Archive for 7 Januari 2009


p1030047Kami melewati Pekan Kota Belud ketika Maghrib menjelang.

Ternampak sebuah surau di tepi jalan di kampung yang kami tidak tahu namanya, kami menyinggah di sana untuk solat jamak maghrib dan isyak.

Suraunya kecil sahaja, mungkin boleh memuatkan tidak lebih 20 orang. Nampaknya ia didirikan di atas tanah milik penduduk di situ.

Selesai solat, kami ke rumah di tepi surau itu.

Empunya rumah ialah Makcik Masnah @ Siboi Guritum, berumur 68 tahun. Makcik Masnah yang tinggal sendirian, memeluk Islam dalam tahun 60an ketika zaman USNO.

Katanya surau di sebelah rumahnya sudah berusia lebih 5 tahun. Kosnya disumbangkan oleh seseorang yang tidak diingatinya lagi. Di surau itu terdapat kelas KAFA untuk kanak-kanak juga untuk orang dewasa.

Oh ya! Inilah Kampung Pahu.

p10300551Cerita Makcik Masnah yang berbangsa dusun ini, suaminya meninggal dunia lebih 20 tahun lalu.

Dia sebenarnya mempunyai dua orang anak dan lapan cucu. Kedua anaknya masing-masing menetap dan bekerja di ibu negeri.

Seorang di Penampang, sementara seorang lagi di Puterajaya.

Selalunya mereka kembali setiap hujung minggu. Cuma minggu ini tidak dapat balik kerana urusan pendaftaran sekolah anak-anak.

Alhamdulillah, walaupun masing-masing punya keluarga sendiri, mereka tidak melupakan orang tua di kampung.

p1030056Anak-anaknya membuatkan untuknya sebuah rumah papan yang agak baru kerana rumah lama sudah uzur.

Untuk mengubati kesunyian, anak-anak membelikannya tv dan astro. Tidak lupa telefon untuk memudahkan perhubungan.

Pernah Makcik Masnah dibawa ke rumah apartment anak perempuannya di Taman Puterajaya. Tapi Makcik Masnah nampak terlalu asing berbanding kehidupan di kampung.

“Macamanalah mau tanam serai kalau rumah begini?” Rungut Makcik Masnah melihat kedudukan apartment anaknya itu.

Gambar ini diambil ketika dalam perjalanan balik ke Kota Kinabalu pada petang ahad.

Asalnya kami hendak balik menjelang tengahari selepas selesai Sambutan Maal Hijrah, tetapi dimaklumkan air banjir melimpah ke jalanraya sehingga melebihi paras lutut di beberapa batang jalan di Sikuati dan Kg Lojong. Terpaksalah kami menangguhkan perjalanan beberapa jam sehingga air surut sedikit.

Menurut jadual asal, kami akan meneruskan misi ceramah dan menyampaikan bantuan di Masjid Pekan Tandek tetapi dimaklumkan 12 kampung di Kota Marudu dan Tandek ditenggelami air banjir dan tidak dapat dilalui kenderaan.

RUMAH REHAT KUDAT

Sepanjang 2 hari 2 malam di Kudat, saya dan Che’gu Jamil menginap di Rumah Rehat Kudat.

Kira selesalah tempat di sana. Setaraf macam hotel biasa. Hanya mempunyai 22 bilik, parkir kereta mudah dan ada restoran di tepinya.

Rumah Rehat Kudat terletak di pinggir bandar Jalan Abd Rahim. Tidak jauh dengan Dewan Tun Mustapha di sebelah kanannya, dan SMK Kudat di sebelah belakang.

Bagi saya, jika datang untuk berurusan di luar dan hanya perlu tempat tidur dan merehatkan badan, Rumah Rehat Kudat sudah memadai. Sebab kunjungan kami ke Kudat dipenuhi dengan program di luar.

Berlainan dengan sesetengah orang yang mementingkan pelbagai kemudahan dan keistimewaan seperti kolam renang, cafe dan restoran yang mewah dan sebagainya.

Untuk bilik katil solo atau berdua, kakitangan awam dikenakan RM60 sahaja, manakala untuk awam dikenakan RM70 semalam. Ada bilik VIP dengan kadar RM80 semalam.

Maklumat lanjut boleh menghubungi 088-622708 atau 019-8116888.

Selesai program Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Kudat, saya memohon bantuan Ust Janis untuk membawa saya ke beberapa lokasi.

Antaranya, saya ingin melihat sendiri bangunan Asrama Dakwah yang terletak di Kg Landung Ayang.

Sebenarnya satu usaha yang sangat terpuji, apabila JHEAINS dapat menyediakan tempat sebegini. Walaupun belum siap sepenuhnya, kerana kemudahan di dalam bangunan belum ada, ia nanti akan menjadi pusat dan institusi yang penting khususnya buat saudara baru.

Apa yang saya dimaklumkan, tujuan bangunan ini didirikan untuk menempatkan saudara baru yang bermasalah dari segi tempat tinggal setelah memeluk Islam. Misalnya kerana dihalau oleh keluarga, atau keluarga enggan menerima mereka dan sebagainya.

Apabila siap nanti, ia sekaligus menjadi tempat pengajian mereka bersama-sama untuk mendalami Islam.

Apa yang saya tahu, Sdr Mohammad Bakri Abdullah @ Batahong Korongkong – bekas paderi yang menerima anugerah saudara baru daerah Kudat pun tinggal di sini sekarang. Alangkah baiknya kalau ia ada di setiap daerah.

p1030213Sebenarnya, sejak Ust Agus ini berkahwin dengan bekas pelajar saya, Aisyah, hubungan kami semakin menjarak. Sedangkan semasa di Mesir, kami duduk serumah.

Apartment 8, Wisma Yayasan Sabah Kaherah (WYSK) atau kami panggil Rumah Sabah di Madinat Nasr, Abbas El-Aqqad bersama sahabat serumah ketika itu – Ust Sufian Yatim, Ust Hj Nawir Jonggang, Ust Taqiuddin Amir, Ust Rahim Yahya Abd Rahman, Ust Zamrul Md Aslie, Ust Sharif Suhaimi @ Kodro, Ust Hj Firmanshah Md Yunus dan beberapa lain yang bersilih ganti.

Selepas saya mendirikan rumahtangga ketika masih belajar pada 2002, terpaksalah saya berpindah dan tinggal di Mansoura, wilayah di mana isteri saya belajar. Mansoura sejauh 2 jam dari Kaherah sekitar 100km.

Namun begitu, apabila sesekali turun ke Kaherah dan ke Rumah Sabah, di bilik Ust Agus itulah biasanya saya bermalam.

Mungkin saya tidaklah begitu layak menceritakan tentang kebaikannya, kerana terdapat sahabat yang lebih akrab dengannya.

Namun, teringat antara jadual hidupnya ialah suka turun ke surau di tingkat 1 apabila menunaikan solat. Wisma Yayasan Sabah Kaherah itu ada 6 tingkat dan apartment kami di tingkat 3.

Rajin menelaah buku dan membaca al-Quran. Sering juga saya perhatikan, beliau suka menonton rancangan Arab sama ada filem, berita atau sukan untuk mendapatkan ilmu bahasa pertuturan dan perbendahaan kata.

Sedar atau tidak, Ust Agus adalah seorang manusia yang jarang marah atau meninggikan suara. Orangnya tenang dan bersahaja. Suka tersenyum dan mudah dibawa berunding.

Umurnya yang lebih senior berbanding sahabat yang lain ketika di Mesir dahulu menyebabkan dia selalu menjadi tempat meminta nasihat dan pandangan sama ada berbentuk peribadi atau untuk persatuan.

p1030224Justeru, tatkala namanya diumum sebagai penerima Anugerah Khalid Ibnul Walid Daerah Kudat, atas keterlibatannya dalam aktiviti dakwah di daerah ini dan juga di Matunggong, saya tidak terkejut.

Bahkan saya dimaklumkan beliau gigih membantu membangunkan masjid dan surau yang agak kaku khususnya yang berkait langsung dengan saudara baru.

Kini dengan jawatan selaku Penggerak Dakwah JAKIM Daerah Kudat (dan ditempatkan di JHEAINS Kudat), beliau sedang berada di posisi yang sesuai dengan wataknya sebagaimana yang kami kenal.

Semoga Ust Agus terus sukses dan istiqamah dalam menyebarkan Islam di Kudat dan seluruh Sabah dengan sokongan dan motivasi isteri tersayang, Siti Aisyah Abd Azid bersama anak-anak Syaffiah Balqis (2 tahun) dan Syaffiah Azzahrah (7 bulan).

%d bloggers like this: