Kompleks Star City bersebelahan dengan Asia City adalah satu lagi kompleks membeli belah di Bandaraya Kota Kinabalu. Bagi sesetengah orang Star City terkenal dengan sebuah dewan konferen yang besar yang selalu digunakan untuk acara-acara makan malam atau persidangan melibatkan ribuan orang. Di sini juga ada jualan barang-barang kraftangan tempatan yang banyak dijual di aras bawah.

Tengahari ini saya jalan-jalan di sini untuk membuat sedikit tinjauan beberapa perkara. Secara tidak sengaja sebenarnya saya terjumpa surau untuk muslimat di tingkat satu setelah sebelum itu ternampak tanda arah ke surau secara umum sahaja. Rupanya surau untuk muslimin (lelaki) terletak di atasnya, aras 2, perlu naik tangga berdekatan sahaja. Tanda arah di surau lelaki menuju ke surau wanita ada diletakkan, tetapi tiada tanda arah di surau wanita untuk ke surau lelaki, dan saya kira pihak pengurusan wajar memperbaiki keadaan ini.

Suasana dalam surau sederhana sahaja, tidak terlalu bersih dan tidak pula terlalu kotor. Ia boleh memuatkan kira-kira 15-20 orang pada satu-satu masa.  Ia terletak di hujung bangunan, berdekatan dengan kawasan parkir kereta, tetapi agak jauh juga bagi mereka yang berniaga atau bertugas di hujung yang satu lagi. Saya kira pihak pengurusan juga wajar memanggil Pejabat Mufti Negeri Sabah untuk ditentusahkan kiblatnya.

Mudah-mudahan catatan ini memudahkan pengunjung di Star City untuk menunaikan solat khususnya antara zuhur ke isyak pada waktunya di surau yang telah disediakan.