Archive for 23 Mac 2011


POCO-POCO

 

 

Sewajarnya saya mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat dalam program realitiĀ  ‘Adik-Adikku’ musim ke-2 daripada mula sehingga ke peringkat akhir di Dewan B, Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sehingga berjaya melahirkan daie-daie kecil berbakat besar. Saya positif dalam hal ini, meskipun ada kelemahan-kelemahan yang boleh diperbaiki pada musim-musim akan datang. Namun kita lihatlah kebaikan yang boleh diambil bersama. Barangkali ini hadiah terbaik menjelang persaraan Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Haji Wan Mohammad Syeikh Abdul Aziz.

Saya ingin mengulas ringkas dari satu sudut yang berbeza. Bukan berkenaan adik Munir yang dinobatkan sebagai juara, bukan juga berkenaan para murabbi dan rais yang kental dan bersemangat itu, bahkan bukan juga berkenaan kepetahan adik-adik dan anak-anak yang berbakat itu yang sudah banyak diulas oleh orang lain. Anak-anak saya sendiri meminati rancangan ini, menghafal lagunya dan terpacak melihat peserta bertaraf abang dan kakak mereka ini lincah di pentas utama.

Kejayaan JAKIM mendapatkan hak siaran langsung di TV1 apatah lagi ketika waktu perdana – saya kira menyumbang dan memberi impak yang sangat besar dalam dunia dakwah. Kita mengetahui inilah masa utama masyarakat menonton tv dan sudah banyak rancangan hiburan yang disiarkan dalam waktu sebegini dan mendapat sambutan hangat daripada penonton.

Saya berharap warga JAKIM dan para pendakwah terus bekerja keras untuk memperkasa dan memperkukuh program ini pada musim-musim akan datang dengan mencari lagi idea-idea bernas untuk diketengahkan demi kebaikan Islam di Malaysia. Ia perlu lebih diketengahkan ke dalam masyarakat dengan promosi yang lebih berkesan dan agresif agar rakyat mengetahui program sebaik ini.

Seperti ramai komentar sahabat-sahabat di facebook, bahkan saya meyakini kekecewaan ramai para ustaz dan ustazah, hanya satu kelemahan yang sangat ketara pada malam itu. Sayang benar tetamu kehormat enggan menutup aurat sedangkan semua peserta bahkan Dato’ Siti Nurhaliza juga menutup aurat. Oleh kerana rancangan ini menarik perhatian kanak-kanak, akan menimbulkan persoalan di kalangan mereka, mengapa tetamu kehormat itu tidak menutup aurat, adakah dia tidak mengetahui kewajibannya?

%d bloggers like this: