Tarikh : 29 Julai 2016
Lokasi : Masjid Rusila Terengganu
Pengkuliah : Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang & Syeikh Kurayyim Rajih
Tarikh : 29 Julai 2016
Lokasi : Masjid Rusila Terengganu
Pengkuliah : Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang & Syeikh Kurayyim Rajih
Tarikh : 29 Julai 2016
Lokasi : Medan Ilmu Kota Bharu Kelantan
Pengkuliah :
Sumber : Web JHEAINS
Tidak akan tertegak Negara yang berdaulat, aman dan selamat jika tiada pihak yang rela serta bersedia berkorban jiwa dan raga untuk berjuang dan mempertahankannya daripada gugatan musuh dan petualang bangsa. Demikian juga, rakyat tidak akan merasa aman dan tenteram menjalankan pelbagai aktiviti kehidupan jika tiada pihak yang bersemangat waja mencurah bakti menjaga keselamatan Negara. Malahan, pembangunan serta kemajuan tidak mungkin diraih jika Negara berada dalam keadaan kucar-kacir dan huru-hara.
Sehubungan dengan kenyataan itu, marilah kita sedari dan insafi bersama bahawa sesungguhnya segala nikmat yang dikecapi oleh Negara kita hari ini bukanlah datang secara menggolek tanpa sebarang usaha jerih payah para warganya yang bergabung dengan kesungguhan pemimpinnya. Fakta ini mungkin disedari oleh sesetengah orang, tetapi berkemungkinan juga ada yang baru mengetahuinya.
Dan tidak menghairankan jika terdapat juga sesetengahnya yang langsung tiada rasa kepedulian terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka lantaran tiada perasaan serta semangat cintakan Negara bangsa sendiri. Keadaan ini mungkin disebabkan ramai di kalangan generasi hari ini dilahirkan semasa negara ini sudah bebas daripada belenggu penjajahan dan kesengsaaraan hidup.
Mereka tidak dapat merasakan betapa pahit getirnya mengharungi zaman-zaman gelap, sukar dan duka tersebut. Mereka hanya sekadar mengetahui kesusahan hidup rakyat melalui pembacaan buku-buku sejarah atau mendengar ceritaceritanya sahaja dari ibu bapa mereka atau orang-orang yang lebih tua.
Lantaran itu, apabila negara menyambut Hari Pahlawan setiap tahun pada tanggal 31 Julai, ramai terutamanya generasi muda yang tidak ambil kisah, membiarkan ia berlalu tanpa sebarang perasaan, dan tidak kurang juga yang tidak mengetahui bahawa tarikh itu merupakan Hari Pahlawan. Padahal, hari berkenaan adalah lebih besar pengertiannya daripada memperingati Hari Valentine atau hari kekasih.
Ketahuilah bahawa Hari Pahlawan disambut sebagai mengenang jasa dan bakti para anggota pasukan keselamatan yang gugur semasa menabur bakti membela agama, bangsa dan negara. Mereka rela berkorban jiwa dan raga berjuang mempertahan kedaulatan negara tercinta demi kesejahteraan rakyat. Pengorbanan yang dilakukan mereka adalah mulia dan yang tertinggi dalam hidup seorang manusia di mana tidak semua orang boleh melaksanakannya tanpa adanya keberanian, rasa tanggungjawab dan semangat cintakan negara yang menggunung.
Hakikatnya, keamanan, kestabilan dan kesejahteraan yang negeri dan negara kita nikmati pada hari ini tidak akan dapat kita kecapi tanpa pengorbanan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan samada anggota tentera mahupun anggota polis. Tanpa pengorbanan mereka ini, sudah pasti kita tidak dapat menghirup udara aman, bergerak bebas dan menikmati pelbagai kemajuan hasil daripada pengorbanan pahlawan-pahlawan negara ini.
Mereka telah menabur jasa dan bakti yang bukan sedikit kerana mereka sanggup menggadaikan nyawa, meninggalkan keluarga tersayang dan segala-galanya demi keamanan negara dan keselamatan rakyat seluruhnya. Ini bermakna, sambutan Hari Pahlawan antara lain mengajak generasi kini dan akan datang supaya sentiasa mensyukuri segala nikmat yang kita rasai pada hari ini dengan memastikan keamanan, keharmonian dan perpaduan rakyat terus terpelihara.
Dengan mensyukurinya, kita bukan sahaja dapat mengekalkan kemanan, keharmonian dan perpaduan yang wujud, malahan memungkinkan kita mengecapi lebih banyak nikmat lagi. Ini sebagaimana janji Allah SWT dalam firman-Nya:
Yang bermaksud: “Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberi tahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (S. Ibrahim: 7).