Tarikh : 31 Mac 2016
Lokasi : Surau Riyadhus Solihin Taman Austral Kepayan
Sumber : https://pas.org.my/artikel-umum/8012-blok-ketiga-adalah-pembesar-suara-rakyat
Pusat Penyelidikan PAS (PPP) menjangkakan lebih banyak parti-parti, badan-badan bukan kerajaan (NGOs) dan tokoh-tokoh perseorangan akan menyertai blok politik baru yang diusahakan oleh PAS dan IKATAN. Penyertaan kumpulan-kumpulan tersebut akan menjadikan blok ini ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ dengan blok-blok yang lain, malah berkemungkinan ia akan menjadi lebih besar.
Pembentukan Blok Ketiga ini, biarpun dipandang sinis oleh pihak-pihak tertentu, diyakini akan menjadi ‘pembesar suara’ kepada parti-parti kecil, NGOs dan tokoh-tokoh perseorangan. Sebelum ini, suara kumpulan-kumpulan dan tokoh-tokoh ini yang mewakili pelbagai latar belakang masyarakat tidak begitu didengari disebab jangkauan mereka yang begitu terbatas. Dengan wujudnya Blok Ketiga suara mereka akan menjadi bergema dan sekaligus memberi manfaat kepada masyarakat yang diwakili.
PPP melihat selepas PRU ke 13 tahun 2013, muncul banyak parti-parti kecil yang mewakili pelbagai segmen masyarakat. Terdapat parti yang mewakili segmen suku kaum seperti Parti Keadilan India Malaysia (MIJP), Parti Bersatu Bugis Sabah dan Parti Bangsa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru). Terdapat pula parti-parti yang membawa citarasa baru rakyat seperti Parti Generasi Baru (NewGen Party) dan Parti Nasional Penduduk Malaysia. Dianggarkan tidak kurang dari 20 parti baru telah didaftarkan sejak 2013.
NGOs dan tokoh-tokoh perseorangan di Malaysia juga semakin mempunyai pengaruh yang cukup besar untuk mencorakkan landskap politik Malaysia. Meskipun NGOs dan tokoh-tokoh perseorangan tidak menyertai politik secara langsung, tetapi suara mereka mula bergema sehingga memungkinkan ia merubah corak dan budaya politik dalam negara ini. Contoh yang paling menonjol hari ini ialah gabungan ratusan NGOs dan puluhan tokoh-tokoh perseorangan di bawah Kongres Rakyat yang tampil memperjuangkan isu-isu nasional seperti TPPA dan DLP.
PPP melihat keterbukaan PAS untuk duduk semeja dengan mana-mana kumpulan dan tokoh yang mewakili pelbagai latar belakang masyarakat adalah satu usaha untuk mengangkat suara mereka di peringkat Nasional. Kemunculan kumpulan-kumpulan ini, mungkin dianggap sifar oleh sesetengah pihak, tetapi apabila suara-suara mereka digabungkan ia akan bergema. Blok-blok politik yang angkuh perlu diingatkan keangkuhan mereka boleh sahaja diranapkan oleh kuasa sifar, kerana sebarang angka yang didarabkan dengan sifar akan menjadi sifar pula.
Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS
22 Mac 2016
13 Jamadilakhir 1437
Tarikh : 26 Mac 2016
Lokasi : Masjid Negeri, Shah Alam Selangor
Pengkuliah : Ustaz Al-Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid
Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/40569-blok-ketiga-politik-malaysia
PAS baru-baru ini mengisytiharkan hubungan kerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), sebuah parti baru dan kecil dalam arena politik Malaysia. Kedua-dua parti, selepas beberapa kali mengadakan pertemuan dan perbincangan, akhirnya bersetuju untuk bergerak bersama memacu kemajuan dalam politik negara.
Selepas kejayaan PAS menyatukan ratusan NGO muslim melalui Kongres Rakyat tahun lepas, saya melihat PAS semakin maju dan bersungguh-sungguh untuk menjalin kerjasama dengan parti-parti politik lain termasuk di Sabah dan Sarawak. Kongres Rakyat yang dipimpin oleh Cikgu Mohd Azmi Abdul Hamid yang dikenali ramai sebagai seorang pejuang rakyat yang begitu istiqamah, walaupun bukan di bawah PAS, tetapi ia begitu rapat dengan PAS dan sentiasa memperjuangkan isu-isu rakyat secara bersama.
Saya berharap untuk melihat kejayaan langkah kedua yang diambil oleh PAS tersebut. Ia adalah satu tanggung jawab agama bagi sebuah parti Islam untuk sentiasa mendekati, mengenali dan seterusnya memupuk hubungan yang lebih baik dengan semua pihak yang turut berjuang untuk kebangunan negara Malaysia tercinta.
Kerjasama politik atau Ta’awun Siyasi di antara PAS dan IKATAN ini masih belum diberi nama rasmi. Ia adalah baik kerana ada kemungkinan parti-parti lain juga akan turut bersama selepas ini. Jadi, elok sekali jika nama gabungan kerjasama ini dipersetujui secara bersama oleh semua parti. Sementara ia belum bernama, kerjasama PAS-IKATAN ini digelar sebagai Blok Ketiga.
Ramai yang bertanya signifikan PAS menjalin kerjasama dengan parti IKATAN yang dilihat terlalu kerdil dalam kancah politik Malaysia. Ia jauh berbeza dengan kejayaan PAS menjalin hubungan dengan Kongres Rakyat yang jauh lebih besar dan begitu gah namanya hari ini.
Saya akan menjelaskan kepada anda beberapa noktah penting yang perlu anda fahami mengapa Blok Ketiga ini cukup penting kepada politik negara amnya dan kepada PAS secara khusus.
Sebelum itu, perhatikan, apabila PAS membuat perisytiharan kerjasama tersebut beberapa hari lepas, ia telah mencetuskan kocakan yang kuat dalam arena politik negara. Ia bahkan jika tidak lebih, menyamai impak Deklarasi Rakyat yang dicetuskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Hal ini menzahirkan secara jelas bahawa kerjasama oleh Blok Ketiga ini adalah diperhatikan oleh semua pihak.
PAS menerima IKATAN kerana PAS tidak hanya melihat kepada keuntungan segera dan besar. Menerima IKATAN bererti menerima suara hati rakyat Malaysia walaupun kecil. Dalam banyak keadaan, suara kecil adalah suara yang sering terpinggir dan tertindas walaupun benar.
IKATAN adalah parti yang ditubuhkan sebelum pilihan raya umum ke13 lepas. Ia menolak BN dan juga PR. Tetapi ia tidak menolak mereka bulat-bulat. Ia menyertai program-program anjuran PR dan dalam masa yang sama ia tetap mengadakan pertemuan dan memberikan pandangan nasihat kepada parti pemerintah.
IKATAN adalah sebuah parti politik yang tidak berorientasikan pilihan raya. Kata mereka, mereka adalah sebuah parti yang melihat kepada masa depan negara. Mereka menyeru kepada segala usaha baik yang menyelamatkan negara daripada kehancuran. Bagi IKATAN, rasuah, penyalahgunaan kuasa, nepotisme, chauvinisme, perkauman dan pelbagai kerosakan politik adalah barah yang sedang merebak dalam negara dan mesti dihalang oleh rakyat Malaysia.
Apabila IKATAN bersama PAS, maka suara IKATAN akan menjadi besar melalui PAS. Saya memberi keyakinan, jika anda mendengar pidato dan pandangan daripada presiden IKATAN, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, anda akan dapati kekuatan hujah dan kebernasan isinya. Anda akan memahami betapa parti IKATAN begitu signifikan kewujudannya dalam politik Malaysia. Ia membawa suara rakyat yang mahukan perubahan oleh pihak atas dan bawah secara bersama.
Kesediaan IKATAN untuk bersama PAS pula adalah satu langkah berani. PAS pastinya mensyukuri dan berterima kasih kepada IKATAN untuk bersama PAS mengharungi perit jerih politik negara hari ini yang berhadapan kemuncak yang sukar. Rakyat sedang memerhatikan parti atau blok manakah yang paling sesuai dan berupaya menerajui negara yang sedang merosak dan gagal berfungsi akibat kerosakan dalam parti BN yang memerintah.
Pakatan Rakyat yang diharapkan sebelum ini nampaknya berakhir dengan perpecahan di antara PAS dan DAP. Kedua-dua parti itu kini saling bersaing dan saling menuding jari di atas kegagalan untuk terus bersama. PKR juga kelihatan agak lemah akibat perpecahan tersebut.
PAS berseorangan untuk beberapa ketika. Serangan ke atasnya begitu kuat daripada pelbagai pihak terutama pihak pembangkang yang menuduh PAS bersekongkol dengan Umno melalui pakatan kerajaan perpaduan. PAS juga berhadapan perpecahan dalaman yang mengakibatkan keluarnya beberapa nama besar dalam PAS dan menubuhkan parti serpihan PAN.
Ia sedikit sebanyak telah memberi kesan tidak baik kepada PAS. PAS berhadapan kehilangan sokongan blok pembangkang jika ia gagal menangani krisis dengan baik. Justeru, PAS telah berusaha dengan cepat dan betul bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat kepadanya.
Kongres Rakyat adalah tindakan cepat PAS mengikis persepsi garang bahawa PAS kehilangan sokongan rakyat. Ratusan NGO muslim telah begitu berani menunjukkan sokongan terbuka kepada tindakan politik PAS berpecah dengan DAP dan menganggapnya sebagai berani dan berprinsip.
PAS kemudian tampil memperkenalkan gagasan konsep dan budaya politik baru yang bertujuan memperkenalkan PAS sebagai parti Islam yang bersedia memikul amanah ugama, bangsa dan negara. Budaya Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS) kini diwar-warkan di seluruh tanah air dan ia berjaya memikat hati banyak pihak yang menanti-nanti sesuatu yang lebih baru dan berkesan daripada PAS.
Walau bagaimanapun PAS dilihat sukar mengisi kelompangan sokongan yang ditinggalkan oleh rakyat non muslim dan golongan elit. Serangan DAP dengan memainkan isu hukum hudud kelihatan berkesan menakutkan non muslim terhadap PAS. Begitu juga, keluarnya nama-nama besar daripada kalangan profesional PAS sedikit sebanyak turut menggugat sokongan golongan elit muslim dan non muslim.
Walaupun sayap non muslim PAS iaitu Dewan Himpunan Penyokong PAS berjaya mengadakan program-program besar yang berjaya menarik dan menzahirkan sokongan non muslim yang masih kuat dan tidak terjejas, ia bukanlah suatu mudah untuk mengikis ketakutan non muslim. PAS memerlukan langkah yang lebih berani dan bijak.
Begitu juga, walaupun kini PAS begitu ceria menerima sokongan golongan akademik dan profesional, ia masih belum mencukupi untuk mengisi lompang yang wujud akibat pecahnya PR.
Di sinilah parti IKATAN berperanan. Blok ketiga yang membentuk kerjasama politik (ta’awun siyasi) di antara PAS dan IKATAN adalah langkah politik PAS yang diharap akan membuahkan tiga hasil yang besar.
Pertama, menjadi jambatan kepada non muslim untuk lebih mengenali PAS. IKATAN adalah sebuah parti multiracial yang dianggotai pelbagai bangsa dan lapisan. Sebahagian pemimpin utama mereka begitu aktif dan dikenali di dalam beberapa NGO non muslim. Dalam pertemuan kami pada hari pelancaran baru-baru ini, mereka menunjukkan rasa gembira untuk mengenali PAS secara lebih dekat dan langsung. Sudah pasti ia menggambarkan masa depan hubungan PAS yang lebih cerah dengan rakan-rakan non muslim.
Kedua, IKATAN menjadi jambatan PAS kepada golongan elit negara. Walaupun mereka kecil, tetapi peranan mereka begitu besar di dalam membina polisi negara. IKATAN dianggotai golongan korporat yang begitu prihatin terhadap isu-isu politik negara yang begitu kritikal.
Ketiga, ia diharap mampu membuang PAS-fobia di kalangan golongan non muslim dan elit negara. Ketakutan terhadap PAS sebenarnya akibat kuatnya fitnah dan tohmahan dan kurangnya akses terhadap penerangan daripada PAS.
Kerana itulah, soalan paling hangat pada hari pertama pelancaran ialah mengenai hukum hudud. Apakah IKATAN menerima hukun hudud dan jika tidak, bagaimana blok ketiga ini akan beroperasi dan kekal kuat?
Saya mengajak anda untuk melihat kepada kejayaan PAS membentuk blok politik baru ini. Keyakinan adalah tinggi dalam kem blok ketiga. Nantikan yang baru daripada PAS untuk rakyat! – HARAKAHDAILY 29/3/2016
* Artikel adalah untuk siri kolum ‘Terang Rembulan’ akhbar Harakah.
Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/headline/40536-menangguk-di-air-keruh
Perumpamaan yang menjadi pepatah Melayu yang menarik, ditujukan kepada sesiapa yang mengambil peluang daripada kekeruhan yang berlaku, laksana nelayan menangkap ikan yang mudah dengan mendapat peluang tangkapan ikan apabila airnya keruh, kerana mangsanya tidak nampak pukat, kail dan tali yang digunakan untuk menangkapnya. Inilah peluang keemasan bagi penangkap ikan menggunakan jala, pukat dan kail untuk mendapat ikan sebanyak-banyaknya.
Dalam arena politik dan peperangan pula, peluang untuk mengalahkan musuh yang mengalami krisis dan masalah, khususnya masalah dalaman kerana leka dan pening dengan masalah yang dialami dan dihadapi sehingga tidak mampu menghadapi lawan sepenuh tumpuan dan masa.
Ramai kalangan bertanya, mengapa PAS tidak mengambil peluang daripada krisis parti kawan dan lawan yang sedang dihadapi oleh masing–masing? Khususnya kerana PAS dikira selesai menghadapi masalah dalamannya, sehingga menyingkirkan masalahnya menjadi serpihan.
Perlu difahami bahawa politik perlu kepada perhitungan yang amat teliti dan mendalam. Kepada ahli dan penyokong setia PAS, saya tegaskan bahawa politik yang berlandaskan Islam wajib berakhlak bagi mencapai kemenangan, bersama hikmah yang berhidayah kerana politik kita ada perhitungan dosa dan pahala. Matlamatnya pula tidak menghalalkan cara dan bukan untuk berlumba menjadi pemimipin semata-mata atau memikul amanah menjadi peluang untuk mengambil kesempatan bagi diri dan kroni tetapi amanah menyelamatkan ummat dunia dan akhirat.
Allah mengesahkan dalam Surah Yasin, malangnya dibaca hanya untuk kematian, bukannya petunjuk di alam kehidupan dunia yang mencabar. Kisah ucapan seorang yang beriman dan budiman berusaha sehingga mengorbankan dirinya kerana menyelamatkan tiga rasul yang dikepung:
وَجَاءَ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ رَجُلٌ يَسْعَى قَالَ يَا قَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْسَلِينَ (20) اتَّبِعُوا مَنْ لَا يَسْأَلُكُمْ أَجْرًا وَهُمْ مُهْتَدُونَ (21) سورة يس.
“Tiba-tiba datanglah seorang lelaki yang tinggal dipinggir bandar, yang datang dengan segera (menyertai para Rasul yang dikepung oleh khalayak ramai yang membohonginya). Lelaki itu menegaskan dengan katanya: “Wahai kaumku yang tersayang! Ikutlah beriman kepada para Rasul ini. Ikutlah orang yang tidak meminta apa-apa upah daripada kamu. Mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk Allah” (Surah Yasin: ayat 20-21)
Rasulullah S.A.W. berjuang dengan tema ini ketika berdakwah dan berpolitik menyebarkan Islam dan mendaulatkannya. Apabila dakwahnya diterima, sikapnya menerima hakikat dengan sikap yang ikhlas kepada tujuan dakwah dan politiknya yang matang.
Apabia penduduk asal Madinah (‘Aus dan Khazraj) serta kalangan bukan Islam dalam masyarakat majmuk menerimannya sehingga dimeteraikan Piagam Madinah, maka Baginda Rasulullah S.A.W. menerimanya sehingga berhijrah dan memimpin negara.
Apabila Raja Habsyah, Masqat, Oman dan Bahrain menerima Islam, mereka dikekalkan di atas takhtanya. Adapun yang tidak menerima Islam dan berdamai diberi peluang tanpa paksaan. Ada pun yang menentangnya pula, dilawan dengan cara yang sewajarnya dengan pendekatan yang adil terhadap semua, bukannya melampau dan membalas dendam. Apabila mencapai kemenangan, sikapnya mengutamakan kemaafan lebih daripada menghukum.
Ditanya mengapa PAS tidak menangguk di air keruh politik terkini?
Umno yang memerintah negara dan negeri menghadapi krisis dalaman di peringkat pusat dan negeri seperti Kedah dan Terengganu yang dikira sangat kuat PASnya. DAP juga yang kini paling bermusuh terhadap PAS menghadapi krisis dalaman dan luarnya juga.
Mengapa PAS tidak bersungguh menyokong usul undi tidak percaya menjatuhkan kerajaan pusat dan khususnya Terengganu yang paling dekat laksana dicapai tangan sahaja, kerana kerusi Adun PAS yang hampir mendekati majoriti mudah? Mengapa tidak bersemangat menyertai himpunan yang dianjurkan oleh pakatan pembangkang yang bersemangat bergabung dengan Umno yang memprotes pemimpinnya?
Jawapannya kepada ahli PAS dan penyokongnya, bahawa nelayan yang bijak walaupun miskin, tidak boleh menangguk di air keruh yang ikannya bercampur belut, ular dan buaya, kerana membahayakan diri dan merosakkan jala dan pukat, bahkan boleh menenggelamkan perahunya serta membahayakan diri.
Keadaan yang begini lebih baik menangguk di air jernih yang nampak manfaat dan dilihat mudaratnya, walaupun bersusah payah, kerana pukat kita belum kukuh, keadaannya boleh merosakkan pukat, memutuskan tali pancing dan kita masih berperahu yang boleh ditenggelamkan dengan mudah kalau dibedal buaya atau dimasuk ke dalamnya ada yang gelikan belut boleh melompat ke dalam dan keluar atau disengat ular sehingga mati.
Kepada pihak yang lain saya tegaskan, bahawa kita adalah Parti Islam yang berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah bersama dakwah dan Siyasah Syariyyah, berkepimpinan ulama dan ilmuan yang wajib beriman dan budiman.
PAS bukannya parti yang sifatnya angkut penyokong dan pengundi tanpa perhitungan. Makan diri kawan untuk naik. Angkut ahli sehingga menyusahkan diri. Nak cari setiap peluang tanpa perhitungan. Angkara dicipta sehingga menyusahkan rakyat. Hentam melulu tanpa tujuan yang betul. Ulama dan ilmuannya laksana terompah kayu yang digunakan sekadar untuk masuk ke tandas kemudian ditinggalkan.
Marilah kita pilih politik yang jernih dan matang, bukannya menangguk di air keruh yang mengelirukan dan menyusahkan semua. Sebab yang kita hadapi kini semuanya kerana penentuan kita melalui pilihan raya.
Buah salak, buah kedondong,
Dipungut buang ke dalam baldi,
Bukan salah ibu mengandung,
Tetapi silap memangkah undi.
“BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
17 Jamadil Akhir 1437 / 26 Mac 2016 – HARAKAHDAILY 26/3/2016
Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/40529-ibadah-dalam-politik
Asal ugama adalah hubungan hamba dengan tuhan penciptanya. Melalui ugama manusia akan mengenal tuhanNya lalu menyembahNya. Apabila Allah disembah, maka tercapailah matlamat wujudnya ugama dan para rasul di dalam kehidupan manusia.
Adapun hubungan manusia dengan sesama manusia, itu asalnya bukan hal ugama. Tanpa ugama, manusia sudah pun saling mengenal dan saling berhubungan sesama mereka. Ia adalah perihal sosio politik, bukan perihal ugama.
Ada manusia yang apabila memperolehi ugama dan mencintainya, dia masuk hutan atau menyendiri jauh daripada kehidupan manusia kerana mahu menyembah Allah setulusnya. Dia bimbang kejahatan manusia ke atas diri dan ugamanya atau dia takut dirinya kembali menjadi jahat apabila bergaul dengan kawan-kawan yang jahat. Maka dia menyembah Allah dan tidak menggauli manusia lain apatah menyakiti mereka.
Orang ini dipuji juga oleh Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam. Dia telah melaksanakan asal ugama iaitu mengenali dan menyembah Allah.
Tetapi ia langsung bukan satu seruan ugama. Ia hanyalah satu pengecualian dalam keadaan dan kes tertentu. Ashabul Kahfi misalnya, melarikan diri dari perbandaran dan masuk ke dalam gua akibat bimbangkan kejahatan kaumnya. Allah memuji dan tidak pun mendakwa mereka sebagai lari daripada tugas ugama. Bahkan ia adalah demi memelihara ugama dan kehidupan mereka.
Asal ugama walaupun untuk manusia mengenal dan berhubung dengan Allah melalui ibadah, tetapi ugama telah diberi peranan oleh Allah dalam kehidupan sesama manusia. Allah mahu ugamaNya hidup dalam kehidupan sesama manusia juga.
Ertinya, sebagaimana ugama itu adalah hubungan di antara al khaliq dengan makhlukNya, begitu juga ugama telah diberi peranan dalam hubungan sesama makhluk. Allah mahu makhlukNya berhubung dengan makhlukNya yang lain melalui cara yang dikehendaki dan disukaiNya.
Maka ugama, selepas menyelesaikan perihal hubungan kita dengan tuhan kita, ia datang pula bagi menyelesaikan hubungan kita sesama kita. Maka di sini, ugama memasuki kehidupan sosial, politik, ekonomi dan seluruh penjuru kehidupan manusia.
Hidup ini bukan semata-mata menghadap Allah di tikar sejadah. Hidup ini juga adalah menghadap manusia. Begitu hidup, begitulah ugama. Ugama adalah fitrah. Ia seragam dengan fitrah manusiawi. Manusia diciptakan untuk hidup berkelompok dan madani sifatnya. Justeru ugama fitrahnya adalah seragam dengan kemadanian dan hidup bermasyarakat.
Apabila ugama memasuki kehidupan manusia dalam segala cabangnya, maka ia menganjurkan hubungan yang harmoni sesama makhluk. Hubungan yang harmoni berlaku dengan perlaksanaan kebaikan dan kebajikan sesama manusia. Justeru selepas seruan menyembahNya, Allah menyeru agar hambaNya melakukan kebaikan sesama mereka.
Perhatikan firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman, ruku’lah dan sujudlah dan sembahlah Tuhanmu dan lakukanlah kebaikan/al khair (sesama kamu) semoga kamu semua beroleh kemenangan.” – surah al Haj:77
Ayat ini mudah difahami maksudnya. Ia pernyataan yang jelas bahawa Islam menuntut kewujudan dua suasana dalam kehidupan manusia beriman iaitu aman hubungan mereka dengan Allah melalui solat dan aman juga hubungan mereka sesama manusia melalui saling melakukan kebajikan.
Justeru berbuat baik sesama manusia adalah ibadah kepada Allah. Ia dikategorikan sebagai amal taat kepada perintah Allah. Allah menyuruh solat dan Allah menyuruh berbuat kebaikan. Maka kedua-duanya adalah ibadah taat dan tunduk kepada kehendak dan perintahNya.
Sebagaimana kelebihan dalam ibadah hubungan dengan Allah dinilai ukur pada keikhlasan dan istiqamah, begitulah ibadah hubungan sesama manusia dinilai ukur pada keikhlasan dan istiqamah mereka melakukan kebajikan sesama manusia.
Justeru berlakulah perlumbaan sesama manusia yang beriman dalam melakukan ibadah dan kebajikan. Maka anda tidak dapat melihat di dalam Islam selain seruan yang paling sempurna ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan manusia.
Bermula daripada hubungan kekeluargaan di antara anak dan ibu bapa, suami isteri, kaum kerabat, jiran tetangga dan masyarakat, Islam menganjurkan kebaikan dalam negara dan masyarakat antarabangsa. Bahkan Islam terus mara dengan arahan dan anjuran agar dijaga dan dipulihara alam raya yang diciptakan untuk kehidupan makhluk manusia yang dipilih oleh Allah sebagai tuan di muka bumi ini.
Apabila anda memahami ini, maka fahamilah bahawa politik Islam adalah politik kebaikan dan kebajikan. Ia menganjurkan segala jalan-jalan ke arah keharmonian dan kebahagiaan hidup dalam negara. Ia menolak kezaliman dan segala bentuk halangan daripada melakukan kebaikan.
Dalam politik kenegaraan, istilah kebaikan diperluaskan dalam dua perkataan yang lebih menyeluruh iaitu keadilan dan kesatuan. Di dalam al Quran dan sunnah, kita akan menemukan banyak arahan agar ditegakkan keadilan dan ditegah kezaliman serta dipupuk perpaduan umat dan ditegah perpecahan dan pemutusan silaturrahim sesama manusia.
Politik Islam menolak segala cara yang menimbulkan perbalahan, kebencian, keterlampauan dan segala apa yang menambahkan duka lara kerosakan dalam kehidupan. Segala usaha-usaha politik oleh setiap muslim mestilah dengan hasrat melakukan islah, pembaharuan dan perubahan ke arah lebih baik dan melalui cara yang baik juga.
Apabila anda memahami ini, maka anda akan lebih mudah memahami mengapa PAS yang mewakili pengamalan politik cara Islam dalam negara berusaha keras ke arah itu. Ia mungkin kadang-kadang dirasai kepelikannya oleh sebahagian peminat politik, tetapi bagi pengamat agama Islam, ia akan mudah menghadamkan kebijakan dan istiqamah PAS berpolitik dalam semangat dan matlamat beribadah kepada Allah. – HARAKAHDAILY 25/3/2016