Archive for Oktober, 2012


PERSIMPANGAN LTAKK

Setahun sudah berlalu kemalangan keretapi dan lori minyak di tengah landasan keretapi dekat Shell Kg Peringatan Petagas berhadapan persimpangan keluar Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Ia menjadi satu titik sejarah, meskipun tiada jiwa yang terkorban walau saat itu keretapi sarat dengan penumpang yang keluar dari pusat Bandaraya Kota Kinabalu.

Itu peristiwa petang 31 Oktober 2011.

Sesudah setahun tragedi, stesen minyak ditutup dan persimpangan keluar kereta dari LTAKK menuju ke arah Petagas/Putatan juga masih ditutup. Sebagai pengguna jalanraya, barangkali bukan saya seorang tertanya-tanya kesudahan persimpangan berkenaan, adakah hendak ditutup terus atau masih bersifat sementara?

Maksud saya, jika pihak berkuasa berhajat menutup terus jalan, maka sebaiknya dibina pembahagi jalan yang bersifat kekal daripada membiarkan penghadang sementara seperti yang ada sekarang. Ia kelihatan tidak comel dan mencacatkan pemandangan jalanraya. Tiang-tiang lampu-lampu trafik yang rosak kesan hangus juga masih terbiar sedemikian rupa.

Jika pihak berkuasa berminat untuk membuka semula persimpangan berkenaan, ia juga disokong kerana memudahkan pengguna jalanraya keluar dari kawasan lapangan terbang ramai yang menuju ke arah Putatan. Buat masa ini laluan sekarang untuk membuat pusingan-u di persimpangan agak menyusahkan terutama pada waktu puncak.

Sekian pendapat pengguna jalanraya.

29 Oktober bermula semester baru untuk maahad bagi oktober-mac 2013. Semester 2, 4 dan 6. Siswa-siswi semester 1 (kini naik semester 2) sudah mengalami saat pertama kali berimtihan pada sesi lepas dan harapannya mereka sudah mengetahui selok belok maahad dan peperiksaannya sepanjang setengah tahun pertama di sini.

Saya ‘memegang’ semester 4, di mana sebahagian mereka tasmik al-Quran bersama saya. Saya berharap ada di kalangan mereka – kalaupun tidak semua – dapat mengkhatamkan hafazan pada akhir tahun ini. Saya melihat potensi mereka – daripada tujuh yang tasmik dengan saya – sekurang-kurangnya 3 orang boleh khatam pada akhir tahun ini.

Semester enam pula akan mengakhiri pengajian mereka pada februari dan mac tahun hadapan. Mereka dalam fasa akhir sebulan dua ini untuk mengkhatamkan hafazan al-Quran – kerana kini berada sekitar juzu’ 26-27. Untuk semester enam, saya menerima amanah mengajar subjek ilmu dhobt al-Quran. Doakan anak-anak didik kami berjaya dalam pengajian dan kehidupan mereka.

DUA TAHUN SAKIT

Kami menziarahi seorang hamba Allah yang sakit di Putatan beberapa malam lepas. Allah SWT menguji beliau dengan penyakit yang tidak dapat dikesan oleh doktor, demikian menurut cerita beliau dan keluarganya. Sakitnya bermula dua tahun lepas di pinggang kiri, merebak ke kaki kiri. Kemudian merebak ke kaki kanan dan sehingga kini mulut beliau herot seperti orang terkena angin ahmar.

Beberapa pakar saraf, urat, jantung dan sebagainya sudah ditemui dan tiada sebarang penyakit dikesan. Apabila bertutur hanya sebahagian kalimatnya boleh difahami. Namun begitu pihak beliau sekeluarga tidak jemu untuk mencari penawar dan berubat dengan bermacam orang. Hanya saya mengingatkan agar jangan mencari orang yang salah.

Kami berziarah dan meruqyah beliau. Katanya ketika ayat-ayat dibacakan, dadanya merasa kepanasan. Satu perkembangan yang baik ialah beliau boleh memuturkan dua kalimah syahadah dan surah al-Fatihah dengan baik, walaupun dikhabarkan pernah suatu ketika dahulu beliau gagal membacanya. Semoga Allah SWT memberi kesembuhan kepada beliau.

Sumber : di sini

Kenyataan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden MCA yang secara terbuka  menentang Syariat Islam,  khususnya undang-undang jenayah hudud,  adalah menyerlahkan sikap Barisan Nasional yang sebenar. Perlu diingat bahawa UMNO adalah parti teras dalam BN, yang wujud bersama MCA, MIC, GERAKAN dan lain-lainnya sebagaimana yang kita ulangi sudah pun diberi amanah menerajui pemerintahan negara Malaysia ini selama lebih dari lima puluh tahun.

Hakikatnya ialah, bahawa UMNO memimpin kerajaan pusat dan kebanyakan kerajaan negeri, dengan adanya Biro Agama dalam UMNO itu sendiri, dalam kerajaannya ada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam – yang diletakkan  dibawah Jabatan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, dan ada menteri penjaganya. Di samping diwujudkan Institut Kefahaman Islam (IKIM), Fakulti Pengajian Islam dibeberapa Universiti, diperingkat negeri pula ada Jabatan Agama Islam masing-masing danada Exco Agama daripada UMNO juga.

TETAPI segala-galanya ini tidak mampu meletakkan Islam itu tinggi di tempat yang sebenarnya dalam urusan negara Malaysia ini dan di negeri yang dipimpin oleh UMNO. Adapun Majlis Fatwa Kebangsaan pula hanya bebas dalam lingkungan sangkarnya, berkokok mengikut waktu yang disesuaikan dengan keselesaan UMNO yang menjadi penunggunya.

Soalannya mengapa MCA boleh membuat kenyataan terbuka begitu rupa ?

Dalam hal ini, MCA bukanlah parti yang patut disoal atau diminta penjelasan, kerana parti ini hanya mewakili kelompok masyarakat Cina bukan Islam.Manakala hukum hududpula tidak ada dalam ajaran semua agama bukan Islam yang dianut oleh ahli MCA. Parti UMNOlah yang secara khususnya patut dipersoalkan oleh bangsa melayu yang beragama Islam bukannya MCA, kerana  banyaknya urusan Islam didalam tubuh parti UMNO serta kedudukannya yang memimpin kerajaan pusat dan negeri.

PAS tidak merasa hairan apa yang berlaku, kerana UMNO adalah Parti Kebangsaan Melayu, di mana “Islam” hanya menjadi agama yang dianut secara peribadi kalangan ahli UMNO sahaja. Perlembagaan UMNO juga tidak meletakkan Islam menjadi dasar, matlamat dan hukum tertinggi. Sifat individualistik yang menjadi konsep kepada ahli UMNO menyebabkannya tidak boleh bertindak terhadap ahlinya yang melakukan maksiat yang besar, apatah lagi yang terlalu kecil, kerana agama adalah urusan individu.

Ahli UMNO pula boleh menjadi orang yang soleh, paling kuat beribadat, banyak sembahyang, banyak mendirikan masjid, kerap umrah dan lebih banyak peluang haji, berkebajikan dalam masyarakat dengan sebanyak-banyaknya dan sebagainya. Tetapi ahli UMNO tidak mampu bercakap atas nama partinya untuk menegur atau menyanggah kenyataan Presiden MCA, kerana ini akan bercanggah dengan semangat dan konsep kebersamaan dalam BN yang didukung sama oleh undang-undang tubuh UMNO yang diselaraskan dengan semua rakan-rakannya dalam Barisan Nasional.

 UMNO lebih mengutamakan konsep pragmatik sekular yang didukung bersama MCA, MIC, GERAKAN  dan lain-lain, dalamgabungan parti-parti komponen Barisan Nasional. Maka Islam tidak berkuasa dan berdaulat, hanyalah sekadar  menjadicabang yang berteduh dibawah semangat Barisan Nasional.  Maka UMNO tidak ada kelayakan untuk menegur Presiden MCA sehingga dia boleh bercakap apasahaja  termasuk dalam perkara Islam yang dia terlalu jahil kerana bukan agamanya.

HUDUD

Undang-undang Hudud adalah salah satu daripada hukum jenayah dalam syariat Islam, bersama dengan hukuman Qisas dan Takzir. Perkataan “Hudud” bererti batas-batas sempadan Allah yang tidak boleh dipertikaikan oleh seseorang yang beriman, di mana hukumannya telah dinaskan oleh Allah secara nyata dalam Al Quran dan Hadith Rasulullah SAW seperti juga nas wajib sembahyang lima waktu, puasa, zakat , haji dan pengharaman arak, judi, riba dan lain-lain. Hudud tidak boleh dinamakan “Hudud PAS” seperti juga tidak boleh dinamakan “sembahyang PAS”. Hanya yang jahil murakkab sahaja boleh bercakap begitu. Allah berfirman yang bermaksud:

Dan tidaklah harus bagi seseorang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – mereka tidaklah mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (al-Ahzab – 36)

Perkara yang dinyatakan secara nas saperti Hudud dan Qisas tidak mungkin dicapai oleh akal manusia, maka Allah menyatakan petunjuknya secara jelas.Rasulullah SAW sendiri, para pemimpin dan ulama selepasnya wajib menerima dan pihak yang berkuasa pula wajib melaksanakannya di mana mereka tidak boleh bertelingkah atau khilaf dari segi wajibnya. Perbincangan dan berbeza pendapat hanya dalam perkara cabang dari segi mencari bukti dan proses kehakiman yang adil, bukan meninggalkannya.

Keseluruhan undang-undang jenayah Islam lebih bersifat dan berkonsepkan mendidik masyarakat, maka dikenakan syarat yang ketat sehingga sukar menjatuhkan hukuman, tetapi undang-undang dan hukumannya menakutkan sehingga Presiden MCA juga takut. Penjenayah lebih digalakkan bertaubat sebelum dibawa ke mahkamah. Hukum Hudud tidak boleh diampun setelah diputuskan oleh mahkamah, kerana Hudud menjadi hak Allah bagi memelihara rukun kehidupan bermasyarakat.

Lucunya, terdapat pula kalangan yang jahil pula cuba berhujah, bahawa penjenayah akan berkeliaran atau bertambah kerana hukuman sangat sukar untuk dijatuhkan. Hakikatnya ini tidak akan berlaku kerana sebelum sesuatu kes itu dibawa ke mahkamah, pihak yang mendakwa atau pendakwa akan menentukan samada cukup kesaksian atau tidak untuk kes hudud. Sekiranya bukti tidak cukup untuk kes hudud bukan bermakna terus dilepaskan.

Bukti-bukti jenayah ini mungkin cukup untuk di bawa kes ke perbicaraan takzir – di mana hukuman takzir adalah lebih ringan dari hukuman hudud.Dalam bahasa mudah difahami waktu ini, hukuman takzir boleh wujud dalam bentuk kanun keseksaan (penal code) yang hukuman dan beban pembuktiannya jauh lebih ringan dari hukuman hudud.

Setiap penganut Islam sebelum wujudnya PAS dan UMNO wajib beriman dengan hukum hudud. Maka penganut Islam dalam UMNO wajib bertegas dan istiqamah dengan Islamnya,seterusnya bertindak sama ada memecat MCA daripada Barisan Nasional atau UMNO di pecat atau keluar daripada Barisan Nasional atau ahli-ahli UMNO yang beragama Islam keluar UMNO beramai-ramai.

PAS DAN DAP

PAS berlainan dengan UMNO dan sangat berbeza,  kerana PAS tegas mengikut undang-undang tubuhnya, menjadikan Islam (Quran, Hadith, Ijmak dan Qiyas) hukum tertinggi, dasar dan matlamat perjuangannya Islam yang sempurna, maka termasuk urusan politik negara. Sekiranya dikaji Surah Al Maidah yang diturunkan diMadinah, terdapat didalamnya undang-undang jenayah, diantaranya Hudud.

Kebanyakan sebab nuzulnya (turun ayat) adalah berkait dengan sikap penganut bukan Islam yang dijawab secara wahyu.Perkara ini dapat dirujuk dalam kitab tafsir dan sejarah Islam. PAS berijtihad memilih demokrasi bagi mencapai kuasa pemerintahan dan melaksanakan Islam termasuk hukum hudud,  kerana pendekatan demokrasi secara damai adalah bersesuaian bagi menyelamat manusia bersama Islam tanpa paksaan, walaupun memakan masa yang panjang sehingga beberapa generasi serta pemimpin pergi dan datang.

Maka proses pelaksanaan undang –undang termasuk Hudud dibawa kedalam Dewan Undangan Negeri Kelantan dan Terengganu setelah mendapat mandat kemenangan besar dalam pilihanraya lalu. Undang – undang  jenayah Islam termasuk Hudud dipamerkan lebih dahulu kepada masyarakat umum berbagai agama, di bentang dan dibuka kepada proses soal-jawab terlebih dahulu sebagai satu proses pendidikannya.

Ingin saya pertegaskan sekali lagi bahawa pelaksanaan enakmen Islam adalah hanya untuk orang Islam sahaja, sama sekali tidak untuk bukan Islam. PAS tidak membawa perkara ini diKedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang kerana tidak mencukupi syarat secara demokrasi. DAP pula bukan parti kerajaan pusat yang berkuasa sepenuhnya seperti MCA. Ahli DAP banyak terdiri daripada masyarakat bukan Islam yang tertindas oleh kekayaan MCA, MIC dan semangat kebangsaan UMNO yang terlalu tinggi. Maka PAS lebih mudah berkira dengan DAP. Perkara hudud boleh dibincang secara ilmu dengan adil dan bebas.

Hubungan PAS dengan DAP dan PKR bukan Islam dalam Pakatan Rakyat adalah secara muafakat. Maka isu pelaksanaan Islam oleh PAS dalam negeri Pakatan Rakyat adalah berpandukan kepada hukum Tahaluf Siyasi dalam Feqah Siyasah. Ini perkara yang perlu difahami oleh penyokong PAS dan rakyat seluruhnya. PAS tetap tegas dengan perjuangan Islamnya  dan DAP pula tegas dengan perjuangannya. Dalam hal ini kerjasama berlaku dalam titik persamaan dan hak berbeza pendapat tetap dihormati dan hak penganut bukan Islam wajib diberi dengan adil.

Titik persamaan secara umum sudah disepakati, apabila DAP menerima konsep yang sudah ada dalam perlembagaan negara, termasuk kedudukan agama Islam. Bagi PAS sudah cukup menarik untuk memberi ruang perbincangan sekiranya memerintah negara. Cara ini tidak boleh dilakukan oleh UMNO dengan rakan-rakan karibnya dalam Barisan Nasional. Malangnya perbincangan yang masih awal diganggu oleh media arus perdana khususnya berbahasamelayu mengaku Islam, yang sengaja berniat jahat untuk menghalang cita-cita Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Sekiranya rakyat memberi kuasa dalam Pilihanraya Umum ke-13 kepada Pakatan Rakyat, maka PAS yakin dapat membawa mesejnya dengan sempurna tanpa gangguan syaitan yang dikenali dan tidak dikenali.

———————————————————————————-

Penulis adalah Presiden PAS yang juga anggota Parlimen Marang.

SEMBANG ISU HUDUD

Sumber : http://mufakkir-islami.blogspot.com/2012/10/sembang-isu-hudud.html

Nampaknya isu hudud semakin galak diperkatakan oleh pihak non-muslim. Ia memperlihatkan betapa prihatinnya golongan non-muslim memantau dan meneliti pelaksanaan hukum jenayah Islam di Malaysia. Walaupun suara-suara yang mahukan pelaksanaan itu hakikatnya datang daripada pihak pembangkang (khususnya Pas) yang mungkin sukar untuk dilaksanakan dalam waktu terdekat, namun perang psikologi terhadap pelaksanaan tersebut telah pun dilakukan oleh pihak non-muslim seolah-olah hudud akan dilaksanakan pada esok atau lusa.

Bagi penulis, penolakan hudud oleh non-muslim itu boleh dianggap sebagai perkara biasa. Ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana mereka memang pun tidak beriman dengan apa yang diturunkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW mengenai hudud. Namun begitu, mereka terus mengkaji, meneliti, memerhati, memantau dan membuat ramalan dan andaian jika sekiranya hudud benar-benar berlaku. Begitulah tajamnya pemerhatian mereka terhadap pelaksanaan hudud di Malaysia. Soalnya, apa yang dibuat oleh kita sesama muslim dalam menanggapi isu ini? Pemerhatian penulis boleh diterjemahkan menerusi beberapa noktah berikut:

a) Tiada sebarang persepakatan antara dua parti politik Melayu Islam terbesar di negara ini iaitu Pas dan UMNO untuk melaksanakan hudud. Walaupun kedua-duanya sepakat bahawa hukum hudud terdapat di dalam al-Qur’an dan al-Sunah, namun kedua-duanya saling bercanggah dalam teknikal pelaksanaannya hingga menyebabkan isu hudud terbengkalai selama 55 tahun.

b) Pas mendakwa telah berusaha untuk melaksanakan hudud di negeri-negeri yang ditawan seperti Kelantan dan Terengganu, namun kerajaan pusat tidak membenarkan pelaksanaannya. UMNO pula mendakwa hudud Pas bukan hudud Allah, namun tidak pula UMNO membentangkan hudud Allah yang sebenar.

c) Ulama Muda UMNO (ILMUAN) menambahkan lagi hujah ketidakkemungkinan hudud dilaksanakan apabila mengatakan hudud WAJIB dijalankan secara menyeluruh merangkumi muslim dan non-muslim supaya ianya menepati prinsip keadilan. Oleh itu, selagimana non-muslim tidak mahu menerima hudud, maka selagi itulah hudud mustahil untuk dilaksanakan. Pas pula mengatakan bahawa pelaksanaan hudud hanya dijalankan di kalangan muslim sedangkan non-muslim diberi pilihan sama ada mahu dihukum berdasarkan hudud atau sivil.

d) Sebahagian ilmuan muslim pula berpandangan hudud tidak boleh dilaksanakan kecuali masyarakat benar-benar telah bersedia dan berada dalam suasana yang kondusif. Selagimana tahap tersebut tidak dicapai maka hudud tidak boleh dilaksanakan. Namun, tidak pula dinyatakan apakah ‘benchmark’ untuk mengukur masyarakat yang bersedia dan bersuasana kondusif tersebut. Boleh sahaja hujah yang seperti ini digunakan untuk 100 tahun lagi.

e) Tiada pihak yang membuat kajian perbandingan antara permulaan pelaksanaan undang-undang jenayah sivil dengan permulaan undang-undang jenayah Islam. Sepengetahuan penulis, permulaan undang-undang jenayah sivil tidak pula dibebankan dengan syarat-syarat seperti persediaan masyarakat, pemahaman rakyat tentang undang-undang dan suasana yang kondusif. Tetapi kenapa apabila undang-undang jenayah Islam ingin kembali dipraktikkan setelah sekian lama dihapuskan oleh penjajah,lalu ia dibebankan dengan pelbagai syarat? Adakah syarat-syarat itu hanya alasan bagi melengah-lengahkan pelaksanaan hukum Islam atau ia memang perlu dipenuhi terlebih dahulu?

f)   Pihak autoriti agama yang diperturunkan kuasanya oleh Yang Di Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu seperti majlis fatwa kebangsaan, majlis agama Islam negeri-negeri, jabatan gama Islam negeri-negeri, mufti-mufti dilihat hanya membisu seribu bahasa. Tidak berperanan malah tidak memainkan apa-apa fungsi yang patut bagi menjelaskan kekeliruan yang sedang berlaku. Sepatutnya sebagai sahib al-amanah (pemegang amanah agama Islam) mereka perlu tampil bersuara secara kolektif untuk menerangkan kedudukan sebenar hudud khususnya bagi mengelakkan isu ini terus dimainkan oleh ahli politik berkepentingan, ilmuan Islam yang tidak terarah dan golongan non-muslim yang tersalah anggapan.

Sebagai penyelesaiannya penulis mencadangkan seperti berikut:

a) Ketua tertinggi agama Islam di negara ini iaitu YDPA dan Raja-Raja Melayu perlu menyatakan solidariti yang padu terhadap  pensyariatan hudud sebagai salah satu daripada hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Penulis yakin jika Raja-Raja Melayu sendiri yang mengeluarkan kenyataan mempertahankan pensyariatan hudud, ia sudah pasti dapat meredakan kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab golongan non-muslim yang beranggapan isu hudud hanyalah mainan politik semata-mata.

b) Pihak autoriti agama seperti majlis fatwa kebangsaan, majlis agama Islam, jabatan agama Islam, jabatan mufti, Jakim, JKSM, Ikim dan lain-lain perlu mempersiapkan draf lengkap jangka panjang dan jangka pendek pelaksanaan hudud di Malaysia dengan melihat kepada kedua-dua sudut teknikal perundangan mahupun hukum syara’. Mana-mana parti politik tidak perlu terlibat secara langsung dalam menggubal draf hudud tersebut bagi mengelakkan keluarnya istilah ‘hudud Pas’ atau ‘hudud UMNO’.

c)  Ditubuhkan kumpulan pemikir yang terdiri daripada pakar-pakar agama, perundangan Islam dan perbandingan agama sama ada tokoh-tokoh di peringkat tempatan mahupun antarabangsa yang berfungsi untuk memberi penjelasan dan pencerahan terhadap sebarang keraguan yang ditimbulkan oleh mana-mana pihak sama ada golongan muslim atau non-muslim berkenaan pelaksanaan hudud.

Penulis yakin jika ahli-ahli politik muslim di semua peringkat daripada Perdana Menteri hingga ADUN biasa sama ada kerajaan atau pembangkang, bersedia memberi KEBEBASAN kepada ketiga-tiga institusi di atas iaitu institusi raja, institusi agama dan golongan pakar memainkan peranan masing-masing, nescaya hudud boleh dijalankan secara aman dan damai walaupun mungkin bukan dalam jangka waktu yang terdekat.

Apa yang penting, perancangan ke arah pelaksanaannya itu mampu berjalan tanpa konflik, tanpa perbalahan sesama sendiri dan tanpa campur tangan bukan Islam. Hudud juga akhirnya tidak menjadi retorik politik sesetengah pihak yang asyik berselindung di sebalik hujjah “tadarruj” atau “beransur-ansur”. Hal ini seperti mana penjelasan Imam al-Qaradawi dalam kitabnya “Fi Fiqh al-Awlawiyyat” berikut :

ولا نعني بالتدرج هنا مجرد التسويف وتأجيل التنفيذ ٬ واتخاذ كلمة التدرج “تكأة” لتمويت فكرة المطالبةالشعبية الملحة بإقامة حكم الله ٬ وتطبيق شرعه ٬ بل نعني بها تعيين الهدف ٬ ووضع الخطة ٬ وتحديدالمراحل ٬ بوعي وصدق ٬ بحيث تسلم كل مرحلة إلى ما بعدها بالتخطيط والتنظيم والتصميم ٬ حتى تصلالمسيرة إلى المرحلة المنشودة والأخيرة التي فيها قيام الإسلام ٬ كل الإسلام.

Maksudnya: “Dan kita tidak maksudkan tadarruj di sini hanya pelengahan dan penangguhan pelaksanaan, dan penggunaan kalimah tadarruj sebagai sandaran untuk mematikan fikrah tuntutan rakyat yang mendesak untuk menegakkan hukum Allah dan melaksanakan syariat-Nya, bahkan apa yang kita maksudkan dengannya (tadarruj) ialah menentukan matlamat, meletakkan perancangan, menetapkan fasa-fasa dengan penuh kesedaran dan kejujuran, agar setiap fasa diserahkan kepada yang seterusnya secara berstrategi, tersusun dan sistematik hinggalah perjalanan sampai kepada peringkat terakhir yang diimpikan yang padanya terbangun Islam, keseluruhan Islam”.

Wallahu a’lam…

Qurban kami kali ini lebih kurang sama seperti tahun lalu iaitu diadakan di rumah sembelihan di Kinarut. Hanya ada sedikit sebanyak urusan teknikal yang berbeza dengan tahun lalu.

Pertamanya, harga lembu kami kali ini lebih murah iaitu RM10.70 sekilo berbanding RM12 sekilo pada tahun lepas. Lebih memuaskan hati, lembu juga lebih besar dan berat iaitu 400kg berbanding tahun lepas hanya 310 kg. Tahun lepas kami bayar RM3720 untuk 310kg manakala tahun ni kami bayar RM4360 untuk 400kg termasuk kos penghantaran sebanyak RM80 dari Desa Cattle di Lok Kawi menuju rumah sembelihan di Kinarut.

Keduanya, jika tahun lepas kami menanti sekitar 7 jam di lokasi untuk giliran lembu disembelih, tahun ini pula saya yang terkejar ke lokasi kerana giliran lembu kami dipercepatkan. Sudah jadi rezeki kami, kerana menurut perancangan awal yang ditetapkan, giliran lembu kami ialah lewat petang ataupun pada pagi ahad kerana lembu kami diletakkan pada nombor 15. Kami dimaklumkan tuan punya lembu yang lain belum sampai bahkan ada juga yang sudah menempah giliran, dengan lembunya pun juga belum tiba.

Ketiganya, kerja menyembelih dan melapah siap dalam tempoh sejam sahaja. bermula 10.55 pagi dan selesai menjelang waktu zuhur. Sedikit perbezaan kali ini ialah, kerja melapah dan memotong daging dan tulang sehingga kecil tidak lagi dilakukan di sini kerana mesin-mesin mereka dimaklumkan bermasalah. Hanya dipotong empat lebih kurang dan kemudian masing-masing bawa balik dan selesaikan bakinya.

Jadi, perkarangan rumah kami menjadi lokasi membahagi bahagian masing-masing, iaitu empat bahagian di rumah kami, serta masing-masing satu bahagian oleh Ustaz Saiful Mukharram, Chef Abdullah Ahmad dan Peguam Zakaria Ahmad. Lima orang anakanda siswi Maahad Tahfiz sudi membantu kami memotong daging di rumah seterusnya menimbang dan masuk ke dalam bahai, sementara kerja-kerja menyampaikan sedekah dan hadiah ke sasaran dilakukan oleh Nuha, Hana dan Hadi.

Menjelang maghrib, semuanya selesai. Alhamdulillah.

 

TALAK 3

Saya berdoa semoga Allah SWT membuka jalan kebaikan untuk pasangan ini.

Menurut maklumat, mereka pasangan suami isteri yang baru 2 tahun berkeluarga dengan dikurniakan seorang anak. Berlaku ketegangan dalam rumah tangga, sehingga berlaku lafaz cerai kemudian rujuk, cerai dan rujuk lagi. Bahkan mengejutkan sahabat kami yang meruqyah itu bahawa sebelum keduanya datang menemui kami, sang suami baru sahaja melafazkan talak buat kali ketiga.

Ketiga-tiga lafaz cerai pula dan rujuk itu akui mereka tidak direkodkan oleh pihak mahkamah syariah. Selesai sesi ruqyah, sang suami (bekas) menghantar bekas isterinya ke LTAKK untuk kembali ke Semenanjung malam itu juga. Lebih dua jam sahabat saya memberikan nasihat kepada mereka berdua agar bermuhasabah dan memperbetulkan kesilapan selama ini. Untuk rekod, lelaki berkenaan adalah seorang anggota keselamatan yang bertugas di Kota Kinabalu.

Sumber : http://www.islam.gov.my/ziarah-dakwah-di-bumi-sook

Tanggal 20 September 2012, Jakim Cawangan Sabah bersama JHEAINS Daerah Kecil Sook telah menyelusuri Kampung Mansiat, Sook di bawah program Ziarah Mahabbah. Perjalanan selama 1 jam 45 minit dari Pekan Sook itu sangat mencabar dengan kondisi jalan tidak berturap dan masih banyak yang dalam proses pembaikan. Keadaan permukaan jalan bertambah licin dan makin merbahaya apabila hujan mulai turun, dan ini sangat membimbangkan para penduduk dan pengunjung yang datang ke situ.

Objektif utama program adalah memberi bimbingan ilmu berkaitan dengan fardhu ain dan menyuburkan rasa kasih sayang bersama masyarakat. Diharapkan juga ia dapat menyuntik motivasi dan sokongan moral kepada penduduk kampung berkenaan untuk terus meningkatkan kefahaman mengenai ajara Islam sebenar.

Slot halaqah ilmu, tazkirah, solat berjemaah dan penyampaian sumbangan kepada saudara baru merupakan contoh aktiviti yang telah dijalankan oleh pihak penganjur. Selain Kg. Mansiat, program kali ini turut mendapat penyertaan dari Kg. Sinua, Kg. Sinaron dan Kg. Nandagan, Sook. Lebih 100 peserta dari 4 buah kampung itu sangat bersemangat dan bersungguh-sungguh dalam menjayakan setiap aktiviti yang dijalankan pada hari itu.

Ustaz Mohd Shamsuri Bin Ghazali, wakil Pengarah Jakim Sabah telah menyempurnakan majlis perasmian program. Turut hadir, Ustaz Rosman Bin Suni, Penyelaras Program Dakwah PLD Keningau, Encik Ismail Bin Amit, Pemaju Mukim Lanas memerangkap Pengerusi Surau As-Syakirin Kg. Mansit, Encik Johari Bin Bariau selaku Ketua Kg. Mansiat, Ustaz Baramsa@ Syukur Bin Batarasa selaku wakil JHAEINS Daerah Kecil Sook, Penggerak Dakwah Sook dan rombongan Jakim Cawangan Sabah.

Khatib : Imam Norisham Pura

Lokasi : Masjid Daerah Putatan

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu belanjakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu belanjakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (S. Ali-Imraan: 92).

Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan bahawa mendermakan atau membelanjakan harta benda dan apa sahaja walau bagaimana kecil dan sedikit jumlahnya adalah berpahala. Tetapi hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna serta besar pahalanya, tidak akan dapat dicapai sebelum kita membelanjakan harta benda dan apa sahaja yang bernilai dan sangat-sangat disayangi, kerana dengan melakukan yang demikian bermakna kita dapat mengalahkan perasaan bakhil kedekut dan meningkat ke darjat takwa.

Maknanya, pengorbanan dalam bentuk membelanjakan wang ringgit atau harta, masa, tenaga dan kelazatan hidup dunia lainnya adalah sangat dituntut dalam kerangka lebih mendekatkan diri dengan Allah SWT serta membina jaringan hubungan yang lebih baik sesama manusia sebagaimana hikmah ibadah haji yang difardukan ke atas kita sekalian. Bersamalah kita tarbiah diri kita sendiri dan ahli keluarga kita untuk menghayati konsep pengorbanan dalam Islam dan melakukan pengorbanan yang disarankan itu agar beroleh keberkatan serta kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Hari raya Aidiladha atau hari raya Haji ini akan diimarahkan dengan ibadah penyembelihan korban seperti kambing, lembu dan kerbau. Syariat yang sudah menjadi tradisi dalam masyarakat kita ini akan berlanjutan hingga ke tiga hari tasyrik, iaitu tanggal 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Sambutan hari raya dan penyembelihan korban ini digarap daripada peristiwa-peristiwa yang dialami oleh Nabi Ibrahim AS, di mana sebagai insan berjiwa hamba, Baginda tidak pernah mempertikaikan suruhan Allah itu meskipun yang akan menjadi korban adalah anak kesayangannya sendiri, iaitu Nabi Ismail AS.

Dan ternyata, Nabi Ismail AS tidak terkorban dalam upacara penyembelihan berkenaan kerana diganti Allah SWT dengan sembelihan korban yang besar. Ini menunjukkan bahawa ibadah korban tidak hanya terbatas kepada menyembelih binatang korban semata-mata kerana dari segi maknawinya manusia memerlukan pengorbanan dalam menuju kebahagiaan di dunia dan akhirat. Hakikatnya, ibadah korban adalah menjelmakan rasa syukur atas segala nikmat yang dikurniakan serta dikecapi, di mana amalan itu dikira sebagai tanda ketakwaan kepada Allah SWT.

Majlis Qurban di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral Kepayan terbahagi kepada dua sesi; sesi satu selepas solat hari raya pada pagi jumaat dikhususkan kepada sembelihan kambing berjumlah 7 ekor sementara sesi kedua pada pagi sabtu untuk 5 ekor lembu. Terdahulu pada khamis, sehari sebelum hari raya diadakan sembelihan beberapa ekor kambing untuk ibadah aqiqah.

Untuk pembahagiannya, beberapa tim anak muda secara sukarelawan mengagihkan daging-daging qurban kepada sasaran fakir miskin dan seumpamanya di beberapa buah kampung antaranya di Kg Pasir Putih Putatan, Kg Muhibbah Putatan, Kg Sembulan, Tanjung Aru, Pulau Gaya dan lain-lain. Tahniah kepada semua peserta qurban dan para petugas.

Foto yang diambil ialah pada pagi dan petang jumaat sahaja.

%d bloggers like this: