Hari ini terdapat dua majlis yang begitu bersejarah bagi perkembangan Islam di Sabah.

Pertamanya, sebelah pagi diadakan majlis penyerahan nota serah tugas antara Imam Besar Masjid Negeri yang lama Tuan Hj Nahar Hj Matamin kepada Imam Besar yang baru, Tuan Hj Ibrahim Kisab, sahabat dan junior saya di Maahad dan di Mesir.

Bersejarah kerana pertama kali imam besar Masjid Negeri kali ini berumur awal 30an dan masih bujang lagi. Ia akan menimbulkan pelbagai reaksi positif dan negatif di kalangan jamaah. Itu sudah pasti.

Bahkan sebelum penyerahan rasmi ini pun, pelbagai cakap-cakap sudah kedengaran. Ada yang bersetuju dan ada juga sebaliknya.

Surat berpindah sudah kedua-dua mereka temui pada pertengahan Ramadhan lalu, tetapi bersetuju menangguhkan proses itu selepas hari raya memandangkan Masjid Negeri sedang rancak beraktiviti sepanjang Ramadhan.

Sementara Ust Ibrahim sebelum ini bertugas di Maahad Tahfiz, Ust Nahar pula akan ke Ibu Pejabat JHEAINS di Bahagian Pentadbiran Agama, Wilayah dan Daerah, khusus untuk unit Masjid.

Apa pun, kita mendoakan yang terbaik buat Ust Hj Ibrahim Kisab dan berharap tidak ada sesuatu yang negatif bentuknya disebalik pertukaran beliau dan Ust Nahar ini.

Bahkan saya berharap, Ust Ibrahim selaku orang muda akan memimpin Masjid Negeri dengan lebih rancak lagi. Bagi saya, dari sudut gerak dakwah Masjid Negeri selama 3 tahun di bawah Ust Hj Nahar, beliau berjaya.

Selamat bertugas Ust Ibrahim dan Ust Nahar di tempat baru masing-masing.

Sementara itu , majlis kedua yang saya maksudkan ialah kunjungan hormat Majlis Gabungan NGO’s Islam keatas Pengarah JHEAINS, Tuan Hj Amri Suratman pada petang ini.

Majlis Gabungan ini dikenali dengan ringkasan CONCERN dianggotai oleh ABIM, WADAH, Yayasan Amal Malaysia, JIM, Peguam Muslim, Persatuan Siswazah Sabah, Persatuan Ulama Malaysia, Puteri Islam, Persatuan Kebajikan Saudara Kita Kota Kinabalu (SAHABAT), Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA) dan KECAPI.

Saya berharap sangat isu-isu tertangguh yang terlalu meruncing di Sabah terutama undang-undang berkaitan murtad, gerakan kristianisasi, gejala sosial, memperkasakan masjid dan sebagainya akan dibincangkan dengan lebih serius, berlapang dada dan terbuka.

Selain itu, pertemuan ini akan lebih mengeratkan hubungan dan kerjasama antara JHEAINS dan NGOs Islam dalam memartabatkan Islam di bumi tercinta ini.