Archive for 28 Mac 2011


Barangkali saya terlambat untuk mendedahkan hal ini lewat blog. Kursus Haji untuk sesi 2011/1432 sudahpun bermula sejak 12 Mac 2011 dan sedang berlangsung setiap sabtu. Bagi di Kota Kinabalu, kursus berlangsung di Masjid Negeri Sabah antara jam 8 pagi hingga tengahari dengan bimbingan tenaga-tenaga pengajar yang dilantik oleh Tabung Haji sendiri. Di sini kursus akan berjalan selama 10 minggu dengan 5 jam setiap kali pertemuan.

Sesuatu yang tidak ramai mengetahui tentang kursus ini ialah ia terbuka kepada semua, sama ada mereka sudah mendaftar sebagai calon jamaah haji 1432 atau belum. Anggapan ramai bahawa kursus ini hanya disasarkan kepada bakal haji tahun berkenaan sahaja. Bagi saya eloklah setiap umat Islam mendalami ilmu berkenaan ibadah haji dan umrah ini, bukan semestinya menunggu nama masing-masing naik untuk ibadah fardhu haji.

Saya ada sedikit pengalaman dalam hal ini ketika menunaikan fardhu haji pada tahun 2002. Seorang jamaah haji dari Sabah yang kami temui di Kota Makkah bercerita yang dia langsung tidak pernah menyertai kursus haji hanya kerana beranggapan bahawa namanya tidak tersenarai sebagai bakal haji. Statusnya ketika itu hanya dalam senarai menunggu.

Menjadi kebiasaan pemerintah Arab Saudi memberikan kouta tambahan pada saat akhir kepada negara-negara tertentu dan Malaysia mendapat bahagiannya. Maka menjadi rezeki jamaah yang saya temui itu untuk menunaikan fardhu haji tahun berkenaan. Rombongan mereka ke Madinah terlebih dahulu sebelum meneruskan misi ke Makkah selepasnya. Saya bertemunya di Makkah.

Namun malangnya beliau memberitahu bahawa sesudah tiba di Makkah, barulah beliau mengetahui bahawa selama 8-9 hari lalu beliau berada di bumi Madinatur Rasul, tempat bersemadinya jasad Rasulullah SAW dan lokasi taman syurga sebagaimana yang disebutkan dalam hadith-hadith Rasulullah SAW. Alangkah jahilnya. Semoga Allah mengampunkan beliau dan kita semua di atas kelalaian ini.

Nota : Saya diminta memimpin solat hajat tempohari bersama bakal-bakal haji dalam kursus mereka. Memohon kepada Allah SWT agar dimudahkan segala urusan bermula proses pembelajaran kursus, kewangan, perjalanan pergi dan balik serta ibadah haji dan yang berkaitan dengannya. Sebak juga memimpin solat hajat, sedangkan saya tidak termasuk daripada kalangan mereka. Semoga suatu hari nanti saya berpeluang lagi ke sana.

Khatib : Ustaz Haji Naim Majin

Lokasi : Masjid at-Taqwa, SMKA Tun Ahmadshah Inanam.

Abu Abdullah Nu’man bin Basyir RA katanya : Aku telah dengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya yang halal itu nyata (jelas, terang) dan yang haram itu pun nyata (jelas, terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang musytabihat (samar-samar atau tidak jelas) yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka siapa memelihara (dirinya dari) daripada melakukan perkara-perkara yang samar-samar itu, maka sesungguhnya dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Dan sesiapa terjerumus melakukan perkara samar-samar itu, terjerumuslah dia ke dalam perkara yang haram seperti seorang pengembala yang mengembala di sekitar kawasan larangan, hampir-hampir dia terjatuh ke dalamnya (dalam kawasan larangan itu). Ketahuilah! Sesungguhnya kawasan larangan Allah itu ialah perkara yang diharamkan-Nya. Ketahuilah, sesungguhnya di dalam tubuh badan itu ada seketul daging, apabila ia baik, maka baiklah seluruh badan, apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh badan. Ketahuilah, (seketul daging) itu ialah al-qalbu (hati)”. (HR Bukhari dan Muslim)

Ada empat perkara penting berkenaan halal haram dalam Hadith ini, Imam Nawawi Rahimahumullah memberikan ulasan tentang maksud tiga perkara tersebut, iaitu:

1. Halal. Perkara yang halal dan nyata halalnya seperti makan roti, bercakap, berjalan dan lain-lain.

2. Haram. Perkara yang haram dan nyata haramnya seperti minum arak, zina dan sebagainya.

3. Syubhat. Perkara yang syubhat, iaitu sesuatu yang tidak jelas hukumnya sama ada halal atau haram.

4. Menjaga al-qalbu, yakni hati. Kerana hati yang baik, bersih akan baiklah seluruh badan. Jika hati rosak, rosaklah seluruh badan.

Perlu diingatkan, sesungguhnya perkara yang syubhat atau samar-samar itu tidak ramai yang tahu, kecuali para Ulama sahaja yang mengetahuinya kerana mereka akan merujuk kepada nas Al Quran, Sunnah Rasulullah SAW dan qiyas. Dan menolak perkara yang syubhat itu adalah tindakan yang terbaik dan satu perbuatan seorang yang warak dan taqwa serta sangat dikehendaki dalam Islam.

Pengajaran dari Hadith ini, ialah:

1. Umat Islam hendaklah mempastikan perkara yang halal sama ada pekerjaan, makan minum, bahan gunaan lain seperti kosmetik dan lain-lain itu sahaja digunakan dan diambil.

2. Umat Islam hendaklah mempastikan segala yang haram itu sama ada makanan, minuman, bahan gunaan kosmetik dan lain-lain, mesti tidak digunakan atau diambil.

3. Umat Islam jangan terjerumus dalam perkara syubhat yang tidak jelas hukum halal dan haramnya demi menyelamatkan agama dan kehormatan.

Sebagai usahawan, peniaga atau pengusaha restoran khususnya pengusaha/peniaga umat Islam hendaklah bersama-sama membantu pihak berkuasa agama dalam usaha kita menyedarkan umat Islam supaya benar-benar mengambil berat soal makanan/minuman halal. Halal mesti difahami. Halal bukan semata-mata terletak dalam bab menyembelih. Halal ada kaitan dengan bahan-bahan yang halal, haiwan halal, cara proses halal, kebersihan, peralatan, tempat yang bersih dan sebagainya.

Pihak berkuasa agama telah memperkenalkan persijilan halal dan logo halal untuk memudahkan umat Islam di negeri ini mengenal pasti premis atau restoran atau pelbagai jenis makanan/minuman yang berlogo halal itu sahaja dijamin kehalalannya. Pengusaha dan pemilik restoran atau kedai makan orang Islam di negeri ini hendaklah mengambil berat, bersikap professional dan berjiwa besar dalam memartabatkan persijilan halal dan logo halal di premis masing-masing sebagai satu pendekatan dakwah dalam perniagaan, mencari keberkatan dan lebih penting Syariat Islam dapat didaulatkan, manakala keuntungan perniagaan kita lebih meyakinkan pengguna dan perniagaan lebih berkat, insya Allah.

Perlu diingatkan, bahawa tanda-tanda atau simbol atau apa juga perkataan yang tidak diiktiraf seperti penggunaan perkataan ‘serve no pork’, ditanggung halal atau ada premis bukan milik orang Islam tetapi menggunakan pekerja wanita Islam yang bertudung sebagai cara untuk menarik pelanggan umat Islam. Semua ini bukan jaminan premis atau restoran itu menyediakan makanan/minuman halal.

%d bloggers like this: