Archive for 25 Mac 2011


PEMERIKSAAN HALAL

Sudah 3 tahun bertugas di Bahagian Penyelidikan dan Informasi, hanya baru kali ini saya menyertai rombongan Urusetia Makanan Gunaan Islam (MGI), satu unit yang penting dalam bahagian kami. Dalam maksud yang mudah, MGI adalah tempat untuk mengurus dalam perkara yang berkaitan soal makanan dan bahan halal seperti di restoran, kilang dan premis seumpamanya. Baru-baru ini, dengan diketuai oleh Ketua Urusetia MGI Tuan Haji Sotimin Sarun rombongan kami membuat pemeriksaan ke beberapa premis di Putatan.

Pemeriksaan dilakukan atas beberapa sebab, antaranya kerana permohonan baru persijilan halal dan permohonan menyambung persijilan yang sudah tamat. Rombongan ini disertai oleh JHEAINS, SIRIM, Majlis Daerah Putatan dan JHEAINS Putatan. Saya menyertai rombongan ini sekadarĀ  mengambil pengalaman dan memegang kamera unit ini.

Premis pertama kami tuju ialah sebuah kedai kek baru ‘Honey Cake’, yang baru beroperasi sekitar sebulan. Pelbagai perkara diperiksa termasuk soal kebersihan pekerja seperti penampilan, pemakaian, kuku; kebersihan premis termasuk di dapur, stor, dan sebagainya. Tidak ketinggalan bahan-bahan ramuan yang semestinya mesti sudah disahkan halal. Saya tabik dengan premis ini, baru beroperasi dan segera pula mendapatkan persijilan halal.

Premis kedua ialah kilang Gardenia, juga di Putatan. Saya sangat teruja untuk masuk ke dalam memandangkan tidak pernah masuk ke sini walaupun bertahun-tahun lalu di hadapannya. Gardenia Putatan adalah dapur besar untuk bahan-bahan makanan diproses sebelum dibawa ke dalam pesawat Penerbangan Malaysia (MAS).

Di sini semua yang masuk ke dalam mesti mengenakan penutup kepala dan mulut bagi menjaga kebersihan makanan dan tempat. Seperti di lokasi pertama, kami memeriksa kawasan dapur yang luas, stor makanan, peti-peti ais yang besar serta melihat beberapa aktiviti penyediaan makanan oleh pekerja. Saya kurang maklum jumlah pekerja keseluruhan, tetapi terdapat empat orang tukang masak daripada jumlah sebelas orang semuanya.

Saya dimaklumkan hasil dapatan pemeriksaan kali ini di sini lebih baik berbanding pemeriksaan sebelum ini. Sebelum ini beberapa teguran telah dilakukan dan pihak pegurusan telah mematuhi arahan-arahan yang dibuat oleh urusetia MGI. Kami juga melihat jadual penghantaran makanan dari sini ke pesawat MAS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sebelum berlepas ke mana-mana destinasi.

Lokasi ketiga ialah mini kilang roti milik restoran Sri Kajura, Putatan yang dimiliki oleh keluarga Tuan Haji Jumat, anak tempatan Putatan yang sudah berniaga restoran ini lebih 15 tahun lalu. Jujurnya, kami selalu juga membeli roti-roti keluaran Sri Kajura dan ketika di sini saya berpeluang melihat proses membuat dan memproses roti itu dilakukan.

Tidak lama di sini, kerana kami mendapati standard yang ditetapkan diikuti dengan baik oleh pemilik. Sebenarnya, kedatangan rombongan urusetia MGI tidak dimaklumkan kepada pengurusan kilang atau premis terbabit. Hasil dapatan pemeriksaan ini akan dilaporkan dalam mesyuarat, dan mesyuaratlah yang akan membuat keputusan untuk memberikan pengiktirafan sijil halal kepada pemohon atau sebaliknya.

Saya meriwayatkan satu kisah daripada sahabat saya, seorang pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu. Suatu hari beliau mengajak rakannya yang juga seorang pensyarah, menaiki keretanya menuju satu destinasi. Di kereta, rakan saya ini memperdengarkan radio IKIM.fm yang sememangnya menjadi radio pilihannya.

Rakannya ini terpinga-pinga dan kehairanan mendengar siaran radio yang dipenuhi dengan tazkirah, tilawah, nasyid dan pelbagai informasi islami yang lain. Rupanya dia tidak langsung tidak mengetahui adanya radio seumpama ini di Malaysia. Barangkali yang terbayang di kepalanya hanya lagu huha huha yang entah apa-apa di Malaysia ini.

Barangkali sekurang-kurangnya ada dua perkara yang dapat saya simpulkan. Pertama saya menyedari suasana seumpama ini banyak berlaku kepada masyarakat Islam, apatah lagi mereka yang tidak beramal dengan Islam. Bahkan mengejutkan, ramai juga kalangan orang mutadayyin yang tidak mengetahui kewujudan Radio IKIM.fm. Keduanya, ia memerlukan kerja keras pihak pencinta radio ini sama ada di pihak IKIM dan peminat-peminatnya sendiri.

Ikuti web rasmi Radio IKIM.fm di http://www.ikimfm.my/ikimfm/

Facebook rasmi Radio IKIM.fm di http://www.facebook.com/#!/ikim.fm

INFO IKIMfm

IKIMfm dilancarkan secara rasminya oleh Perdana Menteri ketika itu, YABhg. Tun Dr Mahathir Mohamad pada 6 Julai 2001. Ianya merupakan satu-satunya stesen radio berkonsepkan pendekatan Islami yang beroperasi selama 24 jam sehari setiap hari ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Ianya menggabungkan program yang bersifat mendidik jiwa dan juga program berbentuk hiburan yang tidak melalaikan, di samping turut menyajikan pelbagai maklumat yang bermanfaat. Sekitar 95% programnya dipersembahkan dalam bahasa Melayu manakala selebihnya dalam bahasa Arab dan Inggeris.

Anggaran rasmi oleh pihak The Nielsen Company (Malaysia), sebuah syarikat pengkaji (survey) antarabangsa terhadap semua radio-radio di Malaysia dalam kajian terbaru mereka sepertimana yang dilaporkan dalam Gelombang 2, 2010 menunjukkan sekitar 786,000 pendengar di Semenanjung Malaysia mengikuti radio Islami ini.

Jika mengambil kira keseluruhan pendengar termasuk di Sabah dan Sarawak, malah siaran ini turut meliputi sebahagian selatan Thailand, Singapura dan Batam Indonesia, kami menjangkakan ianya telah didengari oleh sekitar sejuta pendengar. Tahun ini, IKIMfm memasuki usia sedekad mendidik dan menghibur jiwa insan. Kami di IKIMfm akan senantiasa berusaha gigih meningkatkan lagi kualiti program dan siaran agar mesej dakwah Islami akan menembusi setiap pelusuk alam ini.

Tahun 2011 ini genaplah sepuluh tahun IKIMfm bersiaran. Sedekad mendidik menghibur jiwa. Teruskan kesetiaan anda bersama IKIMfm Pilihan Utama Anda.

%d bloggers like this: