Archive for 21 Oktober 2008


Menurut peraturannya, setiap al-Quran yang hendak dijual dan dipasarkan di Malaysia, ia hendaklah diluluskan terlebih dahulu oleh Lembaga Kawalan Teks al-Quran.

Manakala sebelum ia diluluskan, pruf akhir al-Quran akan disemak terlebih dahulu oleh Lajnah Tashih al-Quran.

Lajnah ini akan menyemak dan kemudian akan memberikan pandangan terhadap bahan yang telah disemak dan dikemukakan kepada lembaga untuk membuat keputusan.

Wakil lajnah akan membentangkan pandangan dan cadangan, membentangkan hujjah kenapa satu-satu bahan ditolak berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

Sebagaimana saya sebutkan terdahulu, lajnah ini berada di satu unit dalam Kementerian Dalam Negeri, iaitu Unit Kawalan Teks al-Quran.

Unit ini kini dipimpin oleh Ust Abd Rani Osman, selaku Ketua Penolong Setiausaha.

Manakala di atas unit ini ialah Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran yang diketuai oleh Tuan Che Din bin Yusoh.

Unit ini akan menerima permohonan penerbit atau pengedar, dan kemudiannya memanggil kami selaku ahli lajnah untuk memeriksa bahan-bahan yang dikumpul.

Kebiasaannya, setahun empat hingga lima kali mesyuarat penyemakan akan dilakukan, bergantung kepada banyak atau sedikit bahan yang diterima oleh unit ini.

Setiap bahan sama ada teks, digital atau vcd disediakan sebanyak dua set.

Oleh itu, setiap juzu’ yang sama disemak dua kali. Semakan pertama dan semakan kedua.

Misalnya, bahan teks al-Quran 30 juzu’, terbitan syarikat A.

Syarikat A dikehendaki menyediakan dua mushaf pruf akhir untuk disemak.

Setiap juzu’ 1 hingga 30 akan diceraikan untuk disemak oleh ahli lajnah.

Satu orang satu juzu’. Itu semakan pertama.

Kemudian diedarkan pula bahan yang sama tetapi pruf akhir yang kedua.

Setiap ahli akan menerima semakan kedua dalam juzu’ yang berlainan.

Itu baru terbitan syarikat A. Belum syarikat B, C… kebiasaannya sehingga 20 bahan ke atas, sehingga setiap ahli menyemak sekitar 20 juzu’ ke atas.

Bahan yang berbentuk mushaf, apabila menyemaknya, ditanda dengan pen merah di bawah kalimah atau huruf menandakan ia sudah disemak.

Setiap huruf, baris, titik, syaddah, muka surat, surah dan juzu diperhati satu demi satu.

Jika bertemu kesalahan, sama ada besar atau kecil akan dibulatkan dan kemudian dikira sesudahnya untuk dijumlahkan.

Termasuk kesalahan ialah apabila terdapat sebarang bentuk, ukiran, tanda atau tulisan yang tidak perlu dan tiada kaitan dengan al-Quran atau rasm uthmani perlu ditanda bulatkan.

Semua yang dinamakan kesalahan itu sudah distandardkan dalam buku manual.

Cuma apabila timbul kekeliruan, mesyuarat akan berbincang dan memutuskan secara muafakat, apakah penemuan itu dikira kesalahan atau tidak.

Jika ia satu kesalahan, adakah kesalahan besar atau kecil.

Pada hujung mesyuarat, setelah semua bahan siap disemak, dilapor dan diserahkan, kesemua kesalahan jika ada akan dijumlahkan.

Jika ia bersih daripada kesalahan, maka ia diterima. Jika terdapat kesalahan, maka dilihat, berapa kesalahan besar dan kecil.

Jika berlaku kesalahan minimum, (saya lupa jumlahnya yang tepat) ia diterima dengan pembetulan.

Ertinya, penerbit hendaklah membetulkan kesilapan yang ditandakan, kemudian mengemukakan bahan yang sama untuk disemak semula, adakah kesalahan sebelum itu sudah dibetulkan atau belum.

 Jika sudah, maka bahan itu akan dicadang untuk diluluskan.

Sementara jika kesalahan terlalu banyak, maka bahan berkenaan ditolak.

Jika penerbit masih berminat, ia hendaklah mengemukakan bahan baru.

Perlu diingat, ahli lajnah tidak sewenang-wenang menerima atau menolak satu-satu bahan, dan tidak berkompromi dengan satu kesalahan sekalipun, demi menjaga kesucian al-Quran.

Begitu juga akhir-akhir ini, banyak bahan dalam bentuk digital dikemukakan.

Walaupun ahli lajnah memahami kemajuan teknologi zaman moden serta kepentingan dakwah, tidak bermakna bahan-bahan bentuk baru ini diterima dengan mudah.

Kebanyakannya ditolak kerana mempunyai banyak kesalahan.

Dalam kita memanfaatkan teknologi sekalipun, kesahihan al-Quran dari segi tulisan, atau bacaan mestiah diutamakan.

Kemudian, semua keputusan di peringkat lajnah akan dibawa ke mesyuarat lembaga untuk diputuskan sama ada diluluskan atau tidak.

Maka, apabila lulus, keputusan berkenaan akan dimaklumkan kepada penerbit atau pengedar terbabit.

Maka, akan kelihatanlah cop Lembaga Kawalan Teks al-Quran yang ditandatangani oleh pengerusi di belakang mushaf.

Demikianlah kisah ringkasnya.

Khamis 16 Okt sekitar jam 12 tengahari, bersama beberapa ahli lajnah dari Sarawak, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan dan Pahang, kami tiba di KL International Hotel.

Ini adalah kali kedua saya menginap di sini setelah kali pertama pada tahun 1995. Masa tu umur pun baru 16 tahun.

Saya ingat lagi, ketika itu saya menyertai Majlis Menghafaz al-Quran Kebangsaan di Dewan Muktamar Pusat Islam sebagai peserta dari Sabah, mewakili kategori 3 juzu’.

Guru pengiring saya ialah Ust Pajuddin Nordin.

Ketika itu, antara hakim-hakimnya ialah Sheikh Kadri Abd Hamid (Kedah), Ust Khairul Anwar Mohammad (Terengganu), Ust Azhari Othman (Kelantan), yang mereka ini kini adalah ahli lajnah tashih al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Saya kini pula menyertai mereka di dalam lajnah ini.

Sebab itu dalam tulisan lalu, saya mengatakan betapa segannya saya berhadapan dengan mereka yang saya sangat hormati ini.

Oleh kerana sesi kali ini adalah yang pertama setelah lantikan baru untuk sesi 2008-2010, satu mesyuarat khas telah diadakan untuk membuat pemilihan AJK dengan melakukan undian sulit sesama ahli lajnah.

Ia didahului dengan taklimat ringkas Ust Abd Rani Othman, Ketua Penolong Setiausaha (KPSU), Unit Kawalan Teks al-Quran, KDN.

Oleh kerana prestasi cemerlang AJK sebelum ini, semua penjawat terdahulu kembali memegang jawatan masing-masing, kecuali Naib Pengerusi 1 yang sebelum ini dipegang oleh Shaikhul Maqari Ust Osman Hamzah yang kini sedang melanjutkan pelajaran.

Setelah pengumuman selesai, surat-surat perlantikan sebagai ahli lajnah disampaikan oleh Ust Abd Rani kepada semua ahli lajnah yang hadir.

Penerima pertama ialah Pengerusi Lajnah yang mengekalkan jawatan, Dato’ Shaikh Hj Md Nor Mansur diikuti oleh ahli lajnah yang lain.

Senarai Pemegang Jawatankuasa Lajnah sesi 2008-2010 :

Pengerusi : Dato’ Shaikh Hj Mohammad Nor Mansur
Timbalan : Ust Hj Azhari Othman
Naib 1 : Dato’ Hj Solahuddin Omar
Naib 2 : Ust Hj Shafie Shaari

Setiausaha : Ust Hj Shaharuddin Pangilun
Penolong 1 : Ust Hj Kamaruddin Komeng
Penolong 2 : Ust Hj Zaher Ruddin Mokhtar

Bendahari : Ust Hj Hashim Othman
Penolong : Ust Hj Muridi Hj Mohammad

Ahli lajnah mengikut wakil negeri :

1) Dato’ Shaikh Hj Mohammad Nor Mansur (Imam Besar Perak)
2) Ust Mazlan Md Zaini (Pensyarah Maahad Tahfiz Perak)

3) Sheikhul Maqari Ust Hj Othman Hamzah (Selangor)
4) Ust Hj Shaharuddin Pangilun (Pensyarah KUIS Selangor)

5) Dato Sha’ari @ Shangari Abdullah (Qadhi Besar Johor)
6) Ust Hj Kamaruddin Komeng (Pensyarah Maahad Tahfiz Johor)

7) Ust Hj Ahmad Hj Hashim (Pensyarah Kolej Antabangsa P.Pinang)
8 ) Ust Hj Muhammad Helmi Ismail (Pensyaah Kolej Antabangsa P.Pinang)

9) Ust Hj Shafie Shaari (Pengetua Institut Tahfiz N. Sembilan)
10) Ust Hj Zaher Ruddin Mokhtar (Imam Besar N. Sembilan)

11) Ust Wan Ahmad Alauddin Hj Abd Rahman (Pegawai HEI, JAIN Kedah)
12) Ust Sheikh Roslan Abd Halim (Imam Besar Masjid Zahir, Kedah)

13) Dato’ Hj Zulkifli Hj Ali (Pengetua Maahad Tahfiz Pahang)
14) Ust Nasharuddin Ngah (Pensyarah Maahad Tahfiz Pahang)

15) Ust Hj Abd Rahim Md Zain (Pensyarah KIAS, Kelantan)
16) Us Khairuddin Mohamed (Pegawai HEI, JHEAI Kelantan)

17) Ust Moghni Israri (Imam Masjid Wilayah Persekutuan KL)
18) Ust Zanizan Ismail (JAWI KL)

19) Dato’ Hj Idris Talib (Pegawai HEI, Melaka)
20) Ust Hj Mohammad Hashim (Imam Besar Masjid al-Azim Melaka)

21) Ust Hj Hashim Othman (Pegawai Penyelidik, JAIN Perlis)
22) Ust Hj Muridi Hj Mohammad (Imam 1 Masjid Negeri Perlis)

23) Ust Shukri Sarkawi (Pegawai HEI, JAIN Sarawak)
24) Ust Yussof Hazmi (Pen Pegawai HEI, JAIN Sarawak)

25) Ust Hj Muhammad Akmal Othman (Pen Pegawai HEI JHEAIN Sabah)
26) Ust Hj Ibrahim Kisab – (Imam Besar Masjid Negeri Sabah) (Ahli Baru)

27) Ust Aizi Abd Aziz – (Imam Besar Masjid Negeri Terengganu) (Ahli Baru)
28) Ust Ku Apwa Ku Ibrahim – (Guru SMA Atas Sultan Zainal Abidin Terengganu) (Ahli Baru)

Dua ahli mewakili JAKIM :
29) Ust Hj Azhari Othman (Pensyarah Darul Quran, Selangor)
30) Ust Md Tahir Abd Manap (Pen. Pengarah Darul Quran, Selangor)

Manakala baki lima orang adalah pilihan KDN sendiri :
31) Dato’ Hj Solahuddin Omar (Pahang)
32) Ust Md Ilham Hj Ikhsan (Pesara – Selangor)
33) Ust Makhadzir Abdan (Pegawai HEI, Pejabat Agama Islam Johor Bahru)
34) Ust Sheikh Kadri Abd Hamid (Pensyarah Kolej Univ Insaniah, Kedah)
35) Ust Khairul Anwar Mohammad (Pensyarah USIM, N. Sembilan)

%d bloggers like this: