Sama ada untuk peribadi saya, atau untuk keluarga kami, percutian ini sangat banyak manfaat.

Manfaat daripada sudut ukhuwwah Islamiyyah, pengisian sepanjang percutian seperti solat berjamaah, kuliah dan sebagainya, mahupun pengajaran-pengajaran yang berlaku secara tersirat di sepanjang perjalanan pergi dan balik.

Tidak lupa ketika merenung dan melihat keindahan bumi Kundasang,  juga kesegaran dan kedinginannya terutama pada waktu pagi sangat menyentuh perasaan.

Dengan nikmat yang tidak terhitung banyaknya, sangat wajar kuliah subuh itu Ust Azam menyentuh soal syukur dan puja puji kita kepada Allah SWT.

Walaupun hajat tidak terpenuh kerana tidak dapat melihat gunung Kinabalu jarak dekat kerana kabus tebal mengelilinginya, tidak mengapalah.

Sebenarnya, bagi saya keinginan melihat keindahan gunung Kinabalu tidak pernah pudar.

Baik dari jauh bahkan dari Kota Kinabalu, dari udara dan dari dekat, mata sentiasa seronok melihat keperkasaan gunung kebanggaan ini.

Walaubagaimana sekalipun keperkasaan gunung itu, ia tetap makhluk Allah.

Segagahnya pun, ia pasti jatuh rebah jika Allah menurunkan al-Quran ini ke pangkuannya, kerana takutkan Allah.

Allah jadikan gunung menjadi pasak bumi.

Bukan untuk bumi saja, bahkan menjadi tamsilan kepada manusia agar berfikir, gunung yang gagah pun tersungkur takutkan Allah.

Kita pula bagaimana?