Archive for 30 Oktober 2008


Jam 5 petang, masing-masing berkemas untuk kembali ke tempat penginapan. Semua keluarga dibenarkan untuk acara bebas, sama ada hendak terus pulang atau hendak singgah ke mana-mana.

Isteri saya mengingatkan agar singgah ke Pekan Ranau membeli ubat gamat untuk sapuan anak kecil yang kebetulan habis sebelum berangkat bercuti.

Sampai ke bilik, anak-anak hendak mandi sekali lagi.

Sedang 3 orang mandi ditemani oleh isteri saya, tiba-tiba hero saya yang seorang itu meraung kuat.

Rupanya, dia memusing sendiri pemegang air pancut itu sehingga air panas memancut laju menyimbah kepala dan belakang badannya.

Isteri saya segera menyapu ubat gamat yang baru saja dibeli setengah jam tadi.

Saya teringat, Allah SWT rupanya telah gerakkan isteri saya awalnya tadi agar membeli ubat itu, tanda kasihNya kepada kami.

Belakang tubuh anak saya sedikit melecur kemerahan. Aduhai anak lelaki!

Simpang masuk ke sini hanya beberapa minit selepas simpang ke Sabah Tea, dan di sampingnya pula terletaknya Masjid Amal yang menjadi mercu tanda perjuangan Yayasan Amal Malaysia di Sabah.

Di simpang ‘Tagal’ Sg Moroli, setiap dewasa membayar RM5 sebelum dibenarkan masuk.

Tenang dan sejuk mata melihat air sungai yang sangat jernih, sehingga kelihatan ikan-ikan berenang di dalamnya.

Bahkan ikan-ikan itu nampak ‘manja’, apabila berani mendatangi orang-orang yang berada hampir dengan ikan-ikan tersebut.

Ikan-ikan itu mengucup tangan dan kaki dengan mulut mereka.

Sambil-sambil mengambil gambar, anak-anak mula menarik tangan saya minta izin hendak mandi.

Sedang mandi, payah pula hendak berhenti walaupun mulut dan bibir sudah kelihatan menggigil.

Sambil sebahagian anak-anak dipimpin mandi, sebahagian lain pula sibuk membelah durian, asyik merasmi dan mencuba.

Manis rasanya.

“Meh sini sebiji, saya rasmikan sebiji..”

Lepas sebiji, sebiji lagi.

Entah adakah anak-anak yang asyik mandi dan berendam di sungai itu ada diingatkan durian di darat. 🙂

Seronok juga melihat beberapa orang memperlihatkan kebolehan mengopek durian.

Almaklum, orang kampung juga asalnya.

Tapi kalau kepakaran makan durian, lagi ramai. :))

Sementara yang lain asyik merasa, Hjh Zuraidah bersama kroni-kroninya sibuk mengacau nasi pulut durian dengan sentuhan tangannya sendiri.

Sedap, kata yang merasa. Saya tak sempat pun.

Sekitar jam 2 petang, kami semua bertolak pula ke Kg Luanti, sebuah perkampungan betul-betul di tepi jalan utama ke Sandakan.

Perjalanan sejam itu yang dipimpin oleh Ust Mad sebenarnya hendak ke Sungai Moroli untuk memberi ruang kepada anak-anak untuk bermandi-manda dan bergembira bersama ahli keluarga.

Sebelum masuk ke kawasan penempatan sungai, bersama Ust Mad, Ust Zul, Hj Razali dan abang Piee, kami singgah sebentar memborong durian yang dijual di tepi-tepi jalan kampung ini untuk ‘dikerjakan’ semasa berkelah.

Lebih RM300 dihabiskan hasil daripada duit yang dikutip dari semua ahli keluarga untuk membeli durian.

Menurut maklumat yang disampaikan oleh para penjual di situ, jualan kali ini bukannya hasil durian mereka sendiri, tetapi adalah durian yang dihasilkan dari kampung-kampung berdekatan.

Sambil itu, mereka menjemput lagi untuk datang sekitar hujung Febuari atau awal Mac kerana durian dari kampung mereka dijangka akan mula dijual.

Ketika itu kata mereka, bolehlah mereka menjual lebih murah lagi berbanding sekarang.

Selain durian, terdapat juga buah rambutan dan petai yang dijual sama.

Saya dan beberapa yang lain sempat membeli juga durian dan yang lain sebagai buah tangan masing-masing untuk dibawa balik apabila kembali keesokan harinya.

Beberapa minit berada di bilik penginapan masing-masing, kesemua ahli keluarga berkumpul beramai-ramai kesemuanya, menikmati juadah tengahari.

Sebagaimana yang telah dipesan beberapa hari sebelum berangkat, setiap keluarga dikehendaki membawa juadah tengahari masing-masing dan dikumpul untuk dinikmati bersama setiba di Zen Resort ini.

Seronok melihat semua ahli keluarga duduk santai bersama-sama, membentang tikar dan suratkhabar, duduk bersila, sambil melihat telatah anak-anak kecil merengek meminta itu dan ini.

Bak kata abang Jamil, payah nak memilih menu kerana pilihan yang terlalu banyak.

Syukur alhamdulillah atas nikmat rezeki makanan yang begitu banyak.

Tidak lupa nikmat menghirup udara segar kundasang yang sangat nyaman dan menyegarkan.

Resort ini lokasinya tidak jauh dari Pekan Kundasang.

Jika saudara berada di laluan utama di Kundasang, sebelum bertemu simpang menuju ke Masjid Jamek Pekan Kundasang dan Hotel Perkasa, kita akan bertemu terlebih dahulu satu simpang di kanan yang menunjukkan arah ke resort ini.

Bergerak perlahan dengan kenderaan tidak sampai 5 minit, kita akan bertemu dengan gerbang dan tanda nama resort ini.

Selesai makan, solat jamaah zuhur + asar didirikan dipimpin oleh Ust Nor Azamuddin.

Selepas ini, kesemua rombongan akan bertolak ke Sungai Moroli Kg Luanti untuk menikmati durian dan mandi-manda di sana pula.

Ahad lepas, saya sekeluarga menyertai rombongan 18 keluarga dengan jumlah 15 kenderaan sebahagian besarnya berkonvoi ke Kundasang menghabiskan masa sehari semalam di Kundasang dan Ranau.

Program ini adalah anjuran JK Surau Riyadhus Solihin, Taman Austral yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi Ust Mohammad Shuaid yang menjadi penggerak utama bersama SU Hj Omar Tompang.

Perjalanan bermula hampir jam 10 pagi dengan taklimat keselamatan dan adab berkonvoi disampaikan oleh abang Jamil Dan di premis Pusat Pendidikan an-Nur dihadiri oleh semua ketua keluarga.

Beberapa etika dimaklumkan antaranya tidak dibenarkan memotong kenderaan sesama sendiri, kelajuan tidak melebihi 90km, dan setiap pemandu mengenalpasti kenderaan sahabat di hadapan dan di belakangnya bagi memastikan tidak ketinggalan terlalu jauh.

Setelah doa dirafa’kan, perjalanan 2 jam dimulakan dengan abang Piee memimpin kenderaan di hadapan, Ust Mizan di tengah  dan abang Jamil mengawal di belakang 11 kenderaan.

Manakala beberapa kenderaan lain ada yang terpaksa bergerak lebih awal atau lambat sedikit atas urusan yang pelbagai.

Secara umumnya, perjalanan diiringi dengan hujan renyai-renyai di sepanjang laluan 100km itu.

Alhamdulillah, kesemua 18 keluarga selamat  tiba di tempat penginapan Zen Resort Garden, Kundasang hampir jam 12 tengahari dan semuanya mendapatkan kunci bilik untuk meletakkan barang dan rehat seketika…

(bersambung)

 

%d bloggers like this: