersurai dan menyeksa mereka yang ditangkap, dimaki hamun dan sebagainya. Ini bukan cara yang bijak untuk mempertahankan kerajaan, bahkan cara menggali lubang sendiri untuk jatuh dengan cara memalukan. Bukan sahaja menjadi sunnah alam dan nas al-Quran dan hadith, serta doa mereka yang dizalimi pasti diperkenan Allah walaupun daripada seorang yang bukan Islam.
Akhirnya, kalau bangsa Melayu masih bersama UMNO yang tidak menegakkan Islam yang sebenar, berlakulah amaran Allah :
وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ ( 38
Maksudnya: Sekiranya kamu berpaling (tidak mahu menegakkan agama kamu) nescaya Allah menukarkan kaum lain, kemudian mereka tidaklah seperti kamu. (surah Muhammad : 38)
Presiden PAS,
Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang.
Sumber berita : http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/10616-10-jam-haron-din-bertarung-nyawa-
Sumber foto di bawah : http://www.facebook.com/darussyifa/
BANGI: Hati anak mana yang tidak gembira apabila bapa tercinta kembali sihat dan ceria. Begitulah yang dialami lima pemata hati Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din yang mula sembuh dari pembedahan jantungnya dan selamat tiba ke tanah air 13 Mei lalu. Dr Haron Din, seorang tokoh agamawan melakukan pembedahan di Stanford Hospital & Clinics, San Francisco, California, Amerika Syarikat (AS) pada 2 April lalu.
Anak keduanya, Hamdi Haron yang juga seorang peguam sempat meluangkan masa menceritakan keadaan bapanya kepada Harakah Khamis lalu. Datuk Haron, mendapat rawatan sejak 18 Mac lalu dirawat oleh Pakar Bedah Jantung, Dr Robert C Robbins. Selama berada di sana katanya, mereka sekeluarga termasuk bondanya Datin Khadijah Mohd Salleh tidak berenggang dengan bapanya.
“Alhamdulillah sejak buat pembedahan dan dimasukkan pula ke ICU dan CCU ada perkembangan dan kesihatan beliau makin sihat,” katanya yang ditemui di kediaman bapanya di Bandar Baru, Bangi, Selangor. Selama sepuluh jam bertarung nyawa di bilik bedah, katanya bapanya tidak patah semangat dan seolah-olah tidak ada rasa sakit. Ini katanya, apabila diminta oleh doktor untuk melakukan pelepasan batuk selepas menjalani pembedahan bapanya berjaya melakukan sekuat hati.
“Sampai doktor dan pesakit sebelah katilnya bertanya, tak sakit ke, dia kata tak, itulah kelebihan yang Allah kurnia kepadanya,” ujarnya. Begitu juga, katanya apabila kakaknya, Dr Huda Haron dan adiknya Dr Azlin Haron setiap pagi mencuci pahanya yang terpaksa dibedah sedalam satu inci dan lebarnya tiga inci, tidak juga dirasai sakit. Dengan selamba dan bersahaja bapanya membiarkan adik dan kakaknya mencuci luka tersebut.
Itulah katanya, tiada memek muka kesakitan dan keluhan langsung darinya. Beliau juga memberitahu, doktor meminta supaya bapanya berehat dalam tempoh tiga hingga empat bulan. Bagi mempercepatkan proses pemulihan dan penyembuhan, doktor menyarankan supaya beliau memakan sarang burung layang-layang juga, katanya. Sarang burung yang dibuat sup ketika berada AS, terus diamalkannya sehingga sekarang. Bercerita lanjut Hamdi berkata, semasa dalam rawatan bapanya meminati makan ‘taufu fah’ dan makanan Jepun iaitu sushi dan sup jepun.
“Makanan itu ada di sana, jadi tak ada masalah untuk kami carikan untuknya. Tambahan pula ada rakyat kita yang bekerja di AS sudi menolong kami,” katanya. Dalam pada itu, sambungnya semangat bapanya untuk mengikuti perkembangan politik tanah air masih menebal.
“Dalam keadaan masih lemah dia nak tahu juga masa hari Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu. Kebetulan adik saya Salwa dan Hana ada di tanah air dan mereka up-date pula perhimpunan itu, dengan penuh minat beliau ikutinya. Ertinya perjuangan politik dalam parti tidak pernah pudar bahkan terus berkobar dan membara,” ujarnya.
Beliau berkata, penyokong PAS tidak perlu risau dengan kesihatan dan perjuangan bapanya dalam parti. Cuma katanya, untuk sementara waktu ini, bapanya perlu membuat rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN). Kebetulan pula semasa bertandang ke rumahnya, Dato’ Haron pergi ke IJN untuk mendapat pemeriksaan lanjutan.
“Minta maaflah hari ini dia kena pergi jumpa doktor di IJN dan petang ini selesailah tu,” katanya yang tidak jemu-jemu menceritakan keadaan bapanya yang dikenali ramai itu.