Tarikh : 13 Jun 2016
Tag Archive: Tenom
Tarikh : 20 Febuari 2015
Lokasi : Masjid Kg Jawa Sembiling Tenom
Firman Allah SWT bermaksud : Wahai orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.
Menjadi tuntutan kepada setiap jiwa orang Islam dan beriman, agar berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengikuti ajaran Islam secara keseluruhan, bukannya dengan mengamalkan sebahagian daripadanya dan meninggalkan sebahagian yang lain.
Apa yang berlaku pada hari ini, umat Islam ada yang mengabaikan tuntutan Islam apatah lagi yang melibatkan rukun Islam dan ajaran-ajaran yang bersifat asas bagi setiap individu Islam, contohnya meninggalkan solat walaupun mengerjakan puasa, mengabaikan zakat walaupun suka bersedekah dan sebagainya.
Umat Islam mesti menjadi contoh yang baik kepada orang lain, agar manusia tertarik kepada agama yang sedia indah dan hebat ini.
Kami bertemu pada petang ahad di Hospital Queen Elizabeth saat dia menemani ibunya yang ditahan di wad berkenaan. Nampaknya kesihatannya semakin baik walaupun berat semakin susut daripada 120kg kepada 70kg setelah menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu, kini beliau sudah mula mengajar di sekolahnya di Tenom.
Cikgu Rizal dalam sembang kami masih bersemangat dan menunjukkan kepada saya risalah yang dibuat untuk diedarkan kepada jamaah Masjid ar-Rahman Pekan Tenom. Katanya ada risalah mingguan dan ada risalah bulanan. Bahkan beliau mengajak saya untuk menulis sedikit artikel untuk risalah bulanan itu nanti yang bermula pada februari.
Jiwa pendakwahnya masih belum luntur apabila setiap kali selepas rawatan dialisis, beliau terus melakukan ziarah kepada pesakit di Hospital Tenom. Selain itu, beliau juga mula kembali sebagai khatib di masjid dan mengisi program menurut kemampuan beliau. Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepadanya.
Selesai solat asar qasar di Masjid ar-Rahman Pekan Tenom, kami menuju ke Hospital Daerah beberapa minit dari situ. Che’gu Jamil memandu, Ust Amir di sebelah sementara saya di belakang.
Perjalanan lebih 2 jam KK-Tenom sebelum itu agak meletihkan khususnya pada permulaan mendaki jalan Kimanis kerana kabus terlalu tebal. Kadar jarak penglihatan hanya dapat dilihat beberapa meter sahaja, tambahan lagi hujan lebat beberapa ketika.
Berhenti solat di masjid dan berehat seketika jelas merenggangkan keletihan kami.
Wad pesakit lelaki di Hospital Tenom yang menempatkan Cikgu Rizal mempunyai 13 katil (kalau tidak salah) dan ada beberapa katil yang kosong tanpa pesakit.
Sehari sebelumnya, Cikgu Rizal dijadualkan ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan lanjut. Tetapi beliau merasa sesak nafas ketika perjalanan baru melepasi pekan, dan van terpaksa berpatah balik.
Kami dikhabarkan van hospital dalam keadaan sedikit uzur selepas kemalangan. Katanya sudah dibaiki tetapi mereka hanya berani membawa sekitar Tenom sahaja.
Jadi van kedua yang lebih kecil digunakan untuk membawa Cikgu Rizal tetapi kelengkapannya agak terhad. Harapnya pihak berkenaan dapat menyelesaikan segera untuk kemaslahatan pesakit yang memerlukan rawatan di luar Tenom.
Kami hadir dalam keadaan pernafasan Cikgu Rizal sedikit pulih. Semalam dia terpaksa menggunakan alat bantuan kecemasan sepanjang masa.
Kami lega sedikit kerana beliau boleh bercerita walaupun nafas agak tercungap-cungap. Katanya dia masih letih hatta bergerak ke tandas pun beliau memerlukan bantuan.
Kesempatan sembang itu, kami masih menyarankan beliau agar mengisi masa luangnya dengan membuat blog dan menyumbang idea dan fikrah menurut kemampuannya.
Beliau agak berat bergerak ke sana ke mari, kerana keadaan kaki yang membengkak sehingga ke paha tetapi ideanya tentang program dakwah dan perbandingan agama masih segar dan diperlukan.
Agak teruja sebelum itu kami menyaksikan dalam uzurnya, khidmat beliau masih diperlukan sebagai AJK Masjid Daerah Tenom dan mengetuai Syukbah Ukhuwah dan Pembangunan Ummah sesi 2008-2010 sebagaimana dipaparkan di papan kenyataan masjid.
Sudah 2 minggu beliau ditahan. Bahkan 20 hari terakhir Ramadhan beliau juga menghuni hospital ini. Hanya seminggu ketika raya dibenarkan keluar dan kembali semula pada awal oktober.
Tetapi secara keseluruhan, beliau keluar masuk hospital ini sudah 3 tahun lamanya.
Satu perkara yang jelas saya perhatikan sepanjang keberadaan kami lebih 2 jam di situ sehingga pulang, orang tidak putus-putus menziarahi beliau.
Kami mendoakan keselamatan beliau, juga berdoa agar isterinya Puan Aisyah bersama anak-anak bersabar atas ujian yang menimpa. Sesungguhnya Allah bersama 0rang yang sabar.
Pada 19 Oktober, Cikgu Rizal akan menyambut ulangtahun ke-41. Semoga dipanjangkan umur dan diberi pahala yang besar oleh Allah SWT.
Dua kali pernah saya bercerita dalam blog ini tentang beliau.
Cikgu Rizal Hadi Hj Ismail, orang Tenom. Penerima Anugerah Khalid al-Walid 2004 daripada Kerajaan Negeri Sabah kepada pendakwah muda yang berpotensi kepada masyarakat.
Ada beberapa SMS yang masuk ke telefon bimbit semalam.
Beliau yang sedang menderita penyakit buah pinggang dan kencing manis, khabarnya keadaan beliau semakin kronik. Kaki sehingga ke paha semakin membengkak.
Semalam, beliau dijadualkan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk rawatan lanjut. Khabarnya, dalam perjalanan baru beberapa kilometer melepasi Pekan Tenom, Cikgu Rizal sesak nafas.
Mereka berpatah balik ke hospital kerana bimbangkan dengan risiko yang tidak diingini. Kini beliau berada di Hospital Tenom dengan menggunakan bantuan oksigen sepenuh masa. Keadaan agak kritikal ketika ini.
Insya Allah petang ini, saya akan ke Tenom untuk berziarah.
Kepada pembaca blog ini, tolong luangkan masa 10 saat untuk mendoakan kesihatan beliau pulih seperti sediakala.

Alhamdulillah, kehadiran sangat memberangsangkan. Bukan setakat di ruang utama, kaum ibu juga memenuhi ruang tingkat atas untuk melihat lebih jelas lagi wajah penceramah.
Gambar audien yang saya paparkan ini diambil ketika ceramah baru bermula selepas isyak, sedangkan kehadiran terus bertambah sehingga majlis berakhir pada 10 malam.
Saya mengucapkan tahniah kepada mereka yang terlibat. JHEAINS, Pejabat Pendidikan Daerah, JK Masjid dan seluruh mereka yang bekerjasama menjayakan program ini. Saya mendapat tahu, maklumat melalui SMS juga giat disebarkan.
Sekali lagi, alhamdulillah.
Malam itu, seorang anak muda berusia 15 tahun kembali kepada Islam dengan mengucap syahadah di hadapan lebih 600 orang yang hadir, setelah sebelum itu dibawa oleh ibunya keluar Islam sebelum itu.
Adik Bryan Pencer Paul (gambar) adalah pelajar tingkatan 2 di SMK Tenom. Sejak setahun lalu lagi Bryan ingin memeluk Islam tetapi tertangguh sehingga malam itu. Bryan adalah anak pertama daripada 5 beradik.
Apabila kedua orang tuanya bercerai pada 2006, ibunya kembali ke agama asal iaitu Roman Catholic (RC). Bryan yang berada dalam darjah 6 ketika itu, berada dalam jagaan ibunya dan dipaksa keluar agama Islam.
Alhamdulillah, kini Bryan kembali ke pangkuan bapanya yang memang beragama Islam bersama ibu barunya (gambar bawah). Kini seorang lagi adiknya belum memeluk Islam dan masih bersama ibu kandung di dalam agama RC.
Apa yang saya perhatikan, acapkali juga kehadiran Hj Ayub ke Sabah, ada saja orang yang memeluk Islam.
Allah SWT telah memberikan kelebihan kepada beliau dengan kepetahannya berpidato secara santai tetapi memikat hadirin, sehingga menjadi asbab individu tertarik kepada Islam.

Ustaz Kamarool Azhar, guru di SM St Anthony juga orang kuat PPD, orang belakang tabir bagi menjayakan program sepanjang kami berada di Tenom.
Dalam kesihatannya yang kurang mengizinkan itu, kehadiran kami ke rumah Cikgu Rizal Hadi membuatkan kami melihat beliau seolah-olah lupa terhadap sakitnya itu.
Seperti ketika sihatnya, beliau tetap bersemangat bercerita tentang penglibatannya dalam program kemasyarakatan. Ramai mengakui, apabila Cikgu Rizal terlantar sakit, semua terasa kehilangannya.
Beliau sering memimpin program-program yang bersifat merakyat. Ziarah pesakit di hospital Tenom, mengendalikan janazah, bantuan ke pelusuk perkampungan bukan Islam, mengimarah masjid dan sebagainya.
Apabila kami singgah di rumahnya, dia bercerita lagi. Soal perdebatan dan perbincangannya dengan ramai orang tentang Islam dan Kristian yang juga sangat diminatinya. Dia teruja benar dengan Hj Ayub Abd Rahman yang sudi ke rumahnya.
Sekali lagi, seperti yang pernah saya sarankan kepadanya agar beliau memulakan tulisannya melalui tinta blog. Hendak ke sekolah bertugas semula saya memahami keuzurannya bergerak. Rasanya untuk mengisi ruang masanya dengan berdakwah melalui blog, kami sangat menyokong.
Setelah singgah pada waktu petang, malam itu kami datang lagi.
Cikgu Rizal menghadiahkan Hj Ayub sebuah buku berbahasa Inggeris bertajuk : The X-Rated Bible, tulisan Ben Edward Akerley. Katanya, Hj Ayub mungkin lebih memerlukan buku itu sebagai bahan dakwah.
Cuma ada sedikit kerisauan apabila beliau gemar berprogram secara sendirian, atau one man show. Jika beliau membaca artikel ini, saya mencadangkan agar beliau menyertai mana-mana jamaah yang ada di Tenom untuk menguatkan dirinya sendiri dalam menjalankan aktiviti dakwah.
Apapun kami mendoakan kesihatan beliau dan kembali ke arena dakwah seperti dahulu.