Archive for 8 Mac 2011


Sejujurnya saya agak tertekan dengan undangan Bahagian Dakwah JAKIM Putrajaya khususnya daripada sahabat saya Ustaz Hamdi Yahya yang sebelum ini pernah bertugas di Sabah. Saat saya menyatakan persetujuan hadir dan mengisi satu slot dalam ijtimak yang diadakan di Pusat Latihan Islam Kundasang, saya kurang cermat dan tidak menyangka bahawa pesertanya yang hampir 100 orang itu datangnya dari seluruh negara.

Para penceramah lain pula bukannya calang-calang orang. Saya dimaklumkan hanya seorang penceramah dari Semenanjung manakala tiga lagi dari Sabah – Ustaz Haji Bungsu Aziz, Ustaz Haji Abu Hurairah Abd Rahman dan saya sendiri. Tambahlah saya gemuruh dan gementar kerana tidak tahu hendak berceramah atas tajuk apa.

Penceramah-penceramah lain menyentuh pelbagai tajuk yang berlegar sekitar dakwah. Ada tentang dakwah di Malaysia, peranan dan tanggungjawab dakwah, metod dakwah dan seumpamanya. Lama juga saya berfikir untuk mencari tajuk agar apa yang saya sampaikan tidak bertembung dengan isi ceramah penceramah lain. Akhirnya saya memutuskan tajuk ‘Dakwah Media Baru’ agar tidak banyak pertembungan dengan isi ceramah tokoh lain.

Kebetulan pula beberapa hari sebelum itu saya beruntung mendapat maklumat berharga berkenaan media baru (fokus blog, facebook dan twitter) yang hendak dikongsi dengan semua peserta. Dalam hal facebook, saya memberi contoh kajian bahawa 10 juta rakyat Malaysia mempunyai facebook dan pengguna facebook dari Malaysia didapati mempunyai rakan yang tertinggi iaitu purata 233 orang berbanding Brazil (231 orang), Norway (217), Korea Selatan (50), Tanzania (38) dan Jepun (29). Saya melihat keadaan itu sebagai satu peluang dakwah yang baik.

Dalam isu blog, saya melihat apatah lagi para peserta terdiri daripada Penggerak Masyarakat di kawasan orang asli, itu sudah menjadi satu kelebihan mereka untuk bercerita pengalaman dakwah kepada para pembaca. Saya membaca satu artikel saifulislam.com, bahawa antara ciri blog yang berjaya ialah ia mempunyai cerita sendiri yang berlainan daripada orang lain. Ini kerana tidak ramai orang berpeluang bercerita tentang pengalaman dakwah kepada masyarakat berkenaan.

Kesimpulannya, tujuan saya membentang tajuk itu ialah agar para pendakwah memanfaatkan IT seperti blog, facebook dan twitter untuk dunia dakwah mengikut kemampuan masing-masing. Saya suka memetik maksud ungkapan Abul A’la al-Maududi : “Setiap orang yang berusaha meninggikan kalimah Islam boleh menggunakan segala yang ada padanya seperti harta benda, jiwa raga, pena (penulisan) dan lidah (untuk berdakwah)”

Alhamdulillah, musafir solo saya ke Kundasang bermula jam 5 pagi dan berhenti beberapa kali, mengisi ceramah hampir 2 jam di dewan PLI, kemudian bergerak pulang mulai jam 10.30 pagi, singgah di gerai Pekan Kundasang untuk membeli sayur dan tidur keletihan seketika di Tuaran dan tiba di rumah jam 1.30 petang sebelum bergerak ke destinasi berikutnya.

Saya terlambat untuk menghadiri slot-slot awal dalam program ‘Bengkel Dakwah Berkesan’ di Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang pada pagi sabtu lalu kerana memenuhi undangan di SK Petagas. Saya hanya tiba apabila program hampir berehat di pertengahan program. Bengkel ini adalah anjuran Unit Pendidikan Islam Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu dengan kerjasama Masjid Nurul Hikmah dan JK Panatia Pendidikan Islam Kota Kinabalu.

Empat slot ceramah dibentangkan di hadapan hampir 100 peserta kebanyakannya guru pendidikan Islam sekolah kementerian sekitar Kota Kinabalu. Slot pertama bertajuk ‘tarbiah remaja’ disampaikan oleh wakil Majlis Gabungan NGO Islam Sabah (CONCERN), manakala slot slot kedua hingga keempat disampaikan oleh Cikgu Haji Tawil Haji Syakir membawa tajuk ‘dakwah non muslim’, ‘solat saudara baru’ dan ‘modul bacaan al-Quran saudara baru’.

Semoga bengkel ini membawa peserta agar lebih bersungguh mendekati golongan bukan Islam seterusnya menyebarkan risalah Islam kepada mereka. Setinggi tahniah kepada penganjur terutama Ustaz Arbaen Shawal yang mengendalikan program ini sehingga selesai menjelang zuhur. Alangkah baiknya kalau saya mendapat rakaman slot ‘dakwah non muslim’ yang dikatakan menarik itu…

%d bloggers like this: