Sabtu lepas, saya mempunyai jadual mengajar di Teratak Fitrah, sebuah kelas pengajian untuk saudara kita yang kini premisnya terletak di Madrasah Masjid Negeri di dalam kawasan SMAI Toh Puan Hjh Rahmah.

Sementara menanti waktu mengajar pada jam 11 pagi, saya sempat menemubual seorang muallafah bernama Nur Hana Syakirah Tan @ Camela Tan, 29 tahun.

Berasal dari Kota Marudu, dahulunya beragama buddha dan telah menganut Islam pada April lalu.

Dalam temuramah itu, ada dua kesimpulan menurut pandangan saya yang dipersetujui oleh Nur Hana yang menjadi asbab kepada keislamannya.

Pertama, aspek pembacaan dan kedua akhlak orang Islam.

Fahamlah kita, kalau dua perkara ini diteliti dan diambil berat, orang bukan Islam lebih mudah untuk tertarik seterusnya memeluk Islam.

Ertinya, bahan-bahan bacaan sama ada ringan atau berat memperlihatkan keindahan Islam sewajarnya hendaklah ditonjolkan.

Ia memang sudah banyak di pasaran, tetapi mahukah yang bukan Islam hendak ke pustaka Islam untuk mendapatkannya?

Pada pandangan saya, masyarakat kita yang banyak bercampur gaul dalam kehidupan seharian perlu lebih aktif dalam hal ini.

Contohnya, memberi hadiah buku-buku tentang Islam kepada rakan sepejabat, jiran tetangga dan kenalan lainnya.

Berkenaan akhlak, saya teringat pesanan saudara Lim Jooi Soon dalam satu kursus awal tahun ini. Katanya, kepada bukan Islam, kita hendaklah beri mereka makumat asas bahawa bukan semua umat Islam berakhlak dengan akhlak Islam.

Jadi, kita sudah memberi kata kunci awal kepada bukan Islam. Yang mesti dicontohi ialah yang muslim yang berakhlak mulia, bukannya muslim pada nama dan keturunannya sahaja.

Jika kita perhati pada zaman Nabi SAW, kebanyakkannya mereka memeluk Islam setelah melihat akhlak mulia Rasulullah SAW.

Kepada Nur Hana, saya mengucapkan selamat kembali kepada fitrah Islam. Insya Allah saudari akan lebih tenang dan bahagia bersama Islam.

Jika ada sebarang masalah dan cabaran, itu adalah ujian Allah terhadap hambaNya. Jika kita bersabar dengan ujianNya, dapat pahala. Jika kita bersyukur dengan pemberianNya, juga berpahala.