Archive for Ogos, 2011


Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas

Selamat hari raya Aidilfitri diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat. Kita baru sahaja melalui tarbiah Ramadhan yang merupakan suatu proses dalam melahirkan hamba Allah yang bertaqwa. Antara ciri hamba Allah yang bertaqwa sebagaimana yang disebut oleh Ibnu Mas’ud ialah sentiasa mentaati Allah dan tidak mengengkari perintahNya termasuk ketika menyambut hari raya.

Tanda taat marilah kita penuhi hari raya kita dengan amal ibadat disamping menjauhi larangan Allah seperti membuka aurat, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, hiburan melampau dan sebagainya. Ciri hamba Allah yang taqwa juga sentiasa mengingati Allah dan tidak melupai-Nya. Buktikan diri kita sebagai hamba Allah bukannya hamba Ramadhan iaitu jangan pada bulan Ramadhan sahaja kita melawan hawa nafsu sedangkan bila menyambut hari raya maka kita menjadi hamba kepada nafsu yang menyuruh kepada kejahatan.

Ciri hamba Allah yang bertaqwa seterusnya ialah sentiasa bersyukur kepada Allah dan tidak mengkufuri nikmatNya. Tidakkah kita berasa malu menyambut hari raya dengan amalan maksiat sedangkan hari raya adalah anugerah Allah. Ia umpama kita menyertai majlis jemputan orang tetapi melakukan perkara yang tidak disukai oleh tuan rumah.

Sempena menyambut hari raya juga marilah kita sama-sama berdoa agar dapat meraih tawaran Allah yang dijanjikan sepanjang Ramadhan baru lalu iaitu rahmat, keampunan dosa dan dijauhkan daripada azab neraka. Kita tidak mahu termasuk dalam golongan yang jauh daripada rahmat Allah sebagaimana yang diberitahu oleh nabi Muhammad s.a.w iaitu golongan yang keluar daripada Ramadhan dalam keadaan dosanya belum lagi diampuni oleh Allah. Ingatlah bahawa kita bukan mahu menyambut hari raya di dunia sahaja sebaliknya apa yang lebih kita idamkan ialah menyambut hari raya dalam Syurga Allah di akhirat nanti.

Renungilah suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim :

قال الرسول : مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِى رِزْقِهِ وَيُنْسَأَ لَهُ فِى أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Sesiapa yang mahu diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka
hendaklah dia menghubungkan silaturrahim.

Gema takbir membesarkan Allah dan tahmid memuji Allah yang berkumandang setiap kali tibanya hari raya mestilah meresap ke dalam hati sanubari bukan setakat disebut di mulut sahaja. Pastikan laungan hari raya itu dijadikan ikrar taat setia kepada Allah dalam setiap tindak tanduk kita termasuk menyambut hari raya yang merupakan hari gembira. Nikmat hari raya ini mesti digunakan untuk merapatkan lagi hubungan kekeluargaan dan silaturrahim sesama kita.

Adakalanya hubungan ini semakin renggang walau pun kemudahan perhubungan dan sistem maklumat semakin canggih. Masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing sehingga suasana kasih sayang terabai dan memberi kesan bukan sahaja dalam keluarga malah melarat kepada masyarakat sekitar.

Kes perceraian yang semakin meningkat ketika masyarakat semakin terpelajar disebabkan suami atau isteri gagal menjalankan tanggungjawab rumahtangga, harapan untuk hidup mewah tidak tercapai, akhlak pasangan yang tidak baik, mengutamakan kawan lebih daripada pasangan disamping campur tangan pihak ketiga sebagai penghasut termasuk ahli keluarga terdekat dan faktor lain.

Begitu juga penderaan terhadap anak-anak ditambah dengan masalah penderhakaan terhadap kedua ibubapa yang semakin menjadi-jadi. Oleh itu jadikanlah hari raya di dalam menyuburkan kembali kasih sayang supaya kita tidak termasuk dalam golongan yang memutuskan silaturrahim apatah lagi menjadi golongan yang dijauhkan daripada rahmat Allah sebagaimana yang pernah diperingatkan oleh nabi Muhammad s.a.w iaitu anak yang sempat hidup bersama kedua ibubapa atau salah seorang daripada keduanya namun tidak berusaha berbuat baik kepada ibubapa dengan pelbagai alasan.

Betapa ramai ibubapa yang sanggup mati demi memastikan anaknya terus hidup sedangkan betapa ramai anak yang menginginkan ibubapanya lekas mati supaya tidak lagi menjadi bebanan hidupnya. Ingatlah Islam meletakkan ibubapa di tempat yang mulia. Keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibubapa, kemurkaan Allah terletak kepada kemurkaan ibubapa. Sekiranya ibubapa kita telah meninggal dunia jangan lupa untuk kita doakan kesejahteraan meraka ketika berada di alam barzakh dan akhirat nanti. Jangan hanya tahu makan harta pusaka jerih penat lelah ibubapa sedangkan sepotong doakan pun susah dipanjatkan ke hadrat Allah buat mereka. Laksanakanlah perintah Allah sebagaimana tersebut dalam ayat 24 surah al-Isra’ :

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

SALAM EID MUBARAK 1432

Taqabbalallahu minna wa minkum. Semoga Allah menerima amal ibadah kita semua. Salam Eidul Fitri, ada kelapangan datanglah berziarah ke rumah. Tahun ini giliran kami berhari raya di Putatan / Kota Kinabalu.

Daripada :

Abu Nuha & Ummu Nuha

Anak-Anak :

Nuha Wafiyyah

Hana Sumayyah

Abdul Hadi

Lu’lu’ Badriyyah

‘Aina’ Salsabila

Muhammad Ubayy Ka’ab

Ini suasana isnin terakhir semalam pada waktu zuhur di Masjid Negeri Sabah, sebelum umat Islam menyambut 1 Syawal pada sebelah malamnya. Nampaknya jamaah kelihatan agak susut sedikit hanya tinggal kira-kira enam saf saja berbanding 9-12 saf pada hari-hari sebelumnya. Jadual tazkirah zuhur pun kami susun setakat hingga hari ahad lepas sahaja.

Barangkali sudah ramai yang bercuti dan pulang ke kampung halaman masing-masing. Sebenarnya suasana lengang turut terasa apabila saya meronda sekitar jalan-jalan utama di Bandaraya Kota Kinabalu sehari dua kebelakangan. Hanya yang agak sibuk di jalan-jalan sekitar Sinsuran dan Segama, barangkali umat Islam mencari keperluan pakaian baru pada saat-saat akhir.

Kebanyakan orang bercuti hingga hujung minggu ini. Mudah-mudahan Masjid Negeri Sabah dan masjid-masjid lain akan kembali meriah pada minggu hadapan. Selamat menyambut eidul fitri, hati-hati di jalanraya. Ingatlah mereka yang tersayang.

 

Saya menunaikan janji kepada anak-anak untuk membawa mereka berbuka puasa di Hotel Shangri La di Bandaran petang tadi. Saya sudah memaklumkan perkara itu beberapa hari sebelum ini kepada mereka. Sesungguhnya ini pertama kali saya membawa mereka makan-makan di hotel. Sejak awal pagi, anak-anak terutamanya Abdul Hadi begitu teruja. Bermacam-macam soalan diajukan, maklumlah selama ini kalau pun pernah bermalam di mana-mana resort, hanya terbayang kolam mandi saja.

“Ada kerusi ka Babah di hotel tu?”

“Cukupkah meja di hotel nanti?”

“Babah, kita bawa khemah kah?”

Bukan mahu bermewah, tetapi sekadar menggembirakan hati isteri dan anak-anak. Maklum saja, dalam Ramadhan ini banyak masa saya diperuntukkan di luar rumah kerana pelbagai aktiviti yang sudah diatur. Hanya masa saya berbuka banyak bersama keluarga kecuali beberapa kali. Lagipun ini hadiah atas ketekunan dan kesungguhan mereka menunaikan ibadah puasa.

Nuha insya Allah menamatkan puasa tahun ini dengan rekod penuh. Hana (6 tahun) ada dua hari tidak berpuasa kerana demam – jika diambil kira maka rekod juga penuh kerana bukan ponteng dengan sengaja atau suka-suka. Abdul Hadi (5 tahun) berpuasa sebanyak 22 hari – ponteng pada minggu pertama dan kemudian berterusan puasa sejak hari ke-8 Ramadhan sehingga hari ini. Sebenarnya kekuatan anak-anak ini jujurnya mengalahkan saya ketika kecil dahulu.

Turut serta bersama-sama kami ialah Ustaz Haji Nor Azamuddin Umar dan keluarganya. Kami bersungkai dan bersolat magrhib bersama di surau kecil yang disediakan di tingkat dua. Terima kasih buat Chef Abdullah Ahmad yang menempah meja untuk kami bersungkai bersama-sama malam ini. Ternyata anak-anak sangat gembira.

Kali kedua berziarah dan bertemua rakan-rakan dalam SAHABAT sepanjang Ramadhan ini tetapi di lokasi yang berbeza. Tempoh hari di kelas pengajian Teratak Fitrah sementara kali ini di markas mereka di Jalan Kurol Melangi, Kg Likas bersama 60 ahli yang hadir diketuai presidennya Sdr Abu Bakar Ongkosing.

Saat saya tiba, rakan-rakan dari IKRAM baru selesai menyampaikan sumbangan mereka dan saya terus mengganti untuk slot berikutnya. Ia penyampaian sumbangan sekampit beras kepada 60 penerima yang dipilih oleh SAHABAT sendiri sebagai lambang keprihatinan kami kepada saudara kita. Oleh kerana ramai rakan-rakan sudah pulang ke kampung dan yang ada di KK semuanya sibuk dengan persiapan masing-masing, maka saya hadir sendirian bagi mewakili semua pihak yang terlibat.

Tazkirah saya sekitar setengah jam, saya sentuh pelbagai topik – sedekah, lailatul qadar, hari raya sehinggalah keperluan ahli-ahli menyumbang demi kebaikan Islam – sama ada berbentuk wang ringgit, harta, tenaga dan idea khususnya dalam NGO SAHABAT dan keterlibatan mereka dalam apa juga program keislaman sama ada di pejabat atau masjid surau berhampiran kediaman masing-masing. Saya doakan agar semuanya baik-baik saja dalam kehidupan mereka di dalam Islam.

Antara program Ramadhan yang saya turun diamanahkan untuk mengisinya ialah program sembang santai ‘Malam-Malam Ramadhan’ yang diadakan di Sabah FM. Ia adalah anjuran bersama JHEAINS dan Sabah FM bagi mengisi slot-slot keagamaan khususnya pada waktu malam. Saya kira kerjasama JHEAINS dan Sabah FM khususnya sejak kebelakangan ini semakin galak dan erat sekali.

Saya sendiri selain sembang ‘Malam-Malam Ramadhan’ ini juga mengisi slot rakaman tazkirah ‘Ihya Ramadhan sebanyak 29 siri yang disiarkan setiap selepas azan zuhur. Selain itu ada beberapa program lain seperti ‘Resipi Ramadhan’ yang berbentuk nasihat pada waktu asar. Saya kurang maklum program-program lain, tetapi saya kira para ustaz dan pendakwah wajar untuk mengisi slot-slot keagamaan kerana medan pendengar yang lebih ramai.

“Malam-Malam Ramadhan’ disiarkan setiap malam bermula jam 11.15 malam secara lansung dari konti Sabah FM dan berakhir setengah jam kemudian. Ia kadang-kadang berakhir lambat bergantung suasana sembang antara penyampai dan tetamu undangan. Saya sendiri terlibat dalam dua kali, pertama pada 20 Ogos atas tajuk Lailatul Qadar dan kali kedua pada 26 Ogos dengan topik Falsafah Aidilfitri.

Konsep soal jawab tetapi secara santai dan bersembang, kadang-kadang diselitkan dengan unsur humor dan lenggok bahasa Sabahan supaya pendengar tidak terlalu stress mendengar walaupun sesetengah isu sebenarnya adalah tajuk dan topik yang penting. Antara tajuk-tajuk bersama tetamu undangan lain ialah seperti ‘niat’, ‘solat tarawih’, ‘berpuasa di kampung’, ‘adab berpuasa’, ‘raya di Makkah’, ‘raya di bandar’, ‘adab berhari raya’ dan banyak lagi.

Sesetengah sembang dilakukan secara spontan tanpa ada perbincangan awal. DJ Saitoh yang bersama saya banyak kali juga mengemukakan pertanyaan luar jangka dan tidak diduga. Mujurlah semua soalan dapat dijawab dengan baik. Antaranya soalan berkaitan pelita hari raya dan pakaian baju baju baru – termasuk fesyen tidak menutup aurat. Slot kali kedua baru-baru ini, selesai habis program, DJ Saitoh menerima satu panggilan pendengar yang memuji program berkenaan apatah lagi ia walaupun sebahagian tajuk adalah ilmiah tetapi cara penyampaian adalah bersahaja.

Saya juga menerima respon baik daripada beberapa sahabat dan jamaah masjid negeri sabah yang bertemu saya sehari dua kemudian dan mencadangkan program berkenaan diteruskan atau dikembangkan di luar Ramadhan. Saya kira  Ustaz Sakaria Samela yang menjadi urus setia di pihak JHEAINS (beliau adalah pembaca setia blog ini) boleh memikirkan cadangan tersebut, walaupun mungkin tidak diadakan secara harian tetapi mingguan atau dua tiga kali seminggu menyentuh pelbagai topik kehidupan yang disentuh dengan nilai agama Islam.

Tahniah kepada semua yang terlibat. Insya Allah ada pahala yang menyusul.

Kami mengambil masa sekitar 17 bulan bersama-sama sebelum sahabat baru saya Abdul Hadi Abdul Karim yang berasal dari Kg Kelanahan Papar, dapat mengkhatamkan al-Quran di hadapan saya. Bermula mac 2010 dan akhirnya khatam dalam bulan Ramadhan pada 25hb lepas.

Sdr Abdul Hadi dalam tempoh itu banyak memudahkan saya. Orangnya mudah dirunding dan bagus bacaannya. Sudah tentu saya merasakan beliau mempunyai asas yang baik ketika zaman kanak-kanak dan remaja. Kami bertalaqqi dan bermusyafahah di beberapa lokasi. Pernah di pejabat SPANS, di bilik pejabat saya dan dalam Ramadhan (2 kali) diadakan di Masjid Negeri Sabah selepas tazkirah zuhur.

Tidak banyak kesalahan dilakukan dalam tilawahnya dan kami tidak terlalu kerap bertemu kerana halangan tugas masing-masing. Apabila lapang, kami bertemu hampir setiap hari dan Abdul Hadi membaca dalam bilangan mukasurat yang pernah mencapai lebih sejuzu’ beberapa kali. Tetapi ketika kami sama-sama berhalangan, kadang-kadang sampai sebulan lebih tidak bertemu.

Ketika khatam tempohari, saya pinta dia sendiri membacanya supaya dia boleh memimpin masyarakatnya khususnya di kampung. Semoga beliau terus istiqamah dalam tilawah al-Quran dan berguru pula dengan orang lain seterusnya menurunkan ilmunya kepada mereka yang memerlukan. Semoga persahabatan terus terjalin dan keberkatan al-Quran subur dalam kehidupannya sekeluarga.

Beberapa tahun bertugas dalam pentadbiran Masjid Negeri Sabah dan bergelumang dalam Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah, menjadikan hubungan dengan warga kerja Masjid Negeri amat akrab sekali. Kami mengetahui kehidupan mereka (kalaupun tidak keseluruhan), kesusahan hidup dan sebagainya kerana kebanyakan mereka pernah saya ziarahi di rumah-rumah mereka.

Saya berbincang dengan Ustaz Haji Muchlish agar sedikit peruntukan diberikan dengan sumbangan sekampit beras turut disampaikan kepada mereka sekitar 35 orang. Ia juga sebagai tanda penghargaan atas kerjasama semua warga MNS terhadap aktiviti Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) yang banyak diadakan di sini. Alhamdulillah, majlis ringkas dengan sesi tazkriah oleh Ustaz Muchlish sendiri dan penyampaian sumbangan kepada yang terlibat. Majlis turut dihadiri oleh Ybhg Imam Besar Ustaz Haji Ibrahim Kisab dan Setiausaha JK Induk MNS Awang Ibrahim.

Tahniah juga kepada warga MNS (di bawah JK Induk) yang menerima saguhati RM500 sempena hari raya baru-baru ini. Semoga sumbangan ini serba sedikit dapat meringankan beban kehidupan mereka. Insya Allah hari raya kita bertemu dan berziarah.

Saya pernah bercerita hal ini di blog ini beberapa bulan lepas. Ia berkenaan sepupu saya – perempuan berumur 20 tahun yang melarikan diri ke Sabah dari Labuan mengikut lelaki yang disukainya. Biar saya catatkan adik ini sebagai ‘H’ sahaja. Beberapa ketika selepas lari tempohari, mengikut lelaki yang berasal dari Beaufort, keluarganya berjaya menemuinya dengan kerjasama JHEAINS Beaufort dan pulang ke rumah di Labuan.

Keadaan kembali tenteram beberapa bulan.

Saya baru dapat tahu dalam Ramadhan ini, rupanya dia melarikan diri sekali lagi  sejak awal julai lalu. Saya mencari maklumatnya lewat facebook dan dia memaklumkan dirinya sudah berkahwin dengan lelaki berkenaan. Saya menghubungi keluarganya – yang masih punya ibu bapa dan adik beradik, mereka langsung tidak mengetahui yang H sudah berkahwin (jika benar maklumat di FB berkenaan). Bahkan perkahwinan itu dilangsungkan pada ketika dia melarikan diri kali pertama.

Ditakdirkan Allah SWT saya terserempak dengan mereka – H dan lelaki berkenaan di Hospital Likas saat saya selesai mendaftarkan anak kecil kami di pejabat pendaftaran cawangan Hospital Likas. Saya segera berpaling dan berdiri di balik tiang, padahal lucunya mereka bukan tahu yang saya sedang menyelidik mereka, lelaki itu pun bukan mengenali saya, walaupun saya tahu mukanya melalui foto di facebook.

Saya ikuti perlahan-lahan pergerakan mereka, mengecam nombor plat kenderaan mereka dan cuba mengesan setakat yang mampu saya jejaki. Melalui sumber saya yang banyak memberi bantuan, tiada rekod pernikahan dicatatkan dalam maklumat JHEAINS – ertinya kalau benar pernikahan berlangsung mereka bernikah menggunakan imam tidak bertauliah. Saya merujuk kepada Ustaz Haji Muchlish, bahawa perkahwinan tanpa wali hukumnya tidak sah berdasarkan ayat al-Quran surah an-Nisa ayat : “.. maka nikahkanlah mereka dengan izin keluarga (yakni walinya)”.

Sumber lain pula menyatakan kenderaan berkenaan adalah kenderaan sewa dari sebuah syarikat yang berpejabat di Sepanggar. Lelaki berkenaan bertugas di sebuah supermarket di Penampang. Sayangnya saya terlepas pergerakan mereka kerana keadaan kenderaan yang banyak saat itu. Proses yang ingin saya lanjutkan ialah di mana mereka tinggal ketika ini supaya pihak penguatkuasa agama boleh bertemu mereka.

Saya dimaklumkan H menutup atau barangkali menukar nombor simkadnya sehingga keluarganya gagal menghubunginya. Saya benar-benar kasihankan keluarganya yang tentu saat ini merinduinya. Sebenarnya cara lain masih ada dan saya belum berputus asa untuk mengesannya. Hanya masa saya terbatas untuk menyelidikinya kerana urusan-urusan yang lain.

p/s : Saya kira kes-kes sebegini sangat banyak. Timbul perangai derhaka kepada orang tua, pergaulan bebas, hidup berkesedudukan dan seumpamanya. Sangat membimbangkan gejala ini menular dalam keluarga besar kami dan dalam masyarakat Islam.

%d bloggers like this: