Archive for 1 Mac 2011


Pada sebelah tengahari sabtu, saya ada melalui kawasan taman perumahan ini. Kami dimaklumkan sedikit sebanyak berkenaan Masjid Quba’ Taman Wawasan yang begitu aktif dalam program pengimarahan masjid. Cerita Cikgu Abd Rahman memikat hati saya. Hati saya berbisik, “kalaulah dapat mengisi tazkirah di sini..”

Setelah tiba di lokasi program, sahabat saya Sdr Azman Talib memaklumkan: “Ustaz, malam ni kuliah maghrib di masjid Taman Wawasan”. Slot kursus yang saya sertai di sebelah petang berakhir sekitar 5.45 petang. Perjalanan ke masjid berkenaan mengambil masa hampir 20 minit dan sebelum itu kami singgah di rumah sahabat untuk mandi dan berkemas.

Alhamdulillah benar bagai yang dikata, notis ceramah yang singkat disampaikan kepada saya dan masyarakat taman berkenaan tidak menghalang mereka datang beramai-ramai. Saya kira tidak kurang 60-70 orang yang hadir dalam tazkirah ringkas saya, menghurai hadith SAW berkenaan persiapan amalan ke dalam kubur.

Terima kasih atas kesudian menerima kehadiran saya. Insya Allah saya mahu datang lagi ke sini.

Semestinya saya (dan kami semua) yang menyertai trek ‘belajar menggunakan kamera video’ berterima kasih kepada Sdr Nazri Abdullah dan rombongan yang datang dari Kuala Lumpur atas kesudian beliau mengajar kami asas-asas ilmu berkenaan di Tawau beberapa hari lalu.

Saya sendiri sudah memiliki dan menggunakan kamera video – handycam (semestinya yang murah saja) sejak dua tahun lalu. Kebanyakan video yang dirakam adalah sesi kuliah dan ceramah yang saya ikuti di masjid atau di surau sekitar Kota Kinabalu seperti kuliah fekah Ustaz Haji Muchlish dan penceramah-penceramah lain.

Saya mengakui untuk merakam tidaklah sesukar mana. On saja, halakan ke arah sasaran dan kemudian rakam. Tetapi beberapa ilmu yang sangat berharga terutama ketika melakukan proses editan bahan rakaman menjadikan hasil rakaman sangat menarik walaupun bahannya cuma sedikit sahaja.

Begitu juga slot ceramah berkenaan perkembangan media sosial seperti facebook dan twitter oleh Sdr Ahmad Jamal yang semakin pantas sewajarnya diambil kesempatan untuk menyebarkan risalah Islam kepada manusia. Perlu maklum bahawa jumlah pengguna facebook di dunia sekarang mencapai 500 juta dan twitter 180 juta. Namun ia terus berkembang jumlahnya setiap jam.

Saya berharap dapat mengaplikasikan khususnya ilmu rakaman ini untuk dunia dakwah yang lebih segar dan menarik khususnya untuk dimuatkan dalam blog dan youtube. Insya Allah saya akan mencuba nanti. Terima kasih atas jasa baik penganjur serta semua yang terlibat.

%d bloggers like this: