Archive for Oktober, 2008


RUMAH TERBUKA HJ OMAR TOMPANG

Selepas selesai ceramah dan solat Isyak di Surau Riyadhus Solihin, kami pakat serang rumah Tuan Hj Omar Tompang, Setiausaha JK Surau yang tinggal di Lorong 3 Taman Austral. Orang ramai, maklumlah orang besarlah katakan.

Menu pun boleh tahan. Macam-macam ada. Klik gambar untuk paparan lebih besar.

Setiap malam rabu dan malam jumaat, selepas isyak, saya ada kelas mengajar al-Quran. Kelas ini sudah berlangsung lebih tiga tahun sejak bertugas di Masjid Negeri lagi.

Dua orang yang setia mengaji itu ialah abang Pozi dan isterinya.

Ketika dipindahkan sekejap di Istana selama setahun empat bulan pun, kelas itu tetap berjalan seperti biasa.

Petang khamis lepas, saya agak keletihan. Fikiran saya hendak menangguhkan kelas kerana hanya tiba di rumah jam 7 malam. Hendak menelefon abang Pozi, celcom saya pula disekat panggilan keluar.

Lambat bayar punya hal.

Tidak lama, abang Pozi menelefon mengesahkan kelas malam itu berjalan seperti biasa. Saya pula tidak tergamak membatalkannya.

Setiba di surau, rupanya abang Pozi pun ada niat yang sama hendak menangguhkan kelas, cuma sama seperti saya. Mulut bagai terkunci untuk mengatakan tidak.

Teringat nasihat Ust Hj Muchlish. Katanya, buatlah kebaikan ketika hati tak mahu.

Sebab, ketika kita mahu melakukannya, kita memang melakukannya. Jadi ketika tidak mahu melakukannya, ketika itulah kita lawan supaya melakukannya. 

Jadi setiap masa kita akan melakukan kebaikan.

LORONG-LORONG SINSURAN

Petang rabu lepas 22hb, saya berhajat ke Centre Point dan Warisan Square atas urusan rasmi.

Membuat tinjauan awal di kedai-kedai yang menjual kasut terutamanya, berdasarkan beberapa aduan berkenaan kasut-kasut atau sandal yang mempunyai ukiran kalimah Allah.

Aduan itu juga hasil beberapa reaksi dan respon masyarakat setelah berlaku rampasan di sebuah pasaraya di Likas Ramadhan lalu.

Saya meletakkan kenderaan di kawasan Sinsuran, bersebelahan Centre Point.

Mungkin ramai maklum, di beberapa lorong di kawasan ini, sesiapa yang lalu sama ada berjalan kaki atau menaiki kenderaan, akan disapa oleh beberapa individu yang menjual vcd atau dvd cetak rompak atau vcd biru.

Saya rasa kegiatan dan perjuangan mereka di kawasan ini sudah terlalu lama dan terbiar. Wallahu a’lam adakah terdapat serbuan, rampasan atau tangkapan dibuat terhadap mereka ini.

Saya parkir di salah satu lorong, kemudiannya dihampiri oleh seseorang.

Mula-mula diunjukkan sekadar vcd cetak rompak.

Kemudian galak membawa ke tepi, menunjukkan vcd lucah. Kemudian makin semangat pula dia apabila saya cuba provok dengan meminta vcd-vcd ‘domestik’.

Di lorong yang saya parkir kereta tadi, di belakang premis Jamilah Jewellery dan kedai gunting Poh Suan di kaki lima itulah lelaki tadi mengangkat satu papan yang menutup lubang najis, menyimpan beberapa plastik mengandung vcd-vcd lebih panas lagi. (lihat gambar)

Di kulit vcd itu ada beberapa tajuk termasuk rakaman di Sabah. Ada di Keningau, ada melibatkan pelajar IPT, artis dan sebagainya. Harganya RM25 satu. Mahalnya!

Wahai pihak yang berkenaan. Tolonglah lakukan sesuatu.

Ketika ini, saya sedang menanti kereta persona saya yang sedang diperiksa.

Hari ini, 24 Okt dan esok 25 Okt, Proton i Care mengadakan pemeriksaan PERCUMA bagi setiap kereta proton lama dan baru.

Lokasi : 3S Kota Kinabalu, Lot 49B, Jalan Kilang, Sedco Industrial Estate, 88450 Kota Kinabalu. Telefon : 088-432566

Tentatif penuh :

Hari pertama (24 Okt 08)

2.00 -3.00 petang – Pendaftaran, Jamuan Ringan

2.30 – 5.00 petang – Pemeriksaan Kenderaan

3.00 petang – Cabutan Bertuah

5.00 petang – Penutup

Hari kedua (25 Okt 08)

8.00 pagi – Pendaftaran

8.00 pagi – 4.00 petang – Pemeriksaan Kenderaan

9.00 pagi – 12.30 tengahari – Sukaneka, Derma Darah, Cabutan Bertuah

12.30 -1.30 tengahari – Jamuan Ringan

3.00 – 4.00 petang – Penyampaian Hadiah.

5.00 petang – Penutup

Tengah-tengah menulis tadi, tiba-tiba nama saya dipanggil menerima hadiah. Jadi sekarang, Persona saya sudah selesai diperiksa.

Sabtu 18hb, semua ahli lajnah dan urusetia KDN mengambil kesempatan berehat seketika berkunjung ke majlis rumah terbuka Ust Moghni Israri, Imam Masjid Wilayah yang juga salah seorang ahli lajnah tashih yang aktif.

Majlis berkenaan diadakan di rumah beliau di Jalan Duta, -rumah kakitangan JAWI- betul-betul berhadapan dengan kompleks pentadbiran kerajaan.

Sebelum bertugas di Masjid Wilayah, Ust Moghni adalah pensyarah di Darul Quran, Kuala Kubu Baru.

Menarik juga mendengar kisah setelah beliau tinggal di sini, apabila beliau diarahkan pindah ke rumah yang diperuntukkan kepadanya sesuai dengan kedudukan gred s44.

Walaubagaimanapun, beliau enggan pindah dan hanya tinggal di rumah gred s41 sahaja.

Sama saja, katanya.

Saya sempat bertanya kedudukan rumah Ust Romlang Porigi yang terkenal itu.

Ust Moghni memberitahu Romlang yang tinggal di kawasan yang sama memang dijemput, cuma belum hadir lagi.

Oleh kerana rumah Ust Moghni berdekatan dengan pagar pintu masuk kawasan perumahan ini, saya nampak juga Ust Romlang keluar masuk dengan kereta kancilnya.

Turut tinggal di kawasan ini ialah Mufti WIlayah, Datuk Zahidi Wan Teh.

MEMBORONG DI GALERI BUKU NUFAIR STREET

17 Okt. Walaupun sibuk menyemak al-Quran, sekitar jam 5 petang, saya mencari ruang untuk ke Kedai Buku Galeri Nufair.

Terletak di Jalan Pahang Barat, Galeri Nufair hanya berada di belakang Hospital Tawakkal. Jika hendak ke sana menaiki teksi, sebut saja hendak ke Hospital Tawakkal.

Berhenti di sana dan berjalan kaki tidak sampai 5 minit, kita akan bertemu dengan premisnya.

Berada sebaris dengan Galeri Nufair ialah Restoran Haslam milik Dato’ Yusuf Haslam dan di aras atas sebelah Nufair ialah pejabat akhbar rasmi PAS, Harakah.

Meskipun ruang premis Galeri Nufair tidak besar, tetapi banyak bahan-bahan yang boleh dimanfaatkan terutama buku-buku berkait dengan harakah Islamiyyah, khususnya tulisan-tulisan terkini dua tokoh ulama, Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang.

Kunjungan kali ini adalah yang ketiga. Kali pertama dahulu, pada bulan Febuari ditunjuk dan dihantar oleh Abang Mad. Kali kedua Mei lalu pula saya berhabis tidak kurang RM500.00 membeli buku di kedai ini.

Kali ini tidak banyak, tidak sampai RM200.00 dihabiskan.

Seperti kunjungan kali pertama dan kedua, saya menghabiskan kira-kira 2 jam, mundar-mandir meronda ke depan dan belakang, membelek satu-persatu kalau boleh, sehingga kedai hampir tutup pada jam 7 malam.

Pelanggan yang mempunyai kad keahlian akan diberikan diskaun 10%.

Saya sarankan saudara kalau berkunjung ke ibu negara, tidak melepaskan peluang ke Galeri Buku Nufair ini, sama ada bagi mencari buku, vcd, serta pelbagai aksesori Pakatan Rakyat seperti baju, payung, sticker, kopiah, topi, dan bermacam lagi.

Datang, jangan tak datang!

GALERI BUKU NUFAIR STREET SDN BHD, 22A JALAN PAHANG BARAT, KUALA LUMPUR. TEL : 03-40253525. FAX : 03-40253307. EMEL : admin@nufair.com

Insya Allah, sepanjang cuti hujung minggu ini, beberapa program ceramah bersama Tuan Guru Hj Baqi dari Temerloh Pahang akan diadakan di beberapa tempat :

1) 24 Okt – Jumaat – Khutbah Jumaat di Masjid Pekan Menggatal

2) 24 Okt – Jumaat – Ceramah selepas solat Jumaat di Masjid Pekan Menggatal

3) 24 Okt – Jumaat – Ceramah selepas solat Maghrib di Surau Riyadhus Solihin, Taman Austral

4) 25 Okt – Sabtu – 10.30 pagi – Ceramah di Masjid Daerah Kota Marudu

5) 25 Okt – Sabtu – Ceramah selepas solat Maghrib di Masjid Tg Kapur, Kudat

6) 26 Okt – Ahad – 9.30 pagi di Taman Nikmat, Kota Belud

7) 26 Okt – Ahad – Ceramah selepas solat Maghrib di Masjid Daerah Ranau

8 ) 27 Okt – Isnin – Kuliah Subuh di Masjid Kg Lohan Ranau

9) 27 Okt – Isnin – 10 pagi di Masjid Daerah Tamparuli.

Urusetia, hubungi Cikgu Annuar : 013-8560679. Umat Islam dijemput hadir.

Dari hotel tempat kami menginap, tempoh perjalanan ke Masjid Jamek Kg Baru hanya 10 minit berjalan kaki.

Walaupun lebih hampir Masjid Pakistan, saya beriya-iya hendak bersolat di Masjid Jamek Kg Baru yang menyimpan 1001 sejarah itu.

Masjid ini diletakkan batu asasnya pada tahun 1957 oleh Tunku Abd Rahman Putra al-Haj, dan kini masjid ini boleh memuatkan ribuan jamaah di dewan utama, atas dan di sayap kiri dan kanan.

Secara ringkasnya, ada beberapa perkara menarik yang saya sempat perhatikan di masjid ini, dan boleh diserapkan dalam pentadbiran,  atau program masjid-masjid kita di Sabah, menurut kemampuan masing-masing.

Pertama, khutbah multimedia yang dilaksanakan di seluruh masjid-masjid di Wilayah Persekutuan.

Saya nampak kewujudannya membuatkan jamaah lebih fokus dan sama-sama memerhati isi-isi penting khutbah yang disampaikan.

Cara design powerpoint khutbah multimedia itu juga menarik perhatian saya.

Hari itu, khutbah yang disampaikan oleh Imam Abd Ahad Abu Bakar membawa tajuk ‘Harta Rebutan’.

Kedua, di satu sudut masjid yang menempatkan papan kenyataan, saya melihat satu kalendar yang memaparkan jadual kuliah maghrib masjid berkenaan selain menjadi kalendar biasa. 

Saya ingat ia satu teknik yang baik bagi sebuah masjid untuk menyebarluaskan maklumat kepada jamaah.

Jika ia dibuat di tempat kita, mungkin satu kalendar itu boleh dimuatkan juga beberapa jadual kuliah maghrib dan isyak beberapa masjid yang lain.

Selama ini kita membuat kalendar hanya untuk tarikh, atau jadual waktu solat selama setahun.

Ada baiknya kaedah dan sistem itu dipelbagaikan.

Ketiga, masjid ini juga mempunyai satu bangunan di sebelahnya sekolah tadika Islam.

Ini satu program yang baik selain di beberapa masjid di tempat kita yang mempunyai sekolah agamanya sendiri.

Saya mencadangkan tadika Islam ini juga difikirkan untuk diwujudkan di masjid-masjid kita.

Kalau ada ruang untuk nursery lagi baik.

Keempat, ini satu kemajuan teknologi yang sangat patut ditiru dan dilaksanakan secara besar-besaran.

Programnya ialah mesin kios maju masjid – Ekspress e-derma iaitu satu sistem menderma menggunakan teknologi terkini.

Penderma boleh menggunakan kad atm atau kad kredit beberapa jenis bank yang menyertai program ini untuk menderma sama ada khusus untuk tabung masjid, tabung anak yatim, tabung kebajikan dan tabung renovasi masjid.

Penderma akan diberikan resit setelah melakukan aktiviti berkenaan.

Sangat bagus untuk dibawa balik teknologi dan sistem ini serta diserapkan dalam program pengimarahan masjid terutama di bandar-bandar utama.

Kelima, masjid ini di pejabat pentadbirannya menyampaikan bantuan edaran makanan untuk fakir miskin dan golongan mutad’afin.

Ia dilakukan pada setiap khamis mulai jam 12 tengahari.

Ini juga satu program yang baik bagi memuliakan golongan berkenaan.

Masjid Negeri, Masjid Bandaraya dan Masjid Nurul Hikmah mungkin boleh duduk berbincang bersama.

Menurut peraturannya, setiap al-Quran yang hendak dijual dan dipasarkan di Malaysia, ia hendaklah diluluskan terlebih dahulu oleh Lembaga Kawalan Teks al-Quran.

Manakala sebelum ia diluluskan, pruf akhir al-Quran akan disemak terlebih dahulu oleh Lajnah Tashih al-Quran.

Lajnah ini akan menyemak dan kemudian akan memberikan pandangan terhadap bahan yang telah disemak dan dikemukakan kepada lembaga untuk membuat keputusan.

Wakil lajnah akan membentangkan pandangan dan cadangan, membentangkan hujjah kenapa satu-satu bahan ditolak berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

Sebagaimana saya sebutkan terdahulu, lajnah ini berada di satu unit dalam Kementerian Dalam Negeri, iaitu Unit Kawalan Teks al-Quran.

Unit ini kini dipimpin oleh Ust Abd Rani Osman, selaku Ketua Penolong Setiausaha.

Manakala di atas unit ini ialah Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran yang diketuai oleh Tuan Che Din bin Yusoh.

Unit ini akan menerima permohonan penerbit atau pengedar, dan kemudiannya memanggil kami selaku ahli lajnah untuk memeriksa bahan-bahan yang dikumpul.

Kebiasaannya, setahun empat hingga lima kali mesyuarat penyemakan akan dilakukan, bergantung kepada banyak atau sedikit bahan yang diterima oleh unit ini.

Setiap bahan sama ada teks, digital atau vcd disediakan sebanyak dua set.

Oleh itu, setiap juzu’ yang sama disemak dua kali. Semakan pertama dan semakan kedua.

Misalnya, bahan teks al-Quran 30 juzu’, terbitan syarikat A.

Syarikat A dikehendaki menyediakan dua mushaf pruf akhir untuk disemak.

Setiap juzu’ 1 hingga 30 akan diceraikan untuk disemak oleh ahli lajnah.

Satu orang satu juzu’. Itu semakan pertama.

Kemudian diedarkan pula bahan yang sama tetapi pruf akhir yang kedua.

Setiap ahli akan menerima semakan kedua dalam juzu’ yang berlainan.

Itu baru terbitan syarikat A. Belum syarikat B, C… kebiasaannya sehingga 20 bahan ke atas, sehingga setiap ahli menyemak sekitar 20 juzu’ ke atas.

Bahan yang berbentuk mushaf, apabila menyemaknya, ditanda dengan pen merah di bawah kalimah atau huruf menandakan ia sudah disemak.

Setiap huruf, baris, titik, syaddah, muka surat, surah dan juzu diperhati satu demi satu.

Jika bertemu kesalahan, sama ada besar atau kecil akan dibulatkan dan kemudian dikira sesudahnya untuk dijumlahkan.

Termasuk kesalahan ialah apabila terdapat sebarang bentuk, ukiran, tanda atau tulisan yang tidak perlu dan tiada kaitan dengan al-Quran atau rasm uthmani perlu ditanda bulatkan.

Semua yang dinamakan kesalahan itu sudah distandardkan dalam buku manual.

Cuma apabila timbul kekeliruan, mesyuarat akan berbincang dan memutuskan secara muafakat, apakah penemuan itu dikira kesalahan atau tidak.

Jika ia satu kesalahan, adakah kesalahan besar atau kecil.

Pada hujung mesyuarat, setelah semua bahan siap disemak, dilapor dan diserahkan, kesemua kesalahan jika ada akan dijumlahkan.

Jika ia bersih daripada kesalahan, maka ia diterima. Jika terdapat kesalahan, maka dilihat, berapa kesalahan besar dan kecil.

Jika berlaku kesalahan minimum, (saya lupa jumlahnya yang tepat) ia diterima dengan pembetulan.

Ertinya, penerbit hendaklah membetulkan kesilapan yang ditandakan, kemudian mengemukakan bahan yang sama untuk disemak semula, adakah kesalahan sebelum itu sudah dibetulkan atau belum.

 Jika sudah, maka bahan itu akan dicadang untuk diluluskan.

Sementara jika kesalahan terlalu banyak, maka bahan berkenaan ditolak.

Jika penerbit masih berminat, ia hendaklah mengemukakan bahan baru.

Perlu diingat, ahli lajnah tidak sewenang-wenang menerima atau menolak satu-satu bahan, dan tidak berkompromi dengan satu kesalahan sekalipun, demi menjaga kesucian al-Quran.

Begitu juga akhir-akhir ini, banyak bahan dalam bentuk digital dikemukakan.

Walaupun ahli lajnah memahami kemajuan teknologi zaman moden serta kepentingan dakwah, tidak bermakna bahan-bahan bentuk baru ini diterima dengan mudah.

Kebanyakannya ditolak kerana mempunyai banyak kesalahan.

Dalam kita memanfaatkan teknologi sekalipun, kesahihan al-Quran dari segi tulisan, atau bacaan mestiah diutamakan.

Kemudian, semua keputusan di peringkat lajnah akan dibawa ke mesyuarat lembaga untuk diputuskan sama ada diluluskan atau tidak.

Maka, apabila lulus, keputusan berkenaan akan dimaklumkan kepada penerbit atau pengedar terbabit.

Maka, akan kelihatanlah cop Lembaga Kawalan Teks al-Quran yang ditandatangani oleh pengerusi di belakang mushaf.

Demikianlah kisah ringkasnya.

Khamis 16 Okt sekitar jam 12 tengahari, bersama beberapa ahli lajnah dari Sarawak, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan dan Pahang, kami tiba di KL International Hotel.

Ini adalah kali kedua saya menginap di sini setelah kali pertama pada tahun 1995. Masa tu umur pun baru 16 tahun.

Saya ingat lagi, ketika itu saya menyertai Majlis Menghafaz al-Quran Kebangsaan di Dewan Muktamar Pusat Islam sebagai peserta dari Sabah, mewakili kategori 3 juzu’.

Guru pengiring saya ialah Ust Pajuddin Nordin.

Ketika itu, antara hakim-hakimnya ialah Sheikh Kadri Abd Hamid (Kedah), Ust Khairul Anwar Mohammad (Terengganu), Ust Azhari Othman (Kelantan), yang mereka ini kini adalah ahli lajnah tashih al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Saya kini pula menyertai mereka di dalam lajnah ini.

Sebab itu dalam tulisan lalu, saya mengatakan betapa segannya saya berhadapan dengan mereka yang saya sangat hormati ini.

Oleh kerana sesi kali ini adalah yang pertama setelah lantikan baru untuk sesi 2008-2010, satu mesyuarat khas telah diadakan untuk membuat pemilihan AJK dengan melakukan undian sulit sesama ahli lajnah.

Ia didahului dengan taklimat ringkas Ust Abd Rani Othman, Ketua Penolong Setiausaha (KPSU), Unit Kawalan Teks al-Quran, KDN.

Oleh kerana prestasi cemerlang AJK sebelum ini, semua penjawat terdahulu kembali memegang jawatan masing-masing, kecuali Naib Pengerusi 1 yang sebelum ini dipegang oleh Shaikhul Maqari Ust Osman Hamzah yang kini sedang melanjutkan pelajaran.

Setelah pengumuman selesai, surat-surat perlantikan sebagai ahli lajnah disampaikan oleh Ust Abd Rani kepada semua ahli lajnah yang hadir.

Penerima pertama ialah Pengerusi Lajnah yang mengekalkan jawatan, Dato’ Shaikh Hj Md Nor Mansur diikuti oleh ahli lajnah yang lain.

Senarai Pemegang Jawatankuasa Lajnah sesi 2008-2010 :

Pengerusi : Dato’ Shaikh Hj Mohammad Nor Mansur
Timbalan : Ust Hj Azhari Othman
Naib 1 : Dato’ Hj Solahuddin Omar
Naib 2 : Ust Hj Shafie Shaari

Setiausaha : Ust Hj Shaharuddin Pangilun
Penolong 1 : Ust Hj Kamaruddin Komeng
Penolong 2 : Ust Hj Zaher Ruddin Mokhtar

Bendahari : Ust Hj Hashim Othman
Penolong : Ust Hj Muridi Hj Mohammad

Ahli lajnah mengikut wakil negeri :

1) Dato’ Shaikh Hj Mohammad Nor Mansur (Imam Besar Perak)
2) Ust Mazlan Md Zaini (Pensyarah Maahad Tahfiz Perak)

3) Sheikhul Maqari Ust Hj Othman Hamzah (Selangor)
4) Ust Hj Shaharuddin Pangilun (Pensyarah KUIS Selangor)

5) Dato Sha’ari @ Shangari Abdullah (Qadhi Besar Johor)
6) Ust Hj Kamaruddin Komeng (Pensyarah Maahad Tahfiz Johor)

7) Ust Hj Ahmad Hj Hashim (Pensyarah Kolej Antabangsa P.Pinang)
8 ) Ust Hj Muhammad Helmi Ismail (Pensyaah Kolej Antabangsa P.Pinang)

9) Ust Hj Shafie Shaari (Pengetua Institut Tahfiz N. Sembilan)
10) Ust Hj Zaher Ruddin Mokhtar (Imam Besar N. Sembilan)

11) Ust Wan Ahmad Alauddin Hj Abd Rahman (Pegawai HEI, JAIN Kedah)
12) Ust Sheikh Roslan Abd Halim (Imam Besar Masjid Zahir, Kedah)

13) Dato’ Hj Zulkifli Hj Ali (Pengetua Maahad Tahfiz Pahang)
14) Ust Nasharuddin Ngah (Pensyarah Maahad Tahfiz Pahang)

15) Ust Hj Abd Rahim Md Zain (Pensyarah KIAS, Kelantan)
16) Us Khairuddin Mohamed (Pegawai HEI, JHEAI Kelantan)

17) Ust Moghni Israri (Imam Masjid Wilayah Persekutuan KL)
18) Ust Zanizan Ismail (JAWI KL)

19) Dato’ Hj Idris Talib (Pegawai HEI, Melaka)
20) Ust Hj Mohammad Hashim (Imam Besar Masjid al-Azim Melaka)

21) Ust Hj Hashim Othman (Pegawai Penyelidik, JAIN Perlis)
22) Ust Hj Muridi Hj Mohammad (Imam 1 Masjid Negeri Perlis)

23) Ust Shukri Sarkawi (Pegawai HEI, JAIN Sarawak)
24) Ust Yussof Hazmi (Pen Pegawai HEI, JAIN Sarawak)

25) Ust Hj Muhammad Akmal Othman (Pen Pegawai HEI JHEAIN Sabah)
26) Ust Hj Ibrahim Kisab – (Imam Besar Masjid Negeri Sabah) (Ahli Baru)

27) Ust Aizi Abd Aziz – (Imam Besar Masjid Negeri Terengganu) (Ahli Baru)
28) Ust Ku Apwa Ku Ibrahim – (Guru SMA Atas Sultan Zainal Abidin Terengganu) (Ahli Baru)

Dua ahli mewakili JAKIM :
29) Ust Hj Azhari Othman (Pensyarah Darul Quran, Selangor)
30) Ust Md Tahir Abd Manap (Pen. Pengarah Darul Quran, Selangor)

Manakala baki lima orang adalah pilihan KDN sendiri :
31) Dato’ Hj Solahuddin Omar (Pahang)
32) Ust Md Ilham Hj Ikhsan (Pesara – Selangor)
33) Ust Makhadzir Abdan (Pegawai HEI, Pejabat Agama Islam Johor Bahru)
34) Ust Sheikh Kadri Abd Hamid (Pensyarah Kolej Univ Insaniah, Kedah)
35) Ust Khairul Anwar Mohammad (Pensyarah USIM, N. Sembilan)

%d bloggers like this: