Archive for 3 Mac 2011


Sumber : Darul Quran

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia JAKIM memberi sepenuh komitmen bagi menjayakan hasrat pimpinan negara untuk melihat sebuah institusi tinggi tahfiz yang pertama ditubuhkan di Malaysia. Usaha ini akan terlaksana apabila Darul Quran yang merupakan institusi tahfiz yang tertua di negara dinaiktaraf kepada sebuah kolej universiti setelah 46 tahun berada dalam arus pendidikan bagi melahirkan graduan tahfiz, seusia dengan Institut Teknologi MARA (UiTM).

Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Mohamad Yusof b Md. Noor, Pengerusi LEPAI yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah USIM yang menyampaikan ucaptama dalam Bengkel Naik Taraf Darul Quran kepada Kolej Universiti melahirkan rasa gembira dengan perkara ini dan memandang bahawa jalan sudah terbuka bagi JAKIM untuk melaksanakannya setelah mendapat restu daripada pimpinan tertinggi negara, berbanding dengan penubuhan uiversiti lain seperti UKM yang bermula hanya dengan kemahuan semata.

Beliau yang memandang positif tentang perkara ini telah berkongsi pengalaman tentang penubuhan dan kelahiran institusi pengajian tinggi agama di negara kita sehingga bagaimana tertubuhnya Universiti Islam yang pertama di Malaysia iaitu UIAM dan seterusnya Universiti Sains Islam Malaysia.

Dalam perkongsian tersebut, beliau turut mengutarakan beberapa persoalan untuk difikirkan, antaranya mengenai reputasi dan kualiti yang ingin ditetapkan terhadap Kolej Unversiti Darul Quran. Beliau menyarankan agar perkara-perkara penting untuk penubuhan sebuah universiti diambil kira seperti bidang pengajian yang melambangkan identiti kolej, struktur pentadbiran yang baik, dan juga tenaga pakar yang ingin dipilih sebagai tokoh akademik bagi kolej supaya memberi impak yang lebih besar kepada Kolej Universiti Darul Quran dari segi statusnya untuk bersaing dengan IPT yang lain.

Manakala Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ HJ Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz pula dalam ucapan aluan beliau telah menjelaskan kesediaan di pihak JAKIM untuk menyahut cabaran ini di mana JAKIM sendiri mempunyai tenaga pakar yang ramai untuk berkhidmat dengan sejumlah tujuh orang pegawai memiliki Phd dan 97 orang memiliki Ijazah Sarjana.

Beliau turut menekankan tentang keperluan untuk melaksanakan naik taraf terhadap Darul Quran ini selaras dengan keperluan negara untuk memiliki graduan tahfiz yang diiktiraf, selain memenuhi tuntutan semasa yang memerlukan golongan huffaz berada dalam segenap bidang, bukan hanya di bidang agama sahaja sekaligus menjadikan bidang pengajian tahfiz seiring dengan arus perdana.

Bengkel Naik Taraf Darul Quran kepada Kolej Universiti Darul Quran telah menghimpunkan tenaga pakar dari kalangan ahli akademik iaitu Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Muhamad b Muda, Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba,Pensyarah UIAM, Prof. Dr. Siti Rugayah bt Hj Tibek, Pengarah Institut Kajian Rantau Asia Barat UKM, Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Chik, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar UIAM, Prof. Madya Dr. Mustaffa b Abdullah, Ketua Jabatan alQuran dan al-Hadith UM, Dr. Zulkifli bin Aini, wakil daripada KUIS, wakil daripada Kementerian Pengajian Tinggi dan Peguam Persekutuan serta Pengarah-pengarah Bahagian JAKIM.

Bengkel yang berlangsung di Hotel De Palma Ampang pada 18 – 20 Febuari 2011 dipenuhi dengan beberapa aktiviti seperti pembentangan Kertas Cadangan Naiktaraf Darul Quran kepada Kolej Universiti oleh Prof. Dr. Sidek Baba serta bengkel yang bertajuk Hala Tuju dan Bidang Pengajian KUDQ. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada para peserta yang begitu komited menjayakan bengkel yang penuh bermakna ini.

Apabila Ustaz Rafihi memaklumkan kepada saya bahawa ada pertemuan –reunion– antara bekas pelajar sulung SMKA Sabah dengan pengetua pertama mereka Ustaz Haji Ismail Hassan di Kg Ratau, saya teruja mendengarnya. Ingin hati untuk bertemu secara eksklusif bertanya sendiri sejarah hidup dan perjuangannya. Justeru pada petang selasa lalu, kami bertemu dengan beliau dan merekodkan beberapa kisah berkenaan dirinya.

***

Ustaz Haji Ismail Haji Hassan dilahirkan pada tahun 1941 di Alor Star, Kedah Darul Aman. Beliau pernah menuntut di Pondok Tuan Guru Haji Abdullah, Langgar yang lebih dikenali dengan Madrasah Makarimul Akhlak selama 8 tahun (1954). Beliau juga pernah belajar di Maktab Mahmud sehingga mendapat syahadah thanawiyyah pada tahun  1964. Selepas itu pada tahun 1966 beliau melanjutkan pengajian di Universiti al-Azhar dalam kuliah Bahasa Arab selama 4 tahun.

DUNIA UNIVERSITI

Ketika di Mesir selain kuliah di universiti, beliau sedikit sebanyak turut terlibat dalam aktiviti persatuan antaranya bersama dengan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dan aktiviti kesukanan. Ketika itu katanya pelajar Malaysia hanya sekitar 200 orang sahaja. Beliau turut teringat antara mereka yang sempat belajar sezaman dengannya ialah almarhum Ustaz  Haji Fadzil Mohd Noor (senior) dan Ustaz Haji Azizan Razak.

Bercerita dengan dunia pengajian di Mesir, beliau mengakui Mesir adalah gudang ilmu  pengetahuan dengan lambakan kitab dan para alim ulama’ yang sewajarnya diambil manfaat oleh para pencinta ilmu. Selain itu para siswa siswi juga katanya mesti mengukuhkan kemahiran bahasa Arab fushah terutama bagi menguasai kitab-kitab selain bahasa Arab ‘ammi yang menjadi alat komunikasi sesama masyarakat di sana.

Pulang ke tanahair, beliau berkhidmat sebentar di sebuah sekolah menengah rakyat dan pada tahun 1971 barulah beliau berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran sebagai guru agama di SMK Tengku Mahmud Iskandar, Sungai Mati Muar Johor; 1973-1976 di Kolej Islam Kelang Selangor sebelum berhijrah ke Sabah.

PENGALAMAN MANIS DI SABAH

Pada tahun 1977 beliau diberi tawaran untuk menubuhkan sebuah sekolah menengah agama di bawah program pengambilalihan sekolah-sekolah menengah rakyat untuk dijadikan sekolah menengah kebangsaan agama seluruh Malaysia. Di Semenanjung, sekolah-sekolah rakyat diambil alih, manakala di Sabah SMKA ditubuhkan kerana ketika itu tiada sekolah menengah rakyat.

Ketika itulah beliau ditawarkan untuk berhijrah ke Sabah bagi menubuhkan SMKA Sabah yang pertama di negeri ini. Selepas tiga hari berfikir, beliau bersetuju untuk memikul amanah menubuhkan SMKA Sabah sekaligus sebagai pengetua ketika beliau berumur 36 tahun. Menariknya pengalaman beliau ketika sampai di Sabah untuk menubuhkan sekolah yang dimaksudkan bermula dengan kosong. Tiada sehelai kertas, tiada kakitangan, tiada guru bahkan bangunan sekolahnya pun belum ada.

Bangunan SMK Menggatal (kini SMK Bandaraya) dijadikan sebagai lokasi sementara (menumpang) bagi menempatkan asrama dan SMKA Sabah selama hampir 3 tahun sebelum dipindahkan ke SMKA Limauan Kinarut (kini dikenali sebagai SMKA Tun Mustapha). Proses pengambilan pelajar ketika itu adalah melalui borang yang diedarkan ke sekolah-sekolah rendah dan diproses oleh guru-guru sendiri untuk memilih 70 pelajar sulung. Beliau turut menyebut beberapa tenaga guru yang terawal membantu menubuhkan sekolah antaranya Ustaz Ibrahim Muhsin, Cikgu Ahmad Lazim, Cikgu Ishak, Cikgu Lasminah dan lain-lain.

Sepanjang hampir 3 tahun di Sabah, masanya banyak diluangkan hampir 24 jam bersama pelajar. Rumahnya turut menjadi tempat tumpuan para pelajar khususnya ketika cuti sekolah kerana ramai di kalangan pelajar terutama dari daerah yang berjauhan tidak balik ke kampung masing-masing. Keretanya turut digunakan seperti ambulan untuk membawa pelajar ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Demikianlah menurut ustaz, kenangan di Sabah terlalu manis dan istimewa untuk diingati.

KEMBALI KE SEMENANJUNG

Beliau kembali ke Johor bertugas di SMKA Muar mulai awal 1980 selama hampir 2 tahun sebelum berpindah ke SMKA Alawiyyah Arau pada tahun 1983 sebagai pengetua. Beliau kemudiannya ditugaskan sebagai Ketua Unit Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Kedah. Ustaz bersara pada tahun 1996 iaitu 15 tahun lalu. Masanya banyak diisi dengan bersama keluarga dan menulis beberapa buah buku sebagai tinggalan yang bermanfaat kepada umat Islam.

KELUARGA

Alhamdulillah, beliau bertemu jodoh dengan Ustazah Saulah binti Dato’ Haji Tajuddin. Almarhum Dato’ Haji Tajuddin Abd Rahman yang mengasaskan sebuah sekolah menengah agama iaitu Nahdhah al-Hasanah di Batu 21, Jalan Kodiang Meleleh. Akhir hayatnya Dato’ Haji Tajuddin adalah pengerusi JK Fatwa Kebangsaan. Ustaz Ismail turut dikurniakan empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan, kesemuanya mendapat pengajian di universiti dan dua daripadanya mendapat Ph.D dalam bidang kejuruteraan.

NASIHAT USTAZ

Meski para pendakwah mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu, dari sudut yang lain para ustaz wajar juga memerhatikan beberapa kelemahan antaranya ialah persediaan sebagai pendakwah dari segi kefahaman terhadap kesyumulan Islam, penghayatan terhadap 5 ayat pertama  Iqra’, metodologi dakwah, aplikasi metodologi dakwah dan interaksi dengan sasaran.

Ustaz juga memberikan 3 cadangan kepada para pendakwah. Pertama menghidupkan ruh wahyu pertama (ayat 1-5 al-Alaq) seperti banyak membaca, membuat persiapan sebelum menyampaikan dakwah dan ceramah, serta unsur tikrar iaitu sentiasa mengulang-ulangi seruan dakwah dan mendidik. Kedua menterjemahkan metedologi yang diajar oleh Rasulullah secara sempurna seperti memahami persoalan hikmah, mendahulukan kaedah berlembut dan sebagainya. Ketiga, pendakwah mesti meletakkan diri pendakwah sebagai penjual barang yang sudah tentu berkait dengan promosi, ilmu berkaitan barang yang dijual dan sebagainya.

%d bloggers like this: