Archive for Mac, 2011


SERONOK PELIHARA ARNAB

Satu demi satu ibu arnab beranak. Disatukan dengan pejantan hanya beberapa hari, kemudian dalam tempoh sebulan atau 28-29 hari, tunggu hasilnya. Arnab betina yang subur akan sibuk menggugurkan bulu badannya sebagai persediaan sebelum bersalin dalam tempoh terdekat. Itu juga menjadi petanda buat kami agar melakukan sedikit persediaan.

Sesudah melahirkan 10 ekor anak baru-baru ini, satu demi satu mati. Kini hanya tinggal 3 ekor yang membesar dengan cantik sekali. Matanya sudah mula terbuka, kakinya semakin kuat untuk berjalan dan sesekali berlari bermain sesama mereka tetapi kiut sekali melihat mereka mendapatkan ibunya untuk menyusu. Saya intai pada lewat petang atau tengah malam, kadang-kadang leka bermain atau terlentang tidur.

Seronok memelihara arnab yang kini sudah berjumlah 20 ekor. Saya bercadang membesarkan kandangnya lagi. Saya mesti memikirkan beberapa betina yang bakal menjadi ibu sedikit masa lagi.

Keluarga besar sebelah isteri berkumpul pada petang sabtu di rumah abang ipar @ along di Taman Kingfisher Likas menyambut ulangtahun ke-7, anak ketiga mereka Farihin. Potong kek, baca doa dan makan-makan bersama keluarga adalah nikmat dalam kehidupan berkeluarga.

Saya mencelah sebentar dalam kesibukan pagi ahad, singgah ke Kompleks Tabung Haji Kota Kinabalu untuk melihat mesyuarat Koperasi Muslimin cawangan Sabah. Saya dimaklumkan di seluruh negara terdapat 35 ribu ahli koperasi dan seramai 300 ahli dari Sabah. Koperasi ini mempunyai Anggota Lembaga Koperasi (ALK) yang diketuai oleh Ustaz Abdul Rahman Mohd Hassan dan Lajnah Syariah diketuai oleh Dato’ Syaikh Abdul Halim Abdul Kadir, YDP Persatuan Ulama Malaysia (PUM).

Di Sabah, sebagai orang luar (belum jadi ahli) saya melihat prestasi koperasi ini masih boleh dimantap dan diperkukuhkan lagi. Masih ramai umat Islam terutama guru-guru agama yang tidak mengetahui kewujudkannya. Barangkali Koperasi Muslimin Sabah perlu mengadakan pejabat atau projek tertentu yang boleh melonjakkan namanya di peringkat negeri. Untuk maklumat lanjut boleh melayari web berikut : http://www.koperasimuslimin.com.my/v7/index.php

Dipetik dari web :

Koperasi Muslimin Malaysia Berhad adalah merupakan salah satu organisasi kewangan yang mengajak umat Islam bermu’amalah berlandaskan syari’ah. Hasratnya adalah untuk menjadi institusi kewangan yang unggul melalui gerakan Koperasi dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada anggota-anggotanya.

Atas kesedaran betapa perlunya sebuah institusi kewangan Islam sebagai satu alternatif kepada sistem kewangan yang ada, maka pada 22 November 1980, atas daya usaha Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM), maka tertubuhlah Koperasi Muslimin Malaysia Berhad atau nama ringkasnya, Koperasi Muslimin.

Islam sentiasa menganjurkan umatnya supaya mengamalkan prinsip kerjasama dalam semua aktiviti dan kegiatan hidup yang harus, termasuk bidang perekonomian. Bertolak dari sinilah, Koperasi Muslimin akan berusaha dan berjuang untuk menegakkan sistem ekonomi yang berlandasakan Islam.

Maklumat & Tujuan Penubuhan

1 Menjalankan kegiatan perekonomian, pendidikan dan perkhidmatan kebajikan demi meningkatkan sosio ekonomi, moral dan rohani anggotanya.

2 Menyediakan kemudahan simpanan (al-wadiah) untuk anggota-anggota dan membuang amalan riba’.

3 Menyediakan skim kebajikan yang dapat memberi pembelaan kepada anggota-anggota dan sumbangan kepada kegiatan-kegiatan Islamiyah.

4 Menyediakan program pendidikan (tarbiyah) bagi meningkatkan kefahaman ahli dalam bidang muamalat Islam.

Maahad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat Negeri Sabah di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) membuka peluang kepada mereka yang berkelayakan  untuk memasuki Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah  bertaraf  diploma tahfiz al-Quran sesi 2011-2014. Berikut adalah syarat-syarat yang ditetapkan kepada pemohon :

Syarat-syarat Kemasukan Diploma

1. Warganegara Malaysia dan lahir di Sabah.

2. Berumur tidak melebihi 21 tahun.

3. Mempunyai SPM dengan syarat kepujian Bahasa Malaysia, Bahasa Arab, Pengetahuan Agama Islam Tinggi, dan lulus Bahasa Inggeris.

*Proses kemasukan Diploma akan melalui proses temuduga.

Borang boleh diperolehi melalui alamat berikut :

Pegawai Penyelaras,  Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Negeri Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Tingkat 9, Bahagian Pendidikan, Bangunan Wisma MUIS,  Beg Berkunci 103, 88737, Kota Kinabalu, Sabah.  Telefon: 088-222435/088-222436

atau;

Pengetua, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Negeri Sabah, Peti Surat 640, 88858 Tanjung Aru. Telefon: 088-317072. Fax: 088-317071

atau;

melayari web rasmi JHEAINS di sini

Tarikh tutup : 20 April 2011

Mat Zain bin Ibrahim,

SAC II G/5776(Retired),

Email:matzainibrahim@gmail.com

Kepada,

YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar,IGP,

Ketua Polis Negara,

Polis Di-Raja Malaysia,

Bukit Aman,

50560 Kuala Lumpur.

Email:iho@rmp.gov.com

28hb.March 2010

YDH Tan Sri,

PENYIASATAN KES VIDEO LUCAH DAN KESUDAHANNYA :- MAKLUMAT HUBUNGAN LAMPAU DIANTARA TIGA TAN SRI IAITU, GHANI PATAIL , MUSA HASSAN DAN RAHIM THAMBI CHIK.

Semoga Tan Sri tenang dan tabah menangani cabaran mendatang.

2. Saya percaya Tan Sri sedar video lucah mana yang saya maksudkan. Saya yakin sepenuhnya bahawa PDRM mampu menjalankan tanggung jawabnya menjalankan siasatan tersebut secara professional dan berkecuali dan tidak terpengaruh dengan tekanan mana-mana pihak sekalipun, lebih-lebih lagi dibawah pimpinan Tan Sri ketika ini.

2.1. Namun begitu kertas siasatan ini kelak akan diteliti dan diputuskan olih Gani Patail, Peguam Negara. Diperingkat inilah dijangka akan berlaku, putar belit, manipulasi, penipuan dan pemalsuan apabila sedar akan caramana Gani Patail dan Musa Hassan menangani penyiasatan kes-kes jenayah apabila melibatkan Anwar Ibrahim (Anwar) dan Rahim Thambi Chik (Rahim) dimasa lampau.

2.2. Tidak syak lagi isu video ini adalah satu lagi “pertembungan” diantara Anwar dan Rahim. Adalah dipercayai juga motif pendedahannya, tidak kira samada video tersebut adalah tulen atau direkacipta, adalah terbit daripada dendam lama Rahim terhadap Anwar atas isu peribadi atau politik diantara mereka berdua.

LAPORAN POLIS ANWAR YANG MEMBABITKAN RAHIM.

3. Diantara 9 July 1999 hingga 20 Ogos 1999,Anwar telah membuat sejumlah empat(4) laporan Polis, mendedahkan perbuatan rasuah pemimpin-pemimpin Politik dan Kerajaan.Dalam laporan-laporan berkenaan Anwar turut mendakwa dan menamakan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir,Peguam Negara Allahyarham Mohtar Abdullah dan Gani Patail,ketika itu DPP Kanan,sebagai orang-orang yang telah menyalahgunakan kuasa dan menutup kes-kes rasuah tersebut.

3.1. Pertembungan lampau antara Rahim dan Anwar adalah apabila salah satu diantara laporan tersebut iaitu Tun H.S.Lee report 22517/99 bertarikh 20.8.1999 yang dibuat olih Anwar melibatkan Rahim.Dalam laporan ini Anwar juga mendakwa Tun Mahathir, Allahyarham Mohtar dan Gani Patail sebagai telah menyalahgunakan kuasa mereka melindungi perbuatan rasuah Rahim serta menutup siasatan dan tidak mengenakan sebarang pendakwaan terhadap beliau.

3.2. Bersekali dengan report tersebut, Anwar telah menyertakan satu set salinan laporan siasatan Badan Pencegah Rasuah(BPR) terhadap Rahim yang disahkan oleh Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara dan ditanda tangani oleh Gani Patail yang mengkelaskan dokumen tersebut sebagai RAHSIA. Dokumen-dokumen ini dikatakan diberi kepada Anwar oleh Peguam Negara dan/atau Gani Patail ketika Anwar masih Timbalan Perdana Menteri.

4. Untuk makluman Tan Sri, secara kebetulan, saya yang menangani keempat-empat laporan yang Anwar buat itu termasuk laporan melibatkan Rahim atas sifat saya sebagai Ketua Jabatan Sisasatan Jenayah(KJSJ) Kuala Lumpur ketika itu. Saya perhatikan juga amaun rasuah melibatkan Rahim adalah antara yang paling sedikit jika dibandingkan dengan laporan-laporan lain. Jumlah terlibat lebih kurang RM40 juta(Empat puloh juta Ringgit sahaja) atau angka yang lebih tepat ialah RM 39,782,772.60 sen. Amaun ini dikatakan diperolehi olih Rahim menerusi salahguna kuasa dan kegiatan rasuah setakat yang dapat dikesan menerusi siasatan terperinci BPR dan disahkan olih Gani Patail.

4.1. Sebagai rekod Tan Sri, amaun terbesar yang disebutkan dalam salah satu laporan Anwar itu, melibatkan seorang pemimpin yang dikatakan telah memperolehi harta berjumlah dalam lingkungan RM 370 juta. (Tiga ratus tujoh puloh juta Ringgit) dalam bentuk RM 220 juta tunai dan RM150 juta dalam bentuk saham,menerusi jalan rasuah.

5. Wajar saya jelaskan disini bahawa terdapat perbezaan pendapat antara KJSJ Kuala Lumpur dengan Jabatan Peguam Negara mengenai cara pendekatan menangani laporan-laporan Anwar tersebut. Jabatan Peguam Negara menasihatkan supaya laporan-laporan tersebut diklasifikasikan di-bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 sahaja. Manakala KJSJ berpendapat klasifikasi ini tidak sepadan dengan laporan dan keterangan yang pengadu kemukakan serta mencadangkan kesemua laporan berkenaan diklasifikasikan dibawah Seksyen 2(1)Emergency (Essential Powers) Ordinance 2,1970 berkaitan kesalahan salahguna kuasa. Cadangan bertulis KJSJ terdapat dalam fail rujukkan (PR)35/26 bertarikh 25.8.1999. Siasatan dibawah Seksyen ini dijangka akan membabitkan rakaman keterangan daripada Tun Mahathir, Allahyarham Mohtar dan Gani Patail sendiri serta lain-lain kenamaan.

5.1. Bagaimanapun pada 28.8.1999 saya telah menerima satu surat daripada Jabatan Peguam Negara Rujukan PRM(WP)5/99 SULIT(5) yang dialamatkan kepada saya persendirian, memaklumkan secara spesifik bahawa laporan yang Anwar buat melibatkan Rahim, akan disiasat oleh Musa Hassan setelah kononya Gani Patail membuat laporan terhadap Anwar pula kerana kesalahan di-bawah Akta Rahsia Rasmi.

5.1.2. Apa yang berlaku ialah, Gani Patail dengan kemudahan yang diberi oleh Musa Hassan telah menterbalikkan kedudukkan laporan Anwar yang melibatkan Rahim untuk menyebabkan Anwar pula disiasat dibawah Akta Rahsia Rasmi. Lebih mudah untuk saya menyatakan laporan melibatkan Rahim itu telah di”hijacked” oleh Musa Hassan daripada tangan KJSJ Kuala Lumpur.

5.1.3. Saya tidak pernah melihat laporan Polis yang kononya dibuat oleh Gani Patail itu ataupun kertas siasatan yang kononnya dibuat oleh Musa Hassan.Belum pernah juga berlaku Jabatan Peguam Negara pula yang memilih Pagawai Penyiasat yang mereka berkenan menyiasat sesuatu laporan polis.

5.2. Bagi mengelakkan sebarang keraguan berkaitan peristiwa diatas, saya sertakan buat pertama kalinya salinan surat Jabatan Peguam Negara bertarikh 28.8.1999 yang saya maksudkan. Walaupun ringkas, surat ini dengan jelas menunjukkan posisi Gani Patail, Musa Hassan dan saya berkaitan siasatan laporan Anwar yang melibatkan Rahim.

5.3. Secara kebetulan saya telah melaporkan perkara ini ketika Tan Sri masih Timbalan Ketua Polis Negara lagi, menerusi surat saya bertarikh 6.5.2010 dengan salinannya kepada YB Menteri Dalam Negeri.

6. Perbandingan yang boleh dibuat disini ialah apabila menangani siasatan terhadap Anwar, Gani Patail dan Musa Hassan sanggup melakukan apa sahaja antaranya memaksa pakar Kerajaan membuat beberapa laporan palsu, mengujudkan keterangan DNA palsu,menipu dan melakukan tindakan-tindakan melampaui batasan undang-undang dan lojik untuk mensabitkan kesalahan terhadap Anwar.

6.1. Sebaliknya apabila menangani siasatan berkaitan Rahim pula, Gani Patail dan Musa Hassan, sanggup melakukan apa sahaja antaranya, menterbalikkan fakta dan memutarbelitkan keterangan untuk membersihkan Rahim daripada sebarang salah laku jenayah sambil meletakkan kesalahan terhadap pengadunya pula.

6.2. Walaupun Musa Hassan telah bersara namun Gani Patail masih berkuasa sebagai Peguam Negara.Apabila siasatan mengenai video lucah ini sampai ketangan Jabatan Peguam Negara kelak,kita boleh menjangka pendirian Gani Patail, lebih-lebih lagi apabila mengambil kira isu video lucah ini juga adalah pertembungan antara Rahim dan Anwar.

6.3. Sekadar makluman Tan Sri juga, Dr.Abdul Rahman Yusof, Pakar Forensic HKL, yang telah digunakan oleh Gani Patail untuk menyediakan 3 laporan palsu dalam siasatan kes Mata-Lebam, adalah juga Pakar Forensic yang sama terlibat dalam membuat pemeriksaan fisikal Rahim, dalam kes seksual dengan gadis bawah umor berkaitan. Kebetulan juga saya pernah menjadi KJSJ Melaka sebelum Kuala Lumpur dan tidak munasabah jika saya tidak meneliti kertas siasatan kes Rahim itu, walaupun saya bukan Pegawai Penyiasatnya. Mungkin ini semua adalah “the long arm of coincidences” sahaja.

7. Mengenai kes rasuah terhadap Rahim pula, BPR dan Jabatan Peguam Negara mengesahkan dalam laporan mereka bahawa terdapat keterangan yang mencukupi untuk membuktikan kes “prima facie” terhadap beliau. Malahan Jabatan Peguam Negara telah menyediakan empat (4) pertuduhan kesemuanya. Iaitu; 3 (tiga) pertuduhan dibawah Emergency (Essential Powers) Ordinance No:22 of 1970 dan satu pertuduhan kerana membuat Statutory Declaration (SD) palsu dibawah Sek.199 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan.

7.1. Bagaimanapun Rahim tidak dituduh langsung, setelah Peguam Negara “indemnify” segala kesalahan jenayahnya setelah Rahim dipercayai bersetuju untuk melepaskan jawatan dalam Kerajaan,Badan-Badan Berkanun dan Parti Politik. Ini adalah apa yang terdapat didalam laporan yang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara sendiri.

7.2. Tidak ada sebutan mengenai cara pelupusan harta berjumlah hampir RM40 juta yang Rahim perolehi secara rasuah itu..Tiada maklumat mengenai persetujuan yang dicapai oleh Rahim dan Peguam Negara berkaitan harta yang diperolehi sedemikian itu dalam bentuk:RM 5,439,796.40 sen dalam kawalan peribadi Rahim sendiri,RM14,487,420.50 sen simpanan tunai dalam beberapa buah bank dan RM19,855,555.70 sen harta Syarikat-Syarikat.

7.3. Persoalan yang tidak kurang pentingnya ialah adakah Peguam Negara mempunyai kuasa untuk “indemnify” kesalahan jenayah mana-mana orang berdasarkan pertimbangan Politik?. Adakah Peguam Negara berhak melepaskan wang Rakyat RM 40 juta sebegitu mudah untuk Rahim menikmatinya tanpa sebarang tindakan.Adakah ini sesuatu yang adil kepada Rakyat sedangkan Peguam Negara yang telah mengesahkan bahawa Rahim memperolehi harta sedemikian banyak menerusi salahguna kuasa dan rasuah. Apa yang jelas dalam kes Rahim ini, Peguam Negara juga telah menyalahgunakan kuasanya.

8. Saya ingin Tan Sri maklum,bahawa secara peribadi saya tidak mempunyai sebarang isu dengan Rahim.Malahan saya tidak pernah mengenali beliau, sekalipun untuk berjabat salam dengannya seumor hidup. Saya sendiri tidak sangka yang beliau akan muncul sebagai salah seorang dibelakang tayangan video lucah berkenaan. Keterangan-keterangan yang dikemukakan dalam laporan ini adalah berdasarkan pengalaman,pengetahuan peribadi serta dokumen-dokumen berkaitan, ketika saya menangani kes membabitkan beliau.

8.1. Isu yang sering saya bawa sehingga keperingkat YAB Perdana Menteri secara persendirian, ialah bekenaan dengan salahlaku jenayah Gani Patail dan Musa Hassan yang bukan sahaja telah menjejaskan maruah PDRM dan saya secara peribadi malahan mereka mengkucar-kacirkan Sistem Keadilan Jenayah kita. Saya tidak ralat mendedahkannya memandangkan saya telah menasihatkan mereka berdua tahun 1998 bahawa sebarang pemalsuan dan penganiayaan akan terbongkar suatu hari nanti. Salahlaku jenayah mereka bukan setakat dalam siasatan kes mata-lebam sahaja. Saya yakin Tan Sri dan Timbalan Ketua Polis Negara maklum akan pendirian saya berkaitan perkara ini.

9. Walaubagaimanapun isu video lucah ini sedang dalam siasatan dan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenainya. Diharap maklumat yang saya sampaikan ini berfaedah untuk membantu Tan Sri memberikan pendengaran yang adil kepada semua pihak terlibat. Apapun saya berharap Tan Sri tidak akan merelakan PDRM diperlakukan sesuka hati Peguam Negara seperti yang berlaku selama beberapa tahun sebelum Tan Sri.

Selamat sejahtera dan selamat maju jaya.

Yang ikhlas,

Mat Zain Ibrahim

28 March 2011

Barangkali saya terlambat untuk mendedahkan hal ini lewat blog. Kursus Haji untuk sesi 2011/1432 sudahpun bermula sejak 12 Mac 2011 dan sedang berlangsung setiap sabtu. Bagi di Kota Kinabalu, kursus berlangsung di Masjid Negeri Sabah antara jam 8 pagi hingga tengahari dengan bimbingan tenaga-tenaga pengajar yang dilantik oleh Tabung Haji sendiri. Di sini kursus akan berjalan selama 10 minggu dengan 5 jam setiap kali pertemuan.

Sesuatu yang tidak ramai mengetahui tentang kursus ini ialah ia terbuka kepada semua, sama ada mereka sudah mendaftar sebagai calon jamaah haji 1432 atau belum. Anggapan ramai bahawa kursus ini hanya disasarkan kepada bakal haji tahun berkenaan sahaja. Bagi saya eloklah setiap umat Islam mendalami ilmu berkenaan ibadah haji dan umrah ini, bukan semestinya menunggu nama masing-masing naik untuk ibadah fardhu haji.

Saya ada sedikit pengalaman dalam hal ini ketika menunaikan fardhu haji pada tahun 2002. Seorang jamaah haji dari Sabah yang kami temui di Kota Makkah bercerita yang dia langsung tidak pernah menyertai kursus haji hanya kerana beranggapan bahawa namanya tidak tersenarai sebagai bakal haji. Statusnya ketika itu hanya dalam senarai menunggu.

Menjadi kebiasaan pemerintah Arab Saudi memberikan kouta tambahan pada saat akhir kepada negara-negara tertentu dan Malaysia mendapat bahagiannya. Maka menjadi rezeki jamaah yang saya temui itu untuk menunaikan fardhu haji tahun berkenaan. Rombongan mereka ke Madinah terlebih dahulu sebelum meneruskan misi ke Makkah selepasnya. Saya bertemunya di Makkah.

Namun malangnya beliau memberitahu bahawa sesudah tiba di Makkah, barulah beliau mengetahui bahawa selama 8-9 hari lalu beliau berada di bumi Madinatur Rasul, tempat bersemadinya jasad Rasulullah SAW dan lokasi taman syurga sebagaimana yang disebutkan dalam hadith-hadith Rasulullah SAW. Alangkah jahilnya. Semoga Allah mengampunkan beliau dan kita semua di atas kelalaian ini.

Nota : Saya diminta memimpin solat hajat tempohari bersama bakal-bakal haji dalam kursus mereka. Memohon kepada Allah SWT agar dimudahkan segala urusan bermula proses pembelajaran kursus, kewangan, perjalanan pergi dan balik serta ibadah haji dan yang berkaitan dengannya. Sebak juga memimpin solat hajat, sedangkan saya tidak termasuk daripada kalangan mereka. Semoga suatu hari nanti saya berpeluang lagi ke sana.

Khatib : Ustaz Haji Naim Majin

Lokasi : Masjid at-Taqwa, SMKA Tun Ahmadshah Inanam.

Abu Abdullah Nu’man bin Basyir RA katanya : Aku telah dengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya yang halal itu nyata (jelas, terang) dan yang haram itu pun nyata (jelas, terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang musytabihat (samar-samar atau tidak jelas) yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka siapa memelihara (dirinya dari) daripada melakukan perkara-perkara yang samar-samar itu, maka sesungguhnya dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Dan sesiapa terjerumus melakukan perkara samar-samar itu, terjerumuslah dia ke dalam perkara yang haram seperti seorang pengembala yang mengembala di sekitar kawasan larangan, hampir-hampir dia terjatuh ke dalamnya (dalam kawasan larangan itu). Ketahuilah! Sesungguhnya kawasan larangan Allah itu ialah perkara yang diharamkan-Nya. Ketahuilah, sesungguhnya di dalam tubuh badan itu ada seketul daging, apabila ia baik, maka baiklah seluruh badan, apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh badan. Ketahuilah, (seketul daging) itu ialah al-qalbu (hati)”. (HR Bukhari dan Muslim)

Ada empat perkara penting berkenaan halal haram dalam Hadith ini, Imam Nawawi Rahimahumullah memberikan ulasan tentang maksud tiga perkara tersebut, iaitu:

1. Halal. Perkara yang halal dan nyata halalnya seperti makan roti, bercakap, berjalan dan lain-lain.

2. Haram. Perkara yang haram dan nyata haramnya seperti minum arak, zina dan sebagainya.

3. Syubhat. Perkara yang syubhat, iaitu sesuatu yang tidak jelas hukumnya sama ada halal atau haram.

4. Menjaga al-qalbu, yakni hati. Kerana hati yang baik, bersih akan baiklah seluruh badan. Jika hati rosak, rosaklah seluruh badan.

Perlu diingatkan, sesungguhnya perkara yang syubhat atau samar-samar itu tidak ramai yang tahu, kecuali para Ulama sahaja yang mengetahuinya kerana mereka akan merujuk kepada nas Al Quran, Sunnah Rasulullah SAW dan qiyas. Dan menolak perkara yang syubhat itu adalah tindakan yang terbaik dan satu perbuatan seorang yang warak dan taqwa serta sangat dikehendaki dalam Islam.

Pengajaran dari Hadith ini, ialah:

1. Umat Islam hendaklah mempastikan perkara yang halal sama ada pekerjaan, makan minum, bahan gunaan lain seperti kosmetik dan lain-lain itu sahaja digunakan dan diambil.

2. Umat Islam hendaklah mempastikan segala yang haram itu sama ada makanan, minuman, bahan gunaan kosmetik dan lain-lain, mesti tidak digunakan atau diambil.

3. Umat Islam jangan terjerumus dalam perkara syubhat yang tidak jelas hukum halal dan haramnya demi menyelamatkan agama dan kehormatan.

Sebagai usahawan, peniaga atau pengusaha restoran khususnya pengusaha/peniaga umat Islam hendaklah bersama-sama membantu pihak berkuasa agama dalam usaha kita menyedarkan umat Islam supaya benar-benar mengambil berat soal makanan/minuman halal. Halal mesti difahami. Halal bukan semata-mata terletak dalam bab menyembelih. Halal ada kaitan dengan bahan-bahan yang halal, haiwan halal, cara proses halal, kebersihan, peralatan, tempat yang bersih dan sebagainya.

Pihak berkuasa agama telah memperkenalkan persijilan halal dan logo halal untuk memudahkan umat Islam di negeri ini mengenal pasti premis atau restoran atau pelbagai jenis makanan/minuman yang berlogo halal itu sahaja dijamin kehalalannya. Pengusaha dan pemilik restoran atau kedai makan orang Islam di negeri ini hendaklah mengambil berat, bersikap professional dan berjiwa besar dalam memartabatkan persijilan halal dan logo halal di premis masing-masing sebagai satu pendekatan dakwah dalam perniagaan, mencari keberkatan dan lebih penting Syariat Islam dapat didaulatkan, manakala keuntungan perniagaan kita lebih meyakinkan pengguna dan perniagaan lebih berkat, insya Allah.

Perlu diingatkan, bahawa tanda-tanda atau simbol atau apa juga perkataan yang tidak diiktiraf seperti penggunaan perkataan ‘serve no pork’, ditanggung halal atau ada premis bukan milik orang Islam tetapi menggunakan pekerja wanita Islam yang bertudung sebagai cara untuk menarik pelanggan umat Islam. Semua ini bukan jaminan premis atau restoran itu menyediakan makanan/minuman halal.

HAJI AYUB @ SMKA TUN AHMADSHAH

Dari Wisma LHDN Sabah di Karamunsing sekitar jam 10.15 pagi, kami bergerak ke SMKA Tun Ahmadshah Inanam untuk program ceramah berikutnya di dewan sekolah berkenaan yang dijadualkan sekitar 10.30 pagi. Kami teruja juga apabila bertemu dengan pengetua sekolah Puan Affida Helmi yang berasal dari Kuching Sarawak. Khabarnya beliau akan berpindah ke Kuching sedikit masa lagi.

Di hadapan lebih empat ratus pelajar sekolah dan guru-guru yang memenuhi dewan ini, Tuan Haji Ayub bercerita tentang dirinya dan prinsip-prinsip  asas ajaran agama Kristian terutama Roman Katholik. Sebenarnya isi ceramah di sini agak berat tetapi dihuraikan secara santai dan menarik. Saya bersetuju dengan pendapat beliau bahawa para pelajar mesti mengetahui perkara asas ini agar memudahkan kerja-kerja dakwah terhadap rakan, jiran dan kenalan yang beragama kristian.

Antara perkara yang dihuraikan oleh beliau ialah dosa warisan,  jesus sebagai anak tuhan dan sekaligus tuhan, penyaliban jesus, konsep triniti, bentuk-bentuk puasa  kristian, holy water, bentuk sembahyang paderi dan bermacam-macam lagi. Menariknya, ceramah beliau di sini dihujani dengan puluhan soalan dan dijawab dengan baik sekali oleh tuan haji. Majlis ini berakhir pada jam 12.30 tengahari dan kami terus berjalan kaki ke masjid sekolah ini untuk menunaikan solat fardhu jumaat.

 

%d bloggers like this: