Seperti kebiasaan, selepas solat sunat eidul fitri, kami semua sekeluarga bersama anak isteri masing-masing berkumpul di rumah ibu bapa kami.

 

Tahun ini, kecuali abang nombor dua yang beraya di Semporna bersama keluarga mertua, yang lain ada bersama kami.  Mereka hanya kembali ke Labuan pada hari raya ketiga.

Keluarga kami sudah mempunyai 17 orang anak buah, atau 17 orang cucu. Mereka semua berusia antara 4 bulan hingga 15 tahun.

Apabila usia sudah menghampiri 30 ini, terasa hiba di dada sebenarnya apabila mencium tangan dan memeluk wajah kedua ibu bapa yang kian nampak berusia itu.  Oh, sungguh besar jasa mereka.

Abang sulung pun sudah berumur 42 tahun, manakala adik bungsu yang masih solo sudah 23 tahun. Cepat masa berlalu.

Kalau dahulu semasa kecil cepat sangat hendak bergaduh, tinggi suara, bermasam muka dan berkecil hati, tetapi suasana  dan usia menyebabkan diri masing-masing semakin matang dan dewasa.

Kini masing-masing mudah berlapang dada, menerima nasihat dan teguran, bahkan boleh bergelak ketawa dan bergurau bersama, rindu hendak bertemu dan berjumpa.

Begitu juga seronok melihat telatah sesama anak-anak kami yang seramai 17 orang itu boleh bermain dan berkumpul bersama. Yang sudah besar mendukung dan memimpin si kecil.

Para menantu yang perempuan – 4 orang – boleh kerja bersama di dapur dan menonton tv bersama-sama. Alhamdulillah atas nikmat yang Allah berikan.