Archive for 7 Mac 2011


Terima kasih sahabat lama saya Ustazah Pg Siti Umi Kalsum Pg Abdullah yang menyampaikan undangan untuk saya ke sekolah berkenaan. Saya tidak pernah bersekolah di sini tetapi ketika zaman sekolah menengah dahulu kerap juga lalu di sini untuk ke Masjid Petagas. Tempoh cuti sekolah hujung bulan saya selalu bermalam di rumah pakcik Tuan Haji Zakaria dan Hajah Aisah. Hajah Aisah pernah menjadi guru besar di sini.

Seingat saya tidak banyak perubahan fizikal di sekolah ini. Bangunan yang saya lalui tahun 1995, itu jugalah rupanya apabila saya datang pagi sabtu lalu. Hanya saya perasan beberapa atap bangunan sudah kelihatan baru berganti. Saya fikir sekolah yang mempunyai 800 pelajar ini perlu kepada bangunan baru atau bangunan tambahan untuk keselesaan guru dan murid. Barangkali..

Majlis sabtu lalu dimulakan dengan perarakan pelajar. Jam 8 sudah bersedia untuk acara dewan dan saya rupanya dinanti sebelum majlis bermula. Lucu juga rasanya ketibaan saya diumumkan oleh pengacara majlis dan duduk bersama YDP PIBG sekolah. Dewan sekolah penuh bersama guru dan murid darjah 4-6 sehingga melimpah ke sisi dewan.

Selain kisah keperibadian Rasulullah SAW  dengan bahasa santai kerana berhadapan dengan ratusan murid sekolah rendah, saya ceritakan juga kisah-kisah api neraka agar menimbulkan rasa gerun kepada semua, kembali kepada syariat Islam seperti menunaikan solat, menutup aurat, taat kepada ibu bapa dan guru, dan sebagainya. Terima kasih atas kenangan baik di SK Petagas, namun saya tidak dapat berlama-lama kerana ada program lain menanti.

Tahniah kepada semua khususnya ustaz ustazah panatia agama Islam, seluruh guru-guru, guru besar, JK PIBG dan anak-anak yang menerima hadiah.

UZUR

Sejak masuk ke dalam dewan utama solat Masjid Bandaraya, saya sudah melihat beliau duduk di atas kerusi rodanya menghadap ke kiblat, bersama-sama ribuan jamaah lain mendengar khutbah jumaat yang disampaikan oleh Ustaz Haji Parmin Sahlan. Sayu hati saya melihat keuzuran yang menimpa Datuk Haji Ahmad Othman, mantan Timbalan Mufti Negeri Sabah ini.

(Ziarah terakhir ke rumah beliau adalah pada awal tahun 2010 bersama-sama dengan Ustaz Haji Muchlish, Allahyarham Ustaz Haji Nahar Mantamin dan Ustaz Arbaen Shawal)

Selesai solat fardhu jumaat, hati saya ingin terus bersalaman dengan ulama’ ini tetapi saya perhatikan ramai jamaah masjid yang hendak pulang berpusu-pusu bersalaman dan mencium tangannya, bahkan ada yang memeluk dan mencium pipinya. Saya perhatikan suasana itu sehingga sedikit lengang. Saat saya menuju ke arahnya, beliau memandang dan memanggil nama saya. Oh, beliau nampaknya masih mengingati saya.

Saya fikir meski fizikalnya semakin susut, tetapi fikirannya masih sihat bahkan barangkali semakin baik. Ramai jamaah yang mengetahui bahawa emosinya terganggu selepas menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Sabah pada 1431H/2009M. Saya tidak berhasrat bercerita di sini hal itu kerana terdapat beberapa insiden yang membuatkan beliau berkecil hati. Selepas daripada itu keadaan emosi beliau semakin terganggu khususnya apabila beliau solat berjamaah di Masjid Kg Likas.

Keluarga beliau membawanya balik ke kampung di Kedah beberapa ketika. Saya diceritakan bahawa tiada sesiapa lagi yang mengenalinya di kampung halaman sendiri sehingga beliau mahu kembali ke Kota Kinabalu. Maklumlah umur sudah semakin lanjut dan beliau sudah meninggalkan kampung halaman sejak puluhan tahun untuk belajar di tanah suci dan kemudian berhijrah ke Sabah.

Seperti tiada soalan lain, selepas mencium tangannya saya tanyakan kesihatan beliau sambil mengurut-urut lengan beliau yang semakin tidak berisi. Sayu juga beliau menceritakan bahawa katanya dirinya semakin susut. Beliau juga bercerita sebentar kisah kepulangannya ke Kedah dan kemudian kembali ke Kota Kinabalu. “Saya mahu ke Sabah”, katanya.

Datuk Ahmad Othman yang dilahirkan pada 18 Mac 1929 itu kemudiannya disapa oleh Ketua Menteri Datuk Haji Musa Haji Aman bersama beberapa kenamaan lain yang turut menunaikan solat jumaat di masjid ini. Beliau yang masih duduk di kerusi roda kemudiannya disorong keluar masjid. Saya berhasrat untuk menziarahi beliau lagi selepas ini. Semoga Allah memberi kekuatan kepada beliau untuk menikmati sisa kehidupan ini.

%d bloggers like this: