Saya diberikan amanah untuk memimpin solat sunat hari raya kali ini sekaligus menyampaikan khutbah hari raya di Masjid al-Muzakkirullah.

Kebiasaannya apabila berada di kampung pada hari raya, saya sering diminta menyampaikan khutbah berkenaan.

Tahun lepas, saya bersolat raya di Masjid Negeri Sabah, mengiringi TYT Yang Dipertua Negeri Sabah, dan hanya kembali ke kampung pada hari raya kedua.

Masjid yang sudah diperbesarkan masih belum mampu menampung jamaah yang melimpah hingga ke bawah. Demikian halnya dalam solat SUNAT hari raya.

Kalau begitulah solat fardhu kan syukur alhamdulillah.

Solat sunat eidul fitri didirikan pada jam 8 pagi dan diikuti dengan dua khutbah sekitar 35 minit.

Khutbah saya berkisar berkenaan kewajiban umat ini kembali kepada Islam yang sebenar dalam seluruh kehidupan, bukannya mengambil Islam apabila perlu atau sekerat-sekerat saja.

Umat Islam terdahulu hebat dan dihormati kerana mereka berpegang dengan Islam, sementara umat Islam kini tidak dipandang mulia lagi kerana pelbagai masalah yang melanda.

Tetapi hakikat utamanya ialah, umat Islam tidak lagi berpegang dengan ajaran al-Quran dan Islam itu menurut sepatutnya.