Atas izin Allah SWT dan ikhtiar pelbagai pihak, Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) al-Aqsa Taman Limauan mula beroperasi pada awal 2008. Manis usaha mereka di sana kerana penduduk taman bekerjasama menjayakan PASTI berkenaan disamping pengurusan PASTI sendiri.
Meski tidak terlibat secara langsung di sana, saya mendengar kesungguhan mereka. Di kalangan ibu bapa, mereka membuat jawatankuasa bagi membantu kelicinan perjalanan PASTI.
Guru pertama PASTI al-Aqsa ialah Cikgu Noraizah Abdul Hamid, 29 tahun. Sebenarnya, antara orang yang bersungguh melaksanakan PASTI di sana ialah suaminya Ust Yusrizal Yusri, yang ketika itu bertugas di SMKA Tun Mustapa.
Teringat jasa mereka, rumah teres mereka dibahagi dua. Tingkat bawah dijadikan PASTI sementara mereka di atas. Isterinya pula menjadi guru selama setahun di situ sebelum mereka berpindah ke Bangi kerana Ust Yusrizal menyambung pengajian di UKM.
Rupanya dalam khidmat mereka di Sabah, ada sesuatu yang tidak diketahui. Cikgu Noraizah ketika itu sudah menunjukkan tanda kanser payu dara.
Maklumat terkini menurut Ust Yusrizal, kesihatan isterinya semakin merosot. Berjalan perlukan pimpinan, tangan dan kaki agak lemah seperti kena stroke dan makan kanan juga turut bermasalah. Kanser khabarnya sudah merebak ke paru-paru dan tulang.
Setelah melalui rawatan kimo pertama kali, Cikgu Noraizah sudah serik dan fobia dengan rawatan berkenaan. Mereka kini tengah berusaha untuk mendapatkan rawatan alternatif.
Dalam saat ini, keluarga kedua-dua pihak memberikan sokongan penuh. Emak dan emak mertua Ust Yusrizal hadir membantu.
Di pihak kita, khususnya para guru dan pengurusan PASTI, juga kepada ibu bapa dan pembaca blog ini harapnya dapat meluang sedikit masa untuk mendirikan solat hajat dan merafa’kan doa kepada Allah memohon kesejahteraan dan kesihatan yang terbaik buat Cikgu Noraizah.
Orang Islam itu bersaudara. Apabila satu anggota merasa sakit, yang lain terasa sama.