Jika bermusafir ke mana-mana, saya sedapatnya menyinggah ke mana-mana masjid atau surau berhampiran. Saya juga menyanjung tinggi usaha-usaha membina, mengada dan mengimarahkan surau atau masjid apatah lagi di kawasan yang strategik dan diperlukan oleh masyarakat setempat.

Sesekali berkunjung ke Pasar Tanjung Tawau yang terkenal itu, saya sempat solat di Surau Nurul Iman, tingkat 2 bangunan pasar berkenaan. Ia boleh memuatkan sekitar 50 orang pada satu-satu masa. Saya lihat, pengurusan surau berkenaan juga mempunyai jawatankuasanya sendiri, kutipan tabung dan hiasan bermanfaat yang ditampal dan digantung di dalamnya.

Kesibukan urus niaga, membeli belah dan sebagainya sewajarnya tidak menjadi alasan untuk meninggalkan solat apatah lagi jika kemudahan sudah disediakan. Selesai solat bersama Cikgu Rahman, saya kembali ke premis-premis pasar mencari buah tangan untuk dibawa balik ke Kota Kinabalu.