Tarikh : 31 Januari 2013 (Khamis malam jumaat)
Masa : 6.30 petang – 11 malam
Lokasi : Surau ar-Rahman dan Dewan Maahad
Aktiviti : Solat fardhu berjamaah, bacaan surah Yasin, ceramah oleh Ustaz Haji Mohd Hilham Mohd Noor, qasidah dan jamuan
Kelas tahfiz untuk minggu tersebut hanya diadakan untuk kelas kanak-kanak pada pagi sabtu sahaja, memandangkan pada khamis malam jumaat tempohari banyak program sambutan mawlidur Rasul SAW di masjid, surau dan sebagainya. Begitu juga kelas untuk dewasa sabtu malam ahad dan ahad malam isnin juga ditangguhkan kerana selain saya terlibat dengan undangan-undangan lain, terdapat juga beberapa peserta sendiri terlibat di masjid atau surau masing-masing.
Sementelahan pula pada malam minggu berkenaan, Surau Riyadhus Solihin Taman Austral yang bersebelahan dengan kelas diadakan juga mengadakan sambutan yang sama. Justeru semua peserta kelas telah dijemput untuk hadir menyertai program di surau berkenaan. Tidak banyak foto yang dipaparkan kali ini, (sebahagiannya kerana saya terlupa merakam peserta kanak-kanak yang lain), peserta yang hadir pula sekitar 10 orang sahaja, dan saya muatkan satu foto dua siswi maahad tahfiz yang membantu saya melicinkan perjalanan kelas tahfiz kategori kanak-kanak iaitu Nur Azizah Suratman dan Jumaini Amran.
Suasana ceria tenang buat kami yang sedang berbengkel penghakiman tilawah al-Quran bertukar suram dan hening seketika apabila dimaklumkan khabar duka kehilangan seorang otai dan lagenda qari negeri Sabah Ybhg Datuk Haji Abd Ghaffar Rijim di Beaufort tengahari semalam. Beliau berumur 63 tahun, merupakan penghafaz al-Quran yang pertama di Sabah, serta pernah menjuarai MTQ peringkat negeri sebanyak 7 kali pada zaman kegemilangannya.
Kelopak mata saya berkocak mengenang beliau, meskipun saya tidak akrab dengannya, saya boleh bersembang elok sesekali berhubung atas urusan undangan sebagai hakim tilawah daerah tertentu dan biasanya beliau tidak pernah menolak pelawaan itu. Beliau juga pernah menghubungi saya antaranya urusan berhubungan dengan sahabat lamanya Ustaz Haji Mohd Ilham, rakan sepengajian beliau di Kuala Lumpur dahulu.
Terakhir kami bertemu ialah pada jun 2012 sudah, apabila rombongan maahad berziarah ke rumah beliau dan menemuramah beliau untuk keperluan majalah maahad tahfiz yang kini masih dalam proses percetakan. Meski majalah maahad itu tentang maahad, saya mahukan temuramah beliau dimuatkan agar pembaca mengetahui sejarah hidup beliau. Saya masih tidak dapat membayangkan pada akhir tahun 60an, ada seorang pemuda dari Beaufort boleh menyertai Maahad Tahfiz di Masjid Negara Kuala Lumpur.
Semoga Allah SWT membalas jasa baik beliau menyebarkan ilmu al-Quran kepada masyarakat seluruhnya. Tilawahnya telah menggamit hati sanubari para pendengar dan peminat tilawah sehingga ada orang yang terdorong untuk belajar pula tentang al-Quran. Saya ingati nasihati beliau supaya ahli al-Quran terus menuntut ilmu dan menyebarkannya dengan cara mengajar al-Quran kepada ummat mengikut kemampuan masing-masing.
Saya bersaksi kepada Allah SWT sepanjang pengetahuan saya, beliau adalah seorang insan yang baik hati dan budinya. Ya Allah, ampunilah dosa dan kesilapan beliau dan tempatkan beliau bersama orang-orang yang soleh. Â Janazah beliau disemadikan di Beaufort sekitar jam 10 malam tadi. Al-Fatihah.
Syukur alhamdulillah kami dapat lagi menerima khazanah ilmu berkaitan penghakiman tilawah al-Quran daripada tiga tokoh hakim Majlis Tilawah al-Quran Kebangsaan. Ybhg Dato’ Sallehudin Omar, Ybhg Dato’ Muhammad Hasri dan Syeikh Roslan Abd Halim diundang khas oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) ke program Bengkel Penghakiman Tilawah pada 28-30 Januari 2013 di Hotel Sabah Oriental, Karamunsing.
Sangat wajar kursus atau bengkel seumpama ini diadakan bahkan digandakan kekerapannya bagi memperbaiki kualiti penghakiman tilawah. Pernah berlaku beberapa tahun sudah, sebuah daerah yang mengadakan MTQ dan johannya memperolehi markah lebih 80%. Mengikut peraturan, mana-mana johan qari dan qariah daerah yang memperolehi markah 70% ke atas, mereka layak mneyertai saringan akhir bagi memilih 10 peserta terbaik pula sebelum dibawa ke MTQ peringkat negeri. Johan yang tadinya mendapat markah lebih 80% ini di peringkat saringan akhir hanya mendapat markah tidak sampai 50%.
Dalam bengkel kali ini, selain format pemarkahan, turut ditekankan ialah cara pemotongan markah, catatan borang markah serta memahami bidang pemarkahan antara tajwid, fasohah, tarannum dan suara. Selain itu, topik-topik dalam subjek tajwid dan tarannum mendominasi perbincangan sesama peserta dan pembimbing, agar para hakim lebih memahami dan beramal dengan ilmu-ilmu berkenaan. Sesi praktikal menghakimi tilawah turut diadakan dan disemak oleh para pembimbing.
Majlis penangguhan dilakukan oleh Tuan Haji Rumaling Epit, Timbalan Pengarah JHEAINS. Tahniah kepada semua peserta yang datang dari seluruh negeri, juga urus setia dari Bahagian Pendidikan JHEAINS. Semoga kualiti penghakiman MTQ yang akan bermula pada pertengahan Februari ini di daerah-daerah akan lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Tarikh : 27 Januari 2013 (Ahad)
Masa : 3 petang
Lokasi : Kg Petagas, Putatan
Sedang kami makan-makan di Sembulan setelah selesai rawatan di Masjid Negeri, Ustaz Nazri menerima satu panggilan kecemasan perihal kejadian gangguan yang berlaku ke atas seorang cikgu di sebuah rumah sewa di Kampung Petagas. Saya dimaklumkan ini bukan rawatan kali pertama, kerana mangsa pernah menerima rawatan sebelum ini dan Ustaz Nazri menjadi perawatnya.
Setelah diruqyah oleh Haji Dzul, memang kedapatan simptom-simptom tertentu pada diri mangsa sehingga beliau muntah-muntah. Sementelahan itu, makhluk halus berkenaan mendakwa otai mereka berada di tubuh seorang lagi iaitu kakak kepada mangsa. Tiba-tiba sahaja, si kakak turut tumbang dan meracau. Lebih kuat berbanding si adik. Mujur saja kami datang berlima dan dibantu oleh ahli keluarga mangsa. Lebih banyak masa diambil untuk merawat mangsa kedua.
Alhamdulillah dengan kefahaman yang jelas pada keluarga mereka, musibah ini dihadapi dengan tenang. Kami turut mempelawa wakil keluarga ini agar dapat mempelajari pengubatan Islam melalui Darussyifa’.
Dalam dunia tahfiz al-Quran di Malaysia, Ybhg Dato’ Haji Salehuddin Omar bukanlah asing. Beliau adalah otai dalam dunia tahfiz, ilmu tajwid dan qiraat. Beliau kumpulan penghafaz al-Quran pertama di Malaysia selepas merdeka bersama-sama dengan Tan Sri Syeikh Ismail Muhammad, Dato’ Abu Hassan Din dan lain-lain di Masjid Negara. Beliau pengetua maahad tahfiz Malaysia yang pertama yang memulakan pengajian berstatus diploma pada awal tahun 1980an.
Mengasaskan institusi tahfiz al-Quran di Brunei atas titah Sultan Brunei bersama Tan Sri Syeikh Ismail serta menjadi hakim tilawah al-Quran kebangsaan sejak 1979 sehingga kini dan juga hakim tahfiz kebangsaan dalam tempoh yang lama. Juga tenaga penting dalam Lajnah Tashih al-Quran di bawah Kementerian Dalam Negeri. Dalam usia pertengahan 60an kini, beliau masih giat mengajar al-Quran dan al-Qiraat baik di Malaysia bahkan sampai ke Singapura.
Apabila Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) mengundang beliau bersama dua tokoh lain ke Kota Kinabalu untuk Bengkel Penghakiman Tilawah Negeri Sabah (28-30 Januari 2013), saya mencari ruang kosong untuk beliau berziarah dan memberi kalam nasihat kepada kami warga Maahad Tahfiz Sabah. Kesudian beliau datang dan bercerita sekitar sejam pagi tadi sangat bermanfaat untuk kami semua.
Beliau bijak menceritakan pengalaman dirinya menghafaz al-Quran serta mendorong pelajar agar tidak jemu untuk menghafaz al-Quran. Meletakkan dirinya ketika itu sebagai seorang pelajar yang lemah dalam mengingat al-Quran berbanding orang lain, beliau memberikan ransangan dengan menyebut beberapa kalam Allah bahawa Allah SWT akan bersama orang-orang yang berjuang dan melakukan kebaikan.
Beliau juga menceritakan sedikit sebanyak sejarah pengiktirafan diploma tahfiz al-Quran yang berlaku pada zaman beliau menjadi pengetua tahfiz ketika itu. Beliau bertemu dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mendapatkan pengiktirafan. Beliau menyebut antara tokoh yang banyak memudahkan urusan dan meluluskan pengiktirafan peperiksaan tahfiz bertaraf diploma ialah Tan Sri Elyas Omar yang ketika itu berkhidmat sebagai Ketua Pengarah JPA antara 1978-1981. Beliau dikhabarkan terkejut dengan usaha-usaha menghafaz al-Quran oleh umat Islam di Malaysia yang bukan berbangsa arab.
Terima kasih atas kesudian Dato’ Solah berkunjung ke maahad kami dan berkisah tentang dirinya, insya Allah ada manfaatnya untuk warga Maahad Tahfiz Sabah.
Sekitar seminggu lepas, saya ada membuat kemaskini status di facebook untuk mencari kucing. Satu sisi berharap juga kalau-kalau ada teman-teman fb yang mahu ‘bersedekah’ kucing kepada kami. Sambutan di fb menggalakkan, bahkan ada yang menghubungi lewat sms, wasap dan mesej peribadi. Ada yang menawarkan bayi-bayi kucing yang masih berada dalam perut ibunya apabila sudah berpisah susu. Ada juga yang menawarkan kucing siam dari Kota Marudu.. aduhai..
Tetapi ada suatu peristiwa ganjil berlaku dua hari sudah di rumah kami. Tiba-tiba sahaja kami mendengar suara kucing dari balik dinding di dapur rumah kami. Dinding dapur itu ditutup dengan almari yang sedia melekat (permenant). Di celah-celah almari yang sangat sempit serta tiada saluran keluar masuk, rupanya ada seekor anak kucing mengiaw sejak 2 hari sebelum itu.
Kami menjangkakan anak kucing jiran sebelah, tapi apabila ditanya, mereka tiada anak kucing baru. Kasihan si kecil ini masih memerlukan susu ibu, dan kami terpaksa mengongsikan air susu formula. Kelihatannya ia masih sukar menerima, dan jalannya masih belum lancar dan rata. Â Kami masih tertanya-tanya lagi, siapakah pemilik kucing ini, dan dari mana datangnya?
Alhamdulillah, kuliah talaqqi al-Quran, tajwid dan tafsir di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral sudah berlangsung lebih 5 tahun. Segala puji milik Allah yang memberi kekuatan kepada kami semua untuk bertahan dalam suasana sebahagian jamaah tetap sudah ada yang berpindah, dan dalam masa yang sama kami tetap meraikan ketibaan jamaah yang baru.
Jamaah lama yang masih bertahan seperti Tuan Haji Farid, Tuan Haji Fawzi Haw, Ustaz Mohammad Suaid, abang Amran Sulot, Tuan Haji Ruslin Abd Samad serta tidak ketinggalan tuan pengerusi Tuan Haji Sapawi Haji Thussin. Kini, kehadirannya tetap stabil dan kami sudah berada pada awal surah at-Tawbah, juzu yang ke-10.
Mana-mana sambutan keraian atau aktiviti sosial di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral biasanya tidak pernah mengecewakan. Begitulah juga sambutan sempena Mawlidur Rasul SAW 1434H kali ini. Kemeriahannya jelas terasa termasuk dengan ceramah yang mengesankan, kehadiran jamaah termasuk kaum muslimat dan anak-anak yang menceriakan suasana sehinggalah kepada jamuannya yang disiapkan secara bergotong royong.
Tahniah kepada semua yang bekerja keras menjayakan program ini tidak kira yang berkeringat di ruang dapur sehingga mereka yang kesejukan di ruang solat. Apa jua usaha untuk meningkatkan kefahaman dan kecintaan kepada Rasulullah SAW, insya Allah akan diberikan ganjaran di sisi-Nya. Mana-mana yang kurang, sama-sama kita perbaiki pada masa akan datang.