Ada beberapa hadith berkenaan hal ini saya petik daripada kitab al-Azkar Imam Nawawi yang saya baca buku ini dalam kuliah di Masjid Nurul Ihsan, Kg Lok Kawi Baru.

Saya turunkan secara ringkas :

Ulama’ sepakat bahawa sunnat berzikir selepas solat. Terdapat beberapa hadith sahih di dalam masalah ini, maka kami sebutkan beberapa hadith yang penting, antaranya :

Daripada Abu Umamah RA katanya : Rasulullah SAW ditanya : “Mana satu doa yang lebih diperhatikan Allah?” Baginda menjawab : “Doa pada tengah malam, dan selepas solat fardhu” (HR at-Tirmizi)

Daripada Ibnu Abbas RA katanya :
“Aku mengetahui selesainya solat Rasulullah SAW dengan suara takbirnya”. (HR al-Bukhari). Dalam riwayat Muslim ditulis dengan perkataan ‘kami’.

Daripada Ibnu Abbas RA katanya :
“Sesungguhnya, menyaringkan suara dengan berzikir ketika orang sudah selesai mengerjakan solat wajib, sudah berlaku pada zaman Rasulullah SAW”.

Kata Ibnu Abbas : “Aku mengetahuinya apabila mereka telah selesai solat dengan demikian itu (berzikir dengan kuat), apabila aku mendengarnya”. (HR al-Bukhari & Muslim)

Daripada Abdullah bin az-Zubair RA :

أنه كان يقول دُبُرَ كلّ صلاة حين يسلم‏:‏ ‏”‏لا إلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحدَهُ لا شَريكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ وَهُوَ عَلَة كُلّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، لا حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ باللّه، لا إِلهَ إِلاَّ اللّه وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إيَّاهُ، لَهُ النِّعْمَةُ ولَهُ الفَضْلُ، وَلَهُ الثَّناءُ الحَسَنُ، لا إلهَ إِلاَّ اللّه مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الكافِرُونَ‏”‏ قال ابن الزبير‏:‏ وكان رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم يهلّل بهنّ دُبُرَ كُلِّ صلاة‏.‏

Selepas selesai solat, beliau membaca sesudah salam : “[Tiada Tuhan kecuali Allah, yang Maha Esa, tiada sekutu untukNya, milikNya segala kerajaan. MilikNya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Tiada daya dan upaya kecuali dengan izin Allah. Tiada Tuhan kecuali Allah, tidak ada yang kita sembah melainkan Dia semata-mata. MilikNya segala kenikmatan dan keutamaan. Segala pujian yang baik milikNya. Tidak ada Tuhan kecuali Allah, keranaNya kami beragama dengan tulus ikhlas, walaupun dibenci oleh orang kafir”].

Ibnu Zubair berkata : “Rasulullah SAW bertahlil dengan zikir ini selepas solat”. (HR Muslim)

Daripada Abu Hurairah RA :
“Sesungguhnya orang faqir daripada kalangan muhajirin datang mengadu kepada Rasulullah : “Orang-orang kaya pergi dengan kedudukan darjat yang tinggi dan nikmat yang abadi mereka solat sebagaimana kami solat. Mereka puasa sebagaimana kami puasa. Tetapi mereka punya kelebihan harta, mereka menunaikan haji, umrah, berjihad dan bersedekah”.

Sabda Nabi SAW : “Mahukah kamu kuajar satu amalan yang kamu akan menyertai orang yang mendahului kamu, dan kamu mendahului orang selepas kamu, tidak ada orang yang lebih utama daripada kamu kecuali orang yang beramal seperti kamu?” Jawab mereka : “Sudah tentu kami mahu wahai Rasulullah!” Sabda Rasulullah : “Hendaklah kamu bertasbih, bertahmid, bertakbir selepas solat sebanyak 33 kali” (HR al-Bukhari & Muslim)

Abu Soleh, perawi hadith ini berkata : Daripada Abu Hurairah RA, ketika ditanya tentang kaifiat zikir itu. Jawabnya : “Subhanallah, walhamdulillah, wallahu akbar, sehingga setiap satunya dibaca sebanyak 33 kali”.

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Rasulullah SAW :
“Sesiapa yang bertasbih kepada Allah selepas solat sebanyak 33 kali, bertahmid kepada Allah 33 kali, bertakbir kepada Allah 33 kali, dan menyempurnakan ke seratus dengan menyebut : [Tiada Tuhan kecuali Allah, yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya. MilikNya segala pujian. Dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu]. (Sesiapa membaca demikian), diampunkan dosanya walaupun sebanyak buih di lautan”. (HR Muslim)

Daripada Saad bin Abi Waqqas RA :

أن رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم كان يتعوّذ دُبُرَ الصلاة بهؤلاء الكلمات‏:‏ ‏”‏اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الجُبْنِ، وَأعُوذُ بِكَ أنْ أُرَدَّ إلى أَرْذَلِ العمُرِ، وأعُوذُ بِكَ مِنْ فتْنَةِ الدُّنْيا، وأعُوذُ بِكَ منْ عَذَابِ القَبْرِ‏”

Sesungguhnya Rasulullah SAW berdoa dengan berlindung kepada Allah di belakang solat dengan beberapa kalimat berikut : “[Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada penyakit takut; aku berlindung denganMu daripada usia terlalu lanjut; aku berlindung denganMu daripada fitnah dunia; aku berlindung denganMu daripada fitnah dunia; dan aku berlindung denganMu daripada azab kubur]”. (HR al-Bukhari di permulaan bab jihad)

Daripada Abdullah bin Umar RA, Rasulullah SAW bersabda :“Ada dua perkara apabila dipelihara oleh seorang hamba Muslim, dia akan masuk ke dalam syurga. Kedua-duanya mudah, tetapi yang beramal dengannya sangat sedikit. Iaitu bertasbih kepada Allah Taala di belakang solat sepuluh kali, bertahmid sepuluh kali, bertakbir sepuluh kali. Semua sekali jumlahnya dalam sehari semalam 150 kali diucapkan dengan lisan, dan nilainya 1500 dalam timbangan. Kemudian apabila berbaring, dia bertakbir 34 kali, tahmid 33 kali dan bertasbih 33 kali, jumlahnya 100 diucapkan lidah, dan nilainya 1000 di timbangan”.

 

Abdullah berkata : “Aku melihat Rasulullah SAW mengitung-hitung zikirnya dengan tangannya”. Para sahabat bertanya : “Wahai Rasulullah, bagaimana boleh jadi kedua-dua zikir itu mudah tetapi yang melakukannya sedikit?”

Baginda menjawab : “Sebenarnya, syaitan telah datang kepada salah seorang kamu di dalam pembaringannya, lalu dia tertidur sebelum sempat membacanya. Syaitan juga datang mengganggu di dalam solatnya, ia teringatkan hajatnya yang lain sebelum ia sempat membacanya”. (HR Abu Daud, at-Tirmizi & an-Nasa’ie)

Daripada Uqbah bin Amir RA katanya :
“Rasulullah SAW memerintahkan aku agar membaca dua surah ‘mau’izatain’ selepas setiap solat”. Dalam riwayat Abu Daud dijelaskan agar membaca : tiga qul iaitu surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas”.

Daripada Muaz RA : Sesungguhnya Rasulullah SAW mengambil tangannya seraya bersabda :

‏”‏يا مُعَاذُ‏!‏ وَاللَّهِ إِنّي لأُحِبُّكَ، فَقالَ‏:‏ أُوصِيكَ يا مُعاذُ‏!‏ لا تَدَعَنَّ فِي دُبُرِ كُلّ صَلاةٍ تَقُولُ‏:‏ اللَّهُمَّ أعِنِّي على ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبادَتِكَ‏”

“Wahai Muaz, demi Allah sesungguhnya aku sangat mengasihimu. Aku berpesan kepadamu wahai Muaz, jangan abaikan doa ini selepas solat : [Ya Allah, bantulah aku untuk mengingatiMu dan mensyukuriMu serta bantulah aku agar dapat melakukan ibadah yang terbaik]”. (HR Abu Daud & an-Nasa’ie)

Daripada Anas RA, katanya :

كانَ رسولُ اللَّه صلى اللّه عليه وسلم إذا قَضى صلاتَه مسحَ جبهتَه بيده اليمنى، ثم قال‏:‏ ‏”‏أشْهَدُ أنْ لا إلهَ إِلاَّ اللَّهُ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ، اللَّهُمَّ أذْهِبْ عَنِّي الهَمَّ والحزنَ‏”

Rasulullah SAW apabila menyudahkan solatnya, baginda menyapu muka dengan tangan kanannya kemudian berkata : [Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Ya Allah, hapuskanlah daripadaku dukacita dan kesedihan]” (HR Ibnu Sunni)

Daripada Abu Umamah al-Bahili RA, katanya :

ما دنوتُ من رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم في دُبُر مكتوبة ولا تطوُّع إلا سمعتُه يقول‏:‏ ‏”‏اللَّهُمَّ اغْفِرْ لي ذُنُوبي وَخَطايايَ كُلَّها، اللَّهُمَّ انْعِشْنِي واجْبُرْنِي وَاهْدِنِي لِصَالِح الأعْمالِ وَالأخْلاقِ، إنَّهُ لاَ يَهْدِي لِصَالِحها وَلاَ يَصْرِفُ سَيِّئَها إِلاَّ أَنْتَ‏”

“Aku mendekati Rasulullah SAW selepas solat fardhu atau sunnat dan mendengar baginda berdoa : [Ya Allah, ampunilah dosaku dan kesalahanku semuanya. Ya Allah, teguhkan pendirianku, sempurnakan kekuranganku, tunjukkan aku kearah amal soleh dan akhlak yang baik. Tiada yang boleh menunjuk kearah kebaikan dan tiada yang berkuasa mengubah akhlak yang buruk melainkan Engkau]”. (HR Ibnu Sunni)

Daripada Abu Said al-Khudriy RA :

أن النبيّ صلى اللّه عليه وسلم كان إذا فرغ من صلاته ـ لا أدري قبل أن يسلِّم أو بعد أن يسلِّم ـ يقول‏:‏ ‏”‏سُبْحانَ ربِّكَ رَبِّ العِزَّةِ عَمَّا يَصِفُونَ، وَسَلامٌ على المُرْسَلِينَ، وَالحَمْدُ لِلَّهِ رَبّ العَالَمِينَ”

“Sesungguhnya Nabi SAW apabila selesai daripada solatnya – aku tidak mengetahui sebelum atau selepas salam – baginda membaca : [Maha Suci Engkau Tuhan kami, Tuhan yang suci daripada apa yang mereka sifatkan. Salam sejahtera keatas para rasul. Dan segala puji milik Allah Tuhan pentadbir alam]” (HR Ibnu Sunni).

Daripada Anas RA, katanya :

كان النبي صلى اللّه عليه وسلم يقول إذا انصرف من الصلاة‏:‏ ‏”‏اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ عُمُرِي آخِرَهُ، وَخَيْرَ عَمَلِي خَواتِمَهُ، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامي يَوْمَ ألْقاكَ‏”

“Apabila selesai solat, Nabi SAW membaca : [Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik umurku pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalanku pada penutupnya, dan jadikanlah sebaik-baik hariku ialah hari bertemu denganMu]” (HR Ibnu Sunni).

Daripada Abu Bakrah RA :

أن رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم كان يقول في دُبر الصلاة‏:‏ ‏”‏اللَّهُمَّ إني أعُوذُ بِكَ مِنَ الكُفْرِ وَالفَقْرِ وَعَذَابِ القَبْرِ‏”

Sesungguhnya Rasulullah SAW berdoa selepas solatnya : “[Ya Allah sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada kekufuran, kefakiran dan azab kubur]” (HR Ibnu Sunni)

Daripada Fadhalah bin Ubaidillah katanya : Rasulullah SAW bersabda :

“‏إذَا صَلَّى أحَدُكُمْ فَلْيَبْدَأ بِتَحْمِيدِ اللَّهِ تَعالى وَالثَّناء عَلَيْهِ، ثُمَّ يُصَلِّي على النَّبيّ صلى اللّه عليه وسلم ثُمْ ليَدْعُو بِمَا شَاءَ‏”‏‏

“Apabila salah seorang kamu berdoa, hendaklah ia memulakan dengan tahmid kepada Allah Taala dan pujian keatasNya, kemudian bersolawat keatas Nabi SAW. Kemudian berdoalah kamu dengan apa saja yang kamu kehendaki” (HR Ibnu Sunni).