Kebiasaannya selepas berkumpul di rumah, kami akan terus ke tanah perkuburan, menziarahi pusara nenek moyang yang telah terdahulu pergi meninggalkan kami.

Tetapi tahun ini kami berkumpul terlebih dahulu membaca Yasin dan doa di rumah, kemudian baru ke kubur untuk berziarah.

Rasanya lebih baik begitu untuk memberi peluang anak-anak dan kaum ibu duduk sekali membaca yasin dan menadah tangan.

Berbanding jika mereka turut ke kubur yang ternyata tidak digalak oleh agama.

Kebiasaan masyarakat, selepas solat raya adalah waktu puncak bagi pusara kubur diziarahi keluarga masing-masing.

Keadaan itu menyebabkan kesesakan berlaku, hingga berlaku perkara-perkara yang dilarang agama, seperti percampuran lelaki dan perempuan, melangkah kubur atau duduk di atasnya atas alasan orang terlalu ramai.

Jadi lebih baik jika hendak pergi ke pusara juga, dilewatkan sedikit bagi mengurangkan kesesakan dan berlakunya perkara yang dilarang.

Ketika membaca yasin dan doa di rumah abang nombor 3 – Muhammad Safree – , saya menyedari dua daripada anak abang sulung kami sudah besar rupanya.

Kedua-dua mereka – Muhammad Alif dan Abdul Aziz berusia 15 & 14 tahun kini bersekolah di SMKA Inanam Kota Kinabalu.

Mereka boleh membaca al-Quran dengan baik dan keadaan itu sebenarnya menggembirakan hati saya.

Saya yakin bahawa nenek dan babah mereka juga gembira dengan keadaan itu.