Archive for 30 Januari 2009


DUA MENANTU SEKALI

Kesempatan ini saya sekeluarga mengucapkan tahniah kepada keluarga Shaikhul Maqari’ Hj Othman Hamzah (ahli Lajnah Tashih al-Quran KDN) dan isteri Hjh Khainarida Manan yang mengadakan majlis perkahwinan buat dua puteri mereka sekaligus.

Terima kasih atas kad jemputan yang diterima minggu lepas dan mohon maaf tidak dapat hadir.

ASMA BINTI OTHMAN & MOHD TAUFIK BIN PANGILUN AL-MUQRI

AISYAH BINTI OTHMAN DAN HAIRUDDIN BIN MOHD DIAH AL-MUQRI

31 Januari 2009 / 4 Safar 1430 di Dewan Semnar Masjid Negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah, Shah Alam Selangor Darul Ehsan. 11 pagi hingga 4 petang.

Seronok mendengar Shaikh Othman dah dapat menantu. Bukan calang-calang pula tu.

Rehat dan keluar sebentar daripada cerita Jakarta.

Tengahari tadi, saya menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid dalam Parlimen Putatan. Lebih baik saya tidak nyatakan. Ada beberapa perkara yang menjadi perhatian kali ini.

1. Teks dan khatib

Isu kali ini berkenaan kegawatan ekonomi antarabangsa yang turut dialami oleh negara kita. Ia asalnya teks JAKIM dan diambil oleh JHEAINS untuk edaran seluruh Sabah. Di pihak JHEAINS, saya yang mengedit semula teks berkenaan sebelum diterbitkan.

Saya teruja mendengar penyampaian khatib yang lancar dan lantang. Cuma saja apabila masuk kepada ayat al-Quran atau hadith seringkali dimulakan dengan “… yang bermaksud..”, tanpa membaca teks bahasa Arabnya kecuali sedikit untuk melepaskan rukun sahaja.

Saya perasan perkara itu berlaku kerana saya yang mengedit teks berkenaan. Asyik-asyik “yang bermaksud”. Apabila diperhati bacaan teks berbahasa Arab mereka, sebenarnya nampak lemah. Hanya barangkali orang awam tidak menyedari perkara itu.

Sebenarnya bukan khatib ini saja. Saya acap mendengar ramai khatib melakukan taktik begini. Apakah untuk menjimat masa atau kerana kelemahan diri, Allah lebih mengetahui. Tetapi di pihak PTA dan PPTA mesti melakukan sesuatu untuk memantapkan penguasaan pengucapan khutbah para khatib.

Keduanya, saya seringkali mengimpikan agar setiapkali sesuatu isu dibentangkan di atas mimbar, ia disampaikan oleh orang yang benar-benar ahli supaya penyampaian itu selaras dengan ilmunya. Misalnya, soal rasuah disampaikan oleh pegawai SPRM, soal dadah dibentang oleh pegawai narkotik atau PEMADAM, soal jenayah diutarakan oleh PDRM dan begitulah seterusnya.

2. Wudhu yang tidak sempurna

Ketika selesai khutbah pertama, saya terpandang seorang jamaah yang mengambil wudhu secara sambil lewa di tepi masjid.

Seingat saya, dan memang jelas basuhan tangan tidak benar-benar ke hujung siku, walaupun yang sebaiknya dilebihkan. Begitu juga basuhan kaki tidak sampai ke sempadannya. Saya ingin sekali menegurnya, apakan daya khutbah sedang berlangsung.

Selesai Jumaat dia sudah menghilang.

3. Sujud tidak cecah ke lantai

Ni lagi pelik. Solat saya benar-benar terganggu. Bukan jauh, tapi hanya bersebelahan. Ketika sujud itu, saya benar-benar perasan orang sebelah tidak mencecahkan kepalanya ke lantai. Rasanya hanya seperti orang merangkak. Mungkin jarak kepala dan lantai sekira-kira sejengkal.

Saya sangka baik saja, mungkin dia tidak sihat dan ada sebab yang tidak diketahui. Ingin sekali saya bertanya selepas selesai. Seusai salam, dia menadah tangan dan langsung keluar laju.

4. Bertemu sahabat lama – Ust Hisham Yahya

Ust Hisham adalah sahabat yang pendiam sejak zaman sekolah sehinggalah ke Universiti al-Azhar di Kaherah.

Selepas solat itu kami terserempak dan bersembang. Rasanya sejak kembali ke tanahair kami tidak bertemu walaupun sama-sama duduk dan bertugas di Kota Kinabalu.

Saya calonkan namanya kepada tuan imam yang lalu pulang agar memasukkan beliau sebagai khatib di masjid berkenaan. Dengan malu-malu, imam itu mengiyakan saja. Tunggulah.

Terkenal sebagai pelajar pintar dan kami gelarkannya mufti dengan sebab waraknya. Alhamdulillah, sejak awal tahun ini, beliau bertugas di unit Falaq, Pejabat Mufti Negeri Sabah.

Usaha selama setengah hari mencari penginapan di Bandung nampaknya gagal. Ada salah faham komunikasi dengan pengusaha pelancong sehingga mereka tidak menempah awal hotel di Bandung buat kami.

Selepas tengahari baru dapat sebuah hotel yang kosong untuk 3 bilik – kerana kami ada 7 orang (2 pasang suami isteri dan 3 bujang) – tetapi sudah terlambat kerana kami sudah merajuk. 🙂 . Keletihan yang amat sangat kerana hanya tidur  duduk di dalam van sejak malam dan sesekali bangun keluar.

p1250241Kami sepakat kembali ke Jakarta, kali ini dengan melalui Puncak Bogor yang dikatakan nyaman dan sejuk itu.

Perjalanan melalui Puncak Bogor ke Jakarta mengambil masa yang lama.

Biasanya hanya mengambil masa 5-6 jam (sepatutnya tiba sekitar 6 atau 7 malam) tetapi hari itu kami hanya tiba di Jakarta pada jam 10 malam kerana kesesakan lalulintas pada hujung minggu.

Pada pandangan kami, mungkin tidak ada jalan alternatif di sini.

Tetapi pihak berkuasa telah melakukan satu sistem di mana ketika waktu puncak, lorong bertentangan akan ditutup buat beberapa ketika untuk memberi ruang satu arah menggunakan 2 lorong sekali secara bergilir-gilir.

p1250246Sepanjang kesesakan perjalanan itu – yang sentiasa mendaki – sempat juga beberapa kali turun tanpa memberhentikan van untuk ke tandas yang banyak berada di pinggir jalan.

Akhirnya menjelang 30 km ke puncak, didahului oleh Ust Nahar dan Cikgu Roslan turun menuju ke sebuah restoran kerana terlalu lapar.

Perut sudah berlagu, belum diisi dengan makanan berat sejak tiba hampir 20 jam lalu.

Restoran Bumi Aki terletak di pinggir jalan, mempunyai pemandangan indah di kaki bukit, dengan menu yang menyegarkan.

Sup ekor dipanggil sup buntut (daging sapi), sate kambing dan ikan tilapia yang digoreng mempunyai aroma berbeza sekali.

p12502501Ditambah pula dengan ulam-ulaman asli yang ditanam sendiri oleh masyarakat Bogor.

Layanannya mesra dan tempoh menunggu tidak terlalu lama membuatkan kami begitu senang dan berselera sekali tambahan kami berada dalam keletihan dan kelaparan.

“Bu.. minta nasi tambahnya yaa..”

Satu perkara yang perlu kita ketahui tentang sikap orang Indonesia secara umumnya, ialah mereka adalah manusia yang rajin bekerja, cepat menghidu ruang dan peluang untuk mencari sara hidup.

Itulah yang kami perhatikan sepanjang berada di Jakarta dan Bandung dalam tempoh yang singkat.

Lihat saja ramainya ‘unit amal’ di setiap tepi jalan. Memerhati dan mengawasi kenderaan yang keluar masuk parkir bagai polis trafik tanpa disuruh. Kemudiannya mereka akan menerima upah 1000 rupiah atau kira-kira 30 sen lebih.

Semakin banyak kenderaan yang boleh mereka ‘atur’ keluar masuknya, maka kocek mereka pun banyak ‘masuk’ sama.

Belum lagi dikira mereka yang berjalan di sepanjang jalanraya sambil menjual suratkhabar, air minuman, biskut, kuih muih, alat mainan dan sebagainya. Tidak kurang juga yang mencuci kereta, menjual ais krim, buah-buahan dan lain-lain walaupun sudah diberi amaran dan dilarang.

%d bloggers like this: