17 Okt. Walaupun sibuk menyemak al-Quran, sekitar jam 5 petang, saya mencari ruang untuk ke Kedai Buku Galeri Nufair.

Terletak di Jalan Pahang Barat, Galeri Nufair hanya berada di belakang Hospital Tawakkal. Jika hendak ke sana menaiki teksi, sebut saja hendak ke Hospital Tawakkal.

Berhenti di sana dan berjalan kaki tidak sampai 5 minit, kita akan bertemu dengan premisnya.

Berada sebaris dengan Galeri Nufair ialah Restoran Haslam milik Dato’ Yusuf Haslam dan di aras atas sebelah Nufair ialah pejabat akhbar rasmi PAS, Harakah.

Meskipun ruang premis Galeri Nufair tidak besar, tetapi banyak bahan-bahan yang boleh dimanfaatkan terutama buku-buku berkait dengan harakah Islamiyyah, khususnya tulisan-tulisan terkini dua tokoh ulama, Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang.

Kunjungan kali ini adalah yang ketiga. Kali pertama dahulu, pada bulan Febuari ditunjuk dan dihantar oleh Abang Mad. Kali kedua Mei lalu pula saya berhabis tidak kurang RM500.00 membeli buku di kedai ini.

Kali ini tidak banyak, tidak sampai RM200.00 dihabiskan.

Seperti kunjungan kali pertama dan kedua, saya menghabiskan kira-kira 2 jam, mundar-mandir meronda ke depan dan belakang, membelek satu-persatu kalau boleh, sehingga kedai hampir tutup pada jam 7 malam.

Pelanggan yang mempunyai kad keahlian akan diberikan diskaun 10%.

Saya sarankan saudara kalau berkunjung ke ibu negara, tidak melepaskan peluang ke Galeri Buku Nufair ini, sama ada bagi mencari buku, vcd, serta pelbagai aksesori Pakatan Rakyat seperti baju, payung, sticker, kopiah, topi, dan bermacam lagi.

Datang, jangan tak datang!

GALERI BUKU NUFAIR STREET SDN BHD, 22A JALAN PAHANG BARAT, KUALA LUMPUR. TEL : 03-40253525. FAX : 03-40253307. EMEL : admin@nufair.com