Kami tiba di terminal feri Kudat-Pulau Banggi hampir jam 10.30 pagi setelah perjalanan yang selesa dan santai hampir 3 jam dari Kota Kinabalu. Proses pertama ialah membeli tiket feri – rm10 sahaja untuk seorang bagi perjalanan yang dimaksudkan pada jam 1.30 tengahari. Kelihatannya ada beberapa feri ekspress yang melakukan perkhidmatan antara tanah besar ke Pulau Banggi mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Proses kedua ialah mengangkut barangan yang kami bawa untuk disampaikan kepada sasaran, dari kenderaan dibawa masuk ke feri berkenaan terlebih awal. Maklumlah ada lapan kotak pakaian, beberapa kotak kurma, 200 bungkus ubatan asas dan lain-lain lagi untuk diagihkan nanti. Selesai kesemuanya, kami beredar untuk berehat, membeli barang keperluan lain untuk sehari semalam di pulau ini nanti. Selesai membeli, kami beredar untuk solat zuhur dan asar di Masjid Pekan Kudat dan seterusnya bergerak kembali ke terminal untuk meneruskan perjalanan dan misi ke pulau berkenaan.

Terminal ini menjadi penghubung dan laluan penting dan utama penduduk di kedua-dua kawasan. Saya difahamkan ada kapal besar yang juga boleh membawa kenderaan ke pulau dengan bayaran antara rm500-rm700 bagi sebuah kenderaan. Untuk feri ekspress yang kami naiki ini, kami melihat ada juga penumpang yang membawa motorsikal, mengikat kemas motornya di sisi feri. Sayangnya saya tidak sempat merakam.