Archive for Januari, 2012


BUKAN ISRAEL SAJA YANG ZALIM

Pada 25 Oktober 1978, YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Ahli Parlimen Pengkalan Chepa pernah bertanya di dalam parlimen pada masa itu berkenaan dengan pegerakan Freemason yang dikaitkan dengan zionisme. Perdana Menteri, Allahyarham Tun Hussein Onn yang menjawab soalan itu turut diajukan soalan tambahan bahawa adakah kerajaan Malaysia berhasrat untuk mengharamkan pertubuhan Freemason, jawapan beliau pada masa itu ialah tidak. Hari ini, generasi muda yang lahir dalam era 80-an tentu sekali tidak mengingati isu ini yang diperdebatkan hangat pada masa itu jika tidak membelek lembaran sejarah.

Sikap PAS terhadap Israel sentiasa tidak berubah. Tuan Guru Nik Aziz tegas menyatakan sikap ini lewat kunjungan Duta Amerika Syarikat ke pejabatnya pada tahun lepas bahawa sepasang selipar pun tidak berhak untuk dirampas oleh mana-mana pihak dari tuannya yang sah. Apatah lagi untuk merampas tanah yang merupakan milik rakyat Palestin, lebih-lebih lagi merupakan jenayah yang sangat kejam.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mengiktiraf rampasan ini pada 1948 sedikitpun tidak berhak untuk membuat keputusan yang menganiayai rakyat Palestin sehingga ke hari ini. Saya yang turut serta dalam perjumpaan itu masih ingat soalan yang ditanya oleh Duta Amerika Syarikat sewaktu Tuan Guru menyatakan pandangan itu, “apakah tuan mengira bahawa bangsa Yahudi tidak berhak memiliki sebuah negara?”. Tuan Guru menjawab, sebagai manusia, mereka berhak untuk bernegara, tetapi persoalannya kenapa dipilih tanah Palestin yang sudah bertuan? Jika benar Amerika Syarikat mahu bersikap prihatin terhadap bangsa Yahudi, sedekahkan sahaja sebahagian tanah Amerika Syarikat untuk menjadi negara Yahudi!

Hari ini, wartawan bertanya sikap Tuan Guru Nik Aziz tentang kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan mengiktiraf hak Israel ke atas tanah Palestin. Jawapan Tuan Guru, kenyataan Anwar Ibrahim harus diperjelaskan oleh beliau sendiri. Memetik kata-kata Anwar dari media massa milik UMNO umpama bertanya tentang mutu kereta Honda kepada pengeluar Toyota. Sudah tentu diperhodohkan sehingga ke tahap maksimum. Bukankah beberapa minggu lepas, media massa inilah yang memutarbelitkan kenyataan Anwar yang didakwa menyokong homoseksual, sedangkan apa yang diperkatakan sebaliknya.

Bukan beliau sahaha yang menjadi mangsa media massa milik UMNO ini, bahkan Tuan Guru sendiri saban waktu sentiasa dicari celah munasabah untuk diputarbelitkan kenyataannya. Bahkan sepanjang 21 tahun Tuan Guru mentadbir Kelantan selaku Menteri Besar, berapa keratkah laporan positif yang keluar tentang Kelantan? Pagi, petang, siang dan malam, tidak henti-henti media massa ini menghentam kerajaan Kelantan yang ditadbir oleh PAS. Alhamdulillah, Allah SWT memberikan kekuatan yang berpanjangan kepada PAS untuk terus berdiri tegak di bumi Serambi Mekah ini.

Hari ini, UMNO bertindak seolah-olah merekalah juara rakyat Palestin. Barangkali mereka fikir rakyat telah lupa bagaimana APCO Wordwide, sebuah syarikat perunding antarabangsa yang mempunyai kaitan dengan Yahudi diberikan kontrak bernilai hampir RM77 juta khusus untuk meningkatkan imej kerajaan UMNO dan Barisan Nasional? Dengan duit apa kontrak ini dibayar jika tidak dengan duit rakyat?

Pandangan Anwar Ibrahim masih dalam ruang lingkup perbincangan apatah lagi ia dilaporkan oleh media massa lidah UMNO, namun tindakan UMNO menggunakan khidmat APCO ini sudah jelas mengkhianati wang rakyat. Dan janganlah lupa bahawa pada 16 Ogos 1999, Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pada masa itu pernah menghantar surat kepada Perdana Menteri Israel Ehud Barak di atas kemenangannya pada pilihanraya!

Hakikatnya, isu ini hanyalah modal sementara untuk menyerang kepimpinan Pakatan Rakyat. Padahal seharusnya mereka sedar, Israel dibenci bukan kerana namanya Israel, tetapi kerana kezalimannya merampas hak rakyat Palestin. Apakah bezanya dengan tindakan merampas hak royalti minyak milik sah rakyat Kelantan tanpa satu sen pun dibayar kepada anak bumi Kelantan? Sebenarnya, bukan Israel sahaja yang zalim.

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 31 Januari 2012 bersamaan 8 Rabiul Awwal 1433 H

 

Bersama Syeikh Abdul Karim Umar al-Fatani al-Makki, Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Akademi al-Quran Musim Ke-3.

KISAH USTAZ ISMAIL KAMUS

Tajuk asal : Ismail berceramah sendirian di padang.

Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin 
Gambar Wan Naqiuddin Wan Yaacob

Sekitar awal tahun 1990-an, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM1) antara program yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam. Antara sebabnya, kepetahan dan kebernasan hujah yang disandarkan nas al-Quran dan hadis serta diselang seli lawak jenaka oleh salah seorang panelnya iaitu Datuk Ismail Kamus.

Gandingan serasi dan mantap beliau ketika itu adalah bekas pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Haron Din dan moderatornya, Datuk Dr. Hasan Ali. Nama Ismail memang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada umat Islam yang meminati pengajian agama. Kemasyhuran namanya bukan sahaja di Malaysia tetapi di rantau Asia Tenggara terutamanya Indonesia, Singapura dan Brunei.

“Saya memang suka bersyarah. Semasa belajar di Kolej Islam Kelang (KIK), bila masa cuti di kampung, saya bersyarah seorang-seorang di padang. Bila ada orang lalu, saya senyap. Memang masa itu tengah gila-gila, suka bersyarah,” katanya dalam pertemuan dengan Mega, di pejabatnya di Gombak, Selangor baru-baru ini. Mengimbas kenangan itu, Ismail berkata, penglibatannya dalam syarahan atau menyampaikan ceramah agama bermula seawal usianya 18 tahun. Ketika itu, beliau menuntut di KIK dan berjinak-jinak dengan bidang tersebut dengan mengajar dari rumah ke rumah di kawasan sekitar kolej.

“Saya mula mengajar kitab fikah dan juga dijemput memberi syarahan tentang Israk Mikraj. Selepas tamat pengajian di UKM, saya terlibat secara langsung sebagai penceramah di kampung. Kemudian kuliah banyak diadakan di pejabat-pejabat, surau dan masjid serta institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya yang kini berusia 64 tahun. Pendek kata, kalau dihitung jumlah anak murid beliau di seluruh negara sejak beliau mula mengajar 46 tahun lalu angkanya mencecah ratusan ribu orang.

Bakat berceramah Ismail diasah sejak usia remaja. Malah, beliau pernah muncul johan dalam pertandingan syarahan agama di KIK. Beliau juga pernah muncul johan tilawah al-Quran di kampungnya semasa berumur 10 tahun. Kini, walaupun pergerakannya tidak secergas dulu kerana masalah kesihatan, Ismail terus menerima undangan berceramah di seluruh pelosok negara dan juga di negara jiran.

“Cuma sekarang, saya kurangkan menerima undangan berceramah. Hanya yang dekat-dekat saya pergi sebab saya kini menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu. Program kuliah bulanan yang agak jauh cuma di Johor dan Singapura. Itupun sebulan sekali,” jelas beliau. Ditanya petua mengelak pendengar atau jemaah mengantuk, Ismail berkata, para penceramah perlu rajin dan banyak membaca supaya ada modal untuk bersyarah. Katanya, beliau mengamalkan pesanan Imam Ghazali iaitu jangan membosankan khalayak yang mendengar ceramah atau majlis ilmu.

“Jangan baca buku agama sahaja. Tetapi baca buku yang meliputi semua bidang termasuk buku cerita supaya huraian kita mantap,” katanya. Ismail menambah, penceramah juga mesti mematuhi peraturan iaitu isi diikuti nas al-Quran, hadis dan perkataan para sahabat. Kemudian katanya, boleh dikaitkan dengan cerita yang mempunyai pengajaran dalam masyarakat supaya mudah difahami.

“Kita juga boleh bagi perumpamaan dan sulam dengan jenaka yang tidak menyeleweng daripada al-Quran,” kata bapa kepada empat cahaya mata itu. Menurut Ismail, golongan ulama mesti menasihati umara (pemimpin) dan tegas apabila bercakap tentang perkara hak. Ia sebagai mana sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Pemimpin dan ulama apabila kedua-duanya elok maka eloklah rakyatnya, tetapi apabila ulamanya rosak maka rosaklah kedua-duanya.”

“Ulama mesti bercakap benar. Jangan bimbang jawatan kita tergugat. Kita perlu mencontohi ulama silam termasuk Imam Ahmad bin Hanbal. Walaupun beliau diseksa dan dirotan dalam penjara, tetapi tetap mempertahankan al-Quran itu qadim, bukannya makhluk. Demikian juga Imam Syafie walaupun dirantai tetapi beliau tetap mempertahankan hujah yang benar,” tegas beliau. Pada zaman remajanya, Ismail aktif dalam sukan bolasepak sebagai pemain pertahanan dan juga bermain sepak raga.

“Saya juga suka memancing dan mencari ikan di sungai berdekatan rumah selain menolong ayah bertani menanam jagung. Tetapi semua itu terhenti apabila saya masuk KIK di mana tumpuan hanya kepada belajar dan menelaah,” katanya. Semasa di KIK, Ismail memberitahu, beliau sering dipanggil dengan nama Kamus kerana ramai yang beranggapan namanya adalah Ismail Kamus.

“Mereka tak tahu yang nama saya Ismail bin Kamus. Namun, itu juga yang menjadi faktor mengapa kejayaan saya menguasai bahasa Arab. Sebabnya, apabila ada perkataan yang tidak diketahui saya, guru-guru akan suruh rakan-rakan tanya pada “Kamus”,” jelasnya yang dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor tahun 2011.

Nyaris jadi budak pejabat

Anak pasangan Kamus Ahmad dan Siah Leman itu sebenarnya pernah berhenti sekolah semasa usia remajanya apabila sekolah agama tempat beliau belajar ditutup kerana ketiadaan pelajar.

“Masa itu umur saya dalam 13 tahun. Saya seronok saja. Maklumlah fikiran ketika itu suka main. Selepas berhenti sekolah, saya minta kerja sebagai budak pejabat tetapi tak dapat sebab tidak cukup umur. Nasib baik tak dapat. Kalau tidak, tak jadi ustaz lah saya,” katanya sambil ketawa. Ismail berkata, beliau adalah anak keempat daripada 10 adik-beradik dan yang paling disayangi oleh bapa.

“Ke mana saja ayah pergi, dia mesti bawa saya. Baik ke kebun, ambil gaji, mengaji dan sebagainya,” kata beliau. Alhamdulillah, ibu bapanya sempat melihat Ismail menjadi ulama yang disegani di tanah air sebelum meninggal dunia. Kata Ismail, bapa dan ibunya bukanlah terdiri daripada golongan ulama tetapi mereka kuat beramal.

“Berkat doa merekalah, saya menjadi ustaz hari ini,” tambahnya. Ismail berkata, bapanya meninggal dunia semasa beliau membawa rombongan haji melalui syarikatnya ketika itu pada tahun 1992.

“Arwah macam tahu dia nak meninggal. Sehari sebelum itu, dia menebang pokok dan menggali kubur serta berpesan kepada cucunya, kalau dia meninggal tanamlah di situ dekat pokok jambu. Esoknya, dia pun meninggal dunia semasa tidur. Arwah emak pula meninggal kira-kira 10 tahun selepas itu,” kata beliau.

Bercakap mengenai pengalamannya ke ceruk rantau untuk berceramah, Ismail tersenyum lebar sambil mengenangkan, pengalamannya yang penuh warna-warni. Ada suka dan ada duka. Yang pasti, beliau sekeluarga puas menjelajah seluruh negara.

“Pengalaman di Terengganu, semasa minum di lapangan terbang, kawan yang ajak minum tu hanya bayar untuk dia sahaja. Saya juga pernah berceramah di tempat yang jauh tetapi tidak disajikan makanan dan kereta rosak dalam perjalanan balik pada waktu tengah malam. Ada juga yang bagi RM50 saguhati. Sedangkan saya datang bertiga di Pulau Pinang. Ada juga yang bagi keropok selepas ceramah di Terengganu. Masa itu saya baru mula bekerja dan bukan ada duit sangat. Tetapi apabila kita bersabar, Allah bagi rezeki kemudiannya,” jelas beliau. Ismail juga pernah ‘menggemparkan’ tanah air apabila beberapa kali dikatakan ‘meninggal dunia’.

“Kali pertama, semasa saya bercuti di Port Dickson. Sedang gunting rambut, radio pun telefon minta saya beritahu saya masih hidup. Kali kedua, pada tahun 2000 ketika saya di Mekah. Kali ketiga tahun 2010 semasa saya sedang menunaikan umrah. Alhamdulillah, saya masih hidup lagi,” katanya ketawa.

Mengenai politik, Ismail tidak mahu lagi terlibat secara serius atau menjadi calon parti pada pilihan raya akan datang.

“Saya tak mahu bertanding lagi. Sepenggal dulu cukup la. Lagi pun, kesihatan saya tidak mengizinkan dan saya lebih suka memberi khidmat mengubat orang sakit di Pusat Perubatan Islam Darussalam Malaysia,” katanya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia. (Sumber : Utusan Malaysia)

FACEBOOK MASJID

Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi semakin melebar di dunia maya. Teknologi ini meski didahului oleh orang bukan Islam sekalipun, orang beriman tetap layak bahkan lebih utama memanfaatkannya apatah lagi untuk mempelbagai dan melebarkan jaringan dakwah. Kebijaksanaan mesti dicapai oleh orang beriman agar dakwah tersebar kepada sasarannya.

Masjid bukan saja untuk orang tua. Bukan saja untuk orang pencen. Bukan saja untuk orang yang sudah pergi haji. Bukan hanya untuk solat jumaat. Bukan hanya untuk ceramah sempena tahun baru hijrah atau maulid nabi SAW. Bukan hanya sebulan ramadhan. Sebagaimana masjid yang dibina oleh Rasulullah SAW dan para sahabat, masjid adalah pusat aktiviti masyarakat, pusat pemerintahan, kebudayaan, muamalah, dakwah Islamiah, aktiviti kebajikan dan pendidikan umat Islam. Pokoknya masjid berfungsi hampir dalam seluruh bidang dan masa.

Saya ada berbincang dengan orang kuat beberapa buah masjid dan surau akan peranan yang sepatutnya dimainkan oleh jamaah mereka. Antaranya ialah mengukuhkan struktur dan gerakerja JK masjid. Mereka bukan hanya berfungsi apabila ada acara rasmi atau mesyuarat sahaja, atau memang rajin solat berjamaah tetapi tidak tahu berorganisasi. Maka JK masjid yang dinamik dan berkaliber, akan dapat merancang dan melaksanakan aktiviti dengan baik dan cemerlang.

Selain JK masjid, imam masjid – seperti imam qaryah atau imam rawatib mestilah juga berfungsi tidak sekadar mengetuai dan memimpin solat atau tahlil dan seumpamanya. Imam berperanan bukan sahaja di dalam masjid bahkan di dalam masyarakatnya, bahkan sepatutnya menjadi rujukan masyarakat meminta nasihat dan panduan seperti dahulu di mana imam adalah segala-galanya masyarakat menumpahkan kepercayaan kepadanya. Justeru para imam wajar meningkatkan pengetahuan mereka sepanjang masa.

Di sesetengah tempat kita, masjid dan surau bukanlah pilihan sebahagian golongan masyarakat. Bukan salah masjid, tetapi mungkin di sana serba sedikit kesilapan pengurusan, pentadbiran atau orang-orang tertentu. Usaha-usaha memasyarakatkan masjid dan memasjidkan masyarakat perlu digiatkan. Sementara usaha-usaha untuk memonopoli masjid dengan niat yang salah patut dihentikan.

Perlu difikirkan bagaimana atau apa program yang sesuai agar kanak-kanak cinta masjid? Apa pengisian yang sesuai agar golongan remaja dan belia agar sayang masjid? Apa aktiviti yang sesuai kepada golongan kaum ibu agar mereka sukakan masjid? Masjid tidak boleh dilihat sebagai untuk golongan lelaki berumur pencen atau hampir-hampir pencen saja. Masjid untuk semua.

Bukan semua minat dengan aktiviti ceramah dan kuliah. Jadi pendekatan lain mesti digunakan untuk mendekatkan mereka dengan masjid dan akhirnya mereka terpaut dengan aktiviti keagamaan itu. Untuk memasarkan aktiviti masjid, bukan setakat bergantung dengan pengumuman sebelum azan jumaat, atau iklan ditampal di papan kenyataan masjid sahaja. Iklan dipasarkan melalui saluran-saluran baru yang lebih diminati oleh remaja dan orang muda sekarang. Paling menjadi tumpuan ialah facebook.

Justeru, masjid-masjid dan surau-surau wajar mewujudkan akaun facebook masjid masing-masing melalui jamaah-jamaah yang aktif dalam bidang ICT juga. Beberapa masjid dan surau ketika kuliah saya berlangsung telah saya cadangkan perkara ini. Di sekitar Kota Kinabalu, antara masjid yang sudah menyediakan akaun facebook (menurut nama rasmi di fb berkenaan) ialah

1) Masjid Negeri Sabah;

2) Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah;

3) Masjid Bandaraya Kota Kinabalu;

4) Syukbah Wanita Masjid Bandaraya;

5) Masjid Sembulan Kota Kinabalu;

6) Masjid Al-Kauthar, Tanjung Aru, KK;

7) Masjid Al-Falah Kg Tebobon;

8) Masjid Tun Ahmadshah, Inanam Laut;

9) Masjid Al-Hilal (Mosque);

10) Masjid KG Taun Gusi;

11) Masjid Al-Mahabbah;

12) Masjid Assalam, Kampung Contoh;

13) Wakaf Masjid Penampang, Sabah;

14) Masjid Daerah Papar;

15) Surau Riyadhusolihin Taman Austral;

Yang berminat untuk sertai facebook masjid atau surau berkenaan, boleh tulis nama-nama masjid atau surau berkenaan di kotak carian facebook masing-masing. Kemudian berbincanglah dengan menjaga adab dan akhlak Islam.

Sumber : http://jomfaham.blogspot.com/2009/09/apakah-hukum-suatu-perkara-yang-tidak.html

Soalan :

Apakah hukum suatu perkara yang tidak terdapat nas bagi menunjukkan haram atau halalnya perkara tersebut?

Jawapan :

Hukum tersebut adalah harus dan tidak bid’ah, kerana ALlah subahanahu wa ta’ala telah berfirman :

وَمَآ ءَاتَٮٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَہَٮٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ

Ertinya : Apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya). (Surah al-Hasyr : Ayat 7)

ALlah Subahanahu wa ta’ala tidak berfirman, “Apa yang ditinggalkan, maka hendaklah kamu tinggalkan”. Sebaliknya RasuluLLah sallaLLahu ‘alaihi wasallam menjelaskan melalui riwayat daripada Abu Darda’ radiyaLlahu ‘anhu yang bererti :

“Apa yang dihalalkan oleh Allah di dalam KitabNya, maka ia adalah halal. Apa yang diharamkan oleh ALlah, maka ia adalah haram. Apa yang disenyapkan (didiamkan) darinya (yang tidak disebut hukumnya), maka ia adalah dimaafkan (diharuskan). Terimalah daripada ALlah akan kemaafanNya (keharusanNya) kerana sesungguhnya ALlah tidak pernah melupai sesuatu. Kemudian Baginda sallaLLahu ‘alaihi wasallam membaca (firman ALlah yang bermaksud:) Dan tidaklah Tuhan kamu itu lupa” (Diriwayatkan oleh al Bazzar dan disohihkan oleh al Hakim).

Menurut jumhur ulama’ “halal” itu adalah hukum asal sedangkan yang “haram” adalah sesuatu yang memiliki nas kerana sedikitnya, oleh kerana itu, ia harus diteliti dengan saksama.  Di sebut dalam Matan al Arba’in li Imam an Nawawi : Hadith RasuluLlah yang bererti :

“Sesungguhnya ALlah subahanahu wa ta’ala telah menetapkan kepadamu beberapa kefardhuan maka janganlah kamu melalaikannya dan menetapkan untukmu beberapa batasan maka janganlah kamu melampauinya dan mengharamkan atas kamu beberapa perkara, maka janganlah kamu melanggarnya dan juga telah mendiamkan beberapa perkara sebagai rahmat untukmu, bukan kerana lupa. Maka janganlah kamu membicarakannya.”

Al Hafiz Ibnu Hajar berkata dalam al Fath : Riwayat ini dikeluarkan oleh Daraquthi dari hadith Abi Tsa’labah dan dia memarfu’kannya kemudian dia berkata : Riwayat ini asalnya ada dalam al Bukhari.

Sumber rujukan :

1. Quran Explorer

2. Al Allamah Abu AbduLLah ‘Alawi al Yamani, Intabih diinuka Fi Khatrin, Agamamu Dalam Bahaya, Terjemahan Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki, Cetakan Kedua, Sofa Production, Selangor.

3. Dr Muhammad Adil Azizah Al Kayali, Al Firqah An Najiah Hia al Ummatul Islamiyah Kulluha, Terjemahan Abu Al Fayadi, Cetakan Pertama 2008, Mutiara Ilmu, Surabaya.

 

 

Disedut dari : http://www.facebook.com/syahiruldotcom

Diriwayatkan sebuah kisah dalam kitab Di Balik Tabir Kematian oleh Imam Al-Ghazali:

Di sebuah negara terdapat seorang raja yang sangat sombong. Suatu hari dia ingin melawat suatu kawasan di bawah kerajaannya lalu meminta pembantunya membawa pakaian untuk dipakainya. Satu demi satu pakaian dipakainya, apabila dia rasa pakaian itu tak sesuai, maka dicampaknya pakaian itu ke lantai dan diminta pula pakaian yang baru. Begitulah kesombongan raja tersebut.

Setelah mengenakan pakaian yang memuaskan hatinya, lalu dia pun menuju ke tempat penyimpanan kenderaan, lalu sekali lagi dia menilik-nilik kuda mana satukah yang akan menjadi tunggangannya pada hari itu. Dengan penuh kesombongan dia memilih kenderaan berkuda yang dia rasakan memuaskan hatinya. Lalu bertolaklah raja keluar dari istananya yang megah dan memakai pakaian kemegahan dan kenderaan yang megah.

Raja itu menunggag kenderaan berkudanya dengan penuh bongkak dan bangga serta tidak memperdulikan orang lain, hinggalah satu ketika seorang tua yang buruk pakaiannya menahan raja di tengah jalan. Orang tua itu meminta supaya raja tersebut turun kerana dia ingin bercakap dengan raja itu. Raja itu enggan malah mahu meneruskan perjalanannya. Lalu orang tua tersebut memegang tali yang mengikat kuda tersebut dengan kuat, maka berhentilah kuda milik raja yang sombong itu.

Raja dengan marah bertanya: “Kamu mahu apa dari aku?” Orang tua itu berkata: “Aku ingin berbisik perkara rahsia denganmu, oleh itu dekatkan telingamu kepadaku.” Raja yang tak boleh berbuat apa-apa itu turun dari kenderaan berkudanya dan pergi menemui orang tua itu lalu didengarnya bisikan halus dari orang tua itu. “Aku adalah Malaikat Maut!” kata orang tua itu. Maka dengan serta-merta raut wajah sombong dan bongkak raja itu bertukar menjadi pucat lesi.

Dengan serta-merta juga terpacullah dari mulut raja tersebut: “Berikan aku masa pulang ke istana untuk mengucapkan selamat tinggal kepada keluargaku dan berikanlah aku masa menguruskan hartaku sebentar.” Lalu berkatalah Malaikat Maut: “Kamu sudah tidak ada masa lagi.” Maka direntapnya roh raja yang sombong itu sehingga jasad raja tersebut jatuh bagai kayu api yang tiada nilai. Wallahua’lam..

SEDEKAH YANG MENGALIR

Beberapa minggu sudah saya ada mempromosi kempen wakaf buku ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ tulisan Ybhg Ustaz Dato’ Haji Ismail Kamus terbitan Telaga Biru. Kempen wakaf saya lancarkan kepada teman-teman facebook saya untuk kegunaan siswa siswi Maahad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat Negeri Sabah. Saya memanfaatkan buku ini dalam siri kuliah maghrib jumaat malam sabtu. Malam ini sudah kali keempat, alhamdulillah.

Apabila dilancarkan tempohari, kurang 48 jam saya sudah menerima sejumlah wang untuk 37 buah buku berkenaan. Terlebih sedikit berbanding jumlah siswa siswi hafiz dan hafizah yang sedang belajar ketika ini. Saya menutup sementara kempen wakaf buku ini sehingga pelajar sesi baru nanti pada bulan April 2012 Insya Allah. Sebelum ini saya sudah mengambil sebahagian buku di Pustaka Aslam dengan harga yang istimewa dan bakinya saya ambil petang tadi kerana stok buku baru sampai dari Kuala Lumpur.

Beberapa ketika selepas kempen wakaf saya tutup, ada seseorang menghubungi bertanya peluang hendak berwakaf buku lagi. Saya katakan buat masa ini sudah memadai, tetapi kalau beliau berhajat juga, saya hendak meminta yang lain sebagai ganti bahan waqaf. Setelah beliau bersetuju, saya nyatakan kami memerlukan rehal meja untuk warga maahad membaca al-Quran, meletak buku rujukan ketika kuliah maghrib dan sebagainya.

Pendeknya, beliau bersetuju dan berjanji untuk mengusahakan sesuatu. Saya hanya bayangkan kalau beliau dapat menyumbang 4-5 buah rehal sebagai ganti nilai buku Indahnya Hidup Bersyariat. Beberapa hari kemudian, beliau memaklumkan sudah berkempen kepada kawan-kawannya dan dapat mengumpulkan sejumlah wang yang dapat membeli hampir 40 buah rehal meja. Alhamdulillah. Kini sebahagian wang yang dibank-in sudah dibelikan dengan rehal berkenaan dan sebahagian lagi masih menanti stok kedai berkenaan yang sudah kehabisan.

Bagi pihak semua siswa siswi hafiz hafizah di Maahad ini saya mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua penyumbang. Insya Allah selama buku ini dimanfaatkan sama ada untuk dipelajari dan diamalkan atau diguna sebagai rujukan dan bahan mengajar, ada pahala yang mengalir ke dalam akaun mereka. Mudah-mudahan Allah membalas dengan harta yang mereka sumbangkan dan seterusnya memberkati harta yang masih berbaki bersama mereka.

Oh ya, satu lagi. Kuliah saya berlangsung setiap jumaat malam sabtu selepas solat maghrib di Surau Maahad Tahfiz, Kepayan. Sahabat-sahabat dari luar, turut serta dijemput hadir.

Khatib : Khairul Anwar Bin Abd Razak

Lokasi : Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah

Ibn Kathir di dalam kitabnya Tafsir Ibn Kathir menyatakan bahawa: perkataan toyyiba itu membawa maksud baik, bermanfaat dan elok dari segi tabiat dan syarak . Thoyyiba merangkumi dua perkara iaitu soal fizikal dan kerohanian. Ia mestilah selari dengan syariat, tidak bercanggah dan disertai dengan keikhlasan kepada Allah SWT. Makanan yang halal di sisi syara’ adalah makanan yang bersih zatnya, suci kaedah perolehannya serta bebas dari sebarang kemudharatan, sebaliknya sesuatu makanan yang haram sekalipun lazat rasanya, harum baunya tetap keji di sisi Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, makanlah barang yang bersih daripada apa yang kami kurniakan kepada kamu (Hadith Riwayat Muslim).

Oleh yang demikian sebagai seorang Islam samada pengusaha makanan halal dan individu hendaklah mengambil kira setiap perkara samada dari segi modal perniagaan, pelaburan, hasil pendapatan dan hendaklah dijauhi dari unsur-unsur yang haram seperti judi, riba, rasuah dan sebagainya.

Ajaran Islam amat menitikberatkan persoalan makanan yang halal dan bersih kepada umatnya. sesuatu makanan yang haram dimasukkan ke dalam tubuh seseorang akan membawa kepada kesan yang mendalam kepada tingkah laku, budi pekerti, kejernihan hati nurani dan penerimaan doa yang dipanjatkan kehadrat Allah SWT. Panduan pemakanan di dalam Islam adalah berlandaskan konsep “memberi kemudahan, menjaga nyawa, menjamin kesihatan tubuh badan dan akal”. Kerana itu setiap makanan yang memberi manfaat kepada tubuh badan dan akal fikiran adalah dibenarkan oleh syarak, manakala yang haram dan memudharatkan fikiran serta badan diharamkan dan ditegah.

Seorang ulama terkenal Abdullah Sahl al-Tusturi berkata: “Sesiapa yang makan makanan haram, maka akan bermaksiatlah anggota tubuhnya sama ada atas kehendaknya atau tidak, sama ada dia tahu atau tidak dan sesiapa yang makan makanan yang halal, maka seluruh anggota tubuhnya akan tunduk taat dan mudah melaksanakan kebajikan. Berdasarkan kepada pandangan ini menunjukkan bahawa pemakanan halal mempunyai kedudukan yang penting dalam kehidupan di dunia ini dan berkait rapat dengan balasan hari akhirat.

Dalam perkembangan semasa juga ada dari kalangan peniaga yang tidak bertanggungjawab dengan memperdayakan pengguna seperti permalsuan logo halal, menggunakan logo halal pada produk yang haram. Walaupun matlamat perniagaan untuk mencari rezeki dan mendapat keuntungan namun soal keberkatan dan keikhlasan tidak boleh diketepikan atau dipandang remeh. Justeru mereka yang melakukan penipuan ini sebenarnya telah mengkhanati masyarakat Islam dan telah melakukan amalan syaitan yang menyesatkan.

Berdasarkan kepada keperluan ini dan keperihatinan pemerintah maka dikuatkuasakan Akta Perihal Dagangan 2011. Melalui akta ini terdapat dua perintah yang menerangkan aspek halal iaitu Perintah Perihal Dagangan (Takrifan Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan Perakuan dan Penandaan Halal 2011 yang berkuatkuasa mulai 1 Januari 2012.

Perlaksanaan Akta Perihal Dagangan 2011 ini adalah untuk membantu kelancaran perlaksanaan persijilan halal di negara kita, justeru kepada semua pihak yang terlibat hendaklah mengikuti segala prosedur, standard dan segala aspek yang ditetapkan dalam persijilan halal. Kewujudan akta ini antara lain ialah bagi memastikan jaminan tanda halal hanya dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berautoriti, bagi memastikan integriti halal terjamin sepanjang masa.

Walaubagaimanapun perlu diingatkan dalam keghairahan kita membicarakan tentang halal samada dari segi akta, sistem kualiti dan pengurusannya, janganlah kita lupa bahawa rujukan sebenar halal dan persijilan halal hendaklah berdasarkan kepada syariah Islam sebagai ukuran yang mutlak.

SEBELUM TUAN GURU PULANG

Sebenarnya selain menghadiri acara-acara rasmi seperti kuliah, ceramah dan seumpamanya bersama tokoh agama tertentu, peluang bersama mereka di luar sesi berkenaan sudah tentu memberi kenangan manis kepada mereka yang mengalaminya. Bahkan ia juga kesukaan bagi mereka yang dapat bertemu dengan mana-mana selebriti atau tokoh siasah tertentu secara khusus dan lebih peribadi.

Menjadi penyambut di lapangan terbang, menjadi pemandu sepanjang program, pelayan ketika makan minum, tolong menuntun ketika turun dan naik tangga, membawakan beg atau barang kepunyaan tokoh berkenaan, menjadi kenangan yang akan diingati sampai bila-bila. Itulah sikap manusia. Apatah lagi bagi orang mutadayyin akan berasa untung dapat berkhidmat kepada alim ulama’ walaupun hanya sebentar atau sedikit.

Saya rakamkan beberapa foto kenangan bersama Ybhg Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din dan keluarganya sepanjang sehari semalam di Kota Kinabalu di luar sesi kuliah Darussyifa’, terutama di Masjid Negeri Sabah dan Terminal 1, LTAKK. Sahabat saya Ustaz Haji Sahrum Samlan dan Murtadha Mansar turut membawakan bayi kecil mereka di LTAKK untuk diminta tahnikkan kepada tuan guru.