Archive for 15 Oktober 2008


Pagi esok, saya akan berangkat ke KL untuk menghadiri mesyuarat Penyemakan dan Penilaian Teks al-Quran atau kami selalu panggil Lajnah Tashih al-Quran kali ke-4/2008.

Mesyuarat kali ini diadakan di KL International Hotel.

Sepanjang tahun ini, mesyuarat telah diadakan di Shah Alam, Kuala Lumpur dan Ipoh. Sementara tahun lalu, mesyuarat sama diadakan di Bangi, Kangar, Melaka, Johor Bharu dan Kuala Lumpur.

Kebiasaannya, apabila mesyuarat diadakan di negeri-negeri, pertemuan atau kunjungan ahli lajnah bersama kepimpinan kerajaan negeri akan diadakan.

Antara yang saya hadiri ialah pertemuan dengan Dato’ Seri Shahidan Kassim, Dato’ Seri Md Ali Rustam dan terkini Dato’ Seri Md Nizar Jamaluddin.

Saya dicalonkan menganggotai lajnah seramai 35 orang ini oleh Ybhg Datuk Hj Ahmad Alawi Hj Adnan, Mufti Kerajaan Negeri Sabah selaku ahli Lembaga Kawalan Teks al-Quran yang berada di atas lajnah ini.

Saya kemudiannya dipersetujui untuk dipilih oleh Lembaga Kawalan Teks al-Quran bagi tempoh dua tahun iaitu Ogos 2006-Ogos 2008 bersama dengan Ust Adam Abd Hai, Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Sandakan, bersama dengan ahli lajnah yang lain.

Lembaga ini pula diketuai oleh Sahibus Sahamah Mufti Negeri Perak, Dato’ Seri Hj Harussani Zakaria dan ahli-ahlinya terdiri daripada semua mufti-mufti Malaysia dan beberapa tokoh yang lain.

Setelah sesi Ogos 2006-Ogos 2008 itu berakhir, sekali lagi nama saya dicalonkan semula oleh JHEAINS untuk dua tahun mendatang setelah mendapat sokongan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menilai prestasi semua ahli lajnah sepanjang dua tahun berkhidmat.

Setiap negeri mempunyai dua orang wakil sejumlah 28 orang, dua orang cadangan JAKIM dan bakinya seramai lima orang dicadang oleh ahli lajnah untuk dilantik oleh Unit Kawalan Teks al-Quran, Bahagian Kawalan Penerbitan & Teks al-Quran KDN yang menaungi lajnah ini.

Menurut maklumat, Lajnah Tashih al-Quran ini ditubuh pada Mac 1988. Kalau tidak salah, pengerusi pertamanya ialah Dato’ Hj Solahuddin Omar, dari Pahang.

Para ahli lajnah pula mestilah di kalangan huffaz al-Quran.

Ketika penubuhan awalnya, ia hanya berjumlah tidak sampai 10 orang.

Bagaimanapun kini ia  meningkat kepada 35 orang memandangkan terlalu banyak bahan yang perlu disemak setiap kali bermesyuarat.

Jika dahulu, semakan hanya tertumpu kepada teks al-Quran sahaja, kini dengan perkembangan teknologi ayat al-Quran boleh didapati melalui VCD, DVD, dan digital yang lebih sulit dan memerlukan lebih perhatian.

Lajnah ini kini diketuai oleh Dato’ Syeikh Hj Mohammad Nor Mansur, Imam Besar Masjid Negeri Perak dan timbalannya ialah Ust Hj Azhari Othman, Pensyarah Kanan di Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Baru Selangor.

Ketika mula menyertai mesyuarat ini awal tahun 2007, saya merasa rendah diri dan kerdil yang teramat sangat kerana di hadapan dan kiri kanan saya adalah para tuan guru, ahli al-Quran yang sangat saya hormati dan kagumi.

Mereka ini telah bergelumang dengan al-Quran jauh sebelum saya lahir ke dunia ini. Kebanyakan mereka saya kenali dari jauh atau hanya ditonton dan dilihat di kaca tv dan sebagainya.

Pun begitu, syukur alhamdulillah, kini saya berkesempatan, sambil bersama-sama bermesyuarat, berbincang serta dapat mengambil ilmu dan pengalaman berharga mereka.

Saya adalah ahli lajnah yang paling junior sekali berbanding umur ahli lajnah yang lain.

Saya banyak berdiam diri dan menumpukan semakan daripada banyak bercakap dan mengambil pengalaman mereka yang telah lama berada dalam lajnah.

Selain dua orang tokoh tadi, yang lain antaranya ialah Dato’ Hj Solahuddin Omar, seorang pendidik dan guru al-Quran yang tidak asing di kalangan para hafiz al-Quran di Malaysia.

Dato’ Hj Solahuddin yang kami panggil mesra dengan Dato’ Solah adalah pengetua Maahad Tahfiz al-Quran yang pertama kali memperkenalkan diploma tahfiz pada awal 80an.

Antara pelajarnya ialah Datuk Hj Asmali Bachi, bekas Imam Besar Masjid Negeri.

Bahkan beliau pernah diimport oleh Negara Brunei untuk menubuhkan Maahad Tahfiz al-Quran dalam tempoh beberapa tahun bersama dengan Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad, Imam Besar Masjid Negara.

Selain Dato’ Solah, lajnah ini juga dianggotai oleh beberapa Imam Besar Masjid Negeri, antaranya Imam Besar Perlis, Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka, serta beberapa pengetua Maahad-Maahad Tahfiz Negeri dan pensyarah al-Quran yang kesemuanya adalah para hafiz belaka.

Insya Allah seusai balik dari sana, saya akan menulis tentang mesyuarat kami, bagaimana kami menyemak al-Quran dan sebagainya.

Saya tidak berhasrat membawa laptop ini ke KL kerana menyedari, setiap kali mesyuarat, bahan al-Quran yang hendak disemak terlalu banyak hingga larut malam.

Biasanya waktu rehat hanya dihabiskan untuk makan tengahari atau minum. Selain masa itu, waktu dihabiskan untuk menyiapkan semakan yang telah diedarkan.

Berdasarkan panggilan mesyuarat kali ini yang lebih lama iaitu selama 4 hari, mungkin setiap ahli lajnah akan menyemak sekitar 25-30 juzu’ seorang atau lebih lagi dalam tempoh itu.

Saya baru melihat senarai penuh penerima anugerah pingat dan darjah kebesaran Negeri Sabah bagi 2008.

Tahniah kepada beberapa kenalan dan sahabat-sahabat saya yang disenarai untuk tahun ini. Mudah-mudahan menjadi peransang untuk berkhidmat lebih baik dan cemerlang.

1) Tuan Hj Abd Gafar Madin – SU Sulit kepada TYT – ASDK
2) Tuan Yunos Hj Ashmat – SU SPANS – ASDK

3) P/Supt Tuan Hj Abd Latif Ibrahim – ADC kepada TYT – ADK
4) DSP Tuan Hj Malik Dolusin – Bekas ADC TYT – ADK

5) Tuan Hj Matni Hj Untong – SPANS – BSK

6) Sarjan Abu Bakar Kahar – Pengiring TYT – BK
7) Koperal Ajim Akim – Pengiring TYT – BK
8 ) L/Koperal Idris Maidin – Pemandu Pengiring TYT – BK
9) L/Koperal Mohammad Ismail – Pemandu Pengiring TYT – BK
10) Puan Faridah Sidik – PA SU Sulit kepada TYT – BK
11) L/Koperal Redzuan Ismail – Pengiring TYT – BK
12) L/Koperal Wan Azman Mat Salleh – Pengiring TYT – BK

13) Muhammad Ali Duil – Pemandu Istana Negeri – Sijil Kehormat
14) Salim Salleh – Pelayan Istana Negeri – Sijil Kehormat

Mungkin ada lagi yang terlepas pandang. Apa pun tahniah. Senarai penuh boleh dilayari di http://www.sabah.gov.my/gazette/docs/002010.pdf

 

%d bloggers like this: