Masjid berharga RM30 juta ini dirasmikan pada 13 Ogos 2004 oleh Yang Di Pertuan Agong ketika itu Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail. Boleh memuatkan jamaah sekitar 17 ribu pada satu-satu masa, meletakkan masjid ini sebagai masjid terbesar di negeri Sabah. Ia merupakan antara syiar perkembangan Islam di Sabah khususnya di daerah Tawau ini.

Saya dimaklumkan bahawa daerah Tawau ini mempunyai lebih kurang 124  buah masjid dan 60 buah surau. Pengalaman bermusafir ke daerah ini – walaupun tidak selalu – biasanya menemukan masjid atau surau yang agak baik aktiviti pengimarahannya. Hampir setiap kali musafir ke sini, walau apa program sekalipun, saya diundang untuk mengisi satu dua program tazkirah dengan notis yang singkat.

Selain aktiviti ceramah dan kuliah, masjid ini juga menjadi pusat aktiviti mengadakan pelbagai kursus dan seminar untuk umat Islam sekitar Tawau, majlis pernikahan dan sebagainya. Mudah-mudahan aktiviti pengimarahan akan terus subur di masjid ini.