Tag Archive: PASTI


Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/39183-pasti-mendepani-cabaran-dan-mengurus-perubahan

DR RIDUAN MOHD NOR | 28 Disember 2015.

Pasti: Mendepani Cabaran dan Mengurus Perubahan (Siri 2)

PAS sebagai sebuah harakatul ummah yang merespon perkembangan semasa pendidikan tidak sunyi daripada menghadapi cabaran. Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) cuba dijenamakan dengan baik, terutama dengan persaingan dengan institusi pendidikan pra sekolah yang lain serta cabaran daripada regim penguasa.

Ustaz Abu Bakar Chik, sebagai ketua Dewan Pemuda PAS Pusat memberikan penumpuan besar terhadap perkembangan Pasti kerana reputasi Pasti akan juga mengheret nama baik atau buruk Dewan Pemuda.

Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengadakan pelbagai usaha untuk mengenengahkan Pasti kepada masyarakat terutama ahli-ahli PAS. Pada 23 September 1989 Dewan Pemuda mengeluarkan arahan supaya kempen digerakkan ke seluruh negara.

Pada 14 Januari 1990, Pasti menganjurkan Pertandingan Mencipta Logo Pasti dan pertandingan ini dimenangi oleh Raja Abdul Aziz Raja Azlan dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Logo rasmi Pasti tersebut mula digunapakai secara rasmi semenjak 21 Julai 1991. Bagi mengukuhkan lagi organisasi PASTI, mulai 16 Januari 1993, semua Pasti diarahkan supaya berdaftar dengan Pasti Pusat bagi mengelakkan tekanan kerajaan yang mahu prasekolah didaftarkan dengan kerajaan, dan Dewan Pemuda PAS Pusat turut mengesahkan struktur baru organisasi penyelarasan Pasti semua peringkat pada 26 Januari 1994.

Menjelang bulan September 1999 Ketua Pengarah Pasti Pusat telah mengarahkan setiap Dewan Pemuda PAS Kawasan menubuhkan Pasti baru di kawasan masing-masing.

Dewan Pemuda PAS Pusat juga telah mengadakan bengkel penyelarasan Pasti di peringkat pusat pada 10 Disember 1989 diikuti oleh penyelarasan secara rasmi mulai 14 Januari 1991.

Kemudian, satu Konvensyen Pendidikan Prasekolah telah diadakan di Kota Bharu pada 15-16 November 1991 untuk membentuk landasan pergerakan Pasti, diikuti oleh Bengkel Kurikulum dan Latihan Perguruan Pasti di Terengganu pada 9 September 1992 serta Bengkel Kurikulum dan Pembinaan Modul Pasti di Selangor pada 25-27 Oktober 1992.

Selain penysunan kurikulum dan pengurusan pada Januari 1994, Pasti telah merancang untuk mewujudkan penyelarasan organisasi dan pentadbiran, kurikulum, latihan, buku teks, hari persekolahan, pakaian seragam dan keperluan elaun guru dan sebagainya.

Pada 12 Ogos 1995, pihak pengurusan Pasti telah mengadakan satu taklimat khas penggunaan buku Pasti kepada semua pengurus untuk penyelarasan semula buku teks Pasti.

Pasti semakin berkembang dengan baik terutama di negeri Kelantan, Selangor, Terengganu dan Kedah. Ia juga berkait rapat dengan kesungguhan petugas Pasti yang merupakan kelompok kelas menengah Melayu, keluaran uuniversiti dalam dan luar negara.

Selangor kini menjadi negeri mempunyai paling banyak bilangan Pasti, ini kerana tahap pendidikan ibu bapa yang lebih baik (Selangor negeri maju) mereka memilih anak-anak untuk mendapat pendidikan Islam dan Pasti disinonimkan dengan pendidikan Islam untuk anak-anak.

Di Kelantan pula, Pasti berkembang dengan pesat kerana PAS mempunyai cawangan yang banyak di Kelantan dan cawangan pula memainkan peranan untuk memajukan Pasti di negeri tersebut.

Kejayaan Pasti diterima oleh masyarakat Melayu juga berkaitan dengan komitmen para guru yang gigih mengajar walaupun dengan elaun yang relatif kecil. Usaha untuk memperkasakan bidang keguruan juga dilihat sebagai strategi penting untuk terus meningkatkan perkhidmatan Pasti kepada masyarakat.

Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengarahkan pihak Pasti untuk mewujudkan sebuah badan khas perguruan Pasti yang akhirnya telah mencetuskan pula kepada Majlis Guru Pasti pada 17 Julai 1994.

Pihak Pasti juga telah memberikan latihan keguruan kepada guru-guru Pasti bagi memperkayakan ilmu dan membina kemahiran mengajar, antara kursus yang diselaraskan oleh Pasti pusat ialah kursus asas perguruan Pasti, kursus persijilan perguruan Pasti dan kursus perguruan Dalam Perkhidmatan Pasti telah diadakan.

Guru-guru Pasti menerima latihan dalaman menerusi sektor latihan iaitu peringkat sijil, bengkel, seminar dan latihan luaran seperti mengikuti Diploma Pendidikan awal kanak-kanak anjuran Universiti Utara Malaysia.

Pada 30 November sehingga 1 Disember 1996, Majlis Konvokesyen Guru Pasti telah diadakan kali pertama di Markas Tarbiah PAS Taman Melewar Kuala Lumpur. Manakala mulai tahun 2000, Kursus Guru Pakar Pasti mula diperkenalkan bagi terus memantapkan elemen keguruan dalam pendidikan Pasti.

Pasti juga menggalakkan penyertaan ibu bapa dan penjaga dalam merancakkan lagi program pengoperasian pendidikan prasekolah di mana setiap Pasti telah digalakkan untuk ditubuhkan Jamaah Ibu Bapa dan Guru (JIBG) mulai tahun 2002.

Pasti juga telah menyatukan masyarakat yang pelbagai latar belakang sosio-politik, sosio-ekonomi, anak-anak penyokong Umno juga belajar di Pasti termasuk lain-lain kaum bukan Melayu seperti kaum India, Cina, Kadazan dan Siam.

Kewujudan Pasti menjadi nukleus kepada kesedaran dan sokongan terhadap PAS dan terus mendapat sokongan masyarakat. Pasti terus berkembang walaupun mendapat halangan yang kuat daripada Akta Pendidikan 1995 (Akta 550), ini dibuktikan dengan jumlah bilangan kelas Pasti di seluruh negara terus meningkat.

Contohnya pada tahun 1994 kewujudan PASTI sebanyak 744 cawangan, meningkat kepada 855 cawangan pada tahun 1996 dan sehingga tahun 2004 pelajar Pasti di seluruh negara ialah seramai 55,480 orang.

Pasti telah dikenalpasti sebagai sebuah institusi pendidikan prasekolah yang telah mengangkat nama PAS sebagai sebuah parti politik yang berjaya menyediakan khidmat pendidikan kepada masyarakat.

Inilah juga faktor mengapa Pasti menjadi institusi pendidikan PAS yang paling banyak menghadapi cabaran dan kekangan, antaranya seperti tekanan daripada pihak Jabatan Agama Islam Negeri, polis dan juga kementerian pendidikan. – HARAKAHDAILY 28/12/2015

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Tarbiah Pusat)

logopastiterbaru1

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/34957-pasti-tapak-semaian-subur-dalam-3-dekad

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 18 April 2015.

Perkembangan pesat pendidikan pra sekolah di bawah kendalian dewan-dewan Pemuda PAS negeri-negeri telah menyebabkan timbulnya usul dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat pada tahun 1988 supaya diwujudkan program pendidikan yang selaras untuk anak-anak ahli PAS.

Keprihatinan pemuda PAS ini juga berkait rapat dengan persaingan agenda kaderisasi dengan pertubuhan Islam lain di negara ini dan juga obligasi harakah Islam. Ia juga manifestasi kekecewaan Pemuda PAS dengan sistem pendidikan negara yang dilihat gagal melahirkan pelajar yang memahami Islam dengan baik.

Dewan Pemuda PAS Pusat yang sewaktu itu dipimpin oleh Datuk Abu Bakar Chik telah mengambil tindakan susulan daripada usul muktamar Pemuda PAS. Tindakan konkrit telah diambil dalam mesyuarat bulanan Dewan Pemuda PAS yang bersidang pada 6 Mei 1988 telah memutuskan penggunaan nama PASTI untuk semua institusi prasekolah milik ahli PAS dan sebuah jabatan yang dikenali sebagai jabatan pendidikan prasekolah dibentuk di peringkat pusat diketuai oleh Dr Abu Bakar Abdullah untuk menyelaraskan pendidikan pra sekolah ini.

Pada awalnya, Lujnah Tarbiah Pemuda memainkan peranan besar untuk membentuk dan menyuburkan kegiatan tarbiah nizomi terutama diperingkat prasekolah. Antara Dewan Pemuda yang aktif menggerakkan prasekolah ialah Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Pada 29-30 Mei 1988 telah berlangsung seminar prasekolah di Masjid Rusila, Terengganu yang telah dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat. Seminar ini adalah rentetan daripada keseriusan Dewan Pemuda PAS Pusat untuk merakyatkan pendidikan prasekolah yang berorientasikan Islam di negara ini dengan penglibatan PAS telah membentangkan kertas kerja iaitu Dr Harun Taib dan Ustaz Abdul Halim Arshad.

Dalam sejarah penubuhan PASTI dan perkembangannya di tanah leluhur ini, Dr Abu Bakar Abdullah telah dilantik sebagai Pengarahnya yang pertama pada 18 Mei 1989, manakala Mohd Najib Fahami Yahaya sebagai Timbalan Pengarah PASTI Pusat. Setiausaha PASTI Pusat yang pertama ialah Dr Ishak Ismail manakala Bendaharinya ialah Cikgu Noh Ahmad. Manakala semua pengarah PASTI negeri telah dilantik untuk menganggotai Jawatankuasa PASTI peringkat Pusat.

Untuk mengoperasikan jenama pendidikan baru ini, Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengadakan pelbagai usaha untuk mengetengahkan PASTI kepada masyarakat terutama ahli-ahli PAS. Pada 23 September 1989 Dewan Pemuda mengeluarkan arahan supaya kempen digerakkan ke seluruh negara. Pada 14 Januari 1990, PASTI menganjurkan Pertandingan Mencipta Logo PASTI dan pertandingan ini dimenangi oleh Raja Abdul Aziz Raja Azlan.

PASTI makin berkembang maju maka logo rasmi PASTI tersebut mula digunapakai secara rasmi semenjak 21 Julai 1991. Bagi mengukuhkan lagi organisasi PASTI, mulai 16 Januari 1993, semua PASTI diarahkan supaya berdaftar dengan PASTI Pusat bagi mengelakkan tekanan kerajaan yang mahu prasekolah didaftarkan dengan kerajaan, dan Dewan Pemuda PAS Pusat turut mengesahkan struktur baru organisasi penyelarasan PASTI semua peringkat pada 26 Januari 1994. Menjelang bulan September 1999 Ketua Pengarah PASTI Pusat telah mengarahkan setiap Dewan Pemuda PAS Kawasan menubuhkan PASTI baru di kawasan masing-masing.

Dewan Pemuda PAS Pusat juga telah mengadakan bengkel penyelarasan PASTI di peringkat pusat pada 10 Disember 1989 diikuti oleh penyelarasan secara rasmi mulai 14 Januari 1991. Kemudian, Konvensyen Pendidikan Prasekolah telah diadakan di Kota Bharu pada 15-16 November 1991 untuk membentuk landasan pergerakan PASTI, diikuti oleh Bengkel Kurikulum dan Latihan Bengkel Kurikulum dan Pembinaan Modul PASTI di Selangor pada 25-27 Oktober 1992.

Selain penyusunan kurikulum dan pengurusan pada Januari 1994, PASTI telah merancang untuk mewujudkan penyelarasan organisasi dan pentadbiran, kurikulum, latihan, buku teks, hari persekolahan, pakaian seragam dan keperluan elaun guru dan sebagainya. Pada 12 Ogos 1995, pihak pengurusan PASTI telah mengadakan satu taklimat khas penggunaan buku PASTI kepada semua pengurus-pengurus bagi menyelaras semula buku teks PASTI.

PASTI semakin berkembang dengan baik terutama di negeri Kelantan, Selangor, Terengganu dan Kedah. Ia juga berkait rapat dengan kesungguhan petugas PASTI yang merupakan kelompok kelas menengah Melayu, keluaran universiti dalam dan luar negara. Selangor kini menjadi negeri mempunyai paling banyak bilangan PASTI.

Ini kerana tahap pendidikan ibu bapa yang lebih baik (Selangor Negeri Maju) mereka memilih anak-anak untuk mendapat Pendidikan Islam dan PASTI disinonimkan dengan Pendidikan Islam untuk anak-anak. Di Kelantan pula, PASTI berkembang dengan pesat kerana PAS mempunyai cawangan yang banyak di Kelantan dan cawangan pula memainkan peranan untuk memajukan PASTI di negeri tersebut.

Kini PASTI menjadi kilang besar pendidikan dalam mencetak generasi Quranik, medan operasinya makin melebar serta kompetetif. Semua amilin wajib menyokong institusi ini, terutama idea memperbanyakkan lagi institusi sekolah rendah dan menengah milik jamaah di seluruh negara. – HARAKAHDAILY 18/4/2015

Penulis ialah AJK PAS Pusat dan AJK Tarbiah Pusat.

PASTI AL-FURQAN

Setelah beberapa kali bergotong royong dan kos sebanyak hampir RM10 ribu dibelanjakan, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) al-Furqan Taman Pantai Lok Kawi, Kinarut sudah berwajah baru.

Sumbangan terbesar diterima hasil kelas mengaji al-Quran yang diadakan pada setiap malam selain derma pelbagai pihak yang masih berterusan. Alhamdulillah, nampaknya minat masyarakat menyumbang demi pendidikan Islam anak-anak terbukti dengan siapnya penambahbaikan rumah ini.

Kepada mudirnya Ust Zainuddin saya ada mencelah, jika pihak pengurusan melakukan sesuatu agar rumah ini dapat dibeli daripada tuan rumahnya.

PASTI FATHONAH DI TAMAN PASIR PUTIH

Alhamdulillah, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Fathonah memulakan operasinya di Taman Pasir Putih Putatan mulai semalam.

PASTI ini pada mulanya beroperasi di Taman Union pada awal tahun 2007 hasil usaha awal dua orang guru PASTI ketika itu, Cikgu Auni Munawwarah dan Fatimah az-Zahra sebelum diteruskan oleh sahabat-sahabat lain.

Akhir tahun lalu, hasil perbincangan rakan-rakan, pusat operasinya terpaksa dipindahkan sementara ke Plaza Platinum Putatan setelah rumah asal yang disewa PASTI dijual oleh tuan rumah kepada orang lain.

Beberapa rakan-rakan berikhtiar ke sana dan ke mari untuk mencari lokasi lebih sesuai dan mesra penduduk. Dua minggu mencari, beberapa pilihan yang ada, akhirnya lokasi di Taman Pasir Putih Putatan menjadi pilihan terbaik.

Rumah bernombor 117, berhadapan dengan Kompleks Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Persekutuan bersedia meneruskan operasinya dan terus membuka peluang kepada ibu bapa yang hendak menghantar anak seawal 4 hingga 6 tahun.

Sehingga hari ini, terdapat 21 orang murid dan dijangka terus bertambah dalam masa terdekat. Hubungi 016-8301432 (Cikgu Yusni) atau 014-5564386 (Cikgu Aisyah) untuk keterangan lanjut.

Kepada Allah kami memohon restu dan inayah.

SANAH HELWA ABDUL HADI

Tahun ini sekali lagi hero kami menyambut ulangtahun di Labuan seperti tahun lalu. Kehadiran sepupu sepapat, babu dan ‘ammu di Labuan dalam cuti Krismas memeriahkan sambutan kali ini di Perumahan Layang-Layangan.

Umur 3 tahun, Abd Hadi semakin aktif bermain, mula mendominasi kakak-kakak dan adik-adiknya. Maklumlah, dia satu-satunya hero kami setakat ini. Sudah ‘terror’ memukul kakaknya, dan kurang berkongsi mainan dengan yang lain.

Tetapi ada yang sedikit kerisauan kami.

Dia masih takutkan Nenek Aji di Labuan. Sejak lahir sehingga kini, takutnya bukan main. Bermacam pujukan dibuat, Nenek Aji belikan coklat, mainan, baju dan macam-macam.

Dalam ketakutan dia menyambut hadiah yang dibagi, tetapi kemudian kembali menjauhkan diri di belakang umminya.

Disuruh bersalam, dia mahu dalam terpaksa. Melambai tangan sambil menangis ketakutan ke arah Nenek Aji yang menuju ke masjid.

Selain itu, tiada yang ditakutinya. Binatang atau serangga yang dilihatnya, dia berani menyergah atau menangkapnya. Tikus, kucing, lipas, belalang habis dikejarnya.

Kedua, Abdul Hadi sedikit pelat dalam bertutur. Tahun hadapan dia akan dihantar masuk ke PASTI. Kerap benar dia menyebutnya hendak sekolah PASTI.

Kebimbangan kami apabila dia sekolah nanti tentang pelatnya itu. Dia sukar menyebut huruf ‘k’. Semua kalimah yang ada ‘k’ diganti dengan huruf ‘t’.

‘Buka’, dikatanya ‘buta’. ‘Kaki’ disebutnya ‘tati’. Bayangkanlah apa disebutnya apabila melihat buku… aduh.

TERIMA KASIH CIKGU

Ada dua majlis keraian untuk guru-guru PASTI yang saya hadiri. Pertamanya  di Sembulan untuk guru-guru PASTI Kawasan Putatan malam jumaat lalu dan yang kedua di Taman Union untuk dua guru PASTI di sini malam ini.

Penglibatan saya secara lebih serius bermula sejak 3 tahun lalu khususnya membantu pentadbiran PASTI Nur Fathonah Taman Union. Sebelum itu hanya sesekali terlibat dalam PASTI Putatan apabila acara keraian diadakan.

Biasanya bantu-bantu angkat kerusi, tangkap gambar dan kerja-kerja yang lebih kurang.

Melihat ke dalam, secara jujur guru-guru PASTI adalah manusia yang tahan lasak. Dengan gaji yang sekelumit, mereka berhadapan bermacam karenah. Karenah pelajar, ibu bapa dan pengurusan PASTI.

Berhadapan dengan anak-anak 4 hingga 6 tahun yang belum mumayyiz dengan ulah masing-masing, ibu bapa yang juga bermacam perangai. Belum lagi arahan pengurusan seperti hadir dalam program sana dan sini.

Sesekali dalam sesetengah keadaan, duit sendiri juga dituntut untuk keluar menampung belanja. Maka ada yang berundur apabila mendapat peluang lain.

Yang bertahan, saya amat kagumi dan tabik buat mereka. Kudrat mereka sangat diperlukan untuk mendidik umat ini sejak kecil lagi.

Tanpa perlu bercerita panjang dan terperinci tentang karenah-karenah itu, untuk anak saya yang telah menamatkan pengajian selama 3 tahun di PASTI Nur Fathonah Taman Union, kami mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga.

Bukan hanya untuk guru di sana, tetapi untuk semuanya. Guru, pengurusan dan semua rakan-rakan yang bekerja untuk Islam. Termasuk mereka yang pernah berbakti di PASTI.

Sesuatu yang pasti akan saya kenang, apabila suatu hari ketika Nuha berumur 4 tahun. Ketika itu kami di dalam kereta dalam perjalanan ke sekolah PASTInya. Lebuh raya yang terletak di tepi Laut China Selatan itu dilihatnya.

“Babah, laut Allah cipta, ‘kan. Pokok pun Allah cipta”. Langit Allah cipta juga”.

Alhamdulillah, kefahaman aqidah itu diperolehinya ketika di PASTI.

Para ibu bapa disaran memandang serius tentang keperluan pendidikan Islam anak-anak sejak kecil bagi menghadapi cabaran masa kini.

Saranan itu dibuat oleh Saudara Lahirul Latigu, Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Negeri Sabah semasa berucap di hadapan 500 ibu bapa dan tetamu yang hadir bagi merasmikan Konvokesyen Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Pantai Barat Sabah kali ke 19 di Pusat Perdagangan Sabah (STC) Likas sabtu lalu.

Katanya, dalam dunia yang serba mencabar, pemantapan daripada sudut pendidikan Islam seperti aqidah, akhlak, ibadah dan seumpamanya perlu ditekankan.

Oleh itu katanya, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) menawarkan diri untuk membantu masyarakat bagi mendidik anak bangsa menjadi insan yang berakhlak mulia sebagaimana yang dituntut oleh Islam.

Menurutnya lagi, sambutan masyarakat terhadap PASTI semakin menggalakkan dengan 43 PASTI di seluruh Sabah sehingga 2009. Bahkan PASTI Kawasan Tawau telah diiktiraf sebagai PASTI terbaik seluruh Malaysia dalam sambutan 25 tahun PASTI Peringkat Kebangsaan di Kelantan baru-baru ini.

Terdahulu, wakil ibubapa Cikgu Tamin Ongki mengharapkan semua pihak daripada guru, ibu bapa dan pengurusan PASTI agar sama-sama menggembeling tenaga, buah fikiran dan kewangan bagi memajukan lagi PASTI di Sabah.

Sambil mengucapkan tahniah kepada penganjur, pengurusan PASTI katanya harus bersedia menghadapi cabaran dan saingan daripada pra-sekolah yang semakin bercambah dengan menumpukan kualiti pengajaran dan pengurusan PASTI.

Dalam konvokesyen berkenaan, seramai 208 pelajar PASTI berumur 6 tahun menerima sijil tamat belajar masing-masing dalam suasana yang penuh meriah.

Majlis yang sama turut menobatkan adik Sofia Natalia Binti Muhammad Shah Rizan (5 tahun) dan Nurul Aqilah Syazwana Binti Bahtiars (6 tahun) sebagai penerima Anugerah Pelajar Terbaik Ibnu Sina bagi tahun ini.

Kedua-dua mereka adalah dari PASTI al-Amal Kg Likas.

Majlis berkenaan juga turut dimeriahkan dengan ucapan wakil pelajar Muhd Zulhisham Md Shefee (PASTI al-Hikmah Sembulan), persembahan sajak oleh pelajar PASTI al-Furqan Kinarut dan pantomen bertajuk ‘Nyamuk & Namrud’ oleh pelajar-pelajar PASTI al-Amal Kg Likas yang mencuit hati penonton.

Keseluruhannya, konvokesyen berkenaan mengumpulkan lebih 300 pelajar terbaik berumur 4-6 tahun yang mendapat tempat pertama hingga ketiga selain pelajar 6 tahun yang tamat belajar daripada 14 buah PASTI sekitar pantai barat termasuk dari Beaufort.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Exco DPPP Ustaz Annuar Ali, YDP Kawasan Putatan dan Sepanggar.

Konvokesyen PASTI Pantai Barat Sabah 2009 (7)

HATIKU TERUSIK.

1984-1985

Saya mula mengenal erti sekolah, cikgu, beg sekolah dan seumpamanya pada tahun 1984. Saya memasuki pra sekolah bernama Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) anjuran KEMAS di kampung sendiri.

Dari rumah ke kelas, hanya sekitar 200 meter.

Meski jaraknya dekat, saya bukanlah murid yang rajin ke sekolah. Pemalasnya, Allah saja yang tahu. Sudahlah pemalas, penakut pula. Teringat zaman itu, boleh membuatkan senyum sendiri.

Di sekolah TADIKA pula saya kerap bersembunyi di bawah meja. Lebih hebat, di bawah kerusi. Hari-hari ditemani mama, menanti penuh sabar seorang anaknya yang be’ulah ini sehingga 10.30 pagi.

Situasinya hanya dua. Kalau datang, saya lebih banyak bersembunyi kerana takutkan Cikgu Salina. Kalau tidak, saya hanya di rumah, tidak mahu ke sekolah.

Tapi di rumah, saya suka ‘menengok’ akhbar Sabah Times yang menjadi bacaan bapa dan keluarga. Saya tidak tahu membaca, hanya melihat gambar dan cuba mengeja rancangan TV. Kalau-kalau petang itu ada cerita kartun.

Selain itu, di rumah saya suka membuat latihan berbanding di sekolah. Kebetulan bapa seorang guru (pengetua), dia selalu menyediakan kerja rumah untuk saya siapkan.

Hujung 1985, ada majlis penyampaian hadiah (konvo dalam bahasa hari ini) untuk murid tadika. Majlis diadakan di dewan sekolah rendah yang terletak bersebelahan.

Di hujung majlis, saya dinobatkan sebagai murid tadika terbaik. Saya diapit oleh rakan-rakan, yang sebahagiannya kami masih bersahabat sehingga kini. Mohd Farizey John, Jamaluddin Ahmad, Awangku Hasbollah Pg Hassan dan Md Irwan Adnan.

2007-2009

Hati saya terusik apabila melihat anak sulung, Nuha naik pentas di Pusat Perdagangan Sabah (STC) Likas sabtu lalu. Terusik mengenang diri naik pentas kampung 25 tahun lalu menerima hadiah ketika umur sama seperti Nuha.

Masa pantas berlalu. Tanpa dirasa PASTI Nur Fathonah Taman Union Putatan menggenapkan umur operasinya selama 3 tahun. Nuha satu-satunya murid yang bermula dari awal pada 2007 dan bertahan selama 3 tahun sehingga minggu ini.

Kawan-kawannya ketika PASTI bermula sudah mengundur diri dan berpindah ke tadika lain. Saya sendiri pernah terfikir untuk memindahkan Nuha ke tempat lain, kerana hampir berputus asa dengan keadaan dan cabaran ketika itu.

Saat Nuha mula ke PASTI pada 2007, rasa gembira itu saya kongsikan dengan bapa. Saya hubungi sendiri, bercerita bahawa cucu ke sembilannya itu berani ke sekolah.

“Baguslah.. bukan macam kau dulu, penakut!” Bapa mengimbau sikap dan gelagat saya 25 tahun lalu. Hahaha.. malunya.

Dua minggu lalu, ketika saya ada tugas rasmi di Melaka, isteri ada menyampaikan SMS bahawa Nuha dan Hana mendapat tempat pertama dalam tahap masing-masing. Ertinya mereka akan naik pentas menerima hadiah.

Nuha anak yang berani, kalau dibanding dengan saya dahulu. Dia tidak menangis ditinggal di PASTI sendirian seperti saya, Nuha berani menyertai sukaneka mewakili PASTInya dan menjadi qariah ketika majlis bermula dalam konvo sabtu lalu.

Nuha akan meninggalkan PASTI hujung minggu ini dan memasuki medan baru di sekolah rendah awal tahun hadapan. Dia meninggalkan guru di PASTI yang sering bertukar guru, dan meninggalkan adiknya Hana yang akan naik ke kelas umur 5 tahun.

Sebagai ganti, hero kami Abdul Hadi akan masuk ke PASTI untuk umur 4 tahun. Cuma saya kurang maklum, adakah PASTI Nur Fathonah masih wujud pada tahun hadapan atau tidak? Pengurusan PASTI mungkin boleh menjawabnya.

Walaupun Hadi mengganti Nuha, pengalaman menghantar dan meninggalkan anak di sekolah saat mereka masih kecil sudah tentu tidak sama. Anak pertama sudah tentu meninggalkan kenangan tersendiri yang sukar dilupakan.

Sebab itu hati saya sekali lagi terusik apabila petugas majlis menegur ibu bapa yang menggambar anak di atas pentas ketika sesi penyampaian sijil berjalan, kerana dikatakan lambat.

Saya ada perasaan. Naluri saya sebagai bapa kepada anak yang diraikan mengatakan, ini hari mereka. Tanpa anak-anak yang diraikan, majlis ini tiada ertinya.

Perasaan saya terusik lagi ada anak yang tidak digambar oleh ibu bapanya. Menerima skrol sijil tanpa dihiasi kerdipan cahaya kamera. Ada di kalangan anak ini yang ternanti dan terhenti di atas pentas menunggu saat digambar. Suram rasanya.

Secara ringkasnya, saya titipkan berbanyak terima kasih kepada gurunya, Cikgu Aminah, Cikgu Eja, Cikgu Sarini, Cikgu Yusni, Cikgu Anne dan beberapa nama lagi yang tidak diingati kerana selalu bertukar guru. Allah saja yang mampu membalas.

‘Ala kulli hal, perasaan bersyukur kepada Allah SWT tetap mengatasi segalanya. Nuha menamatkan pelajarannya di PASTI dalam keadaan boleh membaca rumi, jawi dan al-Quran. Alhamdulillah.

Konvokesyen PASTI Pantai Barat Sabah 2009 (8)

Konvokesyen PASTI Pantai Barat Sabah 2009 (9)

Konvokesyen PASTI Pantai Barat Sabah 2009 (10)

Konvokesyen PASTI Pantai Barat Sabah 2009 (11)

KONVO PASTI PANTAI BARAT SABAH 2009

SIRI 1 – LUBANG-LUBANG BISNIS

Konvokesyen PASTI Pantai Barat 2009 (1)

Konvokesyen Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Peringkat Pantai Barat Sabah bagi sesi 2009 telah sempurna dilaksanakan pada pagi semalam dengan meriahnya.

Ratusan ibu bapa bersama anak masing-masing hadir ke Sabah Trade Centre (STC) bagi menyaksikan hari bersejarah buat anak-anak khususnya yang mendapat kedudukan yang baik dalam kelas masing-masing.

Siri 1 ini memaparkan ‘kebahagiaan’ yang dikecapi oleh para peniaga kecil-kecilan yang menyertai gerai bisnis sempena konvokesyen semalam. Setiap tapak niaga hanya dikenakan RM30 sahaja.

Harapnya, kesemua kembali ke rumah dengan senyuman.

Konvokesyen PASTI Pantai Barat 2009 (2)

Konvokesyen PASTI Pantai Barat 2009 (3)

Konvokesyen PASTI Pantai Barat 2009 (4)

Konvokesyen PASTI Pantai Barat 2009 (5) 

Konvokesyen PASTI Pantai Barat Sabah 2009 (6)

Maklumat untuk jualan gerai terakhir ini boleh dilayari di http://gerairizqi.blogspot.com/

KURSUS PEMANTAPAN JAWI

IMG_5888

Seramai 20 orang guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) sekitar Pantai Barat Sabah telah menyertai kursus pemantapan jawi di Putatan hari ini.

Jurucakap penganjur memberitahu, tujuan kursus ini diadakan adalah untuk meningkatkan kemahiran guru-guru PASTI dalam matapelajaran jawi yang merupakan salah satu subjek yang diajar di dalam silibus pendidikan PASTI Malaysia.

Selain itu, dengan penganjuran kursus ini juga para guru dapat didedahkan dengan ejaan-ejaan baru jawi menurut standard yang dikeluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Sumber penganjur juga memberitahu, kursus sedemikian dan kursus-kursus pemantapan kemahiran guru juga sering diadakan dari masa ke masa.

“Peningkatan kemahiran para guru adalah perlu seiring dengan kepesatan PASTI yang semakin mendapat tempat di hati ibu bapa di seluruh negara”, jelasnya.

Untuk rekod, di sekitar Pantai Barat Sabah terdapat 15 buah PASTI, dan pengurusan merancang untuk menubuhkan sekurang-kurangnya dua buah PASTI pada tahun hadapan.

Kursus sehari itu dibimbing oleh seorang guru pakar jawi dari Selangor dan ditutup rasmi oleh Pengerusi PASTI Putatan, Encik Mohammad Shuaid.

IMG_5893

IMG_5896

IMG_5897

IMG_5900

IMG_5903

%d bloggers like this: