Archive for 10 Oktober 2008


TAHNIAH MD SOFIAN & ROSMAWATI

Selepas solat Jumaat, diadakan majlis akad nikah antara Sdr Mohd Sofian Hj Ag Damit, 26 dan Rosmawati Azhar, 23 tahun.

Mereka berdua dinikahkan dengan sekali lafaz sahaja oleh Tuan Imam Hj Ajamain Hj Abd Mujib.

Akad nikah diadakan di dalam Masjid as-Sobirin Kg Takis yang hanya terletak berhadapan dengan rumah pengantin lelaki yang berasal dari kampung ini.

Sementara pengantin perempuan pula berasal dari Kg Nagapas Papar.

Acara berjalan lancar dengan saya memerhatikan kebijaksanaan imam meminta semua yang hadir bersama-sama beristighfar dan mengucap dua kalimah syahadah, sebelum akad nikah dilangsungkan.

Hanya perkara yang sering saya  kesalkan ialah penampilan sebahagian kaum wanita  (bukan sahaja di tempat ini – sebenarnya di banyak tempat) dalam majlis pernikahan.

Apabila pernikahan dilangsungkan di dalam masjid, terdapat di kalangan mereka yang tidak menutup aurat.

Fahamilah bahawa masjid, – walaupun tarafnya masjid kampung – adalah rumah Allah yang mesti dihormati dan dimuliakan.

Sebab itu dituntut mendirikan 2 rakaat terlebih dahulu sebagai penghormatan kepada masjid.

Tidak solat tahiyyatul masjid sahaja, adab dan penampilan ketika berada di dalamnya pun mesti diambil kira.

Sekiranya mereka yang hadir tidak takut dosa membuka aurat sekalipun, hormatilah masjid kerana ia adalah rumah Allah, di mana solat dan sujud dilakukan di dalamnya.

Sekiranya kepada pelancong bukan Islam kita boleh kenakan peraturan dengan menyediakan pakaian tertentu,  sudah tentu kepada tetamu di kalangan muslimat sendiri boleh mengenakan pakaian yang menurut syara’.

Kadang-kadang pengiring pengantin beraksi lebih ‘daring’ berbanding pengantin sendiri. Ini belum lagi diketahui jika ada yang sembarangan masuk dalam keadaan haid atau berhadas besar.

Pihak JK masjid terutama para imam dan ustaz serta mereka yang berkaitan mesti memberikan kefahaman kepada mereka yang bakal hadir.

Nikah di masjid adalah satu yang baik, tetapi memuliakan masjid sudah tentu lebih utama.

Apapun tahniah kepada kedua-dua pengantin, semoga menjadi pasangan yang baik. Jangan tinggal solat, saling komunikasi dan menutup aurat apabila keluar rumah.

Seringlah berdoa kepada Allah, mohon dikurniakan petunjuk daripadaNya.

SUKA BERPRASANGKA

Ketika tiba di Masjid as-Sobirin, Kg Takis Papar hampir 12.30 tengahari bagi memenuhi undangan selaku khatib sebentar tadi, saya terbaca satu puisi menarik yang ditampal di papan kenyataan masjid.

Puisinya bertajuk ‘Suka Berprasangka’, tetapi tidak dicatatkan penulis asalnya.

Hayatilah.

Mudah-mudahan ia bermanfaat untuk diri saya sendiri.

Walaupun sedikit letih, saya gagahi juga memenuhi undangan sahabat baik saya Cikgu Md Nasirin Abd Ghani, tenaga pendidik di SM Teknik Likas ke sekolah mereka malam tadi.

Tidak sekadar SMS jemputan, bahkan dihubungi lagi untuk mengingatkan saya agar hadir ke majlis malam kesenian itu.

Tidak banyak foto saya ambil, kerana tidak berhasrat mengganggu pandangan penonton yang asyik dengan persembahan demi persembahan pentas.

Nasyid, pantomen, tayangan multimedia dan sebagainya.

Saya ingin adik-adik penonton selesa tanpa gangguan berbanding jika saya asyik tampil ke hadapan mengambil gambar sekaligus menghalang  pandangan mereka ke arah pentas.

Saya berharap ada beberapa sahabat blogger yang hadir akan membuat laporan yang lebih baik beserta gambar yang lebih lengkap berkenaan majlis ini.

Saya banyak memerhatikan di belakang, dan tidak menumpu sepenuhnya satu-persatu acara di hadapan.

Sesekali melihat gelagat nakal adik-adik pelajar lelaki yang menonton majlis ini.

Benar, kita sering mengatakan muzik itu melalaikan, hiburan ini haram, persembahan sekian dosa, bermacam lagi. Tetapi kita tidak menyediakan alternatif yang baik dan syar’ie untuk anak-anak muda remaja berhibur.

Mereka perlu meluah dan mengasah bakat seni yang mengalir di dalam tubuh mereka setelah letih dan menghadapi tekanan belajar.

Usaha sekolah ini, khususnya buat sahabat saya Nasirin memang sangat baik. Namanya pun Nasirin.

Saya dimaklumkan Nasirin begitu bersungguh-sungguh menjayakan program ini sedari awal sehingga tamat, bahkan sehingga menutup dewan sekolah pun dia nampaknya sendirian.

Saya melihat wajah letihnya seusai program itu habis. Tetapi saya tahu dia tidak pernah jemu, khusus mendidik pelajarnya cintakan Islam dengan cara mereka sendiri.

Nasirin nampak bersemangat, dalam suara serak dahaganya, dia meluahkan kepada saya projek meganya tahun hadapan untuk para pelajar sekitar Kota Kinabalu. Projek besar juga nampaknya.

Insya Allah, kami sedia membantu semampunya. Saya nampak potensi program yang dicita-citakannya.

“Jika kamu tolong Allah, Allah pasti menolong..”

Mengubati sedikit kesedihan akibat kehilangan Fenda, tengahari semalam, 9hb saya keluar ke bandaraya mencari anak-anak arnab yang baru.

Premis yang menjadi sasaran ada di dua lokasi.

Lokasi pertama, di Asia City, sebaris dengan restoran Sempelang, dan tidak jauh dari lokasi bazar Ramadhan.

Premisnya kecil sahaja, tetapi tidak pernah sunyi daripada kunjungan pelanggan yang tertarik dengan anak-anak arnab yang kiut-kiut itu.

Di sinilah pada 10 Zulhijjah 1428H, raya haji tahun lepas, saya jatuh hati da memiliki keempat-empat ekor arnab itu.

Premis kedua, hanya gerai tepi jalan di Kompleks Karamunsing.

Bukan di dalam bangunan tetapi di luar, berdekatan dengan kawasan perhentian teksi.

Di lokasi kedua ini lebih banyak arnab yang dijual, cuma ketika saya datang, lebih 20 ekor sudah diborong oleh seorang pelanggan mereka yang hendak menjualnya di Tawau.

Setiap premis itu, saya membeli sepasang arnab. Ertinya empat ekor.

Arnab-arnab ini dijual antara 15-35 ringgit seekor, bergantung kepada jenis arnab.

Kesemua anak-anak arnab yang dijual hanya berumur sekitar sebulan dan kedua-dua premis ini mengambil bekalan arnab dari ladang yang sama di Penampang / Putatan. Saya terlupa lokasi tepatnya.

Kami masih memikir nama untuk keempat-empat anak arnab ini. Apa yaa…

%d bloggers like this: