Sabtu. Pergerakan kami dari rumah bermula pada jam 11.15 pagi, lewat sedikit berbanding rancangan awal disebabkan tetamu istimewa daripada puteri-puteri Maahad Tahfiz yang berziarah ke rumah.

1. Lokasi pertama ialah rumah Ustaz Muhammad Sayuti Abdul Shukor, guru agama berasal dari Pendang Kedah yang kini bertugas di SK Lok Yuk, Likas dan tinggal di Taman Kinarut. Beliau yang berumur 37 tahun adalah lepasan al-Azhar, dan kini aktif dalam menyampaikan kuliah agama di sekitar Papar dan Kota Kinabalu. Alhamdulillah, tenaga agama seperti beliau sangat diharapkan khususnya dalam perkembangan dakwah.

2. Undangan berikutnya kami ke Madrasah Islamiyyah Masjid Negeri, lokasi rumah terbuka Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita Kota Kinabalu (SAHABAT). Kami tiba dihujung majlis kerana majlis bermula seawal 9 pagi. Alhamdulillah, menurut Presiden Abu Bakar Ongkosing, kira-kira 300 tetamu hadir termasuk dari JHEAINS, JAKIM dan sahabat-sahabat NGO’s Islam yang lain. Insya Allah, saya sentiasa memberi sokongan terhadap program yang baik yang dijalankan oleh mereka. Saya dipujuk oleh Kak Hajah Maria untuk merasa juadah roti jala yang sedap itu.

3. Hanya bersebelahan lokasi, kami berikutnya ke rumah terbuka Datuk Haji Asmali Bachi, imam Masjid Negeri Sabah di rumah quarters MUIS. Menariknya, deretan 10 unit rumah kakitangan MUIS di sini mengadakan rumah terbuka secara serentak. Mereka berpakat menyediakan juadah dan menjamu tetamu masing-masing di perkarangan rumah unit 8, 9 dan 10. Dahulu masa belajar di Maahad, kami pernah tinggal di rumah unit 7, yang kini dihuni oleh Tuan Imam Haji Isa Omar, juga imam Masjid Negeri Sabah. Baki rumah yang lain adalah pemandu JHEAINS dan MUIS yang juga tidak asing kepada kami.

4. Kami bergerak ke Dewan MAKSAK Likas menghadiri perkahwinan keluarga kepada kenalan isteri saya. Dewan ini memang selalu menjadi lokasi majlis-majlis perkahwinan dan seumpamanya. Di sini kami tidak lama, hanya sekadar mengucap tahniah, mengambil gambar pengantin yang kebetulan sedang memotong kek dan kemudiannya duduk barang 5 minit sebelum berangkat keluar. Terdengar pengacara mengumumkan acara berikutnya.. tari menari.

5. Lokasi paling jauh, Politeknik Sepanggar menziarahi rumah Ustaz Ahmad Fawwaz orang Kedah yang berkelana di bumi Sabah sejak beberapa tahun. Beliau pernah mengaji di bumi Jordan satu ketika dahulu. Di sini kehadiran tetamu masih ramai kerana undangan bermula pada awal petang. Kami berkongsi minat yang sama, iaitu fotografi. Jadi itulah antara topik bualan kami. Perjalanan dari Sembulan ke Likas lalu ke Sepanggar ini, sekitar 30 minit. Perut selesa sedikit untuk diisi dengan mi rebus yang menjadi hidangan utama mereka.

6. Kami berpatah balik ke arah pusat bandaraya, mengunjungi undangan Ustaz Zulhazmi Osman. Kami berada di senarai antara tetamu terakhir, kerana tiba sesudah masa jemputan berakhir. Melihat segala pinggan mangkuk dan gelas yang banyak, jelas tetamu yang datang memang ramai. Oleh kerana kami hanya sekeluarga, mudah bersembang dengan tuan rumah. Ustaz Zul mengadakan rumah terbuka di premis Siddqi Auto Taman Mesra. Beliau sekali lagi bercerita tentang hasrat untuk kembali dan berbakti ke Kedah hujung tahun ini. Nampaknya kami terpaksa bersedia dengan kehilangan seorang lagi jentera pendakwah yang gigih. Kami pulang, Cikgu Nordi pula tiba.

7. Di rumah Ustaz Azman Mustafa, Taman Senibina bersebelahan KK High School. Undangannya sepanjang waktu asar sehingga maghrib sahaja. Beliau bertugas di SK Pulau Gaya, sekolah yang pernah saya kunjungi untuk berceramah beberapa kali bersama para pelajar di sana. Ustaz Azman santai orangnya, tetapi boleh diharap untuk buat kerja-kerja dakwah dan seumpamanya. Di rumah beliau, tetamu berselera dengan menu istimewanya yang tiada di rumah orang lain, serawa durian.

8. Bergerak ke rumah pakcik, Haji Zakaria Mahali di Kampung Petagas. Semua tetamu sudah beransur kecuali keluarga terdekat. Khabarnya dua ekor kambing selesai dikerjakan tetamu mereka. Kami berehat lama di sini dan bersolat maghrib sambil sembang cerita-cerita keluarga dulu-dulu. Along dan keluarga kebetulan ada sama, bercerita tentang salsilah keturunan keluarga kami yang bersambung sehingga ke Hongkong. Alhamdulillah, nampaknya suasana sebegini amat sesuai mengeratkan hubungan kekeluargaan.

9. Selesai solat maghrib, kami bergerak pula ke Taman Pasir Putih berziarah rumah adik kepada kakak ipar sulung kami @ biras along, Abang Hassan Julai yang juga jamaah masjid Kg Pasir Putih. Kali ini, kami mendahului waktu undangan sebenar mereka iaitu selepas isyak. Tetamu sudah mulai datang dan kami bersilaturrahim sebentar dan hanya minum ringkas sebelum beredar.

10. Menuju ke rumah sahabat lama sejak sekolah menengah, Ustazah Pg Siti Umi Kalsum dan suaminya Zulfikar di Lok Kawi Height. Mereka pernah kami kunjungi beberapa kali, dan anak sulung kami Nuha sentiasa mengingati anak sulung Umi & Zul yang juga bernama Nuha. Umi sebelum ini mengajar di Sipitang kini sudah bertugas di SK Petagas beberapa bulan lalu. Nasi kambingnya membuatkan selera saya naik semula kerana tidak makan berat di tiga buah rumah sebelum ini.
11. Selesai menghantar anak isteri ke rumah, saya patah balik ke arah Likas bersama sahabat @ jiran Mahmud Yunus ke rumah Ustaz Haji Parmin Sahlan dan keluarga di Taman Kingfisher Likas. Beliau adalah guru al-Quran yang tidak perlu diperkenalkan lagi di bumi Sabah. Kemahiran tarannum al-Quran, barzanji dan marhaban tidak perlu dipersoalkan lagi kerana beliau adalah ahlinya. Anak-anak beliau juga berketerampilan dalam soal agama. Cerita kami lebih sejam (sehingga lupa bergambar), berkisar soal isu semasa dan persoalan dakwah serta masjid. Pulang ke rumah, tidak menyedari beg berisi kamera tertinggal di rumah beliau.