Archive for 20 Mac 2011


Selepas solat Jumaat di premis sementara Masjid al-Hilal Kg Tanjung Dumpil Putatan, saya dibawa ke lokasi pembinaan masjid baru kampung berkenaan, bersebelahan dengan premis sementara di lokasi asal masjid ini. Sudah menjadi khabar umum bahawa pembinaan masjid ini terlambat sebagaimana dijadualkan.

Saya dimaklumkan pihak pemaju berjanji untuk menyiapkan masjid ini dalam tempoh sebulan dua lagi. Masjid baru ini bernilai sejuta ringgit dan lebih besar sedikit berbanding yang lama. Saya masih mengingati sebelum masjid didirikan adalah tempat asal bagi mencerap anak bulan. Tun Ahmadshah ketika itu sebagai Setiausaha MUIS yang menyertai cerapan itu, luka di dahi kerana solat maghrib di atas tanah yang berbatu. Kemudian timbullah idea untuk mendirikan masjid.

Mudah-mudahan masjid ini nanti akan lebih diimarahkan dengan aktiviti yang bermanfaat untuk semua khususnya penduduk di sini. Saya akan sentiasa menyokongnya. Tahniah Haji Jaffre Rashid dan seluruh JKnya atas nikmat masjid baru yang bakal siap tidak lama lagi.

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid (sementara) al-Hilal, Kg Tanjung Dumpil Putatan

Allah menjelaskan dalam al-Quran bahawa aman bahagianya golongan yang bertaqwa dan mengikut ajaran Islam yang dibawa oleh nabi-nabi; dan dalam masa yang sama betapa banyak bangsa dan negara yang dihancurkan akibat mengengkari ajaran nabi yang diutuskan kepada mereka walau pun teknologi dan kemajuan yang dicapai begitu hebat. Ada golongan yang dihancurkan dengan petir, banjir besar, dilipatkan bumi, ditukar kepada rupa binatang dan sebagainya.

Ada yang dihancurkan sehingga tidak lagi dapat dikesan dan ada yang terus dapat dilihat kesan sehingga hari ini melalui pembangunan yang ditinggalkan atau kesan kehancuran seperti tasik Qarun dan Laut Mati. Sebagai umat yang beriman kepada Allah dan rasulNya maka kita wajib mengambil iktibar daripada semua yang berlaku bukannya menjadi manusia yang mati hatinya sehingga kisah-kisah pengajaran daripada al-Quran hanya dianggap kisah dongeng dan sekadar cerita klasik sahaja.

Ketika dunia hangat membincangkan tentang pergolakan dalam menjatuhkan pemimpin kuku besi satu demi satu di kebanyakan negara Arab dan Afrika tiba-tiba berlakunya suatu gempa bumi dan tsunami yang begitu dahsyat di sebuah negara maju iaitu Jepun yang telah mengorbankan lebih ribuan nyawa setakat ini disamping kehancuran yang teruk ditambah lagi dengan merebaknya kesan radiasi akibat beberapa loji nuklear Jepun yang turut musnah sehingga turut merebak ke negara lain termasuk Amerika Syarikat dan Eropah.

Di samping kita turut bersama-sama menghulur simpati dan pertolongan kepada rakyat Negara Jepun, sebagai hamba Allah SWT yang beriman, marilah kita bersama-sama menginsafi kejadian ini, mengakui akan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT mengatasi kepakaran dan ilmu yang dimiliki oleh manusia. Ia menjadi iktibar kepada semua setiap kejadian atau musibah yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.

Kita juga mestilah merenung kepada setiap apa yang berlaku disekeliling kita agar kita tidak menjadi agen yang menjemput bala yang dahsyat daripada Allah. Ingatlah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi daripada Sayyidina Ali:

قال الرسول e : إِذَا فَعَلَتْ أُمَّتِي خَمْسَ عَشَرَةَ خَصْلَةً حَلَّ بهَا البَلاءُ , قِيْلَ وَمَا هِيَ يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ قَالَ: إِذَا كَانَ المَغْنَمُ دُوَلا وَالأمَانَةُ مَغْنَمًا وَالزَّكَاةُمَغْرَمًا وَأَطَاعَ الرَّجُلُ زَوْجَتَهُ وَعَقَّ أُمَّهُ وَبَرَّ صَدِيْقَهُ وَجَفَا أَبَاهُ وَارْتَفَعَتِ الأصْوَاتُ فِى المَسَاجِدِ وَكَانَ زَعِيْمُ القَوْمِ أَرْذَلَهُمْ وَأُكْرِمَ الرَّجُلُ مَخَافَةَ شَرِّهِ وَشُرِبَتِ الخُمُوْرُ وَلُبِسَ الحَرِيْرُ وَاتُّخَذَتِ القِيَانُ وَالمَعَاِزفُ وَلَعَنَ آخِرُ هَذِهِ الأمَّةِ أَوَّلَهَا فَلْيَرْتَقِبُوْا عِنْدَ ذلِكَ رِيْحًا حَمْرَاءَ أَوْ خَسْفًا أَوْ مَسْخًا

“Apabila umatku telah membuat 15 perkara maka bala pasti akan turun kepada mereka. Lalu ditanya tentang apakah itu wahai Rasulullah? Jawab baginda :[1] Apabila hasil kekayaan negara hanya beredar di kalangan golongan tertentu sahaja [2] Apabila amanah dijadikan suatu sumber dalam mengaut keuntungan [3] Zakat dijadikan hutang [4] Suami menurut sahaja kehendak isteri [5] Anak derhaka terhadap ibunya [6] Anak terlalu mementingkan kawannya [7] Anak juga menjauhkan diri daripada bapanya [8]Suara sudah ditinggikan dalam masjid [9]Yang menjadi pemimpin di kalangan mereka ialah orang yang paling hina di antara mereka [10] Seseorang itu dipandang tinggi kerana ditakuti kejahatannya [11]Arak sudah diminum secara terang-terangan di merata tempat [12] Kain sutera banyak dipakai oleh kaum lelaki [13] Para artis disanjung tinggi [14] Muzik banyak dimainkan [15] Generasi akhir umat ini melaknat generasi pertama (para sahabat); Maka pada ketika itu mereka bakal ditimpa oleh angin merah atau gempa bumi atau diubah keadaan mereka menjadi binatang”.

%d bloggers like this: