Archive for 14 Mac 2011


Saya diminta oleh Ustaz Nik Anwar Zakaria el-Besuti untuk mengganti beliau mengisi satu slot berkenaan dakwah, di hadapan adik-adik peserta ‘kelab remaja ukhuwwah’ Kota Kinabalu di Masjid UMS petang sabtu lalu. Kebetulan saya memang berkelapangan ketika itu, maka undangan itu saya terima dengan terbuka, berhadapan dengan lebih 100 anak-anak muda yang bersemangat dari sepuluh buah sekolah sekitar Kota Kinabalu.

Tajuk slot saya ‘kenapa saya perlu berdakwah?’, selain menjawab persoalan berkenaan, juga menceritakan sedikit sebanyak peranan dakwah yang  mesti dimainkan oleh setiap orang walaupun ketika bergelar pelajar atau remaja. Barangkali sebilangan mereka saya lihat terpinga-pinga tuntutan berdakwah dalam usia mereka kerana hanya memahami skop dakwah yang terlalu sempit.

Dakwah dengan makna menyeru kearah kebaikan perlu dimanfaatkan oleh semua dalam hal ketika bercakap, menulis, berbuat sesuatu dan seumpamanya. Justeru setiap pendakwah mesti mempunyai ilmu, kesungguhan, kesabaran, persiapan dan latihan agar dakwah dan sasarannya menepati sebagaimana yang diharapkan. Dalam masa yang sama, kebergantungan kepada Allah SWT mestilah sentiasa dipupuk dalam jiwa dan diri seorang pendakwah, kerana usaha adalah daripada manusia sementara hidayah datang daripada Allah SWT.

Terima kasih urusetia penganjur khususnya adik Nun Dayah Abdul Hamid dan rakan-rakannya yang bertungkus lumus menjayakan program qiyamullail bulanan KRUKK. Sekalung tahniah untuk semua. Catatan lain boleh dibaca di sini.

Sumber : JHEAINS

Ma’ahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Akan Dinaikkan Taraf Jadi Institut Al-Quran

Oleh: Ahmad Haji Yassin

Kundasang – Ma’ahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Negeri Sabah yang terletak di Kepayan dekat sini akan dinaikkan taraf sebagai Institut Al-Quran yang dijangka bermula tahun ini, kata Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Haji Amri A Suratman. Menurut Datuk Haji Amri, bermula tahun ini juga peperiksaan akhir bagi peringkat Diploma akan diadakan di Ma’ahad Tahfiz Al-Quran & Wal Qiraat , Kota Kinabalu. Datuk Haji Amri menyatakan ini semasa berucap pada majlis penutupan penangguhan kursus lanjutan Tahsin Al-Quran siri ke-II di sini.

Seramai 12 orang peserta qari dan qariah yang dipilih oleh Bahagian Pendidikan JHEAINS mengikuti kursus lima hari itu bermula dari 6 hingga 11 Mac 2011, dibawah bimbingan Hajah Syarifah Khasif Fadzillah binti Syed Mohd Badiuzzaman, yang merupakan Johan Tilawah Al-Quran peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa 2008.

Menurut Pengarah JHEAINS, dengan penaikan taraf Ma’ahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Negeri Sabah kepada Institut Al-Quran, akan menjadikannya setaraf dengan pengajian Al-Quran dengan negeri-negeri lain bagi melahirkan pelajar yang mendapat lulusan Sarjana dalam bidang Al-Quran. Pada masa ini, Ma’ahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat hanya mengeluarkan lulusan Diploma dan peringkat Sijil sahaja.

Mengenai kursus lanjutan ini, beliau melihat sudah ada peningkatan yang ketara dalam pembacaan Al-Quran, terutamanya dalam bahagian Tajwid dan Tarannum.

“Bagaimanapun beliau menasihatkan para qari dan qariah supaya terus berusaha meningkatkan mutu bacaan mereka kerana ini penting dalam pemilihan qari dan qariah peringkat negeri yang akan diadakan pada bulan April tahun ini”, jelasnya.

Sementara itu, pembimbing kursus Tahsin Al-Quran, Hajah Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Baduizzaman berkata, beliau yakin para qari dan qariah yang mengikuti kursus yang diamanahkan ini mempunyai peluang yang baik dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri yang akan datang jika mereka berusaha bersungguh-sungguh.

%d bloggers like this: