Kuliah Maghrib Masjid Nurul Ihsan Kg Lok Kawi Baru (Kitab al-Azkar Imam an-Nawawi)
Ketahuilah bahawa membaca al-Quran adalah zikir yang paling utama (muakkad) sebagaimana yang pernah kami sebutkan sebelum ini. Oleh itu, sayugianya kita sentiasa melaziminya secara berterusan dan jangan biarkan sehari semalam kosong daripada membacanya walaupun hanya satu ayat yang pendek.
Daripada Anas bin Malik RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda :
”مَنْ قَرأ في يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ خَمْسِينَ آيَةً لَمْ يُكْتَبْ مِنَ الغافِلِينَ، وَمَنْ قَرأ مِئَةَ آيَةٍ كُتِبَ مِنَ القانِتِينَ، وَمَنْ قَرأ مِئتَيْ آيَةٍ لَمْ يُحاجهِ القُرآنُ يَوْمَ القِيامَةِ، وَمَنْ قَرأ خَمْسَمِئَةٍ كُتِبَ لَهُ قِنْطارٌ مِنَ الأجْرِ” وفي رواية ”مَنْ قَرأ أَرْبَعِينَ آيَةً” بدل ”خمسين” وفي رواية ”عِشْرِينَ”
“Sesiapa yang membaca al-Quran lima puluh ayat sehari semalam, dia tidak ditulis sebagai orang yang lalai. Sesiapa yang membaca seratus ayat sehari semalam, dia ditulis sebagai orang yang taat. Sesiapa yang membaca dua ratus ayat sehari semalam, dia tidak dihujah (diminta keterangan) oleh al-Quran. Sesiapa yang membaca lima ratus ayat sehari semalam, ditulis untuknya pahala yang banyak”. Dalam riwayat lain menyebut ’empat puluh ayat’, atau ‘dua puluh’ sebagai ganti ‘lima puluh ayat’. (HR Ibnus Sunni).
Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda :
مَنْ قَرأ عَشْرَ آياتٍ لَمْ يُكْتَبْ مِنَ الغافِلِينَ
“Sesiapa yang membaca sepuluh ayat, dia tidak ditulis termasuk orang-orang yang lalai”
Hadith seumpama ini terlalu banyak. Diriwayatkan kepada kami beberapa hadith tentang bacaan surah al-Quran pada siang dan malam antara lain surah Yasin, al-Mulk, al-Waqi’ah dan ad-Dukhan.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda :
مَنْ قَرأ يس فِي يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ ابْتِغاءَ وَجْهِ اللَّهِ غُفِرَ لَهُ
“Sesiapa yang membaca surah Yasin pada waktu siang dan malam kerana mencari keridhaan Allah SWT, diampunkan dosanya”. (HR Ibnus Sunni)
Dalam riwayat lain disebutkan :
مَنْ قَرأ سُورَةَ الدُّخانِ فِي لَيْلَةٍ أصْبَحَ مَغْفُوراً لَهُ
“Sesiapa yang membaca surah ad-Dukhan pada waktu malam, jadilah ia seorang yang mendapat keampunan” (HR Ibnus Sunni)
Daripada Ibnu Mas’ud RA, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :
مَنْ قَرأ سُورَةَ الوَاقِعَةِ فِي كُلّ لَيْلَةٍ لَمْ تُصِبْهُ فاقَة
“Sesiapa yang membaca surah al-Waqi’ah pada setiap malam, dia tidak akan ditimpa kefakiran” (HR Ibnus Sunni).
Daripada Jabir RA :
كان رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم لا ينام كل ليلة حتى يقرأ آلم تنزيل الكتاب، وتبارك الملك
“Rasulullah SAW tidak tidur sehinggalah baginda membaca surah as-Sajadah dan surah al-Mulk” (HR Ibnus Sunni).
Daripada Abu Hurairah RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda :
مَنْ قَرَأ فِي لَيْلَة إذَا زُلْزِلَتِ الأرْضُ كانَتْ لَهُ كَعِدْلِ نِصْفِ القُرآن، وَمَنْ قَرأ يا أيُّها الكافِرُونَ كَانَتْ لَهُ كَعِدْل رُبْعِ القُرآنِ، وَمَنْ قَرأ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ كانَتْ لَهُ كَعِدْلِ ثُلُثِ القُرآن
“Sesiapa yang membaca surah az-Zilzal pada waktu malam, ia seumpama membaca separuh al-Quran. Sesiapa membaca surah al-Kafirun, ia seperti membaca satu perempat al-Quran. Sesiapa yang membaca surah al-Ikhlas seperti membaca satu pertiga al-Quran. (HR Ibnus Sunni)
Dalam riwayat lain disebutkan :
مَنْ قَرأ آيَةَ الكُرْسِيّ وأوَّل حم عُصِمَ ذلكَ اليَوْمَ مِنْ كُلّ سُوءٍ
“Sesiapa membaca ayat al-Kursi dan awal surah Fussilat, dipelihara pada hari itu daripada segala kejahatan”
Hadith-hadith seumpama ini terlalu banyak. Wallahu a’lam bissowab.